Airis termenung di sofa, matanya merenung kosong ke arah lantai. Perasaan penat dan kecewa bersarang dalam dadanya, seperti beban yang tidak mampu diangkat. Bunyi kipas angin yang berputar di atas kepala menjadi satu-satunya bunyi yang memecahkan kesunyian.
Ketukan di pintu membuat Airis tersentak. Dia segera bangkit dan melangkah ke arah pintu dengan langkah perlahan. Saat pintu dibuka, wajah Khairul, abang Aisyah, muncul dengan senyuman tipis yang cuba menyembunyikan kebimbangan.
"Khairul?" Airis bertanya, sedikit terkejut.
"Assalamualaikum, Airis. Syah suruh aku jenguk kau. Dia risau kau tak okey," kata Khairul sambil mengangguk.
Airis menarik nafas panjang, cuba menenangkan perasaannya. "Waalaikumsalam. Masuklah, bang."
Khairul melangkah masuk dan duduk di sofa. Airis mengambil tempat bertentangan dengannya. Suasana seketika menjadi hening, hanya terdengar bunyi kipas angin yang terus berputar.
"Airis, aku tahu kau sedang hadapi macam-macam sekarang. Syah pun cerita sikit-sikit. Kau okey?" Khairul memecahkan kesunyian, suaranya lembut tapi tegas.
Airis cuba tersenyum, tetapi senyuman itu tidak sampai ke matanya. "Saya tak tahu, bang. Kadang-kadang rasa macam nak menyerah. Semua benda rasa salah."
Khairul memandangnya penuh simpati. "Airis, dengar sini. Kau jauh lebih kuat daripada apa yang kau fikirkan. Hidup ni memang penuh ujian, tapi kau kena percaya, Tuhan takkan beri ujian yang kau tak mampu tanggung."
Airis tunduk, air matanya mulai bergenang. "Tapi bang... Danial dah tak macam dulu. Saya rasa macam saya ni beban pada dia."
Khairul mengetap bibir, cuba mengawal emosinya. "Airis, kau kena ingat. Kau berhak untuk bahagia. Kau tak patut rasa bersalah untuk perjuangkan diri sendiri. Kalau Danial tak mampu hargai kau, itu masalah dia, bukan salah kau."
Kata-kata itu menikam hati Airis, membuatkan dia terdiam. Khairul memegang bahunya lembut, memberi kekuatan.
"Kalau kau perlukan apa-apa, ingat, aku dan Syah sentiasa ada untuk kau," ucap Khairul sebelum bangun dan melangkah keluar.
---
Tidak lama selepas Khairul pergi, bunyi enjin kereta memecah kesunyian rumah. Airis menoleh ke tingkap dan melihat Danial keluar dari kereta dengan wajah tegang. Detik itu, dia tahu sesuatu buruk bakal terjadi.
Pintu rumah dibuka kasar. Danial berdiri di ruang tamu, pandangannya menusuk tajam ke arah Airis.
"Siapa lelaki tadi?!" suaranya bergema, nadanya penuh curiga.
"Abang Syah... Dia datang sebab risaukan saya," balas Airis dengan nada perlahan, cuba meredakan ketegangan.
Danial mendekat dengan langkah penuh amarah. "Waktu aku tak ada, kau ajak lelaki lain datang rumah?! Kau fikir aku bodoh?!"
Airis memandangnya dengan mata yang mula berkaca. "Danial, tolonglah. Dia cuma nak bagi kata semangat..."
"Kau jangan nak tipu aku!" bentak Danial sebelum menolak Airis dengan kasar. Tubuh Airis terhuyung-hayang, dan dia terjatuh, kepalanya terhantuk kuat pada bucu meja.
"Ahh!" jeritan kecil Airis bergema. Darah mula mengalir dari luka di kepalanya, membuatkan Danial tersentak.
"Airis!" suaranya berubah panik. Kemarahannya serta-merta lenyap, diganti dengan rasa bersalah yang menusuk dada. Dia melutut di sisi Airis, menggenggam wajah isterinya dengan penuh kekesalan.
"Ya Allah, aku tak sengaja! Dina, bangunlah!" Danial cuba mengejutkan Airis, namun tubuh kecil itu tidak memberikan sebarang reaksi.
Tanpa membuang masa, Danial mengangkat tubuh Airis dan membawanya ke kereta. Sepanjang perjalanan ke hospital, dia tidak henti-henti memohon maaf, suaranya bergetar menahan sebak.
---
Di hospital, Airis segera dibawa ke bilik rawatan. Danial duduk di ruang menunggu, wajahnya penuh kerisauan. Jari-jemarinya mengetuk lutut, menahan resah yang semakin memuncak.
Tidak lama kemudian, Aisyah tiba dengan langkah tergesa-gesa. Melihat Danial, wajahnya serta-merta berubah tegang.
"Danial! Kau dah buat apa sampai Airis jadi macam ni?!" jerit Aisyah, suaranya penuh amarah.
Danial memandangnya dengan mata merah, mencerminkan rasa bersalah yang tidak mampu disembunyikan. "Aku... aku tak sengaja, Syah. Aku hilang kawalan..."
"Hilang kawalan?! Kau tahu tak, kau tu suami dia! Sepatutnya kau lindungi dia, bukan sakitkan dia! Kau memang tak layak jadi suami!" hambur Aisyah dengan nada yang semakin tinggi.
Danial menunduk, tiada kata yang mampu diucapkan. Di dalam bilik rawatan, Airis terbaring kaku, menjadi saksi bisu kepada luka fizikal dan emosi yang semakin menyesakkan.
---
Aisyah memandang Danial dengan pandangan yang penuh kekecewaan. "Danial, aku nak kau tahu satu benda. Kalau kau terus macam ni, kau akan kehilangan dia, bukan sebab orang lain, tapi sebab kau sendiri."
Kata-kata Aisyah menusuk hati Danial, membuatkan dia termenung panjang, merenung betapa dalamnya luka yang telah dia ciptakan.
Doktor mengesahkan yang Airis Medina tidak mengalami kecederaan serius. Bagaimanapun, untuk memastikan keadaannya benar-benar stabil, dia perlu ditahan di wad untuk pemantauan lanjut.
Airis baru sahaja tersedar dari lena yang tidak nyenyak. Matanya perlahan-lahan dibuka, dan dia melihat dua figura yang dikenali berada di sisinya. Danial duduk dekat di sebelah kanan katil, wajahnya penuh kebimbangan. Sementara itu, Aisyah berdiri di sebelah kiri, memandang Airis dengan riak simpati bercampur serba salah.
“Dina okay? Sakit lagi ke?” Danial memecah kesunyian, nadanya lembut namun penuh rasa bersalah. Dia menyentuh bahu Airis dengan berhati-hati, cuba menenangkan isterinya.
Airis menjeling tajam, membuatkan Danial terdiam. Tanpa sepatah kata, dia cuba bangun dari katil, namun tubuhnya yang lemah tidak mengizinkan. Danial pantas ingin membantu, tetapi tindakannya dibalas dengan satu sentakan kecil dari Airis.
“Tak payah sentuhlah,” kata Airis keras, suaranya memecah suasana sunyi itu. Danial terkaku, tangan yang tadi ingin membantu kini tergantung di sisi.
Aisyah, yang menyedari ketegangan antara mereka, cuba mencairkan suasana. “Airis, doktor kata kau boleh balik esok. Tapi buat masa sekarang, rehat dulu, ya,” ucapnya lembut sambil mengusap rambut Airis dengan penuh kasih.
“Hmmm, aku ikut kau balik,” balas Airis, nadanya seakan acuh tak acuh. Namun kata-katanya membuatkan Aisyah terdiam, tidak tahu bagaimana mahu menjawab tanpa mengguris hati Danial.
Danial yang dari tadi memerhati, akhirnya bersuara. “Dina, balik dengan abang je lah. Dina kan ada rumah. Buat apa nak tinggal rumah orang?”
Airis memandang Danial dengan pandangan yang penuh kebencian. “Itu bukan rumah saya. Itu rumah awak,” katanya dingin. “Saya tak rasa saya ada tempat di situ.”
Kata-katanya bagaikan pisau yang menyayat hati Danial. Dia tidak menjawab, hanya menunduk memandang lantai, cuba menahan perasaan.
Aisyah cuba mengambil alih keadaan. “Airis, ikutlah suami kau balik. Tak elok duduk rumah orang, nanti jadi fitnah pula.”
Namun, Airis tidak mahu mendengar. “Kau yang kata semalam aku boleh ikut kau. Kenapa sekarang lain pula?!” balasnya dengan nada marah. Tangannya menepis kasar tangan Aisyah yang masih mengusap rambutnya tadi.
Aisyah menghela nafas panjang, cuba bersabar. “Ris, memang semalam aku yang ajak. Tapi kalau difikirkan balik, berdosa lah wey kalau keluar rumah tanpa izin suami. Kau pun tahu, kan?”
Airis memalingkan muka, tidak mahu mendengar sebarang alasan lagi. Dia kembali baring di katil dengan mata terpejam. “Dah lah, korang keluar. Aku nak rest,” katanya dingin, memberi isyarat jelas dia tidak mahu diganggu.
“Dina…” Danial memanggil lembut, namun Airis terus mendiamkan diri, tidak memberi sebarang reaksi.
“Danial, dah lah. Jom. Bagi dia rehat…” pujuk Aisyah perlahan, menarik lengan Danial untuk keluar dari bilik wad itu.
Di luar wad, Danial menyandarkan dirinya pada dinding koridor hospital. Matanya memandang lantai, fikirannya sarat dengan penyesalan. Aisyah berdiri di sebelahnya, memandang lelaki itu yang kelihatan seperti hilang arah.
“Dia perlukan masa, Danial. Kau pun kena sabar sikit. Airis tengah kecewa… mungkin dengan keadaan, mungkin juga dengan kau,” kata Aisyah dengan nada menenangkan.
Danial menghela nafas berat. “Aku tahu dia marah, Syah. Tapi aku tak sangka sampai macam ni. Aku cuma nak jaga dia… nak tebus semua salah aku…” suaranya bergetar, penuh emosi yang cuba disembunyikan.
Aisyah meletakkan tangannya di bahu Danial. “Aku faham. Tapi kau kena tahu, perempuan macam Airis ni… kalau hatinya dah terluka, nak pulihkan tu bukan kerja mudah. Kau kena tunjuk yang kau betul-betul ikhlas, betul-betul sayang dia.”
Danial memandang pintu wad yang tertutup rapat. Dalam diam, dia berjanji akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan rasa cintanya pada Airis. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tertanya-tanya… adakah Airis bersedia untuk memberi peluang kedua?
____________________________
Beg pakaian Airis diletakkan di atas sofa. Danial menghampiri Airis yang berdiri di muka pintu dengan langkah cemas. Wajahnya penuh kerisauan melihat Airis yang masih kelihatan lemah.
“Boleh tak ni?". tanya Danial lembut sambil menyentuh lengan Airis.
Airis menjeling sekilas, namun tidak berkata apa-apa. Dia membiarkan Danial memapahnya perlahan-lahan ke ruang tamu. Tapi apabila mereka sampai, Airis mula bersuara.
“Saya ni masih ada kaki lagi, boleh jalan sendiri. Dulu masa saya pantang, ada ke awak pimpin saya? Tak ada kan? Jadi buat je macam biasa!” suaranya keras, penuh dengan rasa terkilan.
Tangan Danial yang memegang lengannya ditepis kasar. Danial menarik nafas panjang, tidak membalas, hanya memerhati Airis yang perlahan-lahan melangkah ke sofa dan duduk.
Airis bersandar sambil memegang kepala yang masih berbalut. Jahitan di kepalanya terasa berdenyut, memaksa dia menutup mata seketika. Rasa pening dan sakit itu membuatkan emosinya semakin tidak stabil.
Danial berdiri di hadapan Airis, memerhati setiap gerak-gerinya dengan penuh kebimbangan. “Dina, abang cuma nak tolong. Jangan paksa diri sangat. Kalau sakit, beritahu abang, ya?”
Airis membuka mata, memandang Danial dengan pandangan dingin. “Tolong? Sekarang baru nak tolong? Masa dulu mana awak? Jangan buat macam awak kisahkan saya sangat…” Airis membalas dengan nada sinis, membuatkan Danial terkedu.
Danial menghela nafas perlahan, cuba menahan dirinya daripada melawan. “Abang tahu abang banyak salah dulu. Tapi abang tengah cuba, Dina. Tolonglah… bagi abang peluang…”
Airis memalingkan wajahnya, enggan mendengar. Dia mengalihkan tangannya dari kepala ke perut, menekan perlahan seolah-olah cuba meredakan rasa sakit yang bersilih ganti.
Melihat keadaan itu, Danial melangkah ke dapur, mengambil segelas air suam, dan kembali ke ruang tamu. Dia meletakkan gelas itu di meja kecil di sebelah Airis.
“Minum dulu, Dina. Abang tak nak gaduh dengan Dina. Abang cuma nak jaga Dina,” katanya perlahan sebelum berundur dan mengambil tempat di sofa bertentangan.
Airis memandang segelas air itu, namun tidak segera menyentuhnya. Dia terdiam, membiarkan suasana sepi mengisi ruang antara mereka. Dalam diam, fikirannya bergolak—antara rasa marah yang masih bersarang dan sedikit keinginan untuk menerima perhatian Danial.
Keesokan Harinya
Matahari pagi mula menyinari ruang tamu rumah itu, menembusi langsir nipis yang tidak ditutup sepenuhnya. Suasana tenang, hanya diselangi oleh bunyi kicauan burung di luar. Airis membuka matanya perlahan-lahan, wajahnya sedikit terkerut menahan rasa tidak selesa di kepala.
Dia memandang sekeliling, menyedari dirinya tertidur di sofa. Rasa dingin menyelubungi tubuhnya, dan ketika dia bergerak sedikit, dia perasan selimut nipis tersangkut pada badannya.
Selimut? Dia termenung sejenak. Siapa yang menyelimutkan dia malam tadi?
Langkah kaki kedengaran dari dapur. Danial muncul dengan cawan kopi di tangan. Dia memandang Airis yang baru bangun dengan wajah yang tenang, tetapi ada garis keletihan di matanya.
“Dina dah bangun? Nak kopi?” tanya Danial, suaranya lembut tetapi kedengaran hati-hati.
Airis tidak menjawab. Dia hanya memandang Danial sekilas sebelum memalingkan wajahnya ke arah lain. Perlahan, dia bangun dari sofa, membetulkan baju tidurnya yang sedikit berkedut.
“Kepala Dina masih sakit?” Danial bertanya lagi, cuba mendekati.
Airis mengangkat tangan, memberi isyarat supaya Danial berhenti. “Jangan risau sangat. Saya okey,” jawabnya pendek sambil melangkah perlahan menuju ke bilik air.
Danial hanya mampu memandang dari jauh. Dia tahu Airis masih tidak mahu berbicara dengannya, tetapi dia tidak akan berhenti mencuba.
Ketika Airis keluar dari bilik air, dia melihat meja makan sudah tersedia dengan sarapan sederhana—roti bakar, telur rebus, dan semangkuk kecil sup ayam. Airis terhenti, memandang meja itu dengan pandangan tidak percaya.
“Awak masak semua ni?” tanyanya dengan nada sinis.
Danial tersenyum kecil. “Ya. Abang tahu Dina tak lalu makan berat-berat, jadi abang buat sup je.”
Airis menjeling. “Macam pelik je awak ni. Sejak bila pandai ambil berat pasal saya?”
“Sejak abang sedar Dina adalah satu-satunya yang abang ada,” jawab Danial jujur, matanya memandang tepat ke arah Airis.
Airis tergamam sebentar, tetapi dia cepat-cepat menutup perasaannya. Dia melangkah ke meja makan, menarik kerusi dan duduk.
“Tengoklah kalau saya boleh makan ke tak. Kalau tak sedap, jangan salahkan saya kalau saya buang semuanya,” katanya dengan nada acuh tak acuh.
Danial hanya tersenyum. “Makan je, Dina. Abang tak kisah.”
Airis mengambil sudu, mencuba sup ayam itu perlahan-lahan. Rasanya sederhana tetapi cukup sedap untuk membuatkan dia terdiam seketika. Namun, dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi, sebaliknya meneruskan makan dalam diam.
Danial memerhati dari jauh. Melihat Airis makan walaupun tanpa sepatah kata sudah cukup untuk memberinya sedikit harapan.
Setelah selesai makan, Airis mengelap mulutnya dengan tisu tanpa memandang Danial. Dia bangun dan membawa pinggan ke singki, tidak berkata apa-apa.
“Dina,” panggil Danial, memecahkan keheningan.
Airis berpaling separuh, wajahnya tiada riak. “Apa lagi?”
Danial menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara, “Abang tahu Dina masih marah, masih sakit hati dengan abang. Abang takkan paksa Dina maafkan abang sekarang. Tapi, abang nak Dina tahu, abang tak akan berhenti cuba perbaiki semuanya. Beri abang masa, Dina.”
Airis memandangnya dengan pandangan kosong sejenak sebelum tersenyum sinis. “Masa? Awak ingat saya ada masa untuk dengar semua ni? Jangan mimpi, Danial. Awak mungkin dah berubah, tapi saya dah penat untuk berharap lagi.”
Dia meninggalkan Danial di ruang makan, langkahnya menuju ke bilik. Pintu bilik ditutup rapat, meninggalkan Danial seorang diri.
Danial berdiri di situ, matanya tertumpu pada pintu yang tertutup. Hatinya berat, tetapi dia tahu ini hanya permulaan. Dengan tekad yang semakin kuat, dia berbisik kepada dirinya sendiri, “Aku takkan putus asa. Dina berhak dapat suami yang lebih baik, dan aku akan jadi lelaki itu.”
Di sebalik pintu bilik, Airis bersandar dengan mata tertutup. Kata-kata Danial tadi berulang-ulang dalam kepalanya. Walaupun dia enggan mengakuinya, ada sesuatu dalam suara Danial yang membuatkan hatinya terusik. Namun, rasa sakit yang lama masih menghantui, menutup pintu untuk sebarang harapan baharu.
Dalam sunyi pagi itu, dua hati berjuang—satu berusaha untuk memenangi kembali cinta, dan satu lagi cuba melindungi diri daripada terluka sekali lagi.
Share this novel