Di rumah Airis dan Danial, suasana sunyi seketika. Danial yang tengah asyik membaca buku tentang perniagaan di halaman rumah, terhenti apabila mendengar suara lembut dari isterinya.
“Abang, boleh Dina cakap sikit?” tanya Airis Medina, dengan nada yang agak cemas.
Danial yang mendengar itu memandang wajah isterinya dengan pandangan pelik. Tak pernah pula isterinya meminta izin untuk bertanya. Selalunya, kalau ada sesuatu yang ingin dikatakan, pasti Airis akan terus bersuara tanpa segan silu. Terbit rasa kehairanan dalam diri Danial. "Kena sampuk ke bini aku ni?" detik hati Danial.
“Dina nak tanya apa?” soal Danial sambil meletakkan buku yang sedang dibacanya di atas meja kaca. Dia memberi perhatian penuh kepada Airis yang kini berdiri di depannya, menunggu jawapan.
Bibir bawahnya dikemam erat, cuba menenangkan dirinya. Airis meramas-ramas tangannya, menghilangkan rasa berdebar yang semakin membuak-buak. Kaki diatur perlahan, menuju ke kerusi sebelah suaminya. Dengan hati yang berdebar, dia duduk dan memegang tangan Danial, memandang wajah suaminya dengan penuh harapan.
Melihat tindakan Airis yang memegang tangannya, Danial semakin pelik. Tak pernah lagi dia melihat isterinya seperti ini. Biasanya, dialah yang lebih dahulu mengambil inisiatif, tetapi kali ini, Airis kelihatan lebih cemas.
“Abang...” suara lembut dan manja itu keluar perlahan, seolah-olah memujuk. "Boleh tak kalau Dina nak sambung belajar?" Tanya Airis dengan penuh harapan, cuba untuk meminta keizinan.
Mendengar permintaan itu, wajah Danial berubah. Tidak dijangka sama sekali oleh Danial permintaan sebegitu. Airis yang biasanya begitu selesa dengan keadaan, tiba-tiba sahaja melontarkan permintaan yang membuatkan dia sedikit terkejut. Tanpa sedar, tangan Airis yang menggenggam tangannya ditepis lembut oleh Danial.
“Kan abang dah cakap, abang tak izinkan Dina belajar…” suara Danial tegas, penuh dengan ketegaran. Wajahnya menunjukkan ketidaksetujuan yang jelas, membuatkan Airis Medina terasa seolah-olah hatinya ditikam.
Airis mengalih pandangannya, menundukkan wajah dan cuba menyembunyikan rasa kecewa di hatinya. Dia mengeluh perlahan, bibirnya sedikit bergetar. “Abang... Dina tak kisah sangat kalau abang tak izinkan, tapi ini permintaan mama dan papa... takkan Dina tak nak tunaikan permintaan mereka?"
Kali ini, Airis cuba memujuk suaminya dengan penuh rasa hati. Ini adalah satu-satunya peluang yang ada untuk dia meneruskan impian yang telah lama terkubur. Selama ini, dia tahu permintaan untuk menyambung pelajaran ini tidak mudah untuk dilaksanakan, terutamanya dengan sikap Danial yang sering menentang idea tersebut.
Padahal, Airis sebenarnya boleh sahaja menyambung pengajiannya tanpa pengetahuan suaminya. Danial yang sering sibuk dengan kerjanya, pulang lewat malam, tidak akan menyedari perubahan ini. Lagipun, dia tahu suaminya tidak akan ambil peduli tentang perkara tersebut. Namun, dalam hatinya, Airis merasa berdosa. Dia tidak ingin terus menipu Danial. Dia tidak sanggup membuat keputusan yang akan mengkhianati suaminya, apatah lagi setelah sekian lama hidup dengan kejujuran yang mereka bina bersama.
“Cukup lah aku dah tipu dia sekarang ni…” getus hati kecil Airis. Begitu banyak rahsia yang disimpan, dan dia tidak mahu menambah dosa lagi.
Wajah sendu isterinya dipandang, rasa serba salah mula menyelebungi hatinya. Bukan dia tak izinkan, dia tak kisah pun kalau isterinya itu mahu sambung belajar. Tapi entah hati ni tak sanggup nak lepaskan Airis Medina ke luar negara. Dia tahu impian isterinya itu mahu belajar di luar negara, dan dia juga tahu betapa pentingnya peluang itu bagi Airis.
Tapi, rasa cemburu dan takut akan kehilangan isterinya semakin membelenggu. Danial memikirkan segala kemungkinan—jika Airis pergi jauh, siapa yang akan berada di sampingnya? Dia yang biasa menguruskan semua perkara seorang diri, siapa yang akan memahami keperluannya jika bukan isterinya? Namun, dia juga tidak boleh menjadi egois dengan merampas peluang itu dari Airis.
“Kejam ke aku ni?” bisik hati Danial. Dia menghela nafas berat, memandang wajah penuh harapan isterinya. Airis, yang kini sedang menunggu jawapannya dengan penuh sabar, sudah hampir menitiskan air mata.
“Ok... fine... abang izinkan," ujar Danial akhirnya, walaupun suaranya kedengaran sedikit berat.
“Betul ke abang?” tanya Airis Medina, matanya tak lepas dari memandang suaminya, ingin kepastian. Walaupun gembira dengan keputusan yang telah dibuat oleh Danial, sedikit keraguan masih menguasai hatinya.
“Hmmm…” Danial mengangguk perlahan, melemparkan senyuman yang jujur. Gembira hatinya melihat wajah isterinya yang ceria itu. Terasa lega akhirnya dapat memberi izin kepada Airis untuk mengejar impian yang telah lama disimpannya.
Namun, di balik senyumannya, ada sesuatu yang masih mengganggu fikirannya. Jari telunjuknya yang lembut dihalakan ke wajah Airis, dengan ekspresi serius yang sedikit berbeza. “Tapi…” suara Danial berubah sedikit tegas, menambahkan tanda tanya di hati Airis. “Dengan satu syarat…”
“Ok, apa syaratnya?” jawab Airis Medina dengan nada teruja, matanya bersinar penuh harapan. Dia begitu menginginkan peluang ini untuk sambung belajar, tak kira di mana asalkan impian itu tercapai.
Danial menarik nafas panjang sebelum menyebut dengan tegas, “Syaratnya, abang nak Dina sambung belajar kat Malaysia je…”
Airis terdiam sejenak, agak terkejut dengan permintaan itu, namun hatinya tetap lega. Tak kira luar negara atau dalam negara, yang penting dia dapat teruskan pengajiannya. “Tak kesah lah luar negara ke dalam negara ke, janji saya dapat sambung belajar,” bisiknya dalam hati.
Akhirnya, dengan senyuman penuh kepuasan, Airis menganggukkan kepala. “Ok, setuju,” katanya dengan penuh keyakinan. “Terima kasih, abang.”
Tanpa berlengah lagi, Airis Danial memeluk lengan kekarnya dengan penuh kasih sayang. Dalam pelukan itu, Airis merasakan sebuah ketenangan, kerana dia tahu bahawa walaupun ada syarat yang harus dipenuhi, suaminya tetap memberi sokongan penuh terhadap impiannya.
Danial tersenyum, sedikit terkejut dengan pelukan itu, namun rasa bahagia menyelubungi hatinya.
Kepala isterinya diusap penuh kasih sayang. Danial menatap wajah Airis dengan pandangan lembut, hatinya dipenuhi dengan rasa sayang yang mendalam. Dia ingin sahaja mencium dahi isterinya saat itu, tetapi dia menahan diri.
"Ini abang dah bagi izin sambung belajar, bila pulak Dina nak izinkan abang tidur bilik Dina..." Danial cuba menggoda, berharap dapat melihat reaksi isterinya yang kadang-kadang manja itu.
Namun, Airis langsung melepaskan tangannya dari lengan suaminya. Wajahnya merah, sedikit terkejut dan tidak tahu bagaimana mahu menjawab. "Abang gurau je lah... abang janji dengan Dina, abang tak kan sentuh Dina selagi Dina tak izinkan... Itu janji abang..." Danial menyatakan dengan tegas namun lembut, ingin memastikan isterinya merasa selesa dan yakin.
Airis terharu. Hatinya penuh dengan rasa syukur. Ya Allah, terima kasih kerana hadirkan suami yang penuh kesabaran untukku. Seorang suami yang sanggup menerima segala kekurangan diri ini. Airis menundukkan wajahnya, berusaha menghilangkan rasa sebak yang mula menyelubungi dirinya. Dia tak pernah menyangka ada seseorang yang begitu sabar menunggu dirinya, memberi ruang untuknya memilih jalan hidupnya sendiri tanpa paksaan.
Dengan tangan yang masih memegang lembut tangan suaminya, Airis mengangkat wajahnya perlahan dan memandang Danial. "Terima kasih, abang," bisiknya dengan suara yang hampir tenggelam oleh rasa terima kasih yang mendalam.
"Dina jujur abang cakap yang abang betul-betul cintakan Dina..." Danial menyuarakan perasaannya sekali lagi, dengan nada yang penuh harapan.
Airis tidak tahu apa yang harus dikatakan. Hatinya bergelora, seolah-olah ada dua suara yang berlawan di dalam dirinya. Satu suara menginginkan untuk mengakui perasaan yang sama, namun satu lagi suara menahan, kerana rasa takut yang membelenggu dirinya.
“Malam ni abang nak dina mengaku kat abang, betul ke dalam hati Dina tak ada sedikit rasa cinta kat abang...”. Danial menegaskan kata-katanya, pandangan matanya menuntut jawapan yang sebenar. Dia perlu tahu, perlu mendengar pengakuan itu. Itu yang akan memberi dia kekuatan untuk terus bertahan, menunggu dan berjuang untuk cintanya.
Airis yang mendengar pertanyaan itu, wajahnya berubah. Hatinya berdebar kencang, sukar untuknya mengungkapkan kata-kata. Dia menggigit bibir bawahnya, menahan perasaan yang bergejolak dalam dirinya. Mata Airis memandang ke lantai, seakan mencari kekuatan untuk mengungkapkan segala perasaan yang terkunci rapat dalam hatinya.
“Hmmm... Dina ngaku, Dina mula jatuh cinta dengan abang, tapi Dina takut, takut abang akan tinggalkan Dina suatu hari nanti...” Suara Airis serak, air mata yang telah lama ditahan akhirnya tumpah juga. Dengan cepat, dia mengesatnya, tidak mahu Danial melihat kelemahan dirinya.
Tangan Airis Medina dibawa perlahan ke pehanya. Danial memandang cincin perkahwinannya di jari manis isterinya. Tangan itu dicium lembut, dalam hati dia mengucap syukur, "Alhamdulillah, Allah dah makbulkan doanya."
“Abang janji dengan Dina, kalau suatu hari nanti Dina buat kesalahan yang abang tak dapat maafkan, boleh ke abang maafkan...?” tanya Airis, suaranya serak dan penuh dengan perasaan yang mendalam. Hatinya tidak dapat menyembunyikan kegelisahan, takut jika suatu hari nanti dia akan melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan.
Danial melepaskan tangan isterinya yang masih berada di pehanya. Dia mengusap pipi isterinya dengan penuh lembut, tetapi hatinya merasa berat. Tak sanggup dia melihat air mata isterinya jatuh. Airis yang selalu tersenyum kini menangis, dan itu membuatkan Danial merasa dirinya gagal untuk memberikan kebahagiaan yang sepenuhnya kepada wanita yang sangat disayanginya.
"Yang itu bergantung pada kesalahan sayang... Kalau kesalahan Dina tak melebihi batas Dina sebagai seorang isteri, abang boleh bertolak ansur. Tapi kalau kesalahan Dina melampau, abang tak janji abang akan maafkan. Abang manusia biasa, sayang, abang juga ada hati dan perasaan," jawab Danial, penuh ketegasan, namun tetap penuh kasih sayang.
Kata-kata Danial seolah-olah menyentap hati Airis. Rasa sakit yang tiba-tiba muncul begitu mendalam. Setiap patah perkataan suaminya itu bagaikan satu gurisan yang menusuk jiwa. Dia tidak pernah terfikir bahawa dia akan berada dalam situasi ini, di mana kepercayaan itu dipertanyakan. Tidak tahu mengapa, tetapi hatinya terasa seolah-olah terbelah. Dia tidak tahu apakah kesalahannya kelak akan memusnahkan segala yang telah mereka bina bersama.
"Macam mana kalau dia tahu semua benda ni, mampu ke dia nak maafkan aku?" fikir Airis dalam hati, persoalan itu berputar-putar di dalam fikirannya, membuatkan hatinya semakin berat. Namun, sebelum dia sempat berlarut dalam kegelisahan, Danial mengangkat wajahnya dengan lembut.
"Tapi abang yakin, yang isteri abang takkan buat benda yang abang tak suka. Abang kenal isteri abang. Dah, jangan sedih-sedih, buruk lah muka sayang..." kata Danial sambil mencuit hidung mancung Airis dengan senyuman yang menenangkan.
Airis terdiam seketika, namun seiring dengan pujukan itu, dia terus melukis senyuman di wajahnya, walaupun hati masih bergetar dengan ketakutan yang tak tertanggung. Selagi dia boleh, dia akan terus menyembunyikan segala rahsia itu, kerana dia tidak mahu merosakkan kebahagiaan yang sedang mereka bina.
"Kalau dengan cara ni lah aku boleh buat abang bahagia, aku akan teruskan," bisik hatinya, tekadnya semakin kuat. Dia tahu, ada banyak hal yang tak mampu dikongsikan, tetapi dia akan berusaha untuk tetap menjadi isteri yang terbaik buat Danial, walaupun ada rahsia yang tersembunyi di dalam dirinya.
"Akhrinya isteri abang ni ngaku juga yang dia ni cintakan abang..." Danial tertawa riang, melihat reaksi isterinya. Senyuman lebar terukir di wajahnya, gembira kerana akhirnya Airis mengakuinya, walaupun secara tidak langsung.
Airis, yang mendengar pengakuan suaminya itu, turut menghamburkan tawanya. "Dia ke aku yang perangai macam budak-budak?" bisiknya dalam hati, sambil ketawa kecil. Rasa malu masih ada, tetapi bahagia mengatasi segalanya.
“Awak ni kenapa, sejak adik kahwin ni awak tu asyik termenung je, awak ada masalah ke?" soal Encik Mustafar, sambil memandang isterinya dengan wajah penuh tanda tanya. Tengku Diana terkejut, matanya terbeliak. Sejak bila pula suaminya duduk di sebelahnya ni?
"Ehh abang, bila masa pulak abang duduk sebelah saya ni?" Tengku Diana bertanya dengan nada yang agak terkejut, sambil meletakkan air kopi di tangannya dan meminumnya perlahan.
"Mana nak perasan, kalau asyik termenung je kerjanya... entah apalah yang buat isterinya itu risau semacam," jawab Encik Mustafar sambil mengerutkan dahi, merasa sedikit risau dengan perubahan yang jelas pada isterinya.
Tengku Diana menarik nafas panjang, cuba mencerna perasaannya. “Entah lah abang, lepas je adik balik dari tidur rumah Syah, adik dah lain, dah tak macam dulu,” katanya dengan nada sedikit melankolik.
Dia merenung jauh, memikirkan apa yang telah berubah dalam diri adiknya sejak pulang dari rumah Syah. Ada sesuatu yang tidak kena, tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkan perasaan itu.
“Apa yang lainnya, saya tengok sama je dia tu…” berkerut muka Encik Mustafar, cuba untuk memahami apa yang sedang dirisaukan oleh isterinya.
“ Itu pada abang, bukan saya. Saya rasa adik ni macam sorokkan sesuatu lah pada kita...” Tengku Diana menjawab dengan nada perlahan, seolah-olah bimbang jika apa yang dia rasa itu hanya anggapan kosong. Namun, hatinya tidak dapat menepis perasaan curiga yang semakin menebal.
“Perasaan awak je tu... Dah lah, tak payah fikir lagi, nanti awak pulak yang sakit... Dah jom masuk tidur,” ajak Encik Mustafah sambil mengambil cawan kosong dan meletakkannya di atas meja.
Tengku Diana mengeluh perlahan, tapi dia tidak membantah.
Dengan langkah perlahan, Tengku Diana mengikuti Encik Mustafah ke bilik.
****************************
Airis Medina terus menanggalkan apron yang dipakainya lalu disangkutkan ke kerusi. Rambut yang menutupi mukanya diselitkan ke tepi telinga dengan malas, memandang ke arah mii hon yang sedang disendokkan ke dalam pinggan.
Danial, yang baru selesai mandi, berjalan mendekati isterinya. Tanpa memberi amaran, dia memeluk pinggang Airis dari belakang.
"Ohh, Mak kau hijau!!!" Airis terkejut, hampir terjatuh ke depan apabila dipeluk tiba-tiba oleh suaminya. Suasana yang awalnya tenang itu bertukar menjadi penuh gelak tawa. Danial tidak dapat menahan ketawa melihat reaksi isterinya yang terkejut.
“Ishh, abang terkejut Dina tau...” Airis memuncungkan mulutnya, cemberut tanda protes dengan tindakan suaminya yang mengejutkannya tadi. “Tak sangka isteri abang ni, boleh melatah...” kata Danial sambil ketawa terbahak-bahak, sakit perut kerana terlalu terhibur dengan reaksi isterinya yang spontan.
Airis, yang sudah mula rasa geram dengan gelak tawa Danial, dengan cepat menarik apron yang bersangkut di kerusi. Dengan satu libasan, apron itu dilepaskan dan mengenai badan suaminya. "Jahat!" Airis mengomel, tetapi suaranya lebih terdengar seperti geram yang diselangi dengan rasa lucu.
Danial yang terkejut dengan tindakan isterinya hanya tersenyum nakal. Apron yang terlepas dari tangan Airis itu dirampas kembali dengan cepat.
“Sampai hati sayang, pukul abang…” Danial berkata sambil memegang bahagian tubuh yang dilibas dengan apron, wajahnya sedikit terkejut tapi ada senyuman nakal yang terpampang di bibirnya.
“Abang lah, suka sangat usik Dina, macam mana lah Dina tak geram...” Airis membentak sedikit, namun dalam hatinya terasa ada kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan. Tindakan suaminya yang penuh usikan itu memang membuatkan dirinya kadang-kadang geram, tetapi di sebalik itu, dia tahu itulah cara suaminya menunjukkan rasa sayang.
Kerusi ditarik perlahan dan disarankan kepada Airis. “Ok-ok, dah jangan marah-marahlah, meh sini duduk...” kata Danial dengan nada lembut, berusaha menenangkan isterinya. Tangan Airis dipegang lembut, ditarik perlahan ke arahnya, dan bahunya ditekan dengan kasih sayang yang begitu mendalam.
Airis, yang pada mulanya ingin terus merajuk, akhirnya mengalah dengan senyuman manis di wajahnya. “Sweetnya...” Airis berbisik sambil duduk di sebelah Danial. Sebuah senyuman terukir di bibirnya, memandang suami yang tampak begitu penyayang kali ini.
“Hari ni biar abang yang layan sayang...” Danial berkata sambil mengangkat pinggan mee hon yang telah disendukkan oleh Airis tadi dan diletakkan di hadapan isterinya. Kemudian, pinggan kosong yang tadi dihadiahkan oleh Airis, diletakkan di depan dirinya.
“Hari ni sayang tak payah kemas rumah, biar abang yang buat...” ucap Danial sambil menuangkan air ke dalam cawan isterinya, senyuman manis terukir di wajahnya.
Airis memandangnya dengan pandangan pelik, “Abang tak kerja ke?” soal Airis, tak percaya. Biasanya, Danial akan sibuk dengan kerja, jarang sekali mengambil cuti begitu saja.
“Tak, abang mintak cuti seminggu...” jawab Danial sambil matanya melirik ke arah isterinya, jelas kelihatan dia sengaja membuatkan suasana lebih santai dan nyaman hari itu.
“Lamanya abang cuti, rindu lah kekasih² abang kat pejabat tu...” balas Airis, dengan nada sinis, sedikit menggoda. Danial tersenyum nakal, dia tahu ini masa yang tepat untuk mengusik isterinya.
“Jeles ke....” tanya Danial, keningnya dijongketkan. Airis mengerutkan dahinya, nampak agak keliru dan sedikit marah dengan kenyataan itu.
“Buat apalah Dina nak jeles dengan kerja-kerja abang kat sana... ke abang ada perempuan lain kat pejabat?” balas Airis, mulutnya sedikit muncung, mata tajam memandang Danial, tidak puas hati.
“Manalah abang ada perempuan lain, abang sayang isteri ni sorang je lah...” Danial berkata sambil tersenyum, melihat Airis yang mencebikkan bibirnya dengan sedikit ketidakpuasan hati.
“Abang cuti ni sebab abang nak bawak sayang pergi honeymoon...” ucap Danial dengan penuh keterujaan. Wajah Airis serta-merta berubah, terkejut dan gembira. “Betul ke abang?” tanya Airis dengan nada tidak sabar, ingin mendapatkan kepastian.
Danial menganggukkan kepalanya dengan penuh keyakinan. “Betul, sayang. Kita akan pergi honeymoon.”
“Bila kita nak pergi?” tanya Airis lagi, matanya bersinar penuh harapan. Tanpa disangka, Danial mengelengkan kepalanya.
“Esok kita gerak sayang...” Danial berkata dengan tenang, sambil melihat Airis yang ingin bangun dari meja makan.
“Nak pergi mana?” tanya Danial, ingin memastikan.
“Nak kemas baju lah...” jawab Airis sambil tersenyum, tetapi langkahnya masih terburu-buru.
Danial mengeluh kecil, menyedari kegelisahan isterinya. “Ya Allah, nanti-nantilah sayang oi... makan dulu.”
Airis hanya menyengeh, “Makan je lah dulu, baru boleh kemas. Takkan nak lapar sepanjang perjalanan, kan?” ujarnya sambil kembali duduk, mengangkat garfu dengan penuh senyuman.
Danial hanya menggelengkan kepala, tetapi hatinya penuh dengan rasa sayang. “Ok, ok. Makan dulu, tapi lepas ni kita teruskan plan kita, ye?”
Airis terus mengangguk gembira, tak sabar untuk menikmati masa bersama suaminya dan akhirnya menuju ke destinasi yang dinanti.
DI KLIA
“Mummy, daddy, kami pergi dulu...” ujar Danial sambil tersenyum lembut, mencium tangan Puan Ain dengan penuh kasih sayang. Selepas itu, dia bergerak ke arah Megat Faizal dan mencium tangannya juga. Megat Faizal tersenyum bangga, melihat anak lelakinya yang penuh hormat.
Airis, yang berdiri di sebelah, cuba menahan sebak di dada. Dengan perlahan, dia memeluk Tengku Diana erat-erat, seakan tidak mahu melepaskan pelukan itu. Tengku Diana membalas pelukan anak kesayangannya, terasa hangatnya kasih sayang yang mengalir.
“Ya Allah adik, sudah-sudah lah tu, tak cukup nafas lah mama dibuatnya...” Tengku Diana ketawa kecil, namun jelas kelihatan raut wajahnya yang sayu.
Encik Mustafar hanya menggelengkan kepala melihat gelagat mereka berdua, dengan senyuman di bibirnya. Danial, yang berdiri di sebelahnya
Share this novel