Episod 31

Romance Completed 3451

"Ok siap," Ucap Harraz sambil memerhatikan bayangan dirinya yang terpantul pada cermin. Segaris senyuman terukir di bibir. Di tubuhnya tersarung baju melayu bewarna biru laut lengkap dengan kain sampin membuatkan dia kelihatan lebih tampan.


"Tak siap lagi. Ada satu yang tertinggal," Beritahu Izhar. Orang tua itu mencapai songkok hitam yang terletak di tepi katil. Harraz tersengih-sengih. Izhar menyarungkan songkok itu ke atas kepala anak saudaranya.


"Hah barulah handsome," Puji orang tua itu. Senyuman yang terbit di bibir Harraz semakin lebar.


"Terima kasih pak cik. Happy sangat kot tu yang sampai lupa nak pakai songkok," Ujar Harraz. Tidak dinafikan lagi hari sabtu itu adalah hari bersejarah buat Harraz.


"Sama-sama. Alhamdulillah, pak cik pun tumpang gembira jugak. Lepas ni kamu dah jadi suami orang. Dah ada tanggungjawab baru. Pak cik nak pesan, jaga isteri elok-elok. Bimbing dia, jangan sakiti dia," Pesan Izhar. Dia tidak mahu Harraz mengikut jejak langkahnya dulu. Cukuplah dia seorang sahaja.


"Insya Allah, doakan saya pak cik," Harraz merangkul tubuh ayah saudaranya. Izhar turut membalas pelukan itu.


"Pak cik selalu doakan kamu nak," Jawab Izhar. Dia menepuk-nepuk belakang Harraz.


Mumtazah memerhatikan sekeliling rumah. Dari dalam bilik, bilik air, ruang tamu sampailah ke dapur. Tetapi insan yang dicari langsung tak memunculkan diri. Mumtazah kembali semula ke ruang tamu dan melabuhkan punggung ke atas sofa.


"Mak, Nina mana? Batang hidung dia pun tak nampak," Kata Nur Mumtazah.


"Nina kat rumah Syuhada. Sebelum kau sampai sini, Zara datang jemput dia. Diorang pergi sama-sama," Beritahu Maimunah yang sedang duduk di sebelah anak perempuannya itu.


"Oh patutlah. Kalau Zara pun cuti habis butik tu siapa yang jaga?" Soal Mumtazah.


"Bos bagi diorang cuti sempena perkahwinan Harraz dan Syuhada hari ni. Baik bos diorang tu kan," Ujar Maimunah lagi.


"Alhamdulillah. Tu pun kira rezeki diorang mak," Balas Mumtazah.


"Sebenarnya hari ni mak pun daapt dua rezeki tau. Satu dapat menantu baru dan satu lagi Insya Allah nanti mak dah jadi nenek," Sampuk Luqman Hakim yang duduk di hadapan mereka. Hanya meja yang menjadi jarak. Membulat mata Maimunah mendengarnya. Luqman dan Mumtazah berpandangan sesama sendiri. Sengaja mahu memberi kejutan buat wanita itu.


"Mak, Zah mengandung. Alhamdulillah, dah masuk dua bulan," Mumtazah berterus-terang pada ibunya. Raut wajah Mumtazah jelas memancarkan sinar kegembiraan. Lumrah seorang wanita yang berumah tangga sudah pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata.


"Alhamdulillah. Tahniah Zah, tahniah Luqman. Insya Allah korang pun bakal jadi ibu bakal jadi ayah. Mak pulak jadi nenek," Jawab Maimunah. Bibirnya tidak lekang menguntumkan senyuman. Siulan kebahagiaan menyelinap masuk ke dalam jiwanya.


"Insya Allah mak," Balas Luqman. Maimunah mengusap perut anak bongsunya itu dengan lembut. Tak sabar rasanya hendak meminang cucu. Dua minit kemudian, Harraz dan Izhar Naim tiba di hadapan mereka.


"Harraz Safwan! Kau nampak handsome hari ni bro," Luqman berdiri dan mendekati abang iparnya itu. Dia memeluk bahu Harraz. Harraz tersenyum mendengar pujian tersebut.


"Haza min fadhli rabbi. Hari ni je ke aku nampak handsome , hari lain tak ke?" Harraz sengaja menduga Luqman. Keduanya melahirkan tawa kecil.


"Kau memang handsome tiap hari. Tapi hari ni lebih macho, lebih kacak, lebih tampan menawan, kamu kelihatannya lebih ganteng sih," Ujar Luqman.


"Kamu sih ngomongnya lebih-lebih," Balas Harraz sambil tersenyum menayang gigi yang cantik tersenyum.


"Ya udah. Semua udah cantik udah ganteng ya udah kita bisa gerak aja sekarang. Ayo cepatan. Bentar lagi kan akad nikahnya harus berlangsung," Izhar Naim turut berbicara dalam bahasa indonesia. Semua yang mendengar terus menghamburkan tawa memeriahkan lagi suasana. Tanpa membuang masa, mereka berlima segera berangkat. Rumah Syuhada menjadi destinasi.


Syuhada duduk sambil menatap dirinya di hadapan cermin. Raut wajahnya berseri-seri dek sentuhan mekap yang 'simple'. Tubuhnya dilitupi sehelai jubah pengantin bewarna biru laut dipadankan dengan sehelai shawl labuh bewarna dusty pink. Sebentuk crown bunga terletak dengan kemas di atas kepala membuatkan dia kelihatan lebih anggun. Syuhada tersenyum sendiri. Sebentar sahaja lagi dia bergelar seorang isteri. Bermulalah episod baru dalam hidupnya serta bertambahlah tanggungjawabnya.


"Selamat menempuh alam perkahwinan sahabatku," Ucapan Imanina jelas kedengaran di telinga Syuhada. Sambil berdiri Imanina memeluk tubuh Syuhada dari belakang.


"Thanks sahabatku. Doakan aku tau," Jawab Syuhada. Dia memandang wajah Imanina melalui cermin itu.


"Kitorang selalu doakan kau. Semoga jodoh kau dengan Harraz kekal sampai syurga," Ucap Zara pula. Sepantas kilat dia menyentuh jari-jemari runcing milik Syuhada.


"Allahumma aamiin," Balas Syuhada sepenuh hati.


"Pejam celik pejam celik, tak sangka hari ini hari perkahwinan kau," Ujar Imanina seolah tidak percaya dengan masa yang cepat berlalu.


"Alhamdulillah. Kalau jodoh dah sampai macam tulah. Lepas ni kita nak tengok giliran siapa pulak yang naik pelamin," Usik Syuhada.


"Manalah tahu kotlah lepas ni giliran Nina pulak," Usik Zara pula. Sebelah matanya dikenyitkan.


"Buat masa sekarang ni aku tak nak fikir soal kahwin. Aku baru 22 tahun, muda lagilah. Aku nak fokus dengan kerja, aku nak buat ayah aku happy, dan yang penting aku nak istiqomah bercinta dengan Allah," Imanina meluahkan segala-galanya dari lubuk hati yang paling dalam.


Jika dulu solatnya tunggang-langgang, kini dia solat menepati waktu. Jika dahulu dia asyik berkepit dengan telefon kini dia bersahabat dengan Al-Qur'an. Jika dahulu pakaiannya biasa-biasa, kini pakaiannya menutup aurat dengan sempurna. Stokin dan handsock berpisah tiada.


"Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Kau betul-betul move on. Ketika Zulaikha mengejar cinta Yusuf, Allah jauhkan Yusuf darinya. Ketika Zulaikha mengejar cinta Allah, Allah datangkan Yusuf padanya," Spontan kata-kata itu lahir dari bibir Zara. Kata-kata yang mendalam ertinya. Zara berasa kagum dengan Imanina, gadis itu lebih tabah berbanding sebelumnya.


"Cari cinta Allah dulu, insya Allah DIA akan hadirkan seseorang yang mencintai kita dan paling penting dia juga mencintai Allah," Luah Imanina lagi.


"Insya Allah. Dan jangan lupa letakkan harapan sepenuhnya pada Allah kerana bila kita berharap pada Allah, kita tak akan kecewa," Giliran Syuhada pula yang bersuara. Mereka bertiga bertukar senyuman dan akhirnya saling berpelukan.


Tok tok tok. Kedengaran bunyi pintu diketuk. Tiga sahabat itu bingkas meleraikan pelukan. Syahirah memulas tombol pintu yang tidak berkunci.


"Amboi amboi, sampai dua orang pengapit mak ni," Kata Syahirah sambil melontarkan satu senyuman.


"Bukan selalu nak apit dia ni mak cik. Hari ni kan hari special dia," Jawab Syuhada dengan senyuman mesra.


"Yelah. Syuha, keluar sekarang nak. Pengantin lelaki dah sampai," Beritahu Syahirah.


"Baik mak," Balas Syuhada ringkas. Dadanya ombak kuat. 'Nervous' mula menguasai diri.


"Jom kita keluar," Ajak Zara. Dia menyambar tangan Syuhada dan memimpinnya sampai ke ruang tamu. Jantung Syuhada semakin berdegup laju. Getaran terasa di setiap nadi. Lebih-lebih lagi tatkala bertentang mata dengan Harraz.


"Aku terima nikahnya Syuhada binti Mustafa dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai," Harraz Safwan tenang menyebut lafaz tersebut. Dia cuba mengawal degupan hebat yang menghimpit dada. Dengan sekali lafaz sahaja, Syuhada sah menjadi isteri kepada Harraz.


Buat pertama kalinya, Harraz menyentuh tangan kekasih halalnya itu. Sebentuk cincin emas bertakhtakan tiga permata disarungkan ke jari manis isterinya. Syuhada mencium tangan Harraz. Lama dia mencium tangan itu. Kasih dan cinta ditumpahkan di situ. Kemudian, Harraz mencium dahi Syuhada setulus kasih. Orang lain pula sibuk menangkap gambar kedua mempelai itu.


Harraz dan Syuhada berbalas senyuman. Kata-kata tercicir entah ke mana. Hanya renungan mata yang bersuara. Di dalam hati, keduanya memanjatkan kata syukur yang tidak terhingga.


"Moga cinta kita kekal sampai ke jannah," Harraz memanjatkan doa di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience