“Sayang, sayang ok tak? Abang tengok sejak mummy balik, Dina asyik termenung je...” tegur Danial dengan nada lembut, sambil melabuhkan duduknya di sebelah Airis di sofa.
Airis tersentak sedikit dari lamunannya. Dia memandang Danial, cuba mengukir senyuman untuk menyembunyikan apa yang dirasakannya. “Tak ada apalah, Dina ok. Janganlah risau,” balasnya sambil mengelak pandangan mata Danial.
Namun, Danial tidak mudah tertipu. Dia kenal benar dengan Airis. Isterinya mungkin boleh menipu orang lain, tetapi tidak dia. “Betul ni? Abang tak suka tengok Dina simpan apa-apa sorang-sorang. Dina tahu kan, abang selalu ada untuk Dina?”
Airis tunduk, cuba menyusun ayat dalam kepalanya. Dia tahu Danial hanya ingin membantunya, tetapi hatinya masih berbelah bahagi untuk meluahkan. Akhirnya, dia mengalih topik. “Abang dah makan? Kalau belum, Dina boleh panaskan lauk tadi.”
Danial menarik nafas panjang. Dia tahu Airis cuba mengubah topik, tetapi dia memilih untuk tidak memaksa. “Abang dah makan tadi. Tapi, Dina, kalau ada apa-apa, cakap je dengan abang, ya? Jangan pendam. Abang tak nak Dina susah hati.”
Airis mengangguk perlahan, tetapi senyuman di wajahnya tidak sampai ke mata. Dia hanya memandang Aidan yang sedang lena tidur di buaian, cuba menenangkan perasaan dalam dirinya. Kenapa hati aku rasa berat sangat? bisiknya dalam hati.
Danial memerhatikan Airis dalam diam. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran isterinya, tetapi dia juga tahu masa akan membuatkan Airis lebih selesa untuk berkongsi. Buat masa ini, dia hanya boleh berada di sisi dan memberi sokongan.
“Kalau Dina tak nak cerita sekarang, tak apa. Tapi, abang harap Dina ingat, abang ada untuk Dina. Selalu,” kata Danial, sambil memegang tangan Airis dengan lembut.
Airis memandang tangan mereka yang bersatu, dan untuk seketika, dia merasa sedikit lega. “Terima kasih, abang,” bisiknya perlahan, hampir tidak kedengaran.
Danial tersenyum kecil. Dia mengusap tangan Airis dengan penuh kasih, berharap isterinya tahu bahawa dia tidak akan pernah meninggalkannya walau apa pun yang terjadi.
Keesokan harinya, di pejabat Danial, Jannah berdiri di hadapan meja bosnya dengan riak wajah penuh keyakinan, tetapi nadanya tetap sopan. “Bos, saya ingat saya nak berhenti kerja lah. Ialah, saya kan cuma ganti tempat isteri bos buat sementara waktu je. Lagi pun, saya ada anak kecil kat rumah, perlukan perhatian saya.”
Danial meletakkan pen di tangannya, memandang Jannah dengan serius. Dia tahu Jannah telah banyak membantu, terutama ketika Airis masih bergelut dengan ingatannya. Namun, dia juga memahami alasan wanita itu. “Macam ni lah, Jannah,” ucap Danial perlahan sambil menyandarkan diri ke kerusi. “Awak kerja je sini dulu, dalam dua bulan lagi. Saya rasa sekarang bukan masa sesuai untuk Airis balik bekerja.”
Jannah memandang bosnya dengan sedikit ragu. “Tapi bos, kalau puan Airis dah bersedia, saya tak nak ganggu pula. Lagipun, dia memang layak untuk kerja ni.”
Danial menghela nafas panjang. Wajahnya jelas menampakkan keletihan, bukan sahaja dari kerja, tetapi juga dari memikirkan tentang Airis. “Airis... dia tak ingat yang dia pernah sambung belajar sampai ke luar negara, Jannah. Kalau awak berhenti sekarang, saya takut dia akan rasa lebih tertekan kalau saya paksa dia teruskan tanggungjawab ini.”
Jannah terdiam. Dia memahami situasi itu lebih daripada yang diharapkan. “Bos, saya tak nak menyusahkan bos, tapi saya juga tak nak rasa bersalah kalau saya tak dapat beri perhatian sepenuhnya pada anak saya.”
Danial mengangguk, faham akan dilema wanita itu. “Saya faham, Jannah. Kalau macam tu, saya akan pastikan ada orang yang boleh bantu awak di sini. Kita akan cari jalan untuk mudahkan semua pihak. Untuk sekarang, tolong bantu saya dulu, ya?”
Jannah tersenyum kecil, menghargai empati Danial. “Baiklah bos. Tapi kalau ada apa-apa perkembangan tentang puan Airis, bos jangan lupa bagitahu saya. Saya doakan dia cepat sembuh.”
“Terima kasih, Jannah. Saya hargai sangat bantuan awak.” Danial memberi senyuman kecil sebelum kembali memfokuskan pada kerjanya, tetapi fikirannya terus melayang kepada Airis di rumah. Bagaimana caranya aku boleh bantu dia rasa lebih yakin pada dirinya sendiri? bisik hati Danial.
Malam itu, suasana di luar rumah tenang, dihiasi bunyi cengkerik dan angin malam yang sepoi-sepoi. Danial dan Airis duduk di bangku kecil di taman, dikelilingi lampu-lampu taman yang malap. Airis memandang Danial dengan mata penuh kekeliruan, cuba memahami apa yang baru sahaja diucapkan oleh suaminya.
“Sayang,” Danial memecahkan kesunyian, nadanya lembut tetapi penuh harapan. “Kalau Dina kerja balik dengan abang, boleh tak?”
Airis menghela nafas, memandang langit malam seolah-olah mencari jawapan di celahan bintang. “Dina pernah kerja dengan abang? Dina kerja apa? Dina cuma ada SPM je, abang. Apa kelayakan Dina untuk kerja kat syarikat besar macam tu?”
Danial tersenyum, menyentuh perlahan tangan Airis. “Sayang, Dina pernah belajar kat London. Selama lima tahun, sayang. Dina belajar pengurusan perniagaan dan Dina sangat bijak. Lepas Dina balik ke Malaysia, Dina kerja dengan abang sebagai PA. Tapi Dina bukan sekadar PA, Dina banyak bantu abang uruskan syarikat. Dina suka kerja tu.”
Airis menggeleng perlahan, wajahnya mencerminkan keraguan dan kekurangan keyakinan. “Tapi abang, Dina tak ingat semua tu. Dina rasa macam orang bodoh sekarang. Kalau Dina tak tahu apa-apa, macam mana Dina nak buat kerja tu?”
Danial menarik nafas panjang, memandang tepat ke dalam mata Airis. “Sayang, abang tak pernah pandang Dina macam orang bodoh. Dina cuma hilang ingatan, bukan hilang kebolehan. Dina masih orang yang sama. Kalau Dina kerja balik, abang akan pastikan abang ada untuk bantu. Dina boleh mula perlahan-lahan.”
Airis terdiam, cuba mencerna kata-kata Danial. Dia tidak tahu sama ada dia mampu melakukannya atau tidak. Tetapi dalam hati kecilnya, ada keinginan untuk mencuba, untuk melihat sejauh mana dia boleh menyesuaikan diri.
“Abang yakin Dina boleh buat?” Airis bertanya perlahan, matanya mula memancarkan sedikit harapan.
“Lebih daripada yakin, sayang.” Danial tersenyum, menggenggam tangan Airis erat. “Abang percaya pada Dina. Dan abang akan sentiasa ada untuk sokong Dina, tak kira apa pun.”
Airis tersenyum kecil, tetapi hatinya masih bercampur baur. Dia tahu perjalanan ini tidak mudah, tetapi mungkin dengan sokongan Danial, dia boleh mencuba. “Baiklah abang, Dina akan fikirkan. Tapi jangan terlalu harap, Dina tak nak kecewakan abang.”
“Abang tak pernah kecewa dengan sayang. Percayalah, Dina akan buat lebih baik daripada yang Dina sangka,” balas Danial penuh keyakinan.
Malam itu, harapan baru mula tumbuh dalam hati Airis, walaupun kecil, ia sudah cukup untuk memulakan langkah ke hadapan.
“Sayang, kalau besok kita balik kampung nek Wan nak tak…” ucap Danial, matanya lembut memandang Airis.
“Nek Wan? Siapa nek Wan?” Airis bertanya, keningnya berkerut tanda bingung.
“Nek Wan tu nenek abang. Sayang kenal nek Wan, kita dah lama tak jenguk dia. Esok kita balik kampung ye, abang dah ambil cuti,” ujar Danial, cuba mengingatkan Airis.
“Tak nak lah, Dina tak suka kampung. Kalau abang nak balik, abang balik je kampung, tapi Aidan tak payah bawa. Kang sakit pulak dia kat kampung kotor tu,” balas Airis sambil melipat tangannya di dada, wajahnya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati.
Danial menghela nafas panjang. Dia cuba menyembunyikan rasa kecewa yang mula menyelinap ke hatinya. “Sayang, kampung nek Wan bukan macam yang Dina bayangkan. Rumah kampung nek Wan bersih, dan udara di sana segar. Nek Wan pun selalu tanya pasal Dina dan Aidan. Takkan Dina tak nak tengok nenek abang?”
Airis menjeling sekilas sebelum memalingkan wajah ke arah taman. “Dina tak selesa dengan suasana kampung. Panas, tak ada internet, nyamuk banyak. Dina tak biasa dengan semua tu.”
Danial tersenyum nipis, cuba menyembunyikan rasa sedihnya. “Dina lupa ke dulu Dina suka balik kampung nek Wan? Dina seronok main kejar-kejar dengan budak-budak kampung, panjat pokok rambutan belakang rumah nek Wan, dan siap kutip telur ayam setiap pagi. Dina yang selalu semangat nak balik kampung.”
Airis terdiam, matanya terpaku pada lantai. Dia cuba mengingat kenangan yang Danial sebutkan, tapi semuanya kosong. Tidak ada apa-apa yang terlintas di fikirannya. “Dina tak ingat semua tu, abang. Dina rasa macam tak ada kenangan langsung kat kampung tu. Dina takut kalau Dina pergi, Dina cuma akan rasa kekok dan tak tahu nak buat apa.”
Danial memegang tangan Airis dengan lembut, menggenggamnya erat. “Sayang, abang ada dengan Dina. Apa-apa pun, abang akan pastikan Dina rasa selesa. Abang takkan biar Dina rasa terasing. Dina tak perlu takut.”
Airis mengangkat wajah, menatap mata Danial yang penuh keyakinan. “Betul abang nak temankan Dina? Jangan biar Dina terkontang-kanting kat sana.”
“Abang janji. Dina tak akan rasa sunyi. Kita akan buat macam dulu. Dina boleh ajar Aidan petik buah mangga. Nanti kita makan sama-sama bawah pokok jambu. Dina mesti akan suka. Lagipun, udara segar bagus untuk Aidan. Dia mesti seronok tengok ayam, kucing, dan lembu kat sana.”
Airis tersenyum kecil, akhirnya hatinya mula lembut. “Kalau Dina pergi pun, Dina buat ni sebab abang dan Aidan. Dina tak suka kampung tu, tapi kalau abang janji nak teman Dina, Dina ikut.”
Danial tersenyum lebar, memeluk Airis erat. “Itu isteri abang. Dina tak akan menyesal. Abang janji.”
Dalam pelukan itu, Airis rasa sedikit tenang, tapi jauh di sudut hati, dia masih bimbang. Dia takut kembali ke kampung itu mungkin akan membuka luka yang tidak dia ingat, namun dia juga tahu, untuk masa depan Aidan, dia perlu cuba.
“abang, ni ke kampung nek Wan, kotornya, mesti nek Wan pun kotor, Dina geli lah abang jom kita balik..." ucap Airis, matanya melilau memerhati sekeliling dengan wajah yang kelihatan sangat tidak selesa.
Danial menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. “Sayang, kita dah nak sampai dah rumah nek Wan, tak lama lagi.”
“Abang cuba abang tengok rumah-rumah kat sini, dah macam reban ayam..." ucap Airis dengan suara sedikit meninggi, gelisah.
“Sayang, kita dah sampai...” ucap Danial, masih cuba bersabar.
“Abang, buruknya rumah, jom lah balik, kesian Aidan, kalau kena jangkitan kuman macam mana..." Airis mengeluh panjang, matanya masih memandang sekeliling dengan rasa jijik.
“Sayang, please jangan macam ni, tengok tu, nek Wan dah tunggu dah tu, jom keluar...” Danial cuba memujuk, hati semakin berat. Dia faham, Airis masih tidak ingat segalanya, dan dia tahu, ini bukanlah Airis yang dia kenal dulu. Airis yang dulu ceria dan penuh kasih sayang, bukan Airis yang sekarang.
“Danial, Dina...” ucap nek Wan dengan suara lembut, yang sudah menanti di depan rumah.
Danial tersenyum, meskipun hatinya berat. “Nek Wan sihat?”
“Sihat, Alhamdulillah.” jawab nek Wan, tersenyum lembut walaupun ada sedikit kerisauan di wajahnya melihat reaksi Airis.
“Dina, salam nek Wan...” ucap Danial, memberi peluang kepada Airis untuk bersalaman.
Airis hanya menghulurkan tangan dengan ala kadar, sambil matanya tetap menjauhkan diri daripada mengenakan sentuhan dengan nek Wan. Airis sudah biasa dengan suasana bandar, dan suasana kampung ini membuatkan dia merasa sangat asing dan tidak selesa. Apabila nek Wan ingin mencium Aidan, Airis cepat-cepat menjauhkan anaknya sedikit, bimbang dengan keadaan yang kotor di sekeliling.
Nek Wan kelihatan sedikit kecewa, namun dia cuba untuk tidak menunjukkannya. “Tak apa, Dina. nek wan faham. Lagipun, Aidan masih kecil, tak apa. Kita boleh layan dia dengan cara lain.”
Danial merasakan sesuatu yang menyentuh hatinya. “Dina, jangan macam ni. Nek Wan cuma nak dekatkan diri dengan kita. Tak selalunya kita dapat datang ke sini.”
Airis hanya diam, seolah-olah tidak dapat berfikir dengan rasional. Hatinya hanya tertumpu pada kebersihan dan keselesaan dirinya. Dia terlalu cemas dengan persekitaran ini, hingga tidak dapat menikmati perasaan hangat yang ditawarkan oleh keluarga Danial.
“Nek Wan, kami masuk dulu ya. Dina mungkin perlukan masa untuk sesuaikan diri,” ucap Danial, cuba memujuk Airis untuk bergerak masuk ke dalam rumah.
Akhirnya, mereka memasuki rumah yang kecil dan sederhana itu. Di dalam, walaupun ruangnya sempit, udara terasa segar dengan aroma masakan kampung yang mendamaikan. Nek Wan sudah bersedia dengan hidangan nasi dan lauk-pauk yang sedap, namun Airis tetap tidak menunjukkan tanda-tanda ingin duduk dan makan.
“Sayang, mari makan dulu. Abang janji, lepas makan kita balik kalau sayang nak.” Danial cuba memberi cadangan, berharap Airis akan berubah fikiran.
Airis hanya menggelengkan kepala, tangannya bermain dengan telefon di dalam poket, seolah-olah cuba mencari alasan untuk keluar dari situasi ini.
“Dina, kami ni bukan orang kaya, tapi kami cuma nak tunjukkan kasih sayang dan terima kasih sebab sudi datang.” ucap nek Wan dengan senyuman mesra, cuba untuk menyentuh hati Airis.
Tapi, Airis tidak dapat menahan diri. “Tak apa lah, nek Wan, Dina cuma tak biasa dengan keadaan macam ni. Mungkin kalau keadaan lebih selesa, Dina akan rasa lebih baik.”
Danial menatap Airis dengan rasa sakit hati yang terpendam. Dia tahu, ini bukan salah Airis. Dia tak ingat segalanya, dan kesannya bukan hanya pada dirinya, tetapi juga pada keluarganya.
“Nek Wan, tak apa. Dina masih belum ingat apa-apa. Mungkin esok atau lusa dia akan lebih selesa.nek wan cuba lagi, ya?” Danial berkata dengan penuh harapan. Namun di dalam hatinya, dia sendiri tidak pasti bila keadaan ini akan berubah.
“Dina, nek Wan mintak maaf kalau Dina rasa tak selesa duduk kat sini…” ucapan nek Wan itu penuh dengan penyesalan. Wajahnya yang tua kelihatan begitu lembut, menahan perasaan yang hampir tumpah.
Airis hanya merenung nek Wan dengan pandangan kosong. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberi respons, kerana perasaannya berkecamuk. Kenapa dia harus berada di sini? Kenapa semua ini terasa begitu asing dan menjengkelkan? Dia tidak ingat siapa mereka, dan perasaan itu semakin membebani dirinya. Tanpa sedar, kata-katanya yang keluar dari mulutnya sangat tajam.
“Memang pun, nek Wan. Kenapa ye nek Wan beria sangat nak jumpa saya dengan Aidan? Nek Wan tahu tak sebenarnya saya ni tak sudi pun nak jumpa nek Wan?” Suara Airis semakin meninggi, penuh kekeliruan dan keengganan. Dia menundukkan wajahnya, tidak mampu untuk melihat mata nek Wan yang sudah berkaca.
Nek Wan yang sudah tua itu tersentak, namun dia cuba untuk menahan air mata yang hampir menitis. Dia tahu Airis tidak ingat siapa dirinya, tetapi itu tidak mengurangkan rasa kasih sayangnya. Walaupun hati nek Wan terluka, dia tetap cuba berbicara dengan tenang, tidak mahu menambah beban di hati Airis.
“Dina…” suara nek Wan sedikit serak, tetapi masih penuh kelembutan. “Nek Wan tahu mungkin Dina rasa begini sebab tak ingat apa-apa tentang nek Wan. Tapi nek Wan hanya mahu berjumpa dengan Dina dan Aidan. Nek Wan bukan nak paksa Dina, tapi nek Wan sudah lama ingin jumpa cucu-cucu nek. Walaupun banyak yang telah berubah, kasih sayang nek tetap sama. Walaupun Dina tak ingat apa-apa, nek tetap sayangkan Dina dan Aidan…”
Airis memandang ke arah Danial, wajahnya sedikit gusar. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menangani situasi ini. “Tapi nek Wan, saya ni bukan siapa-siapa pun pada nek Wan. Kenapa nek Wan nak sangat jumpa saya? Saya tak kenal pun siapa nek Wan sebenarnya…”
Setiap kata yang keluar dari mulut Airis terasa seperti pisau yang menusuk kalbu. Danial yang sedang berdiri di sebelahnya, hati terasa berat mendengar kata-kata itu. Airis tidak mengingati segala-galanya, malah dia tidak sedar betapa perasaan mereka berdua terluka.
Danial berdehem perlahan, cuba menenangkan dirinya. Wajahnya penuh dengan kesabaran, namun dalam hatinya ada rasa sakit yang sukar diterjemahkan. "Sayang…" suara Danial perlahan, namun tetap penuh keikhlasan. "Nek Wan tu orang yang sangat baik. Walaupun Dina tak ingat siapa dia, nek tetap keluarga kita. Saya harap Dina boleh beri sedikit ruang dalam hati untuk terima nek Wan."
Airis merenung wajah Danial dengan penuh kebingungannya. Dia tidak memahami sepenuhnya apa yang Danial cuba sampaikan. Hatinya dipenuhi dengan kekosongan yang sukar dijelaskan, dan dia merasa seolah-olah berada di tengah-tengah dua dunia yang tidak saling bersambung.
"Abang, saya…" kata-kata Airis terhenti. Dia berasa keliru dan tertekan. “Saya tak boleh ingat apa-apa, Danial. Semua ini terasa asing, abang. Kenapa abang tak faham?”
Share this novel