Chapter 40

Other Completed 8441

40

Lembaran demi lembaran diselak Aril. Namun, satu pun tidak difahaminya. Hairan juga dia. Selama ini, dia memang menggemarkan komik dan apa jua yang berlaku, dia pasti tenang sekiranya membaca komik.

Berlainan dengan keadaan sekarang. Aril menutup komik yang diselak dari tadi. Perlahan-lahan, Aril melangkah ke ruang tamu. Baru sahaja Aril melabuhkan punggungnya ke sofa, adiknya, Fifi datang menerpanya.

“Abang!” panggil Fifi.

Aril memandang Fifi seraya mengangkat kening. Fifi yang baru sahaja berumur 10 tahun duduk di pangkuan Aril.

“Kenapa?” soal Aril sambil mengusap lembut kepala Fifi.

Baru sahaja Fifi ingin membuka mulut, satu suara sudah terlebih dahulu memotong.

“Mengadu lah tu kan? Eii, mengada-ngada betul!”

Aril dan Fifi menoleh ke arah suara itu. Aril menggeleng-gelengkan kepala. Fifi sudahpun menarik muka.

“Abang, tengokl” rengek Fifi manja.

“Adam,” panggil Aril perlahan.

“Sikit sikit nak merajuk. Manja!” ujar Adam sambil membuka televisyen.

Aril hanya memandang siaran yang dibuka Adam. Hilang sudah minatnya untuk menonton rancangan kegemarannya. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu mengapa hatinya begini.

Kenapa dengan aku ni? Selalunya cerita ni aku akan tengok. Tak pernah missed! Tapi kenapa sekarang aku takde minat? Tak pernah terjadi dalam sejarah hidup aku.

Tanpa Aril sedar, Aril mengeluh kuat. Serentak dengan itu Adam dan Fifi yang khusyuk menonton televisyen memandang Aril.

“Abang,” panggil Adam.

Tiada jawapan.

“Abang!” panggil Adam lagi.

Tiada jawapan lagi.

“Abang!” panggil Adam kuat.

“Haa?! Apa?” soal Aril bingung.

Adam dan Fifi berpandangan sebentar.

“Kenapa pandang abang macamtu?” soal Aril.

“Kenapa abang mengeluh?” soal Adam.

“Mana ada mengeluh,” nafi Aril.

“Jangan nak tipu. Abang ada masalah apa? Tiba-tiba takde minat nak tengok tv,” soal Adam.

“Tak ada apa-apa lah,” ujar Aril.

Fifi yang berada di pangkuan Aril bangun dan berdiri di hadapan Aril. Aril mengangkat kening. Kemudian, Fifi meletakkan tangannya di atas dahi Aril.
“Tak panas pun,” ujar Fifi.

Aril dan Adam tergelak.

“Abang tak demam lah Fifi. Abang sihat je ni,” ujar Aril.

Fifi mengangguk faham lantas duduk di sebelah Aril. Siaran yang tadinya iklan sudahpun kembali. Adam dan Fifi segera menumpukan perhatian kepada televisyen. Aril menghembus nafas lega.

* * *

“Umi, ada orang jatuh cinta!” ujar Adam tiba-tiba ketika mereka sedang makan malam.

Semua orang memandang Adam kecuali Aril yang masih berangan.

“Siapa?” soal umi.

“Umi rasa?” soal Adam kembali.

Umi mengangkat bahu tanda tidak tahu. Adam tersengih.

“Tu,” ujar Adam sambil memuncungkan bibir ke arah Aril.

Semua orang memandang Aril pula. Aril tidak sedar dirinya sedang diperhatikan.

“Aril dengan siapa?” soal umi.

Senyap.Tiada jawapan.

“Aril!” panggil umi sekali lagi.

Aril memandang uminya seraya mengangkat kening.

Adam dan Fifi menutup mulut menahan gelak dari keluar dari mulut.

“Aril dah jatuh cinta ye?” usik uminya.

“Jatuh cinta apa kebendanya ni umi?” soal Aril hairan. Pelik, tiba-tiba kata dia jatuh cinta. Kenal perempuan pun tak.

“Habis, berangan je tak habis,” ujar umi seraya tergelak.

“Ha’ah umi! Pada petang tadi. Umi percaya tak, cerita yang dia suka tengok pun dia tak tengok tadi. Asyik berangan je,” tambah Adam.

Aril menjengilkan matanya ke arah Adam.

“Betul tu umi. Tapi badan abang tak panas pun,” ujar Fifi.

“Fifi sayang, abang tu bukan demam lah. Abang sekarang ni in love. Tak lama lagi, dapatlah kita sorang kakak ipar,” usik Adam.

“Mana ada lah!” ujar Aril.

“Ngaku je lah abang. Tak baik tipu. Siapa yang malang tu?” usik umi.

“Umi percayalah sangat dengan Adam ni,” ujar Aril.

“Mestilah percaya. Kan Adam ni anak umi,” celah Adam.

“Tak baik bercakap masa makan!” ujar Aril dan kemudian menyuapkan suapan terakhir ke mulut.

“Tukar topik,” ujar Adam.

Aril berlalu sambil membawa pinggannya ke dapur, tidak mempedulikan Adam yang makin galak mengusiknya. Yang lain semua hanya gelak melihat gelangat Aril.

* * *

Fasha duduk di laman rumahnya. Angin malam yang menampar-nampar badannya tidak diendahkan. Tenang hatinya apabila melihat bulan yang bersinar. Fasha baring beralaskan rumput yang menghijau.

Fasha tersenyum sendiri. Masalah yang berserabut di kepala otak nya hilang sekejap. Tenang fikirannya. Walaupun dia keseorangan di tengah kegelapan, dia langsung tidak gentar.

Hantu? Wujudkah? Kalaupun wujud, bukan hantu boleh bunuh manusia kan? Hantu hanya menakutkan manusia jadi mengapa harus kita takut? Fasha sendiri tidak faham mengapa orang takut dengan hantu.

Bunyi orang memberi salam di luar mengejutkan Fasha. Fasha mengurut-ngurut dadanya.

Kata tak takut hantu, tengok baru orang bagi salam. Kau dah gelabah. Fasha-Fasha!

Fasha menggeleng-gelengkan kepalanya. Memandangkan Pak Mad sudahpun balik, Fasha terpaksa bangun dan menuju ke pintu pagar.

Luar rumahnya yang agak terang itu membuatkan Fasha melihat wajah tetamu itu dengan jelas. Lelaki yang tidak diketahui nama itu yang datang.

“Assalamualaikum,” ujar lelaki itu.

“Waalaikumusalam. Ye, nak cari siapa?” soal Fasha.

Lelaki itu tersenyum. Fasha tidak membalas senyuman itu.

“Seorang gadis yang selalu duduk di atas tembok ni,” ujar lelaki itu.

Akulah tu!

Fasha mencebik.

“Maaf, anda salah rumah,” ujar Fasha bersahaja.

Lelaki itu tergelak.

“Fasha cakap dengan siapa tu?” soal Tan Sri Roslan dari dalam.

“Dengan hantu,” ujar Fasha.

“Hantu?” soal Tan Sri Roslan yang sudahpun berada di muka pintu.

“Hantu yang bertopengkan manusia,” ujar Fasha selamba.

Tan Sri Roslan mengangguk lalu masuk ke dalam.

“Hantu ni nak kenal dengan manusia dekat depan ni,” ujar lelaki itu.

“Sorry, aku tak berminat,” ujar Fasha.

“Betul ni?” soal lelaki itu.

“Ye lah,” ujar Fasha.

“Takpe lah. Apa-apa pun, nama aku Aril. Kalau tiba-tiba kau tukar fikiran, kau boleh call ini nombor,” ujar lelaki itu sambil menghulurkan satu kertas yang dilipat membentuk hati daripada lubang-lubang pintu pagar itu.

“Kan aku cakap, aku tak berminat,” ujar Fasha.

“Ambil je lah. Mana tahu kau ubah fikiran,” ujar lelaki itu.

Fasha hanya memandang sahaja kertas itu. Lelaki yang bernama Aril itu, mencelahkan kertas itu di pintu pagar Fasha.

“Okay lah, aku chow dulu. Bye! Jangan lupa telefon tau. Aku tunggu!” ujar Aril seraya mengenyitkan matanya ke arah Fasha.

Fasha mencebik. Aril tergelak dan kemudian berjalan untuk pulang ke rumahnya. Fasha berdiri di situ sampai Aril hilang dari pandangan. Selepas Aril hilang dari pandangan, Fasha mengambil kertas yang diselitkan itu.

Dibawanya kertas itu ke dalam biliknya. Kemudian, Fasha membuka kertas yang dilipat membentuk hati itu. Tercatat sesuatu.

Aril
017456879
Aku tunggu panggilan dari kau. Bila-bila kau nak call, aku sedia!

Fasha mencapai telefon bimbitnya. Disimpannya nombor itu di dalam telefon bimbitnya. Kemudian kertas itu dimasukkan ke dalam laci.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience