Di pagi sabtu yang cerah, Imanina menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai. Dia dan Cikgu Rumaisha berjalan beriringan. Sepasang mata gadis itu liar memerhatikan kawasan sekolah tersebut. Sedikit sebanyak, sudah ada infrastruktur yang berubah.
"Nak bagi ceramah tu kat mana cikgu?" Imanina memulakan bicaranya.
"Kat dewan," balas Cikgu Rumaisha dengan ringkas. Imanina menelan air liur. Dia mula membayangkan dewan yang dipenuhi murid-murid. Mampukah dia memberikan ceramah?
"Saya rasa nervous la cikgu," beritahu Imanina. Tidak semena-mena peluhnya mula memercik membasahi dahi. Rasa nervous kian menjalar.
"Yakin boleh Nina. Jangan gelabah. Dulu bukankah awak salah seorang pembentang terbaik?" ujar Cikgu Rumaisha. Mereka berjalan ke arah gazebo lalu melabuhkan punggung ke bangku yang tersedia.
"Itu dulu masa saya sekolah. Dah habis sekolah mesti dah lupa," ujar Imanina. Jari-jemarinya kian seram sejuk. Beberapa minit saja lagi, dia bakal berkunjung ke dewan sekolah.
"Sekarang ni awak relaks dulu. Tenangkan fikiran. Tarik nafas, hembus. Ok, jangan nervous," pesan Cikgu Rumaisha.
Imanina mengikuti arahan tersebut. Dia menarik nafas perlahan-lahan, lalu menghembusnya perlahan-lahan. Dia mengulangi perbuatan itu beberapa kali. Cikgu Rumaisha tersenyum puas memandang rekasi bekas anak muridnya.
"Cikgu yakin awak mesti boleh," kata Cikgu Rumaisha lagi.
"Cik.." Kata-kata Imanina terhenti di situ setelah terdengar telefon pintar milik Cikgu Rumaisha berbunyi tiba-tiba menandakan ada panggilan masuk. Nama Fuad Asyraf tertera pada skrin telefon. Cikgu Rumaisha pantas menjawab panggilan itu.
"Hello, assalamualaikum Fuad. Kat mana sekarang?" Tanya Cikgu Rumaisha. Suaranya jelas menyapa ke telinga Fuad.
"Waalaikumussalam. Saya dah sampai kat depan-depan sekolah ni. Kak Mai kat mana?" tanya Fuad. Setelah memarkirkan kereta, dia bingkas keluar dari perut kereta.
"Akak kat gazebo ni," balas Cikgu Rumaisha.
"Orang yang akak jemput tu dah sampai ke?" soal Fuad sambil berjalan.
"Ye dah ada kat sini. Dia ada dengan akak. Tadi akak siap jemput dia dari rumah, balik pun nanti akak hantarkan," beritahu Cikgu Rumaisha.
"Oh. Ok. Kalau macam tu saya gerak ke sana," jawab Fuad.
"Ok. Cepat sikit. Kejap lagi majlis nak mula dah ni," balas Cikgu Rumaisha. Talian terus dimatikan.
Fuad cepat-cepat menghayun kaki ke arah gazebo. Dua minit kemudian, Fuad muncul di hadapan mata. Imanina Marsya membulatkan anak matanya. Spontan dia berdiri. Tidak menyangka bahawa dia bertemu lagi dengan lelaki itu.
"Awak..?" Fuad turut terkesima. Kata-katanya tergantung di situ. Cikgu Rumaisha memandang Fuad dan Imanina silih berganti.
"Korang ni kenal ke?" sampuk Cikgu Rumaisha. Imanina dan Fuad tidak menghiraukan pertanyaan tersebut. Kedua insan itu saling berbalas pandangan buat seketika.
"Awak lagi? Ya Allah. Dunia ni memang kecik kan. Tak sangka kita jumpa lagi kat sini," akhirnya Fuad meluahkan bicaranya.
"Tulah. Tak sangka kan. Awak mengajar kat sini ke?" Imanina memberanikan diri untuk bersuara.
"A'ah. Saya mengajar kat sekolah ni. Jadi awaklah Imanina Marsya, bekas pelajar cemerlang kat sekolah ni dulu?" tanya Fuad meminta kepastian.
"Ye saya," balas Imanina ringkas.
"Saya Fuad Asyraf. Saya guru bahasa melayu. Baru tiga tahun mengajar kat sini," Fuad memperkenalkan dirinya sambil menguntumkan segaris senyuman. Imanina membisu. Lidahnya kelu untuk mengatur bicara seterusnya. Hanya senyuman yang mampu dibalas. Cikgu Rumaisha pula menangkap setiap perbualan mereka.
"Ehem ehem. Kiranya sebelum ni korang pernah tersempak lah ye?" sampuk Cikgu Rumaisha. Fuad dan Imanina mengalihkan pandangan tepat-tepat ke arah wanita itu.
"Emm lebih kurang macam tulah cikgu. Tak sangka pulak tersempak lagi kat sini," jawab Imanina. Dadanya sedikit bergetar. Entah mengapa tiba-tiba dia disapa gementar. Cikgu Rumaisha tersenyum mendengarnya. Dia menjeling sekilas jam yang melingkari pergelangan tangan. Jam menunjukkan pukul 9.50 pagi. Majlis ceramah motivasi pula bermula pukul sepuluh.
"Fuad, Nina jomlah kita gerak ke dewan sekarang," ajak Cikgu Rumaisha. Mendengar arahan itu, Fuad segera melangkah ke hadapan mendahului Cikgu Rumaisha dan Imanina.
"Jom cikgu," ujar Imanina. Cikgu Rumaisha pantas berdiri dan mengatur langkah. Dia dan Imanina berjalan beriringan.
Suasana dewan sekolah kelihatan riuh-rendah dengan kehadiran para pelajar. Tingkatan lima optimis, lima inovatif dan lima idealis membanjiri ruang dewan.
Setelah beberapa guru memberi ucapan ringkas, kini tibalah detik yang dinanti-nantikan. Imanina Marsya tampil ke atas pentas. Dia berdiri sambil memegang mikrofon. Satu per satu dia menghuraikan ceramahnya. Tips demi tips dilontarkan penuh tertib pada anak-anak didik sekolah itu.
Sebatang pen bewarna biru dikeluarkan dari saku baju kurungnya. Dia memegang pen tersebut lalu berkata,
"Kalau saya jatuhkan pen ni, apa jawapan adik-adik? Apa yang adik-adik akan buat?" soal Imanina penuh semangat. Sebatang pen tersebut sengaja dijatuhkan ke atas lantai.
"Kutiplah pen tu," jawab murid-murid itu secara serentak. Mereka bersuara sekuat hati.
"Ya, betullah kutip. Tapi jawapan tu kurang tepat. Ada sesiapa yang tahu jawapan paling tepat? Sila berdiri dan datang ke hadapan. Bagi tahu kawan-kawan lain apa jawapan tu," ucap Imanina sambil tersenyum. Seminit selepas itu, seorang pelajar wanita berdiri dan menghampirinya. Imanina merenung murid itu. Matanya menjamah sekilas tanda nama yang melekat pada tudung murid tersebut. Nur Iman Amirah. Cantik namanya!
"Baiklah, adik Nur Iman, apa jawapan dia?" soal Imanina. Tanpa berfikir panjang, Nur Iman pantas membongkokkan badan. Dia mengutip pen tersebut dan menyerahkannya semula pada Imanina.
"Bagus. Inilah jawapan yang paling tepat sekali. Menjawab dengan tindakan bukan sekadar percakapan," puji Imanina. Dia memeluk bahu Nur Iman. Bibirnya tersenyum bangga.
"Tahniah adik Nur Iman. Terima kasih. Adik seorang yang berani mencuba, berani menjawab, dan memberi jawapan paling tepat. Berikan tepukan untuk Nur Iman," ucap manina lagi. Semua orang memberi tepukan gemuruh. Nur Iman sekadar tersenyum kemudian kembali ke posisi asalnya.
"Kenapa saya katakan jawapan dia adalah paling betul? Sebab dia menjawab dengan perbuatan. Bila awak jawab kutip, ambik, semua tu memanglah betul. Tapi bila awak datang sini dan awak sendiri kutip pen tu itulah jawapan yang paling tepat. Apa yang saya nak sampaikan sebenarnya ialah untuk menggapai kejayaan bukan hanya di mulut, bukan cuma kata-kata. Tetapi yang lebih penting adalah melalui tindakan macam yang adik Nur Iman buat tadi. Adik-adik semua kat sini faham tak?" kata Imanina lagi.
"Ohhhhh.....Faham," balas para pelajar. Suara mereka bagaikan bergema di setiap sudut dewan. Masa terus berjeda. Imanina rancak memberikan ceramah motivasinya selama sejam hinggalah majlis ceramah itu tiba ke penghujung.
"Baiklah adik-adik. Masa sudah pun menyemburui. Apa yang dikongsikan tadi,
saya harap adik-adik semua mengambil manfaatnya. Ingat pesan saya. Kejayaan tidak akan berpihak kepada kemalasan. Good luck semua SPM tahun ni! Terima kasih kepada adik-adik kita yang sudi datang ke majlis ni, terima kasih juga kepada guru-guru yang sudi menjemput saya pada hari ini. Mohon maaf sekiranya ada kesilapan sepanjang saya berceramah tadi. Yang terbaik itu datangnya daripada Allah, yang sebaliknya pula datangnya daripada diri saya sendiri. Moga-moga kita bertemu lagi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh." Imanina mengakhiri sesi ceramahnya. Dia pantas menuruni anak tangga. Dia melabuhkan punggungnya pada kerusi yang tersedia. Semua pelajar dan para guru memberi tepukan yang paling gemuruh. Kini, giliran Fuad Asyraf pula berucap di atas pentas.
"Alhamdulillah. Atas izin Allah majlis berjalan dengan lancar. Saya selaku wakil guru-guru ingin mengucapkan terima kasih kepada Cik Imanina Marsya yang sudi menghadirkan diri untuk memberikan sedikit tips dan motivasi. Kami semua amat berbesar hati dengan kehadiran Cik Imanina. Semoga ceramah tadi meresap ke dalam jiwa murid-murid. Lepas ni tak ada masa lagi korang nak nakal-nakal, sifat malas tu buang jauh-jauh ye. Fokus dengan SPM," ujar Fuad Asyraf panjang lebar.
"Baiklah, tanpa membuang masa dijemput Cikgu Ainul Balqis naik ke atas pentas untuk memberikan cenderahati kepada Cik Imanina Marsya sebagai kenang-kenangan. Kedua-duanya dipersilakan," jemput Fuad Asyraf sambil menzahirkan senyuman.
Cikgu Ainul Balqis segera menaiki pentas. Tangannya memegang sebuah kotak yang mengandungi cenderahati. Imanina Marsya menjejakinya dari belakang. Cikgu Ainul Balqis menghulurkan cenderahati tersebut pada gadis itu. Imanina menerimanya dengan hati yang riang. Cikgu Rumaisha pula sibuk mengambil gambar kedua insan itu. Usai saja sesi penyampaian cenderahati, keduanya terus menuruni anak tangga. Fuad Asyraf kembali menyambung bicaranya bagi mengakhiri majlis.
"Sekian sahaja untuk hari ini. Moga-moga bermanfaat buat semua, Insya Allah. Untuk menutup majlis sama-samalah kita membaca surah Al-Asr dan tasbih kifarah," ujar Fuad Asyraf. Bibirnya terkumat-kamit membaca kalimah suci itu.
Sebelum melangkah keluar dari dewan, Imanina beramah mesra dengan kesemua pelajar wanita. Mereka saling bersalaman. Malah, mereka sempat bergambar bersama. Fuad Asyraf hanya memerhatikan Imanina dari jauh. Dia tersenyum lagi. Tidak semena-mena irama kebahagiaan menerobos masuk ke dalam sanubari.
Muaz Huzaifah yang berdiri di sebelah Fuad, tidak berhenti memandang sahabatnya itu. Dia mula perasan tingkahlaku Fuad. Cepat-cepat dia menyapanya.
"Ehem. Fuad. Aku tengok dari tadi kau usyah je dia? Berkenan ke?" selamba Muaz menyoalnya.
"Tak adalah. Cuma aku tengok dia tu macam ada sifat keibuan," ungkap Fuad dengan jujur. Daripada cara Imanina melayan murid-murid itu, terserlah kelembutannya di situ.
"Keibuan? Mungkin dia boleh jadi ibu kepada anak kau. Inikah yang dikatakan jodoh?" usik Muaz sambil tertawa kecil. Fuad tersenyum tanpa membalas gurauan sahabatnya. Namun dalam diam, ada bibit-bibit cinta yang mula tumbuh.
Share this novel