Episod 24

Romance Completed 3451

"Saya minta maaf. Lupakan saya, lupakan semua kisah antara kita dan jangan ganggu saya lagi," Sebaris mesej daripada Zulfadhli dihantar buat Imanina.


Imanina Marsya menekup mulutnya. Mesej itu langsung tak dibalas. Dia kehilangan kata-kata. Malam itu dia bermandikan air mata. Luka yang dulu baru hendak sembuh, muncul pula luka yang kedua. Sakitnya sungguh tak terkata.


Setelah dia memberikan peluang kedua pada Zulfadhli, Zulfadhli pula menggunakan peluang itu untuk menyakitinya lagi. Argh! Dasar lelaki tak reti menghargai. Alasan bersepah! Sandiwara merata! Imanina mendakap bantal busuk. Tangisannya dihamburkan di situ.


"Aku menyesal bagi kau peluang kedua. Peluang tu kau gunakan untuk lukakan aku balik! Kau memang kejam Zul!" Getusnya sendiri. Perasaan marah, sedih, dan kecewa berbaur menjadi satu. Esak tangisnya semakin menggila. Hanya dengan tangisan dia dapat melepaskan seribu rasa yang menggoncang qalbu. Malam itu semestinya sepasang matanya sukar melayari lena.


Di sebalik kesedihan seorang wanita, ada senyuman yang lahir di bibir seorang lelaki. Tanpa perasaan bersalah, tanpa rasa belas kasihan sesuka hatinya Zulfadhli memutuskan hubungan yang terjalin lama. Kini, dia lebih fokus pada Diana Adira. Imanina? 'Arghh! Lantak kaulah Nina! Siapa suruh terhegeh sangat kat aku!' Bisiknya di dalam hati.


Zulfadhli membongkar laci meja belajarnya. Dia mencari-cari sebarang peninggalan daripada Imanina. Dia tidak mahu ada lagi kenangan yang tersisa bersama gadis itu. Matanya tertancap pada keychain nama yang bertulis 'Nina & Zul'. Zulfadhli tersenyum sinis. Pantas dia menyambar keychain tersebut. Kakinya dihayun menuju ke arah tong sampah. Dengan sekelip mata keychain itu dikuburkan di situ. Biarlah kenangan indah antara mereka terkubur bersama.


"Aku tak nak ada kaitan apa-apa dengan kau lagi," Zulfadhli bermonolog dalam hati.


Harraz pula tidak dapat memejamkan mata kerana memikiran nasib yang menimpa adik sepupunya. Simpatinya pada Imanina semakin menebal. Dia turut mengenangkan kekejaman Zulfadhli. Andai lelaki itu ada di hadapan mata sudah pasti Harrazlah orang pertama yang membelasahnya. Biar dia tahu perbuatannya itu tidak ubah bagaikan insan yang tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan! Ish, geram tak terkata!


Di sebelah katil, Izhar Naim sudah lena dibuai mimpi. Agaknya jika Izhar Naim pun dapat tahu duka yang ditanggung anaknya semestinya dia pun payah melelapkan mata. Harraz dan Izhar Naim berkongsi satu bilik. Harraz tidak kisah jika orang tua itu dekat bersamanya. Sekurang-kurangnya dapat juga dia menenangkan dan menjaga orang tua itu. Maklumlah Imanina sendiri pun belum memaafkan dan masih enggan menerima Izhar Naim semula.


Keesokan harinya, Imanina tetap bekerja seperti biasa. Tetapi hari itu dia tidak ceria seperti biasa. Matanya kelihatan bengkak dek tangisan semalam.


"Nina, kenapa ni? Hari ni kau banyak diam je," Tanya Zara dengan lembut. Dia menilik wajah Imanina yang jelas melukiskan pemandangan yang bertemakan kesedihan. Wajah tanpa senyuman, tanpa gelak tawa.


Memandangkan hari itu kerja sudah siap dibuat, Zara dan Imanina duduk di kerusi berhampiran kaunter. Kebetulan ketika itu pelanggan pun tidak ada. Syuhada pula 'off day' , maka mereka berdua sahajalah yang bekerja.


"Tak ada apalah Zara. Aku ok je," Balas Imanina. Masih berlagak tenang padahal di dalam hati, hanya Allah yang tahu.


"Kalau betul tak ada apa-apa mengapa mata kau bengkak macam orang menangis je?" Zara terus menyiasat.


"Kalau ada apa-apa share la kat aku. Aku sudi dengar. Insya Allah mana yang aku boleh tolong aku tolong," Ucap Zara sambil memegang erat jari-jemari Imanina. Dia tahu Imanina menyembunyikan sesuatu. Keduanya saling berpandangan.


"Aku.." Luahan hatinya tergantung di situ.


"Aku dengan Zul dah putus. Dia yang putuskan hubungan kami," Sambung Imanina lagi.


"Hah?" Zara seakan tidak mempercayai bicara yang baru sahaja menyapa telinganya.


"Zul mesej aku semalam dan dia kata jangan ganggu dia lagi. Sekarang ni dia dah ada orang lain. Nama dia Diana. Aku dengan Diana berjumpa semalam. Dia sanggup datang dari Klang nak jumpa aku semata-mata nak bagi tahu hubungan dia dengan Zul. Dia kata Zul dah pilih dia. Aku tak sangka Zara. Aku tak sangka Zul sampai hati buat aku macam ni. Apa salah aku?" Imanina menerangkan kejadian semalam. Air matanya menitis perlahan. Zara pantas menarik tubuh Imanina ke dalam pelukan. Diusap-usapnya belakang Imanina.


"Nina banyakkan bersabar ye. Kau tak ada salah dengan dia pun. Dia yang buta tak dia tak nilai kau dengan betul. Tak dapat bezakan mana kaca, mana permata," Jawab Zara.


"Dia tipu aku dua kali. Aku bodoh sebab bagi dia peluang kedua. Aku harap dia berubah sebab tu aku bagi dia peluang. Tapi dia tetap tak berubah jugak. Dia makin sakitkan hati aku adalah," Luah Imanina lagi.


"Tak. Kau tak bodoh pun. Dia yang bodoh," Balas Zara.


"Aku punya setia kat dia, dia boleh khianat aku macam ni! Aku punya percaya kat dia, dia boleh tipu aku lagi!" Imanina terus mengadu. Baju Zara sudah pun basah kerana simbahan air mata sahabatnya.


"Dia mintak aku lupakan dia. Macam mana aku boleh lupa sedangkan aku dan dia dah lama bercinta? Dia ingat senang ke nak move on," Tambahnya lagi.


"Sabar ye Nina. Semua ni mesti ada hikmah. Insya Allah, pasti ada yang lebih baik lagi," Pujuk Zara cuba menenangkan emosi Imanina.


"Ak..aku tak ku..kuat Zara. Aku tak kuat," Ucap Imanina sambil teresak-esak.


"Jangan cakap macam tu. Kau kena kuat. Jangan risau, aku ada. Aku akan tolong kau. Dan jangan lupa kita ada Allah. Allah sayangkan kau. Sebab tu Allah atur semua macam ni. DIA tak nak kau makin jauh dari DIA. DIA sengaja tarik kau balik. DIA nak kau sentiasa merintih pada DIA," Pujuk Zara lagi. Imanina sekadar mendengar. Dia cuba memahami erti kata yang terbit dari bibir Zara. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh dengan kata-kata itu. Ya, Allah Maha Penyayang. Kerana itulah DIA sering menegur dan menyedarkan kita dalam pelbagai bentuk. Aturan Allah indah-indah belaka. Segalanya berbuah hikmah.


"Sabar ye Nina. Insya Allah, pasti ada yang jauh lebih baik daripada Zulfadhli. Dah, jangan sedih-sedih lagi ye," Ucap Zara. Semakin erat dia mendakap tubuh sahabatnya. Imanina masih berendam dengan air mata. Biarlah dia menangis. Mungkin sahaja selepas sebuah tangisan itu akan ada sinar kebahagiaan yang muncul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience