"Dik, dik," Panggil Fuad Asyraf sambil memegang dompet bewarna ungu. Imanina mematikan langkahnya. Dia menoleh ke arah pemilik suara itu. Di sisi Fuad Asyraf, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lima tahun.
"Dik, ni dompet awak tadi tercicir dalam klinik," Beritahu Fuad Asyraf sambil menunjukkan dompet itu. Bibirnya mengukir senyuman ikhlas. Imanina bingkas menghampiri lelaki itu.
"Ya, dompet saya. Ya Allah, macam manalah boleh tercicir ni. Ingatkan dah masuk dalam beg tangan tadi," Jawab Imanina. Tanpa membalas bicara gadis yang berada di hadapan mata, Fuad Asyraf menghulurkan dompet itu kepada Imanina. Imanina segera menyambutnya.
"Terima kasih," Ujar Imanina sambil menguntumkan senyuman di bibir yang masih pucat lesi. Sempat dia memandang tepat-tepat ke arah kanak-kanak perempuan itu. Wajah yang putih bersih, pipi yang tembam dan sepasang mata bewarna coklat hazel. 'Comelnya,' Pujinya di dalam hati.
"Sama-sama," Jawab Fuad Asyraf.
"Uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk," Qurratu Ain terbatuk-batuk. Pantas Fuad Asyraf mendukungnya dan menapak masuk semula ke dalam Klinik Sofea. Tanpa membuang masa, Imanina pula cepat-cepat mendapatkan ayahnya yang berdiri di sebelah motorsikal.
"Sorry ayah. Dompet Nina tercicir tadi. Nasib baiklah ada orang baik hati serahkan dompet ni," Ujar Imanina.
"Dah check belum dompet tu? Ada yang terkurang ke? Mana tahu," Cadang Izhar Naim. Imanina memeriksa satu per satu isi dompetnya. Tiada satu pun yang hilang. Semuanya masih kekal tersusun rapi seperti biasa.
"Alhamdulillah. Duit, kadbank, ic semua ada ayah," Beritahu Imanina.
"Alhamdulillah, syukurlah. Jom, kita balik," Arah Izhar Naim. Anak-beranak itu terus menaiki motorsikal lalu memecut di jalan raya.
Pulang sahaja daripada Klinik Sofea, Imanina menelan ubat sepertimana yang dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya tadi. Kemudian, dia merebahkan tubuh ke atas tilam empuk. Selimut ditarik membaluti seluruh tubuhnya yang kesejukan.
"Kalau ada apa-apa, atau nak makan apa-apa panggil ayah ya. Sekarang Nina rehatlah," Ucap Izhar Naim.
"Baik ayah," Balas Imanina. Seraut wajah lelaki tua itu ditenung penuh kasih sayang. Benarlah orang kata, ayah adalah satu-satunya lelaki yang tidak pernah menyakiti anaknya. Kini hati kecilnya mengakui kata-kata tersebut.
"Ayah keluar dulu. Tidurlah nak. Asar nanti ayah kejutkan ya," Ujar Izhar Naim. Imanina menganggukkan kepala tanda memahami pesanan itu. Izhar Naim memulas tombol pintu bilik lalu menutup semula pintu bilik.
"Sabar Nina. Insya Allah ada lagi yang lebih baik berbanding Zulfadhli," Bicara daripada sahabatnya iaitu Zara terngiang-ngiang di telinga. Setiap curahan tersisip kemas dalam ingatan. Imanina meyakini bicara sahabatnya. Ini bukan masa untuk dia lemah. Ini masa untuk dia bangkit daripada kelalaian. Dia harus move on. Kendatipun melupakan Zulfadhli amat susah, dia perlu melupakannya. Argh! Untuk apa mengingati insan yang telah membuang dirinya seperti sampah!
Imanina tekad. Nombor telefon Zulfadhli sudah pun dipadam. Segala perbualan lama yang tersimpan di whatsapp dihapuskan tanpa bertimbang rasa. Setiap gambar Zulfadhli yang berada dalam galeri telefonnya dipadam sehingga bersih.
Dia tidak mahu ada satu kenangan yang membuatkan dirinya teringat lagi pada lelaki tersebut. Biarlah dia menjauh. Biarlah dia sendiri tanpa merasakan sentuhan cinta ajnabi. Cukuplah dengan sentuhan kasih sayang Ilahi.
Imanina memejamkan mata rapat-rapat. Bibirnya mula mengalunkan zikir. "La Hawla Wala Quwwata Illa Billahil 'Aliyyil 'Azeem." Yang bererti, tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Imanina rancak mengalunkan zikir itu. Berulang-ulang dibaca sehingga meresap ke dalam hati, hingga dia terlena diulit mimpi. Hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang. Jejak luka yang paling dalam yang telah ditinggalkan oleh bekas kekasih dirawat dengan zikrullah, doa, dan sujud pada Ilahi.
"Ketika kau pergi dan melukakan hati ini dengan perlahan aku mula menyedari
cinta siapa yang lebih bererti." Move on!
Share this novel