"Ya Allah, ampunkan aku kerana terlalu mencintai hamba-Mu sehinggakan aku lupa pada kasih-Mu. Ya Rahman Ya Rahim, ampunkan aku kerana selalu lalai dan sering melupakan-Mu. Ya Rabbil 'Izzati, jika dengan perpisahan itu mampu membuat aku lebih dekat dengan-Mu aku redha Ya Allah. Aku mohon pada-Mu kuatkanlah hatiku untuk melupakannya dan kuatkanlah hatiku untuk mengejar cinta dan keredhaan-Mu. Subhaana rabbikaa rabbil ‘izzati ‘ammaa yashifuun, Wa salaamun ‘alal mursaliin, Wal hamdulillahi rabbil ‘aalamiin.” Imanina duduk berteleku di atas sejadah. Di sepertiga malam itu, dia bermunajat pada Allah. Perlahan-lahan bibirnya melantunkan doa dan mengadu rasa hiba yang bertakung di dada. Manik-manik air matanya gugur membasahi pipinya yang mulus. Namun luahan rasa itu membuatnya berasa sedikit lega. Kerana? Ada Allah Yang Maha Mendengar rintihan jiwanya.
Usai berdoa, Imanina mencapai senaskhah Al-Qur'an yang tersimpan rapi di dalam almari. Allahu. Sebak hatinya tatkala memegang dan melihat Al-Qur'an itu. Sudah lama dia tidak menyentuhnya apatah lagi untuk membacanya. Pantas air mata jahiliyah mencurah bagaikan tiada henti.
"Ampunkan hamba-Mu ini Ya Allah. Aku dah lama tak baca kalam-kalam-Mu," Doanya di dalam hati.
Dia kembali berteleku di atas sejadah. Dengan tertib tangannya membuka helaian Al-Qur'an. Didahului lafaz taawuz dan basmalah dia membaca surah Al-Fatihah. Kemudian beralih pada surah Al-Baqarah. Sampai sahaja ayat ke 40, Imanina berhenti membaca. Al-Qur'an itu diletakkan semula ke tempat asal. Kemudian, bibirnya mengalunkan kalimah zikir.
La ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin.
Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk dalam golongan orang-orang zalim.
Zikir itu dibaca berulang-ulang. Maksudnya juga dihayati penuh khusyuk. Ketenangan kian memenuhi segenap ruang qalbu. Segala resah dan gelisah berjaya diusir pergi.
"Ya Rabb, terima kasih atas teguran ini. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, asbab perpisahanku bersama dia dengan izin-Mu juga membuatkan aku mahu mencari-Mu dan dekat dengan-Mu selalu. Syukur Alhamdulillah. Engkau telah menarikku kembali berada di jalan yang lurus. Engkau memang tidak pernah jauh, sebaliknya aku yang selalu menjauh dari-Mu. Ya Allah, ikatlah hati ini bersama-Mu. Ya 'aziz ya ghaffar, aku tidak mahu hati ini sarat dengan cinta pada ajnabi. Kurniakanlah aku rasa cinta kepada perbuatan yang dapat mendekatkan diriku kepada cinta-Mu," Imanina berdoa lagi. Air mata setia menemani tetapi sungguh hatinya benar-benar lega. Tiada tempat mengadu yang paling indah melainkan merintih pada Allah.
* * * * * *
Pagi sudah menjelma. Sang mentari kembali mentadbiri dunia sementara sang rembulan mentadbiri dunia yang lain pula.
Imanina berdiri di hadapan cermin. Dia merenung lama wajahnya yang kelihatan pucat bagaikan kertas putih. Kepalanya juga rasa berdenyut-denyut. Sakitnya bukan kepalang. Tubuhnya lemah. Namun dia tetap menggagahkan diri untuk mencari rezeki. Tudung bawal chiffon bidang 45 bewarna biru tua yang sudah siap digosok, diambil lalu disarung ke kepala. Setelah siap, dia mencapai beg tangannya dan menapak keluar dari bilik.
Imanina menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Pandangan matanya sudah mula kabur. Denyutan di kepala semakin kuat. Tiba sahaja di ruang tamu, tubuhnya rebah.
"Ya Allah, Nina!" Izhar Naim menyerbu ke arah Imanina yang tiba-tiba pengsan.
"Munah, Munah tolong aku cepat," Laung Izhar Naim. Dia memangku anaknya.
Mendengar namanya disebut, Maimunah segera meninggalkan pinggan yang belum siap dibasuh. Cepat-cepat dia menghampiri arah dari mana datangnya suara itu.
"Ya Allah Ya Tuhanku. Kenapa ni?" Maimunah mula cemas. Bingkas dia mengambil air bersih lalu dipercikkan ke wajah anak saudaranya.
"Nina," Panggil Izhar Naim. Namun Imanina masih belum sedar. Maimunah membasahkan lagi wajah gadis itu.
"Nina," Panggil Izhar Naim sambil menggoncang-goncang bahu anaknya. Maimunah menyentuh dahi gadis itu. Panas dahinya seperti bara api.
"Panasnya badan budak ni," Beritahu Maimunah.
"Mak," Imanina bersuara lemah. Dia sudah sedar dari pengsan.
"Alhamdulillah. Nina dah sedar. Jom, kita bawak dia masuk," Ujar Maimunah. Izhar Naim dan wanita itu segera memimpin Imanina menuju ke dalam bilik.
"Nina demam. Badan Nina panas sangat," Ujar Izhar Naim. Dia menarik selimut menutupi seluruh tubuh anaknya. Dia turut membantu menanggalkan inner tudung dan tudung yang dipakai anaknya. Imanina sekadar mengikut. Tidak mampu melawan apa-apa. Izhar Naim mengurut-ngurut telapak kaki anaknya. Akhirnya tangan yang pernah memukul itu dapat berkhidmat untuk merawat si anak.
"Kalau tak sihat janganlah paksa diri turun kerja. Nanti Nina tambah sakit," Ucap Izhar Naim dengan lembut. Imanina membisu. Tidak larat hendak berbicara. Selang dua minit, Maimunah muncul membawa segayung air bersih bersama sehelai tuala kecil.
"Letak je kat tepi, nanti aku letak kat dahi dia," Arah Izhar Naim.
"Baiklah. Kalau macam tu, aku masakkan dia bubur. Dah siap masak Nina makan ya. Makan sikit je tak apa. Nina belum sarapan lagi kan. Lepas tu makan ubat ya. Atau Nina nak pergi klinik?" Maimunah bersuara sambil mengusap ubun-ubun gadis itu.
"Tak naklah pergi klinik. Makan ubat jelah," Jawab Imanina yang sedang terbaring lemah.
"Jangan macam tu nak. Nina kena pergi klinik jugak. Badan panas sangat ni. Lagi pun, majikan Nina mesti nak minta surat MC kan?" Pujuk Izhar Naim. Kerisauannya amat dalam. Imanina membalas ucapannya dengan anggukan kepala sahaja.
Maimunah beredar dari situ. Dia menuju ke ruang dapur dan menyiapkan juadah buat Imanina. Izhar Naim duduk di sisi Imanina. Sapu tangan yang sudah basah didaratkan ke dahi Imanina. Kemudian dia memicit-micit kepala gadis itu. Perbuatan tersebut jelas menggambarkan betapa murni kasih seorang ayah. Buat pertama kali dalam hidupnya Imanina merasakan sentuhan kasih daripada insan bergelar ayah. Imanina terharu!
"Ayah," Panggil Imanina. Izhar Naim terkedu. Betulkah apa yang baru didengarnya itu? Imanina memanggilnya ayah? Sudah lama dia menantikan panggilan itu. Akhirnya panggilan tersebut keluar dari bibir anaknya.
"Ya nak. Nina nak apa?" Sahut Izhar Naim.
"Ampunkan Nina ayah," Balas Imanina. Meskipun seluruh tubuhnya berasa lemah tak berdaya, dia sedaya-upaya bersuara.
"Nina tak ada buat apa-apa salah dekat ayah. Ayah yang banyak buat salah kat Nina. Ayah yang patut minta maaf nak," Jawab Izhar Naim.
"Itu dulu ayah, cerita lama. Nina dah maafkan ayah. Sekarang Nina pulak yang nak minta maaf. Nina berdosa dengan ayah. Hari tu Nina layan ayah dengan kasar. Nina tolak ayah sampai ayah jatuh. Nina tengking ayah, marah-marah ayah. Tinggikan suara dekat ayah. Maafkan Nina ayah. Nina dah sedar silap Nina kat mana," Ucap Imanina penuh kesal. Air matanya mengalir laju.
"Nina tak mintak maaf kat ayah pun ayah akan sentiasa maafkan kamu nak. Ayah ada kamu seorang je kat dunia ni. Ayah dah janji dengan diri sendiri, selagi ayah hidup ayah akan jaga kamu. Ayah nak tebus silap yang lepas," Ada air jernih yang lahir dari kedua matanya menuruni pipinya yang cengkung. Sedih dan gembira bergabung menjadi satu. Izhar Naim bersyukur. Allah telah memakbulkan harapannya. Imanina sudah pun memaafkan dan menerimanya semula.
"Terima kasih ayah. Nina pun janji Nina akan jaga ayah. Nina tak akan sia-siakan ayah," Luah Imanina sambil menangis. Tangannya menggenggam jari-jemari si ayah yang ligat memicit kepalanya. Izhar Naim mencium ubun-ubun anaknya.
"Wahai anakku, kamu adalah insan yang paling berharga bagi ayah. Kegembiraan kamu adalah kegembiraan ayah, kebahagiaan kamu adalah kebahagiaan ayah juga. Terima kasih Ya Allah atas anugerah terindah ini. Terima kasih atas kesempatan ini," Lafaznya di dalam hati.
Share this novel