bab 52

Drama Series 2577

“Tak apa, Nek Wan, Dina ok. Abang bawa Nek Wan pergi hospital,” ucap Airis sambil memegang kepalanya yang semakin berdenyut. Wajahnya pucat, namun dia cuba menyembunyikan rasa sakit yang kian mencengkam.

“Dina, Nek Wan ok, cuma sakit pinggang je. Tak apa, tak teruk pun. Dina yang teruk ni, sakit Dina tak boleh buat main. Dina tahu tak, orang yang hilang ingatan ni tak akan ada dosa sebab mereka tak ingat kesalahan lama. Dina kena jaga diri,” kata Nek Wan sambil mengusap bahu Airis dengan penuh kasih sayang, walaupun tubuhnya sendiri terasa lemah.

Airis menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. “Tak apa, Nek Wan. Dina… Dina naik atas dulu nak rehat,” katanya perlahan, tanpa menyedari langkah kakinya semakin goyah.

“Danial, tolong bawa isteri kamu naik ke atas. Dia nampak lemah sangat ni,” kata Nek Wan, risau melihat keadaan Airis.

“Tak apa, Nek Wan. Danial nak teman Nek Wan dulu. Dina boleh naik sendiri, kan?” balas Danial dengan suara sedikit tegas, cuba menahan rasa marah yang masih bersisa.

Airis mengangguk perlahan, walaupun wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak selesa. “Dina naik dulu…” katanya sambil melangkah perlahan ke arah tangga. Namun, baru sahaja dia melangkah menaiki satu anak tangga, tubuhnya hilang imbangan. Airis jatuh terkulai ke lantai dengan bunyi hentakan kuat. Kepalanya terhentak ke sudut anak tangga, meninggalkan kesan darah yang mula mengalir.

“dina!” jerit Danial dengan panik. Dia meluru ke arah Airis, memeluk tubuh isterinya yang tidak sedarkan diri. “Dina, bangun! Jangan buat abang takut macam ni!” suaranya serak, menggambarkan ketakutan yang amat sangat.

“Ya Allah, Danial! Cepat, angkat Dina! Kita kena bawa dia ke hospital sekarang juga!” Nek Wan bersuara cemas, cuba bangun dari duduknya walaupun sakit di pinggangnya masih terasa.

Danial mendukung Airis dengan hati-hati, darah yang mengalir dari kepalanya membuatkan dia semakin cemas. Dia terus membawa Airis ke kereta tanpa membuang masa. “Nek Wan, masuk kereta cepat! Kita kena pergi sekarang!” arahnya sambil memastikan tubuh Airis selesa di tempat duduk belakang.

Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta penuh dengan kebimbangan. Nek Wan yang duduk di sebelah Airis memegang tangannya erat, membaca doa perlindungan berulang kali. “Dina, kuatkan semangat, cu. Nek Wan ada dengan Dina. Jangan tinggalkan kami…” katanya dengan suara tersekat-sekat.

Danial pula memandu dengan kelajuan tinggi, namun matanya kerap kali memandang ke cermin belakang, melihat wajah pucat isterinya yang tidak bergerak. Hatinya diselubungi rasa bersalah yang mendalam. “Kalau abang tak biarkan Dina naik sendiri tadi, benda ni takkan jadi,” bisik hatinya penuh kesal.

Setibanya di hospital, Airis segera dibawa ke bilik kecemasan. Danial hanya mampu berdiri di luar pintu, menanti dengan penuh debaran. Nek Wan duduk di kerusi berhampiran, wajahnya penuh kebimbangan.

“Danial…” Nek Wan memanggil perlahan. “Kamu jangan salahkan diri kamu. Dina sakit, dia perlukan kamu. Jangan abaikan dia hanya kerana kamu marah tadi.”

Danial mengeluh panjang, matanya masih tertumpu pada pintu bilik kecemasan. “danial tak patut tinggikan suara pada dia, Nek Wan. danial sepatutnya faham yang Dina tak sihat. Kalau apa-apa jadi pada dia…” Danial tidak mampu meneruskan ayatnya, matanya mula berkaca.

Beberapa jam kemudian, seorang doktor keluar dari bilik kecemasan. “Encik Danial, Puan Airis stabil buat masa ini. Tapi hentakan di kepalanya agak kuat, dan kami perlu lakukan imbasan untuk memastikan tiada kerosakan dalaman pada otaknya,” kata doktor itu dengan nada serius.

Danial mengangguk, walaupun rasa risau masih tidak hilang. “Doktor, tolong pastikan isteri saya selamat. Apa pun yang perlu dilakukan, saya akan tanggung semua kos.”

Doktor tersenyum kecil, memberi isyarat supaya Danial tidak terlalu cemas. “Kami akan buat yang terbaik. Sementara itu, sila beri dia masa untuk berehat.”

Danial mendekati katil di mana Airis sedang terlantar dengan wajah yang lemah. Dia duduk di sebelahnya, memegang tangan isterinya dengan erat. “Dina, abang minta maaf. Abang janji, abang tak akan biarkan Dina rasa bersendirian lagi. Abang sayang Dina,” katanya dengan suara bergetar, walaupun dia tahu Airis masih tidak sedarkan diri.

Danial masih duduk di sisi katil Airis, tidak berganjak walau sedetik. Matanya tidak lepas memandang wajah pucat isterinya. Jari-jemari Airis yang dingin digenggam erat seolah-olah berharap sentuhannya dapat memberi semangat untuk Airis kembali sedar.

Nek Wan yang berada di sudut bilik hanya mampu memandang dengan hati yang berat. Dia tahu Danial sedang bergelut dengan perasaan bersalah, tetapi dia juga tahu bahawa ini adalah masa untuk mereka sama-sama kuat demi Airis.

“Danial, nek Wan tahu kamu risau. Tapi kamu kena makan dulu. Kalau kamu jatuh sakit, siapa nak jaga Dina nanti?” Nek Wan menasihati lembut.

Danial menggeleng. “Danial tak boleh makan, Nek Wan. Selagi Dina tak bangun, selagi tu Danial tak boleh tenang.” Suaranya lirih, jelas menunjukkan betapa dalam rasa cintanya terhadap Airis meskipun hubungan mereka penuh konflik.

Nek Wan mendekati Danial, menepuk bahunya perlahan. “Kamu dah buat yang terbaik, cu. Apa yang berlaku bukan salah kamu. Dina memang sakit, dan Allah yang menentukan semua ni. Kamu cuma kena teruskan doa, tawakal. Dina kuat, dia akan bangun nanti.”

Danial mengangguk perlahan, walaupun hatinya masih tidak tenteram. Dia kembali menatap wajah Airis. Beberapa kenangan mula bermain di fikirannya — senyuman Airis, tawa manisnya, cara dia memanggilnya “abang” dengan nada manja. Hatinya terasa pedih mengenangkan betapa dia sering membiarkan kemarahan menguasai dirinya hingga melukai wanita yang dia mula sayangi sepenuh hati.

“Dina, abang minta maaf. Abang janji, lepas ni abang akan jaga Dina dengan lebih baik. Abang takkan marah-marah Dina lagi, abang janji.” Danial berbisik sambil mengusap lembut tangan Airis. Sebuah titisan air mata mengalir di pipinya.

Tiba-tiba, Airis menggeliat perlahan, membuatkan Danial dan Nek Wan tersentak. Mata Airis terbuka sedikit, pandangannya kabur sebelum dia akhirnya memandang Danial. “Abang…” suaranya serak dan perlahan, hampir tidak kedengaran.

“Dina! Ya Allah, Dina sedar! Sayang, abang ada kat sini,” ucap Danial dengan nada penuh kelegaan. Dia mencium tangan Airis berkali-kali. Nek Wan tersenyum lega di sisi mereka, mengucap syukur berulang kali.

“Dina sakit kepala, abang…” Airis mengadu perlahan sambil cuba duduk, tetapi Danial segera menahannya.

“Jangan gerak dulu, sayang. Dina baru lepas pengsan. Doktor kata Dina kena banyak rehat.” Danial memegang bahu Airis dengan lembut, membantunya baring semula.

Nek Wan mendekati Airis, memegang pipi cucu menantunya dengan penuh kasih. “Alhamdulillah, Dina dah sedar. Nek Wan risau sangat tadi.”

Airis tersenyum lemah. “Dina minta maaf, Nek Wan. Dina tak sengaja tadi, Dina marah sampai tolak Nek Wan. Dina tak ingat apa-apa lepas tu.”

“Tak apa, cu. Nek Wan tak ambil hati. Yang penting Dina selamat. Lepas ni, Dina kena dengar cakap Danial, ya. Jangan degil sangat.” Nek Wan berkata sambil mengusap rambut Airis.

Airis mengangguk perlahan, matanya mula berkaca. “Dina takut, Nek Wan. Kepala Dina sakit sangat tadi. Dina rasa macam Dina tak akan bangun lagi.”

Danial menggenggam tangan Airis erat. “Sayang, abang takkan biarkan apa-apa jadi pada Dina. Abang akan pastikan Dina sembuh sepenuhnya. Tapi Dina kena janji dengan abang, jangan buat abang risau macam ni lagi.”

Airis memandang wajah Danial, air matanya mula mengalir. “Dina janji, abang. Dina takkan buat abang risau lagi. Dina… Dina sayang abang.”

Mendengar pengakuan itu, hati Danial terasa sebak. Dia tahu hubungan mereka masih banyak liku yang perlu dilalui, tetapi saat ini dia yakin satu perkara — Airis adalah keutamaannya. “Abang pun sayang Dina. Lebih daripada apa yang Dina sangka.”

Nek Wan tersenyum sambil menyapu air matanya. Melihat kasih sayang antara Airis dan Danial memberikan harapan baru bahawa mereka akhirnya akan bahagia, meskipun perjalanan mereka penuh ujian.

Danial memandang wajah Airis yang masih kelihatan pucat tetapi kini tenang. Mereka berdua duduk di sebuah bangku kayu kecil di halaman rumah, dikelilingi pokok bunga yang mekar. Malam yang dingin dengan angin sepoi-sepoi menambah suasana syahdu antara mereka.

“Sayang, sayang dah ingat ke?” soal Danial perlahan, nada suaranya penuh harapan tetapi juga berhati-hati.

Airis mengerutkan dahi, seolah-olah cuba memahami maksud Danial. “Hmm... kenapa abang tanya macam tu?” balasnya sambil memandang jauh ke hadapan, cuba mengelak daripada bertentang mata dengan suaminya.

Danial tersenyum kecil, tetapi senyuman itu penuh makna. “Sebab abang tengok sejak sayang keluar hospital, sayang banyak diam. Sayang tak macam Dina yang sebelum ni. Sayang lebih tenang, lebih lembut... macam Dina yang abang kenal dulu. Sayang tahu tak, ni tempat yang selalu Dina duduk dulu bila Dina stress dengan mak long?”

Airis memandang sekeliling, tempat itu memang terasa sangat akrab dengannya. Ada kenangan samar yang berputar di mindanya, tetapi ia seperti puzzle yang belum lengkap. “Hmm, entah lah... cuba abang teka, Dina dah ingat belum?” balas Airis sambil mengusap lembut luka di dahinya.

Danial mendekatkan wajahnya sedikit, cuba membaca reaksi isterinya. “Abang rasa... dengan cara Dina ni, Dina dah ingat, kan?” soalnya, separuh yakin tetapi masih menunggu jawapan pasti.

Airis tersenyum tipis, tetapi ada sedikit kepiluan di wajahnya. “Kalau macam tu, abang percaya je dengan perasaan abang tu...” katanya, seolah-olah memberikan harapan tetapi tidak sepenuhnya mengesahkan.

Danial menghela nafas perlahan. “Dina... abang tahu, mungkin susah untuk Dina nak ingat semuanya. Tapi abang tak kisah kalau Dina perlukan masa. Abang akan sentiasa ada untuk Dina, tak kisah Dina ingat atau tak, abang tetap sayangkan Dina.”

Airis memandang Danial kali ini dengan mata yang mula berkaca. “Kenapa abang baik sangat dengan Dina? Dina ni banyak buat salah dengan abang, dengan semua orang. Dina rasa Dina tak layak pun dapat semua ni...” suaranya bergetar, hampir pecah dengan tangisan.

Danial mengenggam tangan Airis dengan lembut. “Sayang, semua orang buat salah. Tapi yang penting, Dina cuba berubah. Abang tak kisah apa yang dah berlaku sebelum ni, yang penting sekarang Dina ada dengan abang, dengan Aidan. Kita bina hidup baru, ok?”

Airis mengangguk perlahan. Dalam hatinya, dia tahu Danial ikhlas. Namun, dia masih bergelut dengan ingatannya yang kabur dan perasaan bersalah terhadap segala yang telah terjadi. Dia berjanji dalam hati, apa pun yang berlaku, dia akan cuba menjadi isteri dan ibu yang lebih baik.

“Akak nak ikut Zira pergi pekan tak?” soal Azira dengan wajah ceria, menunggu reaksi kakak sepupunya yang kini kelihatan lebih tenang daripada sebelumnya.

“Pekan? Boleh juga. Lagipun dah lama tak keluar. Akak nak beli barang dapur sikit untuk Nek Wan. Kasihan dia, asyik masak dengan barang yang tak cukup,” balas Airis sambil tersenyum kecil.

Azira terkejut mendengar jawapan itu. “Betul ke kak? Dah lama Ira tak pergi pekan dengan akak. Masa dulu seronok sangat jalan sama-sama,” katanya dengan nada teruja, seperti mengimbau kenangan lama.

Airis tersenyum nipis, namun di hatinya rasa bercampur-baur. “Ya ke? Hmm, tak ingat sangatlah. Tapi kalau Zira cakap seronok, mesti seronok,” balasnya perlahan, cuba untuk menyelami semula detik-detik yang mungkin hilang dari ingatannya.

“Ke...akak nak tukar fikiran?” usik Azira dengan nada gurauan, cuba membaca perubahan di wajah Airis.

“Taklah. Akak naik atas kejap, nak tukar baju. zira tunggu kat sini,” jawab Airis sambil melangkah ke tangga.

---

Di bilik, Airis berdiri di depan almari pakaian, membelek-belek baju yang tergantung. Dia mengeluh perlahan, terfikir apa yang sesuai untuk dipakai ke pekan. Setelah beberapa saat, dia memilih blouse putih lembut yang dipadankan dengan seluar jeans biru. Pandangannya jatuh pada cermin, memerhatikan dirinya. Luka kecil di dahinya masih jelas kelihatan, membuatkan dia terkenang semula kejadian yang berlaku beberapa hari lalu.

“Kenapa rasa macam pelik nak pergi pekan?” bisiknya pada diri sendiri.

Dia menarik nafas panjang dan menyarungkan kasut yang selesa sebelum melangkah keluar.

---

Di ruang tamu, Azira sudah bersiap sedia dengan beg kecil tergantung di bahunya.

“Akak lambatlah. Nak pergi pekan pun macam nak pergi majlis besar,” usik Azira sambil tersenyum nakal.

Airis mencebik. “Eh, zira ni, banyak cakap pula. Akak ni jaga penampilan. Bukan macam zira, asal keluar je terus rembat apa yang ada.”

Azira ketawa besar mendengar gurauan itu. “Yelah-yelah, jom cepat. Kereta kat luar dah panas tu.”

Mereka masuk ke dalam kereta dan Azira mula memandu ke pekan. Suasana sepanjang perjalanan agak tenang. Di tepi jalan, pemandangan sawah menghijau menenangkan mata. Azira berbual tanpa henti, menceritakan perubahan pekan yang kini lebih moden.

“Akak tahu tak, pekan ni dah macam bandar kecil. Tapi kedai-kedai lama yang akak selalu pergi dulu masih ada tau. Akak mesti ingat nanti,” katanya dengan penuh semangat.

Airis mengerutkan dahi, cuba mengingati sesuatu. “Entahlah, Azira. Rasa macam jauh sangat dengan kenangan tu. Akak tak pasti boleh ingat lagi ke.”

Azira tersenyum. “Takpe, Kak Dina. Kejap lagi bila akak nampak sendiri, mungkin akak teringat semula.”

---

Sesampai di pekan, mereka terus ke pasar tradisional. Suasana di situ penuh dengan bunyi peniaga yang sibuk menawarkan barangan, aroma rempah yang menyegarkan, dan pelanggan yang bergerak ke sana sini. Airis memandang sekeliling, rasa nostalgia mula hadir.

“Eh, ni pasar yang zira cakap tu?” tanya Airis sambil melihat suasana sibuk di sekitarnya.

“Ya, akak selalu datang sini dengan Nek Wan dulu. Akak suka pilih buah-buahan sendiri. Ingat tak?” tanya Azira, cuba mencetuskan ingatan kakaknya.

Airis hanya tersenyum samar. Dia mengambil bakul yang disediakan dan mula memetik beberapa barang dapur, memilih dengan cermat.

“Sayur apa Nek Wan suka masak?” tanya Airis, memandang Azira.

“Bayam. Nek Wan selalu buat sup bayam untuk akak dulu,” jawab Azira sambil menghulurkan seikat bayam segar.

Airis termenung seketika, memegang bayam itu di tangannya. Perasaan halus menjalar di hatinya, seolah-olah kenangan lama cuba muncul kembali.

“Hmm, Nek Wan memang suka masak sup bayam. Akak... macam boleh ingat sikit,” kata Airis perlahan.

Azira tersenyum ceria. “Hah, tengok tu! Akak ingat dah. Jom cari barang lain pula. Lepas ni boleh beli buah rambutan kat hujung pasar, buah dia manis sangat.”

Airis mengangguk. Walaupun masih kabur, dia berasa lega kerana sedikit demi sedikit ingatannya kembali.

Aidan menangis kuat apabila dipegang oleh Mak Long. Tangisannya menggema dalam rumah, menarik perhatian semua orang yang ada di dalamnya.

“Eh, kau ni asal budak, asal aku pegang je kau nangis? Kau ni memang perangai tak jauh dengan mak kau,” herdik Mak Long sambil meletakkan Aidan kembali ke kerusi bayi dengan kasar.

Aidan terus menangis, suaranya semakin kuat, menyebabkan Nek Wan keluar dari dapur dengan wajah risau.

“ Long, kenapa cicit aku ni menangis kuat sangat? Buat apa dengan dia?” soal Nek Wan, cuba mendekati Aidan yang sedang merengek.

Namun, sebelum Mak Long sempat menjawab, pintu depan terbuka. Airis yang baru pulang dari pekan bersama Azira melangkah masuk, wajahnya berubah cemas apabila mendengar suara tangisan anaknya.

“Mak Long, apa ni?! Kenapa Aidan menangis macam ni?” soal Airis, terus menuju ke arah Aidan dan mendukung anak kecil itu dengan penuh kasih.

Mak Long menjeling tajam ke arah Airis, tidak puas hati dengan nadanya. “Budak ni menangis sebab manja sangat! Asal aku pegang je, terus melalak. Sama macam kau, perangai nak mengada je!”

Airis menepuk perlahan belakang Aidan, cuba menenangkannya. Wajahnya berubah garang. “Mak Long ni kenapa cakap macam tu? Marah anak saya macam dia buat salah besar. Kalau tak pandai nak jaga budak kecil, jangan pegang dia!”

Mak Long mendengus, tidak mahu mengalah. “Eh, dina, kau jangan nak kurang ajar sangat. Aku ni lebih tua dari kau. Budak ni menangis sebab perangai kau yang manjakan dia sangat!”

“Manja? Dia tu bayi, Mak Long! Dia perlukan kasih sayang, bukan suara keras macam ni! Cara Mak Long marah anak saya ni, macam Mak Long tak pernah ada anak kecil. Kalau anak Mak Long dulu dimarah macam ni, Mak Long rasa diorang okey ke?” balas Airis dengan nada tegas, sambil menggoyangkan badan Aidan perlahan untuk memujuknya.

Nek Wan segera meleraikan. “Sudahlah, dina, Long. Jangan gaduh depan budak. Kasihan Aidan, dia tak tahu apa-apa. Dah, dina, bawa Aidan masuk bilik, tenangkan dia,” pujuk Nek Wan dengan lembut.

Airis mendongak memandang Nek Wan. Wajahnya masih marah, tetapi dia menahan diri. “Baik, Nek Wan. Tapi lepas ni, kalau Mak Long pegang anak saya lagi, saya takkan diam!” katanya sambil berlalu masuk ke bilik.

Di dalam bilik, Airis duduk di atas katil sambil memeluk Aidan yang sudah mula berhenti menangis. Dia mengusap kepala anaknya dengan penuh kasih sayang.

“Sayang, jangan takut. Mama ada. Mama takkan biar siapa-siapa marah Aidan macam tadi, okey?” bisik Airis, cuba menenangkan dirinya juga.

Azira yang berdiri di pintu bilik hanya mampu melihat situasi itu dengan rasa simpati. “Kak Dina, sabar ya. Mak Long tu memang macam tu. Ira pun selalu kena masa kecil dulu,” katanya perlahan, cuba menenangkan Airis.

Airis hanya mengangguk sambil memandang wajah Aidan yang kini sudah tertidur dalam pelukannya. Di hatinya, dia berjanji untuk melindungi anaknya daripada sesiapa yang cuba menyakitinya, walaupun itu datang daripada ahli keluarganya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience