"Saya minta maaf ya andai saya sakitkan hati awak. Saya hanya manusia biasa tak lepas daripada kesilapan. Untuk pengetahuan Nina, saya dengan Zul dah tak ada apa-apa. Maafkan Zul dan terimalah dia balik. Lagi pun hubungan awak dan Zul dah lama."- Diana
Imanina membaca mesej yang dihantar oleh Diana melalui whatsapp. Entah dari mana Diana dapat nombor telefon Imanina, mungkin saja Zulfadhli yang berikan padanya.
"Ok, saya faham. Tq." - Imanina
Hanya mesej seringkas itu yang dia mampu balas kepada Adira. Dia sendiri tidak tahu hendak menaip kata apa. Lumrah manusia memang tidak terlepas daripada sebarang kesilapan tidak kiralah betapa seseorang itu menjaga pemakaian diri. Dia cuba menerima maaf daripada Diana dengan berlapang dada.
"Nina, Zul mintak maaf. Memang salah Zul. Zul yang salah. Zul mintak maaf sangat-sangat. Tolong jangan putuskan hubungan kita. Bagi Zul peluang untuk betulkan semua ni." - Zulfadhli.
Mesej daripada Zulfadhli pula. Imanina langsung tidak membalasnya, sebaliknya hanya memberi 'blue tick' sahaja. Imanina meraup wajah beberapa kali. Fikirannya buntu. Hatinya juga tidak tahu sama ada hendak memutuskan atau tetap meneruskan hubungan mereka. Bukan mudah untuk meraih semula kepercayaan yang telah dikhianati. Memaafkan mungkin mudah, tetapi untuk melupakan amat susah. Biarlah masa yang menentukan segalanya.
Tiba-tiba daun pintu bilik dibuka. Kelihatan Nur Mumtazah berdiri sambil mencekik pinggang.
"Nina, sudah-sudahlah tu merajuk dengan Zul. Kalau ya pun merajuk janganlah biarkan perut kosong. Mak ada masak nasi goreng. Dah, jom sarapan nanti gastrik Nina jugak yang susah menanggung sakit." Ajak Nur Mumtazah. Risau pula melihat tingkahlaku Imanina. Dari semalam perut adik sepupunya itu tidak dihuni makanan.
"Nina tak laparlah kak." Balas Nina. Muka yang tadi monyok cuba dihiasi dengan sebaris senyuman manis. Tetapi hambar, senyuman itu tetap pahit. Seakan air kopi yang tidak bergula.
"Jangan degil Nina. Mak dah penat masak tu, tak kesian ke dengan mak. Jom." Pujuk Mumtazah lagi.
"Yelah yelah. Nasib baik mak yang masak." Jawab Nina.
"Kalau Kak Zah yang masak?" Soal Mumtazah.
"Kalau Kak Zah masak, Nina tak lalu nak makan sebab masakan Kak Zah masin je. Hehe." Usik Imanina.
Memang betul pun Mumtazah masih belum mahir bab memasak. Masakannya ada saja yang tidak kena. Antara Imanina dan Mumtazah, Imanina lagi pandai memasak. Tetapi sekurang-kurangnya Mumtazah berusaha belajar memasak.
"Amboi, masin-masin pun kalau orang makan tetap habis jugak." Ujar Mumtazah. Tangannya laju mencubit pipi Imanina.
"Dah, jom mak dah panggil tu." Sambung Mumtazah lagi.
'Mak' yang dimaksudkan bukanlah ibu kepada Imanina Marsya, tetapi ibu kepada Nur Mumtazah. Maimunah merupakan mak cik saudara Imanina, adik kepada arwah ibunya. Kerana menganggap Maimunah seperti ibu sendiri, Imanina memanggil Maimunah dengan panggilan 'mak'. Maimunah juga menyayangi Imanina seperti anak kandung sendiri.
Lima belas tahun yang lepas, Imanina, ibunya dan seorang adik lelakinya melarikan diri dari rumah kerana sering menjadi mangsa pukulan si ayah. Tetapi dalam perjalanan kereta yang dipantu dan dinaiki itu terlibat dalam suatu kemalangan. Ibu dan adik lelakinya mati di tempat kejadian, hanya Imanina saja yang terselamat.
Semenjak ibunya tiada, Imanina kembali semula ke pangkuan ayah. Tetapi tindakannya salah. Izhar Naim semakin bertambah bengis. Setiap hari bermain judih. Bila dia kalah, Imanina yang akan menjadi tempat melepaskan kekalahannya. Setiap kali Imanina mengadu kelaparan, dia mengherdik Imanina. Setiap kali Imanina menangis dia memukul tubuh itu bertalu-talu sehingga lebam.
Mujurlah perbuatan Izhar dihidu oleh Maimunah. Mengenangkan nasib Imanina sebegitu rupa dia bertindak untuk memelihara Imanina. Izhar Naim pula menghilangkan diri entah ke mana. Dengan kehadiran Maimunah nasib Imanina mula terbela.
Apa erti memiliki seorang ayah tetapi tidak pernah menyayangi darah daging sendiri. Hanya tahu berfoya-foya sana-sini. Demikianlah, dugaan buat Imanina.
Share this novel