Keesokan harinya, di taman yang dipenuhi dengan suasana tenang, bunga-bunga mekar di sekeliling dan angin lembut bertiup, Airis membawa Danial ke satu sudut yang agak sunyi.
Danial memandang Airis dengan rasa ingin tahu. “Sayang, kenapa tiba-tiba ajak abang datang taman ni? Ada apa-apa yang sayang nak cakap ke?” tanyanya lembut, tetapi penuh harapan.
Airis menghela nafas panjang sebelum memandang Danial dengan pandangan yang serius. “Awak... lepas kita kahwin nanti, saya tak nak awak berkau-aku dengan saya. Saya nak awak gelar diri awak tu abang, dan panggil saya… sayang ke, baby ke, apa-apa pun yang awak rasa sesuai. Saya tak kesah,” ucapnya perlahan, tetapi jelas.
Terkejut, Danial tersentak seketika. Dia menatap wajah Airis dengan pandangan penuh rasa tidak percaya. “Sayang… sayang ingat ke?” soalnya perlahan, nadanya sedikit bergetar.
Airis tersenyum tipis sambil melirik ke arah bunga-bunga di sekeliling mereka. “Ini… tempat saya cakap benda ni kan? Tempat saya terima awak untuk jadi suami saya,” ucapnya, nada suaranya penuh makna.
Hati Danial berdetak kencang. Kenangan itu begitu bermakna baginya. Dia menggenggam tangan Airis dengan lembut, matanya tidak beralih daripada wajah wanita itu. “Lagi, sayang… sayang ingat apa lagi? Tolong cerita pada abang,” pintanya penuh harapan.
Airis menghela nafas panjang sekali lagi. “Mungkin… saya ingat sikit tentang lima tahun lepas. Tapi… tak sepenuhnya. Ada bahagian yang masih kabur, macam puzzle yang belum lengkap,” ucapnya perlahan, wajahnya menunjukkan sedikit kegusaran.
Danial menarik Airis lebih dekat, cuba memberi kekuatan kepada isterinya. “Tak apa, sayang. Apa yang sayang ingat pun dah cukup besar maknanya untuk abang. Abang akan terus ada di sisi sayang, bantu sayang ingat semula segalanya. Kita lalui semuanya sama-sama, ya?”
Airis tersenyum kecil, tetapi ada sedikit air mata di sudut matanya. “Saya tak pasti, Danial… saya takut saya tak dapat ingat sepenuhnya. Saya takut saya tak dapat jadi isteri yang awak layak dapat.”
Danial menggeleng, sambil menyentuh wajah Airis dengan lembut. “Sayang, jangan fikir macam tu. Abang tak pernah perlukan isteri yang sempurna. Abang cuma perlukan sayang, dengan apa pun keadaan sayang sekarang. Abang tak akan berhenti sayangkan sayang, tak kira berapa lama masa yang diperlukan untuk sayang sembuh,” ucapnya tegas.
Airis terdiam seketika, hatinya mula terasa sedikit tenang dengan kata-kata Danial. Walaupun perasaan ragu-ragu masih ada, dia tahu Danial benar-benar ikhlas.
“Terima kasih, Danial… untuk semuanya,” ucap Airis akhirnya, suaranya bergetar sedikit.
Danial hanya mengangguk sambil tersenyum, dan saat itu dia tahu, walaupun perjalanan mereka masih panjang, ada harapan baru di antara mereka.
Petang itu, suasana di bilik Airis dipenuhi dengan bunyi laci dan almari dibuka-tutup. Airis sibuk mengemas barang-barangnya dan Aidan untuk pulang ke rumah mereka.
Danial masuk ke bilik sambil membawa beg tambahan. Dia memerhatikan isterinya yang sedang sibuk memasukkan pakaian Aidan ke dalam beg. “Sayang, ada apa-apa lagi tak yang nak dibawa? Kalau ada, abang tolong ambilkan,” ucapnya sambil tersenyum.
Airis berpaling sejenak, memandang Danial dengan pandangan sinis bercampur gurauan. “Kalau abang nak tolong sangat, Dina rasa nak bawa satu bilik ni balik ke rumah kita,” balasnya, membuatkan Danial terkekeh kecil.
Danial melangkah lebih dekat dan membantu menyusun beg Aidan. Namun, tiba-tiba dia berhenti, wajahnya penuh kekaguman. “Sayang… sayang panggil abang tadi… abang,” ucapnya perlahan, seperti tidak percaya.
Airis tersenyum kecil sambil mengangkat bahu. “Kenapa? Tak suka ke? Kalau tak suka, tak apa. Dina boleh panggil balik ‘awak’,” ucapnya, sengaja memancing reaksi Danial.
Danial menggeleng dengan senyuman lebar di wajahnya. “Tak, abang suka. Suka sangat. Abang dah tunggu lama nak dengar sayang panggil abang macam tu lagi,” balasnya, nadanya penuh kegembiraan.
Airis mengetap bibir menahan senyuman, cuba menyembunyikan rasa malunya. “Dina panggil sebab nak pujuk abang tolong bawakan lebih barang,” ujarnya dengan nada acuh tak acuh, tetapi sebenarnya dia tahu panggilan itu bermakna lebih dari sekadar kata-kata.
Danial tertawa kecil sambil memandang Airis dengan penuh kasih. Dia tahu, walaupun perlahan, Airis sudah mula membuka hatinya. “Apa-apa pun alasan sayang, abang tetap suka. Kalau sayang panggil abang hari-hari, abang rasa boleh terbang,” katanya berseloroh.
Airis menggeleng sambil tersenyum kecil, tetapi hatinya terasa hangat. Dia tahu, meskipun banyak hal yang belum jelas dalam ingatannya, satu perkara yang dia pasti—Danial tidak pernah berhenti berusaha untuk mereka.
“Mama, papa, tok daddy, terima kasih tau, sebab jaga adik, selalu layan perangai keras kepala adik. Dah lah perangai macam budak-budak...” ucap Airis sambil memandang mereka dengan senyuman kecil, namun nadanya penuh rasa syukur.
“Adik, mama tak kesah lah, terubat rindu kami dengan perangai manja adik tu. Dah lama kami nak tengok perangai tu sejak...” Tengku Diana menghentikan kata-katanya, seperti teringat sesuatu.
Airis mengerutkan dahi. “Sejak apa, mama? Ada apa-apa yang adik tak tahu ke?” tanyanya penuh curiga.
“Tak ada apa lah, dik. Mama ni terlebih emosi sangat...” potong Encik Mustafa cepat-cepat, cuba mengalih perhatian anaknya.
Namun, Airis bukan jenis yang mudah lepaskan sesuatu. “Betul ke tak ada apa-apa? Mama macam ada rahsia je,” Airis mencungkil lagi, matanya memandang tajam ke arah Tengku Diana.
Tengku Diana menggeleng sambil tersenyum. “Adik ni, mama cakap tak ada, tak ada lah. Jangan fikir bukan-bukan. Sekarang ni, fokus balik ke rumah Danial. Adik kena bersedia mental dan fizikal. Jangan biarkan rasa takut menguasai diri.”
“Airis, balik nanti, jangan buat perangai budak-budak tu lagi. Nanti pening Danial nak layan. Ialah, nak layan Aidan lagi...” tambah Tengku Ali sambil tergelak kecil.
Airis tersenyum, tetapi di dalam hatinya masih ada rasa gelisah. Dia tahu mereka semua ikhlas mahu melihat dia bahagia. Namun, dia sendiri masih ragu-ragu.
“Tok daddy, mama, papa... kalau adik balik sana dan masih tak dapat ingat apa-apa tentang Danial, macam mana?” soal Airis perlahan, suaranya bergetar.
Encik Mustafa mendekati Airis, meletakkan tangannya di bahu anak perempuannya. “Airis, ingatan boleh datang bila-bila masa. Tapi, hati kita ni, kalau diberi peluang, boleh rasa semuanya semula. Beri peluang pada diri adik dan beri peluang pada Danial. Mungkin bukan ingatan yang penting, tapi apa yang adik bina dari sekarang.”
Airis menunduk. Kata-kata papanya terasa berat di hati. Dia tahu betapa pentingnya untuk melangkah ke depan, tetapi ketakutannya masih mencengkam. Dia menarik nafas panjang dan memandang Aidan yang sedang tertawa kecil di pangkuan tok daddynya.
“Kalau Aidan boleh senyum macam tu walaupun dia tak faham apa yang berlaku, kenapa adik tak boleh cuba buat yang sama...” fikir Airis dalam hati.
“Okaylah, mama, papa, tok daddy. Doakan adik kuat, ya?” ucap Airis akhirnya. Kata-katanya disambut senyuman penuh makna dari mereka bertiga.
Airis masuk ke dalam rumah mereka, memandang sekeliling dengan rasa yang sukar digambarkan. Air mata mula bertakung di kelopak matanya, tetapi dia menahannya agar tidak jatuh. Suasana rumah itu seolah-olah membawa beban kenangan yang dia sendiri tidak dapat ingat.
“Sayang, sayang ok tak? Kenapa ni? Sakit kepala ke?” tanya Danial, mendekatinya dengan wajah penuh risau.
Airis memandang Danial, cuba mengukir senyuman walaupun jelas kelihatan hatinya bergelora. “Ok... cuma Dina rasa Dina dah banyak lukakan hati abang.” Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Abang, esok kita melawat mummy dengan daddy ye. Dah lama kita tak pergi. Dina tahu abang tak kasih diorang jumpa Dina sebab tak nak Dina rasa tertekan, kan?”
Danial terdiam seketika. Dia tahu Airis berusaha keras untuk menghadapi situasi ini, dan permintaan itu menunjukkan keberanian yang luar biasa daripada isterinya. “Betul, sayang. Abang cuma nak pastikan Dina betul-betul bersedia. Tapi kalau Dina rasa nak pergi, abang akan temankan.”
Airis mengangguk perlahan, sambil menundukkan pandangannya. Dia memegang tangannya erat, seolah-olah mencari kekuatan. “Dina rasa Dina kena pergi. Dina nak minta maaf pada mummy dengan daddy. Dina tahu Dina dah lama abaikan mereka…”
Danial tersenyum kecil, lalu memegang kedua belah tangan Airis. “Dina tak pernah abaikan mereka. Abang tahu mummy dengan daddy faham keadaan Dina. Lagipun, mereka hanya mahu yang terbaik untuk Dina. Kita pergi sama-sama, ya?”
Airis memandang Danial dengan mata yang sedikit berkaca. Walaupun hatinya masih dilanda rasa bersalah, ada sedikit kelegaan dalam dirinya. “Terima kasih, abang. Dina akan cuba jadi lebih baik.”
Danial mengusap kepala Airis dengan lembut. “Sayang tak perlu jadi lebih baik. Sayang cuma perlu jadi diri sendiri.”
---
Malam itu, selepas meletakkan Aidan di biliknya, Airis kembali ke ruang tamu. Dia duduk di sofa, memandang ke arah Danial yang sedang sibuk memeriksa beberapa dokumen di atas meja. Wajah lelaki itu kelihatan penat, tetapi masih tenang.
“Abang...” panggil Airis perlahan.
Danial mengangkat pandangannya. “Ya, sayang?”
“Dina cuma nak cakap... terima kasih sebab tak pernah putus asa dengan Dina. Dina tahu abang banyak bersabar dengan perangai Dina...” ucap Airis dengan nada sebak.
Danial tersenyum, bangun dari tempat duduknya lalu menghampiri Airis. Dia duduk di sebelah isterinya dan memegang tangannya. “Sayang, abang tak pernah rasa bersabar tu beban bila dengan Dina. Abang tahu Dina cuba sedaya upaya. Itu dah cukup untuk abang.”
Airis menggeleng perlahan. “Tapi Dina rasa Dina tak cukup untuk abang. Dina takut Dina takkan dapat pulihkan ingatan Dina...”
“Kalau ingatan Dina tak balik sekalipun, abang tetap pilih Dina. Sebab abang sayangkan Dina, bukan sebab memori kita, tapi sebab siapa Dina sekarang.” Danial mengusap pipi Airis sambil menatap wajah isterinya dengan penuh kasih.
Airis akhirnya mengalirkan air mata yang ditahannya sejak tadi. Dia tidak berkata apa-apa, tetapi genggaman tangannya pada Danial semakin erat. Walaupun hatinya masih terluka, ada sedikit sinar harapan yang mula menyusup masuk.
Pagi itu, suasana rumah terasa sedikit berbeza. Bau harum nasi lemak yang sedang dimasak memenuhi ruang dapur, mencipta suasana yang tenang namun penuh dengan rasa nostalgia. Airis, dengan senyum yang terukir di bibirnya, sedang sibuk memasak di dapur. Tangannya yang sedikit gemetar, masih berusaha memastikan setiap bahan di dalam kuali masak dengan sempurna.
“Sayang, dah boleh masak ke?” tanya Danial yang baru saja turun dari bilik, melihat isterinya di dapur dengan tuala di bahunya, wajahnya sedikit kemerahan kerana terdedah kepada kepanasan dapur.
Airis tersenyum, mengangguk sedikit. “Dah, abang. Dina dah ingat. Yang Dina dulu, masa baru kahwin dengan abang, Dina cuba masak untuk abang walaupun tak jadi…” Suara Airis kedengaran agak malu, tetapi matanya tetap bersinar dengan kebanggaan yang kecil.
Danial berjalan menghampiri Airis, memerhatikan isterinya yang tekun mengacau nasi lemak di kuali. "Dina, abang ingat lagi tu. Masa tu memang tak jadi, tapi abang suka sangat tengok Dina berusaha untuk buat sesuatu yang istimewa untuk abang. Dan sekarang... lihatlah, nasi lemak ni nampak sedap sangat," ujar Danial sambil tersenyum lebar.
Airis tergelak kecil, merasa sedikit lega kerana usahanya kali ini tidak sia-sia. "Alhamdulillah, kali ni jadi juga. Dina harap abang suka."
“Sayang, abang suka apa saja yang Dina buat. Tapi yang paling abang suka adalah semangat Dina yang tak pernah luntur, tak kira apa pun yang berlaku,” kata Danial sambil meletakkan tangannya di bahu Airis, memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak terhingga.
Airis terdiam sebentar, matanya tertunduk. “Tapi abang... Dina masih rasa ada banyak yang Dina tak ingat. Ada banyak kenangan yang masih kabur... dan ada banyak yang Dina rasa Dina dah hilang.”
Danial menarik nafas panjang dan memegang tangan Airis dengan lembut. "Sayang, memori tu mungkin hilang, tapi yang penting sekarang adalah masa depan kita. Abang ada di sini, dan abang akan sentiasa ada untuk Dina, tak kira apa yang terjadi."
Airis memandang Danial dengan pandangan yang lebih dalam, hatinya terisi dengan rasa yang sukar untuk dijelaskan. Dia tahu bahawa walaupun ingatannya tidak sempurna, kasih sayang Danial tidak pernah berubah. “Terima kasih, abang... Dina tak tahu macam mana nak balas semua ni. Tapi Dina janji, Dina akan cuba untuk menjadi yang terbaik, walaupun ingatan tu tak balik semua.”
Danial tersenyum dan menarik Airis ke dalam pelukannya. “Tak ada apa yang perlu Dina bimbang. Kita akan hadapi semua ni bersama-sama. Abang percaya pada Dina, dan abang yakin kita akan lebih kuat dari sebelum ni.”
“Asalamualaikum...” kedengaran suara lembut dari luar rumah.
Airis cepat-cepat melepaskan pelukan Danial, wajahnya kelihatan sedikit terkejut namun gembira. “Abang mesti mummy dah sampai...” ucap Airis dengan senyuman nipis, cuba menyembunyikan perasaan dalam dirinya.
Airis bergegas ke pintu dan membuka dengan pantas. “Waalaikumsalam, mummy! Rindunya Dina kat mummy...” Suara Airis hampir pecah, penuh emosi, kerana sudah lama tidak bertemu dengan ibu mertuanya.
“Waalaikumsalam, sayang...” balas Puan Ain, mak mertua Airis, sambil memeluk erat tubuh Airis. “Mummy pun rindu Dina...”
Puan Ain memeluk menantunya dengan penuh kasih sayang, seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Airis terasa kehangatan dalam pelukan itu, dan tanpa dia sedar, air mata mula menitis. Begitu banyak perasaan yang tertahan selama ini, dan kini, pelukan itu seperti membawa sedikit kelegaan.
“Dina rindu sangat kat mummy,” ucap Airis sambil menahan sebak di dada.
Puan Ain melepaskan pelukannya dan memandang Airis dengan penuh perhatian. “Mummy tahu, sayang. Mummy tahu, apa yang Dina lalui sekarang tak mudah. Tapi mummy ada untuk Dina, selagi mana Dina perlukan mummy.”
Airis mengangguk perlahan, berasa terharu dengan kata-kata lembut ibu mertuanya. Dia tahu, di sebalik segala yang berlaku, Puan Ain sentiasa ada untuknya.
Danial yang berada di belakang, hanya memerhatikan dengan senyum yang tulus. Walaupun hatinya juga terasa berat melihat Airis terharu, dia bersyukur kerana keluarga mereka masih memberi sokongan tanpa syarat.
“Sayang, kita tak boleh biarkan masa berlalu macam tu je. Mummy datang ni sebab nak bantu Dina, bukan nak menambah beban,” kata Puan Ain sambil memandang Danial dan Airis silih berganti.
Danial tersenyum, mengangguk. “Betul, mummy. Dina tak keseorangan. Kami semua ada di sini.”
Airis mengeluh perlahan, sambil memegang tangan Danial. “Dina... Dina takut, abang. Takut kalau semuanya tak seperti dulu. Takut kalau Dina tak dapat ingat lagi apa-apa...”
Puan Ain merangkul menantunya lagi. “Dina, tak perlu takut. Ingatan akan datang pada masa yang tepat. Apa yang penting sekarang, Dina perlu kuat. Danial ada di sini, mummy ada di sini. Kami semua ada untuk Dina.”
Airis mengangkat wajahnya, membiarkan air mata yang sudah lama tertahan mengalir perlahan. “Terima kasih, mummy... terima kasih sebab selalu ada untuk Dina.”
Puan Ain tersenyum lembut. “Jangan menangis, sayang. Mummy tahu, Dina sangat kuat. Ingat, mummy sayang Dina.”
Danial berdiri di belakang Airis, memandang ibu mertuanya dan kemudian menatap isterinya dengan penuh kasih. “Kita akan lalui ini bersama-sama, sayang. Setiap langkah, kita akan jalani bersama.”
Dengan pelukan dan kata-kata penuh kasih sayang itu, Airis merasa sedikit lega. Walaupun ingatannya masih belum kembali sepenuhnya, dia tahu ada keluarga yang akan sentiasa menyokong dan menemaninya.
Share this novel