Airis dengan langkah penuh geram masuk ke dapur, membawa baju kotor Aidan yang terkena kotoran makanan. Dia mencampakkan baju itu ke lantai, betul-betul di hadapan Mak Long yang sedang duduk di kerusi sambil mengupas bawang.
“Mak Long, tolong basuhkan ni,” kata Airis dengan nada dingin.
Mak Long mengangkat kepala, memandang Airis dengan riak wajah tidak percaya. “Apa kau cakap tadi? Kau suruh aku basuh?”
Airis melipat tangan, matanya tajam memandang Mak Long. “Ya, basuhkan. Tapi saya tak nak pakai mesin basuh. Saya nak Mak Long basuh guna tangan.”
Mak Long tergelak kecil, seakan mempersenda permintaan Airis. “Kau ni dah hilang akal ke, Airis? Ingat aku ni orang gaji kau ke?”
Airis mendekatkan diri, suaranya semakin tegas. “Baju anak saya ni mahal, Mak Long. Kainnya tak boleh sentuh mesin basuh. Kalau rosak, Mak Long nak ganti ke? Eh, saya rasa gaji Mak Long lima tahun pun tak cukup nak bayar harga sehelai baju Aidan ni.”
Mak Long terdiam seketika, tetapi wajahnya mula memerah kerana marah. “Kau ingat kau siapa nak cakap macam tu dengan aku? Kau lupa ke aku ni mak saudara suami kau?”
Airis tersenyum sinis. “Oh, saya tak lupa. Tapi kalau mak saudara tu tahu hormat menantu orang, dia takkan buat perangai macam Mak Long tadi, kan?”
Azira yang berdiri di tepi, memandang situasi itu dengan gelisah. “Kak Dina, tak payahlah macam ni. Nanti jadi gaduh lagi.”
Airis memandang Azira sekilas, lalu kembali memandang Mak Long. “Zira, zira tahu tak, tadi Mak Long marah anak akk. Dia kata Aidan tu perangai macam akk.zira rasa patut ke dia cakap macam tu?”
Azira terdiam, tidak berani menyebelahi mana-mana pihak. Mak Long bangkit dari tempat duduknya, menunjuk jari ke arah Airis. “Kau jangan nak ajar aku, dina! Kau datang rumah kampung ni pun dah cukup buat rumah ni tak tenteram. Aku tak heran pun dengan baju mahal anak kau tu!”
“Baguslah kalau tak heran. Tapi kalau Mak Long tak nak basuh, saya boleh cari orang lain. Tapi saya takkan lupa apa Mak Long buat pada Aidan tadi,” balas Airis sambil mengutip semula baju kotor itu dari lantai.
Nek Wan yang baru keluar dari bilik, mendengar perbalahan itu dan segera mencelah. “dina, Long, sudahlah tu. Tak elok gaduh macam ni. dina, mari sini, bagi baju tu pada Nek Wan. Biar Nek Wan basuh.”
Airis menggeleng. “Tak apa, Nek Wan. Baju ni biar saya uruskan sendiri. Tapi lepas ni, saya tak nak tengok sesiapa sentuh anak saya kalau mereka tak tahu nak jaga hati saya!”
Airis berjalan keluar dari dapur dengan wajah tegas, meninggalkan Mak Long yang masih mendengus geram di tempatnya. Nek Wan hanya mampu menggeleng kepala, kecewa dengan sikap keras kedua-dua pihak.
Azira mendekati Mak Long dengan nada perlahan. “Mak Long, janganlah marah-marah. Kak Dina tu sayang sangat kat Aidan, sebab tu dia jadi macam tu.”
Mak Long menghempas mangkuk bawang ke atas meja. “Ceh, sayang sangat sampai lupa hormat orang tua. Tengoklah nanti, aku takkan biar Dina pijak kepala aku macam ni lagi!”
Malam itu, Airis dan Danial duduk berdua di anjung rumah, memandang ke arah langit malam yang dipenuhi bintang. Suasana sunyi hanya ditemani bunyi cengkerik dan desiran angin malam. Airis memandang ke bawah, bermain-main dengan jari tangannya, wajahnya kelihatan suram.
“Abang,” panggil Airis perlahan, memecahkan kesunyian.
Danial menoleh, senyuman kecil terukir di wajahnya. “Ya, sayang?”
Airis menarik nafas dalam sebelum bersuara, “Dina rasa lusa kita baliklah, Dina tak boleh tahan dah dengan Mak Long. Dina takut Dina jadi lebih kurang ajar kalau terus duduk sini. Dina tak nak kecewakan Nek Wan, tapi Dina juga manusia, abang. Ada hadnya.”
Danial mengangguk perlahan, memahami dilema isterinya. “Abang faham, sayang. Mak Long memang kadang-kadang mulut dia lepas. Tapi abang bangga sebab sayang masih cuba bertahan demi Nek Wan.”
Airis memandang Danial dengan mata yang mula berkaca. “Abang tahu tak, Dina sebenarnya bukan marah sangat dengan Mak Long. Dina cuma rasa tak adil. Dina dah cuba jaga perangai Dina, tapi dia masih tak puas hati. Dina sayang Nek Wan, abang, tapi Dina rasa kalau Dina terus kat sini, Dina mungkin buat Nek Wan lebih sedih.”
Danial mengelus bahu Airis perlahan. “Macam ni, lusa kita balik. Tapi kita bagitahu Nek Wan awal-awal supaya dia tak kecil hati. Abang tahu, jauh dalam hati Dina, Dina tak pernah benci sesiapa pun kat sini. Dina cuma nak pertahankan diri dan anak kita.”
Airis tersenyum kecil, walaupun matanya masih berkaca. “Abang tahu tak, bila abang cakap macam ni, Dina rasa lega. Abang selalu tahu macam mana nak buat Dina rasa dihargai.”
Danial ketawa kecil, cuba menceriakan suasana. “Dah memang kerja abang kan jaga perasaan isteri abang? Lagipun, Dina memang baik. Cuma Dina ni cepat panas kalau orang buat hal dengan Dina.”
Airis ketawa kecil, menyedari kebenaran kata-kata Danial. “Mungkin betul juga tu. Tapi Dina tetap tak suka bila orang macam Mak Long cuba pijak kepala Dina. Dina tak suka rasa dipandang rendah.”
“Abang tahu, dan abang ada di sini untuk sokong Dina. Jadi, lusa kita balik, tapi sebelum tu, kita pastikan Nek Wan tahu yang Dina bukan lari sebab benci dia,” balas Danial dengan penuh keyakinan.
Airis mengangguk, hatinya sedikit lega dengan kata-kata suaminya. Malam itu, mereka berbual panjang, melepaskan segala tekanan yang selama ini tertahan dalam diri masing-masing.
Keesokan harinya, Airis membantu Nek Wan di dapur, sesuatu yang jarang dilakukannya sejak tiba di kampung. Walaupun canggung, dia mencuba sehabis baik, ingin meninggalkan kenangan manis untuk Nek Wan sebelum mereka pulang.
“dina, terima kasih sebab tolong Nek Wan hari ni. Nek Wan tahu cucu Nek wan ni sebenarnya baik hati,” kata Nek Wan sambil tersenyum.
Airis tersenyum kecil, hatinya sedikit tersentuh. “Nek, Dina minta maaf kalau selama ni Dina buat Nek Wan susah hati. Dina tahu Dina banyak salah.”
Nek Wan mengusap kepala Airis dengan penuh kasih sayang. “Tak apa, Dina. Nek wan tahu Dina sedang cuba. Itu dah cukup buat Nek wan gembira.”
Airis hanya mengangguk, hatinya makin berat untuk meninggalkan kampung, walaupun dia tahu itu keputusan terbaik untuknya dan Aidan.
“Eh, Tasha, bila datang? Maaflah, suami aku nak balik esok, kau lambatlah...” ucap Airis dengan nada selamba sambil memandang Tasha yang baru melangkah masuk ke rumah.
“Aku datang ni bukan sebab Danial, aku datang sini nak tengok Nek Wan...” balas Tasha, anak kepada Mak Long, sambil meletakkan beg kecilnya di tepi pintu.
Airis tersenyum sinis sambil duduk di kerusi makan, menyilangkan kaki. “Oh, tengok Nek Wan ya? Tapi Zira cakap yang kau ni datang sini bila suami aku balik kampung je. Kau kerja kat KL kan? Jadi apa ye... GRO ke?” sindir Airis dengan nada tajam.
Tasha terdiam seketika, matanya membulat. Wajahnya berubah marah, tetapi dia cuba menahan diri. “dina, aku datang ni dengan niat baik. Tolong jangan fitnah aku benda yang bukan-bukan!” balas Tasha dengan nada keras.
“Niat baik? Kau jangan buat lawak. Semua orang kampung tahu kau ada hati kat Danial. Jangan nak pura-pura sangat depan aku,” balas Airis sambil memandang Tasha dengan pandangan tajam.
Nek Wan yang sedang duduk di sofa mengerutkan dahi, tidak senang dengan perbualan itu. “dina, sudah-sudahlah tu. Jangan ungkit benda yang tak elok. Tasha datang sini nak jenguk Nek, bukan cari gaduh.”
Tasha menarik nafas panjang, cuba mengawal emosinya. Dia melangkah perlahan ke arah Nek Wan sambil mengabaikan kata-kata Airis. “Nek, Tasha datang ni sebab rindu Nek. Maaf kalau kedatangan Tasha ni mengganggu.”
Airis bangun dari kerusi dan berjalan ke arah Danial yang baru keluar dari bilik. “Abang, ni tengoklah dia. Berani datang sini macam rumah dia sendiri.”
Danial memandang kedua-dua wanita itu dengan dahi berkerut. “Dina, apa ni? Baru abang puji Dina makin matang. Sekarang nak buat drama lagi?”
Airis tersenyum sinis sambil menyilang tangan di dada. “Drama apa? dina cuma tanya, abang. Salah ke?”
Danial menghela nafas panjang. “Dina, abang tak tahu kenapa Dina selalu cari gaduh dengan orang. Kalau tak suka, tak payah cakap apa-apa. Tak perlu cari masalah.”
Tasha yang mendengar perbalahan itu memandang Danial dengan penuh rasa bersalah. “Danial, tasha rasa lebih baik tasha balik je. tasha tak nak sebab tasha, rumah ni jadi panas,” ucap Tasha sambil mengangkat begnya.
Nek Wan segera memegang tangan Tasha. “Tasha, janganlah macam tu. Nek yang jemput Tasha datang sini. Kalau ada yang tak suka, biarlah. Tasha tetap cucu Nek.”
Airis mendengus perlahan. Dia melangkah naik ke bilik dengan perasaan tidak puas hati. “Hmph, aku tak peduli. Nak gaduh pun aku tak hairan,” gumamnya sendiri.
Danial hanya mampu menggelengkan kepala. “Tasha, abaikan je dia. Dina masih banyak nak kena belajar kawal diri.”
Tasha mengangguk kecil, tetapi hatinya terasa berat. Walaupun dia tidak membalas, kata-kata Airis tadi tetap meninggalkan luka di hatinya.
“Hai, Dina, buat apa tu…” tegur Aniq, anak Mak Long, yang tiba-tiba muncul di halaman rumah dengan senyuman selamba. Wajahnya kelihatan sedikit tidak terurus, rambutnya berantakan, dan bajunya lusuh seperti sudah lama tidak berganti.
Airis yang sedang duduk di bangku kayu di tepi rumah menjeling malas ke arahnya. “Kau ni bodoh ke? Tak nampak ke aku tengah duduk melepas kat sini?” balas Airis sinis sambil mengangkat kening.
Aniq tergelak kecil, tidak langsung terkesan dengan nada kasar Airis. “Ish, marah betul kau ni, Dina. Aku gurau je…” katanya sambil mengambil tempat duduk di hujung bangku.
Airis mengeluh, kemudian memandang Aniq dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Matanya mengecil, seolah-olah sedang memerhati sesuatu dengan teliti. “Eh, Aniq. Aku nak tanya lah. Kau ni memang tak ada kerja ke? Ialah, aku selalu nampak kau melepak kat hujung kampung tu. Kau buat apa sebenarnya? Isap gam ke?” tanya Airis dengan nada tajam, tanpa sebarang tapisan.
Wajah Aniq berubah serta-merta. Senyuman selamba tadi hilang, digantikan dengan raut wajah terkejut bercampur marah. “Hei, Dina! Kau jangan main tuduh-tuduh boleh tak? Aku ni orang ada maruah, tau! Mana ada aku buat benda macam tu!” balasnya dengan nada tinggi, cuba mempertahankan diri.
Airis tersenyum sinis, langsung tidak terkesan dengan reaksi Aniq. “Oh ya? Habis tu, kenapa kau asyik melepak kat tempat tu? Kau ingat aku ni tak ada mata ke? Tiap kali aku lalu, kau dengan kawan-kawan kau melepak macam tak ada hala tuju hidup. Kalau kau tak buat apa-apa yang buruk, kenapa nak marah sangat?” sindir Airis lagi, sambil menyilangkan tangan di dada.
Aniq menghela nafas kasar, jelas sekali dia sedang cuba menahan amarahnya. “Kau ni memang mulut laser, Dina. Aku cuma lepak dengan kawan-kawan je. Kau tu yang suka buat cerita! Tak semua orang macam kau fikir, tahu?” balasnya sambil bangun berdiri.
Airis mendongak memandangnya dengan senyuman sinis. “Kalau tak suka apa aku cakap, ubah perangai kau tu. Kau ni anak Mak Long, tapi perangai kau tak jauh beza dengan mulut mak kau. Sama-sama menyakitkan hati…” ucap Airis dengan nada yang semakin mencabar.
Aniq mengetap bibirnya, tangannya mengepal kuat di sisi, tetapi dia tidak berani membalas lebih. Dia tahu, kalau dia cuba melawan Airis, perempuan itu pasti akan mencari cara untuk menjatuhkannya lagi. Akhirnya, dia hanya menggeleng dan melangkah pergi dengan langkah kasar.
Airis hanya tersenyum puas, kemudian bersandar di bangku sambil memandang ke langit. “Huh, lelaki macam kau ni memang patut kena ajar. Kalau tak, makin lama makin hanyut…” katanya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
“Eh, aku nak mintak tolong kau boleh?” Airis membuka bicara, suaranya kedengaran tenang tetapi dengan nada yang jelas berisi sesuatu.
Aniq yang baru saja ingin melangkah pergi terhenti. Dia berpaling memandang Airis dengan dahi sedikit berkerut. “Tolong apa, Dina?” tanyanya dengan nada berhati-hati, seolah-olah sudah menjangka apa yang akan keluar dari mulut sepupunya itu.
Airis tersenyum sinis, menyilangkan tangannya di dada sambil memandang Aniq dengan renungan tajam. “Aku nak kau tolong nasihatkan mak kau dan adik kau tu. Ajarlah diorang tu belajar hormat orang sikit. Aku nak tanya, bapak kau tu tak pandai ajar anak bini dia ke, hah?” ucap Airis, setiap patah kata dilontarkan dengan penuh sarkastik.
Aniq terdiam seketika. Matanya merenung Airis dengan wajah yang sudah mula merah menahan perasaan. “Dina, kau jaga mulut kau sikit boleh tak? Jangan nak seret bapak aku dalam hal ni,” balasnya dengan nada amaran.
Airis tertawa kecil, seolah-olah langsung tidak terganggu dengan reaksi Aniq. “Kenapa? Kau sentap ke? Aku cakap benda betul je. Kalau bapak kau tahu ajar keluarga dia, tak adalah aku asyik kena bahan dengan mak kau dan adik kau tu. Aku ni menantu, bukannya bibik,” ujarnya sambil mengangkat kening, mencabar Aniq untuk berkata lebih.
Aniq menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. “Dina, aku tak tahu apa yang mak aku atau Tasha dah buat kat kau, tapi kau pun tak payah lebih-lebih. Kau ni pun bukannya jenis baik sangat. Cakap kau tu, laser macam pedang,” balas Aniq dengan nada sedikit tegas.
Airis tersenyum sinis lagi, kali ini dengan mata yang sedikit merenung tajam. “Eh, aku laser sebab aku tak suka kena pijak kepala, faham? Kalau kau tak boleh terima, itu masalah kau. Kau ni lelaki, takkan tak reti kawal keluarga sendiri? Nak harapkan siapa lagi?” balasnya tanpa belas.
Aniq menggenggam tangannya erat, tetapi akhirnya dia menggelengkan kepala. “Kau ni memang mulut tak ada insurans, Dina. Tapi aku malas nak layan kau. Aku ada banyak benda lagi nak buat daripada gaduh dengan kau,” katanya sebelum melangkah pergi dengan langkah yang jelas berat.
Airis hanya memandangnya pergi sambil tersenyum sinis. “Hah, lari lah. Lelaki macam kau ni memang tak ada pendirian. Nasib baik aku bukan kahwin dengan kau,” gumamnya perlahan sebelum melangkah masuk ke dalam rumah dengan hati yang masih membara.
Airis memandang budak perempuan comot di depannya dengan dahi sedikit berkerut. Puteri, budak kecil berusia 8 tahun itu tersenyum malu, menggenggam erat beg plastik yang kelihatan berisi botol-botol plastik.
“Kak Dina, bila kak Dina sampai? Puteri tak nampak pun kak Dina,” ucap Puteri dengan suara halus, wajahnya bercahaya gembira melihat Airis.
Airis memandangnya atas bawah, sedikit terganggu dengan keadaan Puteri yang nampak tidak terurus. Rambut budak itu kusut, bajunya koyak kecil di bahagian lengan. “Kau ni siapa pulak? Dah lah comot... siapa suruh datang dekat aku?” ucap Airis dengan nada separuh sinis, walaupun hatinya sedikit tersentuh melihat budak kecil itu.
Puteri tersenyum lagi, kali ini lebih lebar. “Kak Dina ni lupa ke? Puteri lah, kak Dina pernah bagi Puteri duit hari tu. Duit itu untuk belanja barang dapur untuk mak,” jawab Puteri dengan bangga.
Mata Airis membulat sedikit. Dia baru teringat akan kejadian beberapa bulan lepas. Dia pernah bertemu Puteri di seberang parit, dan melihat budak itu mengutip botol plastik. Ketika itu, dia memberikan sedikit wang untuk membantu keluarga Puteri yang kelihatan susah.
“Ouh, Puteri… maaflah, kak Dina tak berapa ingat sangat tadi,” ucap Airis, suaranya kini lembut. Dia melutut sedikit, menyamakan ketinggian dengan Puteri. “Tapi Puteri, kak Dina kan dah cakap jangan kutip botol lagi. Bahaya tau, sayang. Kalau ada kaca ke, nanti Puteri terluka,” tambahnya dengan nada prihatin sambil menyentuh perlahan tangan kecil Puteri.
Puteri menundukkan kepala. “Puteri janji tak buat lagi… tapi mak tak sihat, kak. Ayah pun dah tak ada. Kalau Puteri tak kutip botol, siapa nak bantu mak beli beras?” jawab Puteri perlahan, suaranya bergetar.
Airis terdiam sejenak. Kata-kata Puteri menusuk ke hatinya. Dia memandang wajah budak kecil itu, dan hati kecilnya terasa sayu. “Puteri, kak Dina janji nak tolong Puteri dan mak. Tapi Puteri kena janji tak buat macam ni lagi, ya?”
Puteri mengangguk kecil. “Puteri janji, kak Dina.”
Airis tersenyum, kemudian mengeluarkan dompetnya. Dia menyerahkan sejumlah wang kepada Puteri. “Ni untuk Puteri dan mak. Jangan risau, lepas ni kak Dina datang rumah Puteri, kita sembang dengan mak Puteri sekali, ya?”
Puteri memandang wang itu dengan mata membulat, kemudian dia tersenyum lebar. “Terima kasih, kak Dina. Puteri sayang kak Dina!” ucapnya sambil memeluk Airis dengan erat.
Airis terkedu sejenak sebelum membalas pelukan itu. “Kak Dina pun sayang Puteri. Lepas ni, Puteri jangan susahkan diri lagi, ya?” ucap Airis sambil mengusap kepala budak kecil itu dengan lembut.
Share this novel