Waktu berpantang Airis Medina tinggal berbaki lima hari lagi. Selama tempoh itu, dia telah melalui hari-hari yang penuh kesepian. Suaminya, Danial, seolah-olah tidak wujud dalam hidupnya. Setiap pagi, seawal pukul enam, Danial sudah keluar rumah menuju ke tempat kerja, dan kepulangannya pula hampir tengah malam.
Airis memandang siling bilik, cuba menahan air mata yang mula bergenang. “Kenapa dia tak pernah peduli langsung? Aku ni wujud ke dalam hidup dia?” bisiknya dalam hati. Hatinya terluka, berkecamuk dengan rasa kecewa. Selama duduk di rumah ini, tak pernah sekalipun Danial menunjukkan usaha untuk meluangkan masa bersamanya.
Hari ini hari minggu. Airis mengintai ke luar tingkap ruang bilik. Matahari sudah mula tinggi, namun bayang Danial tetap tiada. “Takkan hari minggu pun kerja?” gumamnya perlahan, bercampur marah dan kecewa.
Airis melangkah masuk ke bilik suaminya dengan perlahan, memulas pintu sambil memanggil, "Abang...." Suaranya lembut, namun penuh dengan tanda tanya yang berbaur dalam hati.
Matanya segera menangkap susuk tubuh Danial yang sudah lengkap berpakaian kemas, berseluar slack hitam dan berkemeja biru gelap. Rambutnya disisir rapi, menunjukkan dia benar-benar bersedia untuk keluar. Airis mengerutkan dahi.
"Nak pergi mana pulak suami aku ni, hari minggu macam ni?" gerutunya dalam hati. Tangan Airis memegang tepi pintu, memandang Danial yang sedang membetulkan koler baju di hadapan cermin.
Danial yang sedang membetulkan tali jam tangannya yang berjenama mahal, mengalihkan pandangan ke arah pintu bilik. Matanya menjuling ke atas dengan riak bosan, jelas menunjukkan rasa menyampah yang membuak di hati.
Keluhan berat dilepaskannya, suara seperti menahan sabar. "Kau nak apa?" soalnya dingin, tanpa sedikit pun riak peduli pada wajahnya.
Airis yang berdiri di ambang pintu menggigit bibir perlahan, cuba menahan rasa gugup. Tangannya mula meramas satu sama lain, mencari kekuatan untuk melawan rasa gemuruh yang semakin menguasai dirinya.
Danial berdengus kasar, rasa geramnya makin membuak apabila tiada balasan dari bibir comel Airis Medina yang masih terkunci. Gadis itu jelas tenggelam dalam lamunannya sendiri, seolah-olah langsung tidak menghiraukan kehadiran suaminya.
Tanpa menunggu lebih lama, Danial melangkah mendekati Airis. Suaranya memecah keheningan bilik. "Hoi!!" Herdiknya kuat, membuatkan Airis tersentak kecil.
Airis memandang wajah suaminya dengan mata membulat. Dia hampir melompat dari tempatnya kerana terkejut.
"Aku cakap dengan kau ni, tak dengar ke?!" Tengking Danial dengan nada marah, nadanya seperti cuba menahan amarah yang semakin membara.
Airis memejamkan matanya rapat-rapat apabila suara tengkingan Danial memenuhi ruang bilik. Dia benar-benar terkejut dan takut dengan nada marah itu. Suaminya jarang sekali menunjukkan amarah sedemikian, tetapi kali ini suaranya seperti ingin membelah jiwa.
"D...dengar..." jawab Airis tergagap, suaranya hampir tenggelam. Mata masih terpejam, takut untuk menatap wajah garang lelaki itu.
Danial mendengus kasar, menahan dirinya daripada menjerit lebih kuat. Namun, rasa geramnya tidak surut. "Kalau dah dengar, jawab cepat apa kau nak. Jangan buat aku hilang sabar lagi!" kata Danial, nada tegas masih mendominasi.
Airis membuka matanya perlahan-lahan, memberanikan diri untuk bertentang mata dengan lelaki yang semakin dekat jaraknya. Wajah Danial begitu dekat sehingga dia dapat melihat setiap garis tegas di wajah lelaki itu.
"A...abang nak pergi mana? Boleh saya ikut?" soal Airis dengan nada lembut, cuba mengumpul keberanian. Mata helang suaminya yang tajam cuba dipandang walaupun hati terasa gentar.
Danial memandang wajah Airis dengan pandangan yang sukar diertikan. Dia mendekatkan dirinya lagi, hingga jarak mereka hanya tinggal beberapa inci sahaja.
"Aku ni tak hingin lah nak bawak kau sekali, buat semak aku je..." bisik Danial dingin di telinga isterinya. Nada suaranya begitu sinis, menusuk terus ke hati Airis Medina. Tangisannya yang hampir pecah ditahan sedaya mungkin, namun matanya sudah mula berkaca-kaca.
"Bagi lah saya ikut... Lagipun barang dapur dah habis," pujuk Airis dengan nada lembut, cuba menenangkan kemarahan suaminya. Tangannya yang menggigil kuat memberanikan diri menyentuh lengan berotot Danial. Namun, tindakannya itu hanya menambah bara di hati lelaki itu.
"Barang dapur habis, beli lah sendiri. Itu pun nak ajak aku ke?" Danial menepis kasar tangan Airis yang cuba memegangnya. Airis tersentak. Kecewa bercampur pilu jelas terpancar di wajahnya.
"Tapi saya nak pergi dengan abang..." ucap Airis dengan suara yang hampir berbisik, tetap cuba memujuk walaupun tahu usahanya mungkin sia-sia.
Danial mengurut pelipisnya, cuba menahan rasa geram yang semakin memuncak. Dia berpaling menghadap Airis, matanya tajam seperti pisau yang menikam.
"Kalau kau nak pergi, pergi sendiri. Aku izinkan..." Danial mengeluarkan kata-kata dingin sebelum berura-ura ingin melangkah keluar dari bilik. Dia tahu, lagi lama dia berada di hadapan isterinya, lagi banyak kata-kata pedas yang mungkin keluar dari mulutnya, menyakitkan hati wanita itu.
Namun, sebelum sempat dia melangkah jauh, Airis Medina cepat-cepat memaut lengannya. Sentuhan lembut itu membuatkan langkah Danial terhenti seketika. Tanpa berkata apa-apa, Airis mencium tangan suaminya lama, seolah-olah cuba menahan Danial daripada terus menjauh.
Danial terpaku. Hati keringnya yang selama ini beku terasa seperti diusik perlahan. Ada satu rasa asing yang mula merayap ke dalam hatinya, sesuatu yang telah lama dia cuba nafikan. Dia menelan liur, cuba mengabaikan emosi itu, tetapi wajah polos Airis yang penuh harapan membuatkan fikirannya berkecamuk.
"Abang... Dina cuma nak abang ada untuk Dina... Dina tak nak pergi sendiri," ucap Airis dengan suara tersekat-sekat, pandangan matanya merayu perhatian dari suaminya.
Danial mengetap bibir. Dia memandang ke arah wanita kecil yang berdiri di hadapannya, penuh dengan rasa sayu dan cinta yang jelas. Dalam diam, dia merindukan rengekan dan bebelan Airis, sesuatu yang selama ini dia anggap menyakitkan telinga, tetapi kini menjadi sesuatu yang dia rindui.
Namun, egonya masih menghalang dirinya untuk mengalah sepenuhnya.Perangai keanak-anakan isterinya yang dulu selalu membuatkan dia pening kepala kini menjadi sesuatu yang dia rindui. Tetapi kini, Airis Medina berubah. Tiada lagi gelak tawanya, tiada lagi rengek manja yang dulu selalu menceriakan suasana. Sejak kejadian hitam itu berlaku, Airis lebih banyak mendiamkan diri. Danial tahu, hati isterinya telah banyak terluka, dan dia sendiri tahu dialah sebahagian besar punca luka itu.
Hatinya berperang saat ini. Dia mahu menghapuskan duka di wajah wanita kecil itu. Tangannya yang berada di sisi perlahan-lahan terangkat, niat untuk mengelus kepala Airis yang menunduk. Namun, saat jarinya hampir menyentuh rambut lembut isterinya, dia tersentak. Ego yang menebal membuatkan dia segera menarik tangannya semula.
Airis menghantar susuk tubuh Danial yang mula menghilang dari matanya. Air mata yang ditahan tadi mula menjatuhi pipi.
“Kenapa abang layan Dina macam ni?” lemah lutut Airis, dinding menjadi tempatnya berpaut. “Mana janji abang, janji abang yang tak nak air mata ni jatuh...” Airis menangis teresak-esak, kedua-dua tangannya menutup wajah yang semakin dibasahi air mata.
Hatinya berkecamuk. Sebuah janji yang dulunya dipegang erat kini terasa bagai abu yang ditiup angin. Dia terduduk perlahan di lantai, dinding tetap menjadi sandarannya.
---------------------------------
Airis cepat-cepat menyarungkan sandal berwarna merah jambu kegemarannya. Langkahnya pantas menuju ke arah kereta Myvi yang terparkir di hadapan rumah. Tangannya memegang kunci kereta dengan kemas, memastikan semuanya sudah terkunci sebelum dia membuka pintu pemandu. Tubuh kecilnya melolos masuk, dan pintu kereta ditutup rapat.
Airis menarik nafas perlahan sambil memandang ke hadapan, cuba menenangkan dirinya yang terasa kosong. Tangannya mengenggam erat stereng kereta, seakan ingin mencari kekuatan. “Bismillah...” ucap Airis lembut, memohon perlindungan sebelum menghidupkan enjin kereta. Suara enjin yang mengaum perlahan mengisi kesunyian itu.
Dia membetulkan cermin pandang belakang, memastikan segalanya dalam keadaan baik. Tangan halusnya mencapai tali pinggang keledar, menyarungkan dengan kemas.
Handbrake dinaikkan perlahan-lahan, memastikan kereta dalam keadaan terkawal sebelum bergerak. Airis memandang ke cermin pandang belakang, memastikan tiada apa yang menghalang. Kereta Myvinya mula mengundur perlahan keluar dari garaj rumah, bunyi enjin yang halus memenuhi ruang pagi yang sunyi.
Tangannya mencapai remote pagar automatik. Butang ditekan, dan pintu pagar mula bergerak perlahan, menutup sendiri dengan bunyi mekanikal yang biasa didengari. Airis sempat melirik ke arah rumah yang ditinggalkan, pandangannya singgah seketika pada pintu hadapan.
Sesampainya di pasaraya, Airis Medina dengan berhati-hati memarkir kereta di tempat yang disediakan. Dia memutar stereng sedikit untuk memastikan kedudukan kereta berada di tengah-tengah petak parkir. Handbrake diturunkan perlahan, dan enjin kereta dimatikan.
Tangannya mencapai seat belt, membuka kunci dengan satu tarikan sebelum mengambil handbag yang diletakkan di tempat duduk penumpang sebelah. Dia memeriksa isi dalam beg, memastikan dompet dan telefon bimbitnya ada di tempatnya.
Sebelum keluar, Airis melirik ke cermin sisi, mengemaskan sedikit hujung tudung dan bajunya yang kelihatan sedikit kusut. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia menghela nafas pendek. “Okay, Airis. Kau boleh buat ni,” ucapnya kepada diri sendiri.
Pintu kereta dibuka perlahan, dan dia melangkah keluar. Begitu kakinya menjejak lantai parkir, dia segera menutup pintu kereta. Tangannya mencapai remote kunci, menekan butang untuk mengunci kereta. Bunyi “beep” kedengaran, tanda pintu kereta telah terkunci.
Setelah mengambil troli dari luar supermarket, Airis terus melangkah ke bahagian barangan basah. Bau ikan segar dan ayam mentah yang tersusun di atas ais mula menusuk deria baunya. Dengan langkah yang perlahan, dia menolak troli menuju ke tempat ikan segar.
Mata Airis tertumpu pada barisan ikan yang tertata rapi. Tangannya menyentuh dagu, tanda sedang memikirkan pilihan terbaik. “Ikan apa ye...” gumamnya perlahan. Jari telunjuknya menunjuk ke arah ikan kembung yang nampak segar dengan mata yang jernih. Namun, dia menggelengkan kepala perlahan-lahan.
“Ikan kembung aku tak suka... macam bosan je,” gerutu hati Airis sambil menjeling ikan lain yang ada di situ. Dia meneruskan pencarian, matanya kini tertumpu pada ikan siakap yang besar dan kelihatan elok.
“Ambik ikan siakap je lah, boleh masak stim...” putus Airis Medina sambil mengambil plastik gulung yang disediakan oleh pihak pasaraya. Dengan hati-hati, dia memasukkan seekor ikan siakap bersaiz sederhana ke dalam plastik sebelum mengikat kemas.
Baru sahaja dia ingin bergerak ke bahagian ayam, tiba-tiba tubuhnya terhenti. “Aduh!” desis Airis apabila troli yang ditolaknya melanggar seseorang.
Barang-barang di tangan lelaki itu bertaburan di lantai, membuatkan Airis panik. Tanpa berlengah, dia terus mencangkung, mengutip satu persatu barang tersebut sambil mengulang-ulang perkataan, "Sorry, sorry, saya tak sengaja..."
Airis mendongak, memandang wajah pemilik barang tersebut. Lelaki itu, berkemeja putih dengan rambut tersisir kemas, menatapnya sejenak sebelum berkata, "Tak apa..." Dia mengambil barang yang berada di tangan Airis dan memasukkannya semula ke dalam bakulnya.
Airis tersenyum manis sambil berkata dengan nada bersalah, "Sorry tau, saya tak perasan ada orang kat belakang saya..." Dia cuba menenangkan dirinya yang sedikit gelabah.
Akim mengerutkan dahinya apabila melihat wanita yang di hadapannya. Jari telunjuk dihalakan ke arah Airis Medina. "Awak ni Airis, kan?" tanya Akim.
Airis terkebil-kebil memandang lelaki itu. "Siapa pula ni?" gerutu hati Airis. Dia tetap melakarkan senyuman manisnya sambil menjawab, "Ya, saya. Awak siapa ya?" suaranya lembut, tetapi penuh waspada.
Akim tersenyum, berpuas hati kerana tekaannya tepat. Wanita di hadapannya ini memang Airis Medina, isteri kepada sahabat baiknya, Megat Danial. "Saya Akim, kawan Danial. Kenal lagi tak?" tanyanya sambil tersenyum ramah.
Airis memandang Akim dengan dahi berkerut seribu, cuba mengingati wajah lelaki itu. "Oh... ya, saya ingat. Akim kan?" jawab Airis selepas beberapa saat, suaranya ragu-ragu namun cuba sopan.
Akim mengangguk sambil tersenyum lebar. "Betul. Lama tak jumpa. Tengah belanja ke? Danial mana?" tanyanya dengan nada santai, matanya sedikit memerhati troli yang dipenuhi barang dapur di tangan Airis.
Airis menghela nafas perlahan, cuba mengawal perasaan yang mula bergelora. Wajahnya yang tadi tenang terus berubah, menampilkan riak kecewa yang tidak mampu disembunyikan. Akim yang perasan perubahan itu segera bertanya dengan nada bersalah. "Saya ada tersalah cakap ke, Airis?"
Airis menggelengkan kepala perlahan, cuba menenangkan hati. "Tak, tak ada apa-apa..." Dia tersenyum nipis, walaupun jelas senyuman itu tidak sampai ke matanya. "Danial tak ada. Pagi-pagi lagi dia keluar, tak tahu pulak dia pergi mana," sambungnya, nada suaranya sedikit perlahan.
“Ouuh, ye ke...” balas Akim sambil menggaru belakang leher, rasa janggal mula menyelubungi dirinya. Dia mengalihkan pandangan seketika, cuba menghilangkan rasa kekok.
Airis, yang perasan dengan keadaan itu, membetulkan tudungnya yang sedikit senget, lalu mengambil nafas sebelum bersuara. “Boleh saya tanya sesuatu, Akim?” soalnya dengan nada berhati-hati.
Akim mengangguk perlahan, cuba bersikap tenang. “Erhmm... apa dia tu?” jawabnya, walaupun hatinya sedikit berdebar.
Airis memandang Akim dengan renungan serius. “Danial ada cerita apa-apa ke kat awak?” soalnya, suaranya penuh harapan tetapi diselaputi sedikit kerisauan.
“Airis, Danial tu kawan baik saya. Segala masalah dia, dia luahkan kat saya,” balas Akim dengan tenang sambil memandang wajah putih bersih Airis Medina. Ada nada lembut dalam suaranya, seolah-olah cuba memujuk hati gadis itu.
Airis mendengar dengan teliti, namun hatinya masih dirundung keresahan.
Akim menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Cuma saya nak cakap satu benda je kat awak—Danial still sayangkan awak, Airis. Cuma dia tu ego je...” katanya dengan nada yakin, sambil memberikan sedikit senyuman.
Airis tersengih sinis mendengar kata-kata itu, seolah-olah tidak percaya. “Kalau dia masih sayangkan saya, kenapa layanan dia still kasar? Kalau sayang, patutnya tunjukkan, bukan sakitkan hati orang,” balas Airis, nada suaranya penuh rasa tak puas hati.
“Macam saya cakap tadi, ego…” Akim berkata perlahan, cuba memberikan penjelasan. Airis menggulingkan matanya, tidak sabar mendengar penjelasan yang sama berulang kali. Dia memejamkan matanya seketika, menahan rasa geram yang mula menjalar di dalam hati.
“Ok lah… saya balik dulu,” kata Airis dengan nada yang agak datar, cuba menutup perasaan yang bergejolak di dalamnya. Dia kemudian berpaling dan berjalan ke kaunter bayaran, menghayun langkahnya dengan pantas.
“Airis!” laung Akim dengan sedikit kuat. Airis memberhentikan langkahnya dan menoleh ke belakang. Matanya merenung ke arah Akim yang kini semakin menghampirinya.
Akim tiba di hadapan Airis dan berhenti seketika, mencari kata-kata yang sesuai. “Airis, bagi Danial masa. Mungkin sekarang dia tengah serabut. Bukan senang dia nak maafkan awak…”
Air mata mula bertakung di kelopak mata Airis, namun dia cuba menahan. Gigi diketap geram, perasaan sakit hati dan keliru bercampur baur dalam dirinya. "Dia cerita kat awak pasal saya?" soalnya dengan nada sebak, suaranya hampir tenggelam oleh emosi yang bergelora.
Akim hanya menghela nafas panjang, matanya penuh dengan simpati. "Ya, dia cerita semua benda kat saya. Siapa je tak marah? Siapa je tak sakit hati bila orang yang dia sayang tipu dia hidup-hidup? Kalau saya jadi dia pun, saya akan buat benda yang sama," jawab Akim dengan suara yang jujur, penuh pemahaman.
"Awak ingat saya suka ke tipu dia, hah? Saya tahu saya salah, tapi patut ke dia abaikan tanggungjawab dia? Saya ni isteri dia, Akim!" tempik Airis, suaranya pecah dengan rasa sakit yang tak tertanggung. Air mata jatuh menitik, membasahi pipinya. Hatinya hancur berkecai. Sanggup suaminya cerita semua hal rumah tangga mereka kat orang luar. Dia rasa seolah-olah maruahnya dipijak, dicampak ke tapak kaki Danial.
Akim terkejut dengan kemarahan Airis, namun dia cuba untuk tetap tenang. "Airis, sabar, kita kat market ni..." Akim cuba menenangkan keadaan, menyedari bahawa perasaan Airis tengah berkecamuk. Dia tahu apa yang dirasai oleh Airis, tapi situasi itu bukanlah tempat yang sesuai untuk perbincangan emosional seperti ini.
Airis menarik nafas dalam-dalam, berusaha menenangkan diri. Nafasnya terhembus perlahan, namun air mata masih terus mengalir. Tangan Airis menyeka air matanya, namun rasa kesakitan di dalam hatinya tak mampu disembunyikan.
"Bagi masa kat Danial...ok..." saran Akim, menundukkan sedikit kepalanya, cuba untuk memberi cadangan yang lebih tenang. Dia kenal dengan Danial, kalau hati dia tengah marah, memang dia takkan dengar nasihat orang. Danial bukanlah jenis yang mudah berubah fikiran ketika dia dalam kemarahan.
Airis menggigit isi pipinya, menahan rasa yang makin menyesakkan dada. "Saya boleh bagi masa kat dia, tapi tu lah, kalau masa tu sampai... takut pulak hati saya dah beralih arah," jawab Airis, matanya yang sebelum ini berkilat dengan air mata kini mula kelihatan kosong. Dia tahu, dia bukan manusia yang mudah bertahan dengan rasa sakit hati berpanjangan. Cinta itu pun, lama-lama boleh pudar kalau tak dijaga.
"Saya pergi dulu...." Airis terus meninggalkan Akim.
Akim memandang ke arah Airis yang semakin jauh, hatinya dipenuhi rasa bersalah.
******************
Belum sempat Airis melangkahkan kaki masuk ke rumah, Danial sudah menjerkahnya. “Kau pergi mana, perempuan!!?" soal Danial dengan suara yang berang, matanya tajam merenung Airis yang baru sahaja masuk.
Airis tidak mengendahkan soalannya. Hatinya sudah terlalu penat untuk berbicara. Tanpa sebarang kata, dia berlalu pergi, menuju ke dapur. Barang-barang yang dibelinya diletakkan di atas meja makan dengan perlahan, matanya tidak mahu bertemu dengan mata Danial. Dia tahu, jika dia melihat wajah suaminya sekarang, semuanya akan jadi lebih teruk. Namun, Danial yang tidak tahan dengan sikap dingin Airis, terus meluru ke arah isterinya.
Rambut Airis ditarik kasar, membuatkan dia terjerit kesakitan. Danial memandangnya dengan mata yang penuh amarah. "Aku tanya kau ni, kau pergi mana!!!" teriak Danial, suaranya penuh dengan kemarahan yang menekan.
Airis merintih kesakitan, tubuhnya sedikit tergoncang akibat tarikan yang kuat. "Sakit lah Danial..." rayunya, cuba melepaskan tangan suaminya yang menggenggam rambutnya dengan erat. Namun, apalah daya seorang perempuan seperti dia berbanding kekuatan seorang lelaki sekuat Danial.
"Kau tahu sakit kau tu je, sakit hati aku ni macam mana..." Danial menumbuk dadanya dengan kuat, menahan gelora amarah yang meluap. Pandangannya penuh dengan ketidakpuasan hati, seolah-olah seluruh dunia sedang memikul kesalahan yang sama.
Airis merintih, suaranya lemah dan penuh kesedihan, "Lepas lah..." tangisnya, berharap agar Danial mendengar dan melepaskannya dari cengkaman yang semakin kuat. Rasa sakit di rambut dan dadanya semakin menghimpit, tetapi yang lebih menyakitkan adalah melihat suaminya yang begitu jauh dari dirinya, penuh dengan kemarahan yang tidak tertahan.
"Aku nak tanya jantan mana kau mengundal tadi, kau ni tak serik-serik ke, nak bunting lagi..." Suara Danial bergema dengan kemarahan yang tidak tertahan, seperti api yang marak membakar seluruh tubuhnya. Tangannya yang kasar mencengkam pipi mulus isterinya, memaksanya menghadap dirinya. Setiap kata yang keluar dari bibirnya seakan-akan menyayat hati Airis, namun rasa marah Danial semakin bertambah.
Airis hanya mampu menahan perasaan, air matanya jatuh tanpa dapat dihentikan. "Danial... tolong..." bisiknya dalam tangis, namun suaranya terhimpit oleh marah dan benci yang terpantul dalam mata suaminya. Setiap perkataan yang keluar dari mulutnya seolah-olah membuat jarak antara mereka semakin besar.
Danial memandangnya dengan penuh kebencian, hatinya yang luka akibat pengkhianatan yang dirasakannya tidak mampu lagi mendengar penjelasan. "Kau nak semua ni, kan? Kau yang buat aku jadi macam ni," katanya dengan suara bergetar penuh kemarahan.
"Apa abang cakap ni, kenapa fitnah saya macam tu, saya tak buat lah..." Airis merintih, air mata masih mengalir di pipinya. Hati kecilnya terasa pedih, tidak tahu bagaimana lagi mahu mempertahankan dirinya.
Sampul berwarna coklat itu dibuka dengan kasar. Gambar-gambar Airis bersama Akim diambil lalu dicampakkan ke muka Airis.
Tangan Airis menggigil, perlahan-lahan dia tunduk mengambil gambar-gambar yang jatuh di kakinya. Matanya membulat, nafasnya tersekat ketika melihat gambar itu—dia bersama Akim di mall tadi, tersenyum dan berbual mesra.
Wajah bengis Danial ditatap sayu oleh Airis. Air matanya semakin deras mengalir. "Abang, dia tu kawan abang... saya tak mungkin buat benda terkutuk macam tu dengan dia. Abang kenal saya, kan?" nada Airis penuh dengan kepiluan, cuba menyelamatkan sisa-sisa kepercayaan suaminya.
Danial ketawa sinis, nadanya pedih menusuk hati. "Aku percaya kawan aku, Dina. Tapi kau? Kau yang aku tak boleh percaya. Kau memang sengaja kan? Goda dia sampai dia pun tak boleh tolak kau," ucap Danial, nadanya penuh kebencian. "Kenapa lah kau ni murah sangat, Airis Medina?"
Airis bangkit dari duduknya. Dia sudah cukup sabar. Matanya yang berkaca kini berubah tajam, memandang geram wajah suaminya yang kelihatan puas hati. "Awak ingat dengan gambar macam ni boleh buktikan saya curang belakang awak?!" suaranya lantang, namun bergetar menahan emosi.
Danial ketawa sinis, seakan menikmati keberanian isterinya itu. "Bukti?" Dia mendekatkan wajahnya ke arah Airis, senyumannya menyakitkan. "Mesti lah aku ada bukti. Budak yang gugur tu lah buktinya!"
Airis memejamkan mata, menahan setiap kata hinaan yang dilemparkan oleh suaminya. "Danial, saya ni isteri awak. Awak patut dengar dulu penjelasan saya. Ini bukan caranya untuk lepaskan semua benda..." Suaranya sebak, tangannya cuba meraih tangan Danial, namun Danial cepat-cepat mengelak, seolah-olah tidak mahu menyentuhnya.
Danial tersenyum sinis, dan kata-katanya begitu tajam, seakan menghiris hati Airis. "Gelaran isteri tak layak untuk kau. Gelaran yang layak untuk kau cuma perempuan simpanan aku, faham?!"
Airis menguak rambutnya, matanya menikam tajam anak mata suaminya. Kedua tangan suaminya digenggam erat, seakan ingin memegang sisa-sisa harapan yang masih ada. "Danial, saya nak tanya awak. Kat dalam hati awak tu, masih ada lagi ke cinta awak pada saya?" soal Airis dengan suara yang tenang, walaupun hati sedang berperang dengan kesakitan yang terpendam.
Danial menatap wajah isterinya dengan penuh kebencian. Kata-katanya begitu tajam, menghancurkan setiap inci harapan yang tersisa dalam hati Airis. "Cinta aku buat kau dah lama hilang, kau sendiri hancurkan cinta tu sendiri. Kalau ada cinta pun, aku sendiri yang akan buat benda tu jauh-jauh..." Suaranya penuh dengan amarah, dan tangannya dengan kasar melepaskan genggaman Airis.
Airis merasakan seolah-olah ada sesuatu yang retak dalam dirinya. Cinta yang dulu terjalin dengan begitu indah, kini sudah pun menjadi serpihan yang tidak mungkin dapat disatukan lagi. Danial berpaling dan melangkah pergi, tanpa menoleh lagi. Kaki Danial terus melangkah ke atas, meninggalkan Airis yang terdiam, seolah-olah dibiarkan dalam kesunyian yang pekat.
Airis jatuh terjerembab ke lantai, tubuhnya terasa lemah seperti tidak lagi mempunyai kekuatan untuk berdiri. Tangisan yang terpendam selama ini akhirnya meledak, meraung sekuat hati. Setiap raungan itu terasa seperti mencarikkan jiwanya yang sudah terluka, menambah derita yang sedia ada. Tangan kecilnya memukul dadanya dengan kasar, cuba melepaskan rasa sakit yang begitu dalam, namun semakin dia mencuba, semakin terasa luka itu semakin mendalam.
“Syah… aku perlu kau, Syah...” rintih Airis, suara serak penuh dengan kesakitan yang tidak mampu ditanggung. "Aku tak kuat..." Kata-kata itu keluar begitu perlahan, penuh dengan kerapuhan. Dia menangis lagi, tanpa peduli siapa yang melihat, kerana yang dia rasakan hanya kesedihan yang amat sangat.
Dengan tangan yang gemetar, Airis meraih cincin perkahwinan yang masih terpasang pada jarinya, cincin yang dulunya menjadi simbol ikatan cinta mereka. Dengan penuh kesedihan, dia mencium cincin itu, berharap dapat merasakan semula sentuhan cinta yang dulu pernah ada. Tetapi semuanya terasa kosong, dan tidak ada apa yang dapat mengembalikan saat-saat bahagia yang pernah mereka miliki.
Airis merasakan dunia seakan runtuh di sekelilingnya. Hatinya yang sudah terluka oleh kata-kata Danial semakin terhiris. Namun, meskipun segala yang berlaku, perasaan cintanya pada Danial tetap tidak hilang begitu sahaja. Dia masih berpegang pada harapan, walaupun dia tahu ia semakin tipis.
Tangisan itu terus berlarutan, seakan-akan tak mampu berhenti. Dalam saat-saat begini, Airis hanya menginginkan satu perkara—untuk rasa dicintai semula, untuk merasakan kehangatan hubungan mereka yang dahulu. Tetapi dia tahu, mungkin harapan itu hanya tinggal kenangan.
Share this novel