BAB 46

Drama Series 2577

Sudah seminggu Airis dan Aidan keluar dari hospital, dan selama seminggu Airis dan Aidan berada di rumah agam Tengku Ali, tok daddy Airis.

“Adik, adik tak nak balik rumah Danial ke?” soal Tengku Diana sambil memandang anak perempuannya yang duduk di sofa bersama Aidan.

“Tak nak, adik nak duduk sini dengan mama,” jawab Airis cepat, seolah-olah pertanyaan itu sudah dijangka. Dia memandang ke arah Aidan yang sedang bermain dengan mainan kecil di atas pangkuannya.

Tengku Diana menghela nafas panjang. “Adik, mama faham adik rasa apa. Tapi sampai bila adik nak lari macam ni? Rumah Danial tu rumah adik. Aidan pun perlukan keluarga yang sempurna.”

Airis mengerutkan dahi, menahan rasa yang tiba-tiba menyerbu dadanya. “Mama, adik tak nak cakap pasal ni. Kalau Danial datang, mama bagi dia jumpa Aidan, tapi jangan suruh dia naik atas. adik tak nak jumpa dia.”

Tengku Diana memandang anaknya dengan penuh kasih sayang bercampur kekesalan. “Adik, mama cuma nak tengok adik bahagia. Tapi mama tak rasa ini caranya. Masalah takkan selesai kalau adik lari macam ni.”

Airis mengetap bibir, matanya tertancap pada Aidan yang sedang menggenggam jari kecilnya. “Mama, adik cuma perlukan masa. adik tak nak fikir pasal semua ni sekarang.adik tak bersedia.”

“Adik, mama tak nak paksa, tapi adik kena ingat, Aidan perlukan ayahnya. Danial bukan orang lain. Dia suami adik, papa Aidan. Adik tak boleh biarkan perkara ni berlarutan.”

Airis bangkit dari sofa dengan hati yang berbaur. “Mama, kenapa semua orang nak suruh adik balik rumah dia? adik tak nak! adik selesa kat sini. adik dengan Aidan ok. Itu dah cukup.”

Tengku Diana mendekati Airis, memegang lembut bahu anaknya. “Mama tak nak adik rasa mama berpihak pada Danial, tapi adik kena fikirkan tentang masa depan Aidan. Dia perlukan ibu dan ayahnya bersama. Mama cuma nak adik tahu, mama akan selalu ada untuk sokong adik, tapi lari daripada masalah bukan jalan penyelesaian.”

Airis menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Dia tahu mamanya ada benarnya, tapi hatinya masih belum bersedia untuk berdepan dengan Danial. Sebelum sempat dia membalas, bunyi loceng di pintu utama mengejutkan mereka.

Seorang pembantu rumah muncul dari arah dapur, berkata dengan suara sopan, “Puan, Encik Danial ada di luar.”

Airis memejamkan matanya seketika, cuba menahan perasaan yang berkecamuk. “Mama, tolong ingat apa yang adik cakap tadi. Jangan biarkan dia naik atas.”

Tengku Diana menggeleng perlahan. “Baiklah, mama akan bercakap dengan Danial. Tapi adik, mama harap adik fikir semula apa yang mama cakap tadi.”

Airis hanya mengangguk kecil, lalu mendukung Aidan dan melangkah menuju biliknya. Di dalam bilik, dia memandang Aidan yang tersenyum kecil sambil menghisap jari. Airis memeluk anak kecil itu erat.

“Aidan, maafkan mama. Mama tak tahu macam mana nak hadapi semua ni,” bisiknya sambil matanya berkaca.

Di ruang tamu, Danial berdiri dengan wajah sugul tetapi penuh harapan. “mama, saya nak jumpa dina. Saya nak cakap dengan dia.”

Tengku Diana tersenyum kecil, menepuk bahu menantunya. “Danial, adik masih perlukan masa. mama tahu kamu sayangkan dia, tapi beri dia ruang. mama janji akan cuba bantu.”

Danial mengangguk, walaupun hatinya berat. “mama, saya cuma nak dia tahu saya takkan berhenti berusaha. Saya akan buat apa saja untuk buktikan saya boleh jadi suami dan ayah untuk aidan.”

Tengku Ali mengetuk pintu bilik Airis sekali lagi sebelum melangkah masuk, wajahnya penuh dengan kasih sayang tapi disertai ketegasan yang tak mampu Airis abaikan.

“Airis, boleh tok daddy masuk?” ucapnya lembut tapi cukup tegas untuk memberitahu bahawa ini bukan permintaan biasa.

Airis yang sedang memeluk Aidan mengeluh kecil, seolah-olah sudah tahu apa yang akan diperkatakan. “Hmm, masuklah...” ucapnya tanpa menoleh, matanya masih tertumpu pada anak kecil yang sedang lena di pangkuannya.

Tengku Ali mendekat dan mengambil tempat di sebelah Airis. Dia memandang wajah cucunya yang suram, kelihatan letih namun penuh dengan rasa tak terucap.

“Airis, kenapa buat Danial macam tu? Pergilah jumpa dia sekejap. Dia ada tunggu di bawah,” ucap Tengku Ali dengan nada memujuk.

Airis mendengus perlahan, kepalanya menunduk, cuba mengelak pandangan tok daddynya. “Airis tak nak. Kalau tok daddy nak tengok muka dia, tengoklah sorang-sorang. Jangan ajak Airis,” ucapnya dingin, penuh dengan tekad untuk menolak permintaan itu.

Tengku Ali menarik nafas panjang, wajahnya sedikit berubah menjadi lebih serius. “Tok daddy tak kira, Airis. Airis kena juga turun bawah. Kalau Airis tak kesiankan Danial, kesianlah pada Aidan. Dia cicit tok daddy. Takkan Airis tak fikir perasaan Aidan? Mesti dia rindu papa dia.”

Airis memandang wajah Aidan yang sedang tidur nyenyak, bibirnya mengetap rapat. Hatinya mula terusik, tapi dia enggan menunjukkan kelemahannya.

“Tapi tok daddy, Airis tak kuat. Airis tak boleh... Airis takut. Dia dah buat Airis rasa tak dihargai. Rasa macam orang asing dalam hidup dia. Macam mana Airis nak hadap dia sekarang?” ucap Airis perlahan, suaranya sedikit bergetar, cuba menahan emosi yang bergelora di dalam.

Tengku Ali tersenyum nipis, cuba menenangkan Airis. “Airis, setiap perkahwinan ada ujiannya. Kalau Airis tak beri peluang pada Danial, macam mana Airis tahu dia dah berubah? Tok daddy tahu hati Airis terluka, tapi Airis kena cuba, demi keluarga kecil Airis ni.”

Airis mengalihkan pandangan, cuba mencari kekuatan. “Tok daddy, Airis tak nak kecewa lagi. Airis tak tahu kalau Airis mampu maafkan dia...” ucapnya, suaranya hampir tersekat.

“Apa yang Airis rasa sekarang ni adalah normal. Tapi ingat, Airis ada Aidan. Dia perlukan ibu dan ayahnya bersama. Kalau bukan untuk Danial, buatlah untuk Aidan. Tok daddy percaya Airis kuat, lebih kuat daripada apa yang Airis sangka,” kata Tengku Ali sambil menyentuh bahu cucunya.

Airis menghela nafas berat, matanya berkaca-kaca memandang Aidan. “Kalau Airis turun, tok daddy janji Danial takkan paksa Airis apa-apa?”

Tengku Ali mengangguk perlahan. “Tok daddy janji. Danial hanya nak peluang untuk berbual dengan Airis. Itu saja.”

Airis memejamkan matanya rapat, cuba menguatkan hati. Dia tahu tok daddynya hanya mahu yang terbaik untuknya. Dengan berat hati, dia akhirnya mengangguk perlahan.

“Baiklah, tok daddy. Airis turun. Tapi sekejap saja. Kalau dia buat Airis rasa tak selesa, Airis naik balik,” ucapnya dengan nada tegas.

Tengku Ali tersenyum puas, merasa lega kerana Airis akhirnya bersetuju. “Itu saja yang tok daddy minta, Airis. Bagi ruang untuk perbaiki semuanya.”

Airis bangun perlahan-lahan dari katil, memegang erat Aidan yang masih lena di pelukannya. Langkahnya ke pintu terasa berat, namun dia tahu ini adalah langkah pertama untuk memperbaiki hubungannya dengan Danial.

...

“Awak nak bual apa dengan saya, Danial?” soal Airis dengan nada dingin, matanya merenung Danial penuh rasa waspada.

Danial melangkah perlahan mendekati Airis dan Aidan, seolah-olah takut pergerakan yang terlalu cepat akan membuatkan Airis lari darinya. Dia memandang wajah anaknya yang lena di dokongan Airis, lalu memberikan ciuman lembut di dahi Aidan.

Namun, ketika Danial cuba mencium dahi Airis, wanita itu segera memalingkan wajahnya. Perbuatan itu seperti tamparan halus kepada Danial. Dia terhenti, kelihatan sedikit tergamam.

“Tak payah lah cium saya. Saya tak suka,” ucap Airis tegas, nadanya jelas menunjukkan dia tidak mahu sebarang bentuk kemesraan darinya.

Danial menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Dia tahu Airis masih terluka, dan semua ini adalah salahnya. “Sayang...” Danial memulakan bicara dengan lembut, berharap nada itu mampu mencairkan hati Airis. “Abang mintak maaf. Abang tahu abang salah. Abang tak patut paksa sayang masa kat hospital hari tu. Abang tak patut marahkan sayang.”

Airis mendengus kecil, matanya sedikit berkaca. Dia melirik ke arah Danial, tapi dengan cepat mengalihkan pandangannya semula. “Dah lah, Danial. Saya dah tak nak dengar lagi. Saya penat...” ucapnya, nada suaranya rendah, tapi penuh dengan keletihan emosi yang sukar disembunyikan.

Danial menggigit bibirnya, jelas kelihatan dia cuba menahan rasa kecewa. “Sayang, abang tahu abang banyak buat salah. Tapi abang cuma nak... nak peluang untuk perbaiki semuanya. Abang tak nak hilang sayang, abang tak nak kehilangan Aidan.”

Airis memandang Aidan seketika, bayi kecil itu tampak tenang dalam pelukannya, tidak terkesan dengan pergolakan emosi di antara kedua orang tuanya. Dia menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. “Danial, peluang tu dah lama saya bagi. Tapi awak hancurkan semuanya. Awak ingat senang ke nak lupakan semua tu?”

“Abang tahu. Abang tahu sayang terluka. Tapi abang janji, abang akan buat apa saja untuk betulkan semuanya. Abang cuma minta satu peluang lagi, dina,” kata Danial, suaranya semakin merendah, penuh dengan penyesalan.

Airis mendongak, matanya bertemu dengan mata Danial yang jelas menunjukkan rasa bersalah. Hatinya berbelah bahagi. Sebahagian dirinya ingin memberi peluang untuk kebaikan Aidan, tapi sebahagian lagi masih terperangkap dalam rasa sakit dan kecewa.

“Danial, saya tak tahu...” ucap Airis perlahan, suaranya hampir tenggelam. “Saya tak tahu kalau saya mampu maafkan awak. Saya takut.”

“Sayang, abang tak akan paksa. Abang cuma nak sayang tahu, abang ada di sini. Abang tak akan pergi mana-mana. Kalau sayang perlukan masa, ambillah masa tu. Abang cuma nak sayang tahu abang tak akan putus asa,” kata Danial, nadanya penuh kesungguhan.

Airis terdiam, perasaan bercelaru di wajahnya jelas terlihat. Dia tahu Danial cuba berubah, tapi luka di hatinya masih terlalu segar untuk dibaiki. Dia memeluk Aidan erat, seolah-olah bayi kecil itu menjadi satu-satunya kekuatan yang dia ada saat ini.

“Danial... kita tengok dulu. Saya tak janji apa-apa,” akhirnya Airis bersuara, memberikan jawapan samar yang membuatkan Danial sedikit lega walaupun jauh dari puas.

“Abang faham. Terima kasih, sayang,” jawab Danial sambil tersenyum nipis. Dia tahu ini adalah langkah kecil, tapi dia bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang ini.

Malam itu, suasana rumah sunyi, hanya tangisan Aidan yang memecah keheningan. Airis mundar-mandir di dalam biliknya, mendukung Aidan yang tidak henti-henti menangis. Wajahnya jelas menunjukkan rasa panik dan bingung.

“Aidan, kenapa ni, sayang? Susu mama dah bagi, pampers dah tukar, kenapa menangis lagi?” ujar Airis, suaranya bergetar menahan lelah. Dia cuba memujuk anak kecil itu dengan mengayunkan badannya perlahan, tapi tangisan Aidan semakin kuat.

Encik Mustafa yang mendengar tangisan cucunya dari bilik sebelah keluar dan mengetuk pintu bilik Airis. “Adik, papa masuk boleh?”

“Masuklah, papa,” jawab Airis lemah.

Encik Mustafa masuk dan melihat wajah Airis yang penuh dengan keletihan dan kekusutan. Dia melangkah mendekati Airis, kemudian mengambil Aidan dari dukungan anaknya itu. “Bagi Aidan kat papa. Adik duduk dulu,” katanya lembut sambil memujuk Aidan yang masih menangis.

Namun, meskipun dalam dakapan Encik Mustafa, Aidan tetap tidak berhenti menangis. Bayi kecil itu terus menggeliat, seolah-olah mencari sesuatu yang tidak ada.

“Adik, Aidan ni mesti rindu papa dia. Adik sampai bila nak pertahankan ego adik tu? Sampai Danial dah putus asa?” kata Encik Mustafa dengan nada lembut tapi tegas, memandang wajah Airis yang berubah.

Airis terdiam, kemudian duduk di hujung katil sambil memeluk lututnya. Dia memandang Aidan yang masih menangis, matanya mulai berkaca. “Baguslah kalau dia putus asa, papa. Adik dah tak boleh paksa diri adik lagi,” katanya perlahan, seolah-olah berkata kepada dirinya sendiri.

Encik Mustafa mengerutkan dahi, memandang Airis penuh rasa ingin tahu. “Kenapa adik cakap macam tu? Danial sayang adik, dia sanggup buat apa saja untuk keluarga ni. Apa lagi yang buat adik takut?”

Airis menarik nafas dalam, cuba menahan rasa sebak yang semakin mencengkam. “ adik tak ingat papa. Memori tu tak ada. Adik rasa macam orang asing dalam hidup dia. Adik takut kalau sampai bila-bila adik tak dapat ingat memori adik dengan dia... Adik tak nak tipu diri adik, papa,” ujarnya dengan suara bergetar.

Encik Mustafa meletakkan tangan di bahu Airis, memberi sokongan. “Adik, hidup ni bukan selalu tentang ingat atau lupa. Kadang-kadang, apa yang lebih penting adalah apa yang ada depan mata kita sekarang. Danial ada. Dia tak pernah tinggalkan adik walaupun adik lupa semuanya. Itu pun dah cukup besar untuk tunjukkan dia ikhlas dengan adik.”

Airis memandang wajah Aidan yang mulai tenang di pelukan Encik Mustafa, matanya yang berkaca mulai bergenang. Kata-kata papanya seolah-olah mengetuk hati kecilnya, membuatnya tersedar sesuatu yang selama ini cuba dinafikan.

“Tapi... macam mana kalau adik tak boleh cintakan dia lagi, papa? Kalau adik tak mampu beri apa yang dia harapkan?” soalnya perlahan, seperti suara seorang gadis kecil yang mencari jawapan.

“Adik, cinta itu bukan tentang apa yang dah hilang, tapi tentang apa yang adik bina sekarang. Kalau adik tak cuba, adik tak akan tahu. Beri peluang untuk diri adik, beri peluang untuk Danial. Bukan kerana ego, tapi kerana Aidan perlukan kedua ibu bapanya. Tak salah untuk cuba, adik,” pujuk Encik Mustafa, suaranya penuh kasih sayang.

Airis terdiam. Kata-kata papanya terus bergema dalam kepalanya, membuatkan hatinya sedikit terusik. Dia memandang Aidan yang kini sudah mulai lena dalam dakapan Encik Mustafa.

“Adik fikirkan dulu, papa tak paksa. Tapi ingat, Aidan perlukan papa dia, sama macam dia perlukan mama dia,” tambah Encik Mustafa sebelum melangkah keluar dari bilik, meninggalkan Airis untuk berfikir sendirian.

Airis mendongak, memandang ke luar tingkap yang diterangi cahaya bulan. Dalam diam, dia tahu ada benarnya kata-kata papanya. Tapi mampukah dia memaafkan dirinya sendiri dan memberi peluang kepada Danial? Soalan itu terus bermain di fikirannya.

Danial mengambil cawan kopi yang dihulurkan oleh Akim, meneguk perlahan sambil memandang kosong ke hadapan. Wajahnya kelihatan penat, seperti terbeban dengan sesuatu yang berat.

“Kau tahu, Kim, aku cuba untuk faham dia. Aku cuba untuk sabar, tapi makin hari aku rasa makin jauh. Airis Medina yang aku kenal dulu... dia dah tak ada, Kim. Sekarang dia macam orang asing,” luah Danial, suaranya sarat dengan kesedihan.

Akim mengangguk perlahan, menyandarkan tubuh ke sofa sambil memerhatikan wajah sahabat baiknya itu. “Kau kena ingat, bro. Apa yang Airis lalui bukan benda kecil. Dia hilang ingatan, Danial. Hilang memori tentang kau, tentang segala yang kau bina dengan dia. Kau tak boleh expect dia jadi macam dulu sekelip mata,” ujar Akim, cuba memberi perspektif.

Danial menarik nafas panjang, meraup wajahnya dengan kedua-dua tangan. “Aku tahu, Kim. Tapi bila aku tengok dia sekarang... dia macam dah tak ada rasa percaya kat aku. Macam aku ni musuh dia. Dia marah aku, dia tolak aku jauh-jauh. Aku rindu dina yang dulu, yang sentiasa cuba buat aku tersenyum walaupun dia tengah stress. Sekarang ni, aku cuma rasa macam aku ni beban dalam hidup dia,” katanya, nada suaranya semakin perlahan di hujung.

Akim menepuk bahu Danial dengan lembut. “Aku faham, bro. Tapi kau kena ingat satu benda. Kau tak kahwin dengan Airis sebab kau nak hidup senang je. Kau kahwin dengan dia sebab kau cinta dia, kan? Cinta tu bukan untuk masa senang je. Masa susah macam ni lah kau kena buktikan cinta kau betul-betul ikhlas,” katanya tegas.

Danial tersenyum hambar, namun matanya jelas menunjukkan kekeliruan. “Aku takut, Kim. Aku takut kalau aku terus tunggu, terus bersabar, aku tetap tak dapat dina yang dulu. Aku takut kalau dia tak pernah nak ingat siapa aku dalam hidup dia.”

Akim menghela nafas panjang. “Kadang-kadang, kau tak perlukan Airis yang dulu. Kau kena belajar untuk jatuh cinta dengan Airis yang baru. Tak kira macam mana dia berubah, dia tetap isteri kau, Danial. Kau dah pilih dia dulu, sekarang pun kau kena pilih dia lagi,” kata Akim, matanya tajam memandang Danial.

Danial terdiam, memikirkan kata-kata sahabat baiknya itu. Dia tahu Akim ada benarnya, tapi rasa kecewa dan ketakutannya masih menghantui.

“Kim, aku cuma nak dia bahagia. Tapi kalau bahagia dia tak ada aku dalam hidup dia, aku rasa aku kena lepaskan dia...” ucap Danial perlahan, seperti berkata kepada dirinya sendiri.

Akim menggeleng. “Jangan cakap macam tu, bro. Belum masanya untuk kau fikir tentang lepaskan. Kau belum cuba semua cara. Kalau kau betul sayangkan Airis dan Aidan, kau kena fight untuk keluarga kau. Kalau kau give up sekarang, aku jamin kau akan menyesal seumur hidup,” balas Akim, nadanya penuh keyakinan.

Danial hanya mampu mengangguk perlahan. Malam itu, perbualannya dengan Akim membuka matanya sedikit tentang tanggungjawab dan perasaannya. Tapi dia tahu, perjalanan untuk meraih kembali kepercayaan dan cinta Airis Medina masih panjang dan penuh cabaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience