Sesampai sahaja di bendang, Airis melihat Danial sedang berbual dengan Azira. Dari jauh, mereka kelihatan begitu mesra sehingga hati Airis terasa sedikit pedih. Namun, dia cuba mengawal perasaannya. Dengan langkah perlahan, dia berjalan mendekati mereka, walaupun hatinya sudah dilanda ribut emosi.
Tiba-tiba, Airis tergelincir. Dia tidak perasan tanah licin yang basah akibat embun pagi. Tubuhnya hilang keseimbangan, dan dia jatuh ke dalam bendang. Jeritan kecilnya membuat burung-burung di sekitar beterbangan.
"Sayang!" Danial segera berpaling apabila mendengar jeritan itu. Pandangannya bertukar cemas apabila melihat tubuh kecil isterinya terbaring di dalam lumpur. Tanpa membuang masa, Danial berlari mendapatkan Airis. Azira yang berada di situ turut terkejut tetapi tidak tahu bagaimana untuk membantu.
“Ya Allah, sayang! Kenapa ikut abang? Sayang okay tak? Perut sakit ke?” Danial terus berlutut dan memegang Airis yang terbaring sambil memeriksa keadaannya.
Airis menggeleng, tetapi air matanya mengalir deras. Dia cuba menahan tangis, namun kesakitan di kaki yang tercedera sukar untuk ditahan. Tangannya memegang pergelangan kakinya yang sudah mulai membengkak.
“Kaki... kaki sakit sangat,” rintih Airis dengan suara tersekat-sekat.
Danial semakin panik. Dia memerhatikan kaki Airis yang kelihatan seperti terseliuh. Dengan penuh berhati-hati, dia cuba mengangkat Airis dari lumpur.
“Kenapa sayang ni tak dengar cakap abang? Abang dah pesan jangan ikut, bahaya tahu tak! Sayang kan tengah mengandung...” Nada suara Danial kedengaran tegas, tetapi penuh kerisauan.
Airis hanya mampu menangis teresak-esak. Dia rasa bersalah tetapi pada masa yang sama, hatinya sakit kerana merasakan dia seperti tidak dipedulikan oleh Danial. Dia memberanikan diri untuk datang ke bendang ini hanya kerana mahu memastikan Danial tidak melakukan sesuatu yang menyakitkan hatinya.
Azira yang melihat situasi itu tergamam, tetapi segera mengikut arahan Danial apabila dia berkata, "Zira, balik ambil kereta abang, cepat! Kunci ada kat meja TV.”
Azira terus berlari sekuat hati meninggalkan kawasan bendang, sementara Danial memeluk tubuh Airis dengan erat. Dia membersihkan lumpur di wajah dan rambut isterinya dengan tangannya sendiri, walaupun tangannya juga kotor.
"Sayang, abang tak boleh tengok sayang macam ni. Abang risau, faham tak? Nanti abang bawa sayang pergi klinik, kita cek semuanya, okay?” Danial cuba menenangkan Airis yang masih menangis.
“Abang... abang sayang Dina lagi tak?” tanya Airis tiba-tiba, dengan suara yang lemah tetapi jelas. Pertanyaan itu membuat Danial tersentak. Dia tidak menyangka isterinya akan bertanya perkara seperti itu dalam keadaan sebegini.
Danial memandang wajah Airis yang masih basah dengan air mata. Dia menghela nafas panjang sebelum menjawab, “Sayang jangan cakap macam tu. Sayang tahu abang sayang sayang lebih daripada apa pun. Tapi abang takut... takut kalau abang tak mampu jadi suami yang baik untuk sayang.”
Airis menundukkan wajah, matanya masih bergenang. Dia ingin mengatakan sesuatu, tetapi rasa sakit di kakinya menghalang dirinya daripada terus berbicara.
Tidak lama kemudian, Azira kembali bersama kereta. Danial segera mendukung Airis masuk ke dalam kereta, meletakkannya dengan penuh hati-hati di tempat duduk.
“Abang bawa sayang pergi klinik sekarang. Jangan risau, abang ada. Apa pun yang berlaku, abang takkan biarkan sayang sorang-sorang.” Danial mengusap lembut kepala Airis sebelum masuk ke tempat pemandu.
Airis hanya memandang Danial dengan pandangan sayu. Walaupun hatinya masih sakit kerana Danial bersama Azira, tetapi perhatian Danial pada saat ini memberinya sedikit ketenangan. Dalam hati kecilnya, dia berharap hubungan mereka akan kembali pulih seperti dulu.
Dalam perjalanan ke klinik, suasana di dalam kereta sunyi. Airis hanya memandang ke luar tingkap, cuba menahan tangisnya. Danial pula sesekali menjeling isterinya melalui cermin pandang belakang, namun tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan. Azira yang duduk di tempat penumpang depan juga diam, terasa serba salah dengan apa yang berlaku.
Sesampainya di klinik, Danial segera keluar dan mendukung Airis masuk. Azira hanya memerhati dari jauh, tidak mahu mengganggu. Doktor yang bertugas terus memeriksa keadaan Airis, terutama kaki yang bengkak. Setelah beberapa minit, doktor memberikan keputusan.
“Kaki isteri encik terseliuh, tapi nasib baik tidak ada kecederaan serius. Saya akan berikan ubat sapu dan minta dia berehat. Jangan banyak bergerak buat masa sekarang, lebih-lebih lagi dalam keadaan mengandung. Itu lebih penting,” nasihat doktor sambil tersenyum.
Danial mengangguk sambil memandang Airis dengan wajah bersalah. “Baik, doktor. Saya akan pastikan dia berehat,” balas Danial tegas.
Setelah selesai, Danial kembali mendukung Airis ke kereta. Sepanjang perjalanan pulang, Danial tidak henti-henti memandang Airis dengan rasa bersalah yang semakin menebal di hatinya. Namun, Airis masih diam, membisu seribu bahasa.
Setibanya di rumah, Danial sekali lagi mengangkat Airis ke bilik. Dia meletakkan isterinya di atas katil dan membetulkan selimut.
---------------------
“Kamu ni Dina, kan nek Wan dah cakap jangan ikut, jangan ikut tapi ikut juga, tengok sekarang apa dah jadi, nasib tak ada apa-apa kat kandungan kamu...” ucap Nek Wan sambil mengurut perlahan kaki Airis Medina yang memerah akibat terkehel.
“Sorry, Nek Wan, Dina cuma nak tengok bendang tu macam mana. Dina tak tahu pula nak jadi macam ni...” balas Airis dengan suara perlahan, menundukkan wajahnya. Hatinya terasa bersalah, terutama apabila melihat wajah Nek Wan yang kelihatan risau.
“Bebel lagi, Nek Wan, biar telinga dia menanah. Cakap suami tak nak dengar...” jawab Danial sambil melipat lengan bajunya, memandang isterinya dengan wajah separuh marah. Tapi jauh di sudut hatinya, dia lebih risaukan Airis.
Nek Wan mengetap bibir. “Danial, kalau kamu nak tegur isteri kamu, jangan sampai kasar. Dia tengah sakit tu, cakap elok-elok. Jangan asyik ikut kepala kamu je.”
Danial terdiam mendengar teguran Nek Wan. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Matanya beralih ke arah Airis, yang kelihatan menggenggam erat perutnya dengan wajah sedikit berkerut.
“Sayang, abang tak marah... abang cuma risau. Abang takut apa-apa jadi kat Dina atau baby kita...” kata Danial dengan nada yang lebih lembut. Dia mendekat, duduk di sisi Airis, dan perlahan-lahan memegang tangannya.
Airis mengangkat wajah, memandang Danial dengan mata yang mulai berkaca. “Dina tahu abang risau... Dina cuma nak rasa macam mana bendang tu sebab Dina tak pernah tengok tempat macam tu. Tapi Dina janji, lepas ni Dina dengar cakap abang...” balasnya, perlahan tetapi penuh penyesalan.
Nek Wan yang melihat momen itu tersenyum kecil. Dia menepuk bahu Danial perlahan, memberi isyarat supaya lelaki itu terus menjaga isterinya dengan baik. “Kamu berdua ni... dalam banyak hal, saling tak nak kalah. Tapi percayalah, dalam rumah tangga ni kena banyak bersabar. Danial, kamu kena faham hati perempuan ni halus. Dina, kamu pun jangan selalu buat suami kamu risau. Kalau degil sangat, nanti Tuhan uji lebih berat.”
Airis mengangguk perlahan. “Dina faham, Nek Wan... Dina janji, Dina akan lebih hati-hati lepas ni.” Namun, matanya sempat mengerling ke arah Danial, yang masih tidak lepas memandangnya dengan wajah yang sukar dibaca.
“Dah, kamu baring dulu. Rehatkan kaki kamu tu. Danial, pastikan isteri kamu ni tak buat hal lagi. Kalau tak, Nek Wan sendiri yang sebat kamu berdua,” gurau Nek Wan, menghilangkan ketegangan di bilik itu.
Danial hanya tersenyum nipis, sebelum menarik selimut untuk menutup kaki Airis. “Sayang, lepas ni, kalau nak buat apa-apa, bagitahu abang dulu. Jangan buat abang risau macam ni lagi...” bisiknya perlahan.
Airis mengangguk, wajahnya sedikit tersipu. Dalam hati, dia tahu bahawa walaupun Danial kelihatan tegas, lelaki itu sebenarnya sangat menyayanginya.
----------------
“Dina, Nek Wan nak cakap sikit boleh...” tanya Nek Wan dengan nada lembut, matanya memandang Airis yang masih asyik mengusap perutnya.
“Tanya je lah, Nek Wan...” balas Airis, tersenyum kecil walaupun hatinya masih terasa sedikit berdebar.
“Dina, kamu tu janganlah cemburu sangat. Danial dengan Zira tu dah besar sama-sama kat sini, macam kamu dah besar sama-sama dengan Danial kat KL tu...” balas Nek Wan sambil duduk di sisi Airis.
Airis mendongak memandang Nek Wan, cuba memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata itu. Dia menghela nafas perlahan. “Tak cemburu mana pun, Nek Wan. Biasa perempuan...” jawab Airis, tetapi suaranya jelas tidak meyakinkan. Tangannya kembali mengusap perut yang sedikit membuncit, mencari ketenangan dalam gerakan itu.
Nek Wan tersenyum kecil, seolah-olah membaca gelora di hati Airis. “Dina, kamu tahu tak, cemburu tu tandanya sayang. Tapi jangan sampai cemburu kamu tu memakan hati kamu sendiri. Nek Wan faham, perasaan tu memang datang bila kamu sayangkan suami kamu. Tapi kamu kena percaya Danial. Dia lelaki yang baik, Dina. Nek Wan dah tengok sendiri macam mana dia jaga kamu sejak dari dulu.”
Airis terdiam. Matanya sedikit berkaca, tetapi dia cepat-cepat mengalihkan pandangan. “Dina tahu, Nek Wan. Tapi Dina tak boleh kawal rasa ni. Bila tengok Danial dengan Zira, Dina rasa... Dina rasa takut. Takut kalau Danial lebih sayang Zira daripada Dina. Dina tahu Dina tak sempurna...” suaranya semakin perlahan, hampir tenggelam di hujung ayat.
Nek Wan menggeleng perlahan. Dia memegang bahu Airis dengan lembut, cuba memberikan sokongan. “Dina, tak ada manusia yang sempurna, sayang. Tapi bila Danial pilih kamu jadi isteri dia, itu maknanya kamu yang cukup sempurna untuk dia. Kalau Danial nak Zira, dah lama dia kahwin dengan Zira. Tapi dia pilih kamu, Dina. Pilihan tu bukan main-main. Jadi, kamu kena yakin dengan diri sendiri.”
Airis mengangguk perlahan. Kata-kata itu menyentuh hatinya, tetapi perasaan ragu itu masih bersisa. “Tapi Nek Wan... Dina takut kalau Dina tak cukup baik untuk dia. Dina takut kalau Dina tak boleh jadi isteri yang dia perlukan...” Airis meluahkan isi hatinya dengan nada yang teresak kecil.
“Dina, kamu ni jangan fikir yang bukan-bukan. Jadi isteri ni tak payah fikir pasal nak jadi yang paling sempurna. Cukup kamu ada usaha untuk faham dan jaga hati suami kamu. Kalau kamu rasa ada salah, minta maaf. Kalau kamu rasa ada kurang, perbaiki. Tak ada siapa pun lahir-lahir dah jadi pasangan yang terbaik. Semua tu ambil masa, Dina,” nasihat Nek Wan dengan suara yang penuh kelembutan.
Airis mengangguk lagi, kali ini dengan senyuman kecil yang mula terbit di bibirnya. Dia tahu kata-kata Nek Wan benar, tetapi melawan rasa cemburu itu bukan perkara mudah. “Dina janji, Nek Wan. Dina akan cuba jadi lebih baik. Bukan untuk Danial je, tapi untuk baby ni juga...” Airis berkata sambil tangannya terus mengusap perutnya.
“Alhamdulillah, itu yang Nek Wan nak dengar,” balas Nek Wan dengan senyuman lega. “Ingat, Dina, rumah tangga ni kena bina dengan percaya dan hormat. Gaduh tu biasalah, tapi jangan sampai terluka hati masing-masing. Kamu sayang Danial, kan?”
Airis mengangguk yakin. “Sayang, Nek Wan. Sangat...” jawabnya jujur.
“Kalau sayang, buang jauh-jauh rasa takut tu. Kamu dua-dua kena belajar jaga perasaan masing-masing. Lagi-lagi bila dah ada anak nanti, tanggungjawab kamu makin besar. Jangan biar benda kecil macam ni merosakkan hubungan kamu.”
Airis termenung seketika, memikirkan apa yang telah Nek Wan katakan. Dia tahu, dia perlu mengubah dirinya dan percaya sepenuhnya pada suaminya. Matanya melirik ke arah luar tingkap, melihat Danial yang masih berbual dengan Azira. Walaupun hatinya masih terasa sedikit terusik, dia tahu Danial adalah lelaki yang sentiasa ada untuknya.
Dalam hati, Airis berdoa perlahan. “Ya Allah, kuatkan hati ku untuk jadi isteri yang terbaik buat Danial. Jauhkan rasa syak wasangka ni, dan tambahkan cinta antara kami...”
....
Airis menghampiri Azira dengan langkah perlahan, walaupun rasa sakit di kakinya masih terasa. Setiap langkahnya penuh hati-hati, namun dia tetap berusaha untuk mendekati Zira. Di wajahnya terpancar rasa ingin tahu yang tidak dapat disembunyikan.
“Akak, kenapa turun? Kaki sakit lagi, kan?” soal Azira, suaranya jelas dengan nada risau. Dia memandang Airis yang kelihatan sedikit pucat.
Airis tersenyum kecil sambil melambai tangan, cuba menenangkan Azira. “Akak ok lah, jangan risau sangat. Tak sakit mana pun,” jawabnya, walaupun sebenarnya kakinya masih terasa pedih akibat terjatuh di bendang semalam.
Azira memandang Airis dengan kerutan di dahi. “Akak jangan degil. Kalau sakit, rehat je lah. Jangan paksa diri.”
Airis hanya menggeleng kecil, tidak mahu memanjangkan hal itu. Namun, Azira kelihatan masih tidak puas hati. Dia menarik nafas sebelum berkata dengan nada yang lebih serius, “Akak janganlah fikir bukan-bukan. Zira dengan abang Danial tak ada apa-apa. Zira dah anggap abang Danial tu macam abang Zira sendiri.”
Airis mengangkat wajahnya, matanya bertemu dengan Azira. Ada rasa lega di dalam hatinya mendengar penjelasan itu, tetapi dia tetap diam, menunggu Azira menyambung.
Azira memandang sekeliling, memastikan tiada siapa yang mendengar perbualan mereka. “Yang akak perlu risau sebenarnya bukan Zira... tapi anak Mak Long. Anak Mak Long tu yang patut akak risau. Sebab Zira tahu, dia ada hati kat abang Danial. Dia suka abang Danial, akak. Zira cuma nak pesan, akak hati-hati sikit dengan dia,” sambung Azira dengan nada perlahan tetapi jelas.
Mata Airis membulat sedikit. Nama anak Mak Long terlintas di fikirannya, dan dia mula memahami maksud kata-kata Azira. Dia tidak menyangka perkara itu, dan hati kecilnya mula berasa tidak tenang.
“Betul ke, Zira?” tanya Airis dengan suara sedikit bergetar. “Anak Mak Long tu... dia suka Danial?”
Azira mengangguk. “Zira tak nak masuk campur, tapi Zira dah lama perasan cara dia pandang abang Danial. Dia selalu cari peluang nak dekat dengan abang Danial, akak. Kalau Zira tak cakap sekarang, nanti akak pula yang terkejut bila benda ni jadi lebih serius.”
Airis menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. Dia tahu Azira berkata jujur, tetapi berita itu tetap membuatkan hatinya berdebar. “Zira, kenapa Zira tak bagitahu abang Danial?” soal Airis.
“Abang Danial lelaki, akak. Kadang-kadang dia tak perasan benda macam ni. Lagi-lagi kalau dia fikir semua orang anggap dia macam abang je. Tapi Zira risau, kalau anak Mak Long tu guna cara lain untuk tarik perhatian abang Danial,” jelas Azira.
Airis termenung sejenak. Dia tahu dia perlu mempercayai Danial, tetapi berita ini membuatkan hatinya sedikit tergugat. “Zira, terima kasih sebab bagitahu akak. Akak akan hati-hati. Tapi akak harap benda ni tak jadi besar... sebab akak tak nak gaduh dengan keluarga.”
Azira tersenyum nipis, cuba memberi keyakinan kepada Airis. “Jangan risau, akak. Zira yakin abang Danial sayang akak. Dia tak akan buat benda yang melukakan akak. Cuma, akak kena kuat dan jangan biar orang lain ambil kesempatan.”
Airis mengangguk, senyuman kecil muncul di bibirnya walaupun hatinya masih gusar. “Terima kasih, Zira. Akak hargai apa yang Zira cakap ni.”
Azira hanya mengangguk sebelum berkata, “Akak rehatlah balik. Jangan paksa diri sangat. Kalau ada apa-apa, Zira ada untuk akak.”
Airis mengangguk lagi, tetapi fikirannya sudah mula merancang bagaimana dia akan berhadapan dengan anak Mak Long yang disebutkan oleh Azira. Dalam hati, dia berdoa agar perkara ini tidak merosakkan hubungan rumah tangganya. Dia perlu bercakap dengan Danial, tetapi dia juga tidak mahu perkara ini menjadi salah faham yang boleh meretakkan kepercayaan mereka.
Kereta-kereta anak-anak nek Wan sudah mula memenuhi halaman rumah yang sederhana besar itu. Keadaan menjadi sedikit sibuk dengan kehadiran ramai ahli keluarga, apatah lagi semua mahu memastikan majlis yang dirancang nek Wan berjalan lancar. Majlis sanding Airis dan Danial, walaupun perkahwinan mereka sudah mencecah lima tahun, tetap dianggap istimewa oleh keluarga besar itu.
Airis yang sedang duduk di ruang tamu, tersenyum melihat suasana riuh rendah itu. Dia mengusap perlahan perutnya yang sedikit membuncit,terasa kehangatan kasih sayang keluarga yang tidak pernah surut. Tiba-tiba suara lembut dan ceria kedengaran dari arah pintu.
“Assalamualaikum, menantu mummy! Sihat? Cucu mummy sihat ke ni?” Puan Ain, ibu mertua Airis, muncul dengan wajah berseri-seri sambil melangkah masuk. Tangannya terus menyentuh perut Airis dengan penuh kasih.
Airis segera bangun, menyambut dengan senyuman manis. “Waalaikumsalam, mummy. Sihat, alhamdulillah. Cucu mummy ni pun sihat je,” balas Airis sambil menyalami tangan Puan Ain. Sentuhan hangat itu membuatkan dia rasa lebih tenang.
“Baguslah, cucu mummy ni memang kuat. Sama macam mummy dia,” puji Puan Ain, matanya bersinar-sinar memandang menantunya. Ada rasa bangga melihat Airis yang semakin matang sebagai isteri Danial.
Di sebelah Puan Ain, Megat Faizal, bapa mertua Airis, berdiri tegap dengan senyuman. Airis segera menyalami tangan lelaki itu dengan penuh hormat. “Daddy...” panggil Airis perlahan, nada suaranya penuh mesra.
“Ya, sayang. Apa khabar? Dah makan ke belum?” tanya Megat Faizal, nada suaranya lembut seperti seorang ayah yang penuh perhatian.
“Alhamdulillah, sihat, daddy. Tadi dah makan sikit,” jawab Airis sopan, sambil mengalihkan pandangan seketika ke arah Danial yang sedang berbual dengan sepupu-sepupunya di halaman.
“Bagus, bagus. Tapi jangan lupa rehat. Jangan lasak sangat. Daddy tak nak cucu daddy ni terjejas sebab mama dia degil,” ujar Megat Faizal sambil tertawa kecil. Puan Ain di sebelahnya turut ketawa, mengangguk tanda setuju.
Airis tersenyum, malu dengan perhatian yang diberikan. “Insya-Allah, daddy. Dina jaga diri elok-elok. Danial pun selalu ingatkan.”
“Ha, betul tu. Kalau tak, daddy akan ingatkan abang kamu,” usik Puan Ain sambil mengerling ke arah Danial. Gelak tawa kecil mengisi ruang tamu, membuatkan suasana semakin hangat dengan kasih sayang.
Puan Ain menepuk lembut tangan Airis. “Dina, nanti kalau ada apa-apa yang Dina perlukan untuk majlis tu, bagitahu mummy, ya? Mummy nak semuanya sempurna. Nek Wan dah banyak kali pesan kat mummy, dia nak majlis ni jadi kenangan manis untuk Dina dan Danial.”
Airis mengangguk perlahan, hatinya tersentuh dengan usaha dan keprihatinan semua orang. “Insya-Allah, mummy. Dina pun nak yang terbaik untuk nek Wan.”
“Bagus. Oh ya, lepas ni mummy nak bincang dengan nek Wan pasal hiasan pelamin. Kalau Dina nak tambah apa-apa, jangan malu bagitahu mummy, ya?” sambung Puan Ain, sempat mencuri pandang ke arah perut Airis dengan senyuman.
Airis tersenyum lagi. Walaupun terasa sedikit letih dengan semua persiapan dan keributan, dia tetap bersyukur dikelilingi keluarga yang begitu menyayangi dirinya dan anak dalam kandungannya.
Di luar rumah, Danial yang kebetulan memandang ke arah dalam, menangkap pandangan Airis. Dia tersenyum kecil, lalu memberi isyarat agar Airis tidak berdiri terlalu lama. Airis hanya mengangguk, rasa hangat menyelubungi hatinya. Di sebalik semua cabaran yang pernah mereka lalui, Airis tahu dia berada di tempat yang betul—di tengah keluarga yang menerima dirinya dengan sepenuh hati.
Share this novel