Petang itu, Danial mengajak Airis pulang ke rumah kedua ibu bapanya, Puan Ain dan Encik Megat Faizal. Walaupun hubungan mereka tegang, Airis akhirnya bersetuju, walaupun dalam hatinya penuh rasa berat.
Setibanya di rumah agam itu, Puan Ain menyambut mereka dengan senyuman lebar di muka pintu.
“Rindunya mummy dengan Dina!” ucap Puan Ain dengan penuh kegembiraan, terus memeluk menantunya erat.
Airis membalas pelukan itu dengan senyuman kecil di wajahnya, menyembunyikan segala rasa yang bergolak dalam hati. “Dina pun rindu mummy,” balasnya, mempamerkan nada ceria.
Danial memerhatikan dari sisi, menyedari betapa pandainya Airis berlakon. Tiada siapa yang tahu betapa jauhnya jarak emosi antara mereka berdua kecuali mereka sendiri.
“Mari masuk! Daddy pun dah tunggu nak jumpa Dina ni,” ajak Puan Ain sambil menarik tangan Airis ke ruang tamu.
Di ruang tamu, Encik Megat Faizal sedang duduk di sofa sambil membaca surat khabar. Melihat menantunya, dia segera tersenyum dan bangun.
“Airis, lama tak nampak. Semuanya ok?” tanya Encik Megat Faizal sambil menyalami Airis.
“Alhamdulillah, ok, daddy. Sibuk sikit je,” jawab Airis dengan sopan. Dia memaksa senyuman paling manis untuk memastikan tiada siapa yang dapat membaca perasaannya.
Sepanjang perbualan dengan mertuanya, Airis melayan dengan mesra, ketawa kecil di sana-sini seolah-olah dia adalah menantu yang paling bahagia. Danial, yang duduk di sebelah, hanya memandang dari jauh.
“Dina ni memang pandai ambil hati mummy dan daddy,” ujar Puan Ain, memandang Airis dengan penuh kasih.
Airis hanya tersenyum. Di dalam hatinya, dia berbisik, “Kalau mereka tahu apa yang sebenarnya terjadi, pasti semuanya akan berubah.”
Sementara itu, Danial terasa semakin kecil. Dia tahu dirinya belum cukup untuk memberikan kebahagiaan sebenar kepada isterinya. Namun, melihat Airis yang begitu tabah di depan keluarganya, Danial semakin bertekad untuk membetulkan keadaan.
Setelah beberapa lama berbual, Puan Ain bangkit. “Dina, jom pergi dapur dengan mummy. Kita masak sama-sama. Lama mummy tak masak dengan Dina,” ajaknya.
Airis mengangguk, mengikuti ibu mertuanya ke dapur. Sepanjang di dapur, Puan Ain terus bercerita tentang rindu dan harapannya untuk melihat mereka bahagia bersama. Airis hanya mengiyakan, sambil menyembunyikan rasa berat di dada.
Di ruang tamu, Danial duduk sendirian bersama ayahnya. Encik Megat Faizal sempat menegur, “Danial, kamu jagalah isteri kamu baik-baik. Dina tu isteri yang baik, jangan biar dia rasa terabai.”
Danial hanya mengangguk, menyimpan kata-kata itu dalam hati. Dia tahu tanggungjawabnya lebih besar daripada sekadar kata-kata, dan dia berazam untuk membuktikannya.
Namun, jauh di sudut hatinya, dia tertanya-tanya, “Adakah sudah terlambat untuk aku memenangi hati Dina semula?”
Setelah makan malam bersama di rumah Puan Ain dan Megat Faizal, suasana kembali tenang. Puan Ain mengajak Airis berbual di ruang tamu, manakala Danial duduk tidak jauh, sesekali memandang ke arah isterinya.
“Dina, mummy tengok kamu makin kurus. Kamu tak sihat ke?” tanya Puan Ain sambil memandang Airis dengan penuh perhatian.
Airis tersenyum kecil. “Sihat, mummy. Mungkin penat sikit, kerja kat rumah tu banyak,” jawabnya, cuba mengelak dari menceritakan masalah sebenar.
“Kerja jangan sampai abaikan diri sendiri. Kalau Dina tak sihat, siapa nak jaga Danial?” usik Puan Ain, membuatkan Airis sedikit terkedu. Dia memandang Danial sekilas, tetapi cepat-cepat memalingkan pandangannya.
Danial, yang mendengar perbualan itu, tiba-tiba mencelah, “Mummy, Dina ni degil sikit. Dan dah cakap banyak kali supaya rehat, tapi dia tak dengar.”
Airis menjeling tajam. “Sebab awak bukan siapa-siapa nak arahkan saya,” balasnya perlahan tetapi cukup jelas untuk didengar.
Suasana jadi sedikit tegang, tetapi Puan Ain segera mencelah dengan senyuman. “Dina, Danial cuma risaukan kamu. Jangan lah bergaduh, mummy tak suka.”
Airis hanya tersenyum paksa, sementara Danial memandang ke arah lain, cuba menahan rasa terkilan.
Selepas beberapa ketika, Airis meminta izin untuk naik ke bilik. “Dina penat lah, mummy. Dina nak rehat dulu,” katanya sopan sebelum bangun.
“ialah. Kalau ada apa-apa, panggil mummy, ya,” ujar Puan Ain, sambil memandang langkah Airis yang semakin jauh.
Di Bilik Danial
Airis duduk di tepi katil, memandang ke luar tingkap. Cahaya bulan yang memancar membuatkan hatinya sedikit tenang, tetapi rasa gelisah masih bersarang. Dia tahu, kebahagiaan yang dilakonkannya tadi hanyalah topeng untuk menjaga hati mertuanya.
Ketukan di pintu mengejutkannya. “Dina, abang masuk sekejap boleh?” suara Danial kedengaran dari luar.
Airis mengeluh perlahan tetapi tetap membenarkan. “Masuklah.”
Danial melangkah masuk, membawa segelas air suam. Dia meletakkannya di meja kecil di sisi katil. “Abang tengok Dina tak banyak minum tadi. Minumlah sikit.”
Airis memandang gelas itu tanpa sebarang reaksi. “Awak nak apa lagi, Danial? Saya dah penat.”
Danial duduk di hujung katil, menjauh sedikit untuk memberi ruang. “Abang cuma nak tahu, sampai bila Dina nak terus marah abang?”
Airis memandang Danial dengan mata yang berkilau, penuh emosi yang ditahan. “Marah? Awak ingat ini cuma marah? Awak pernah buat saya rasa macam saya tak ada nilai, Danial. Dan sekarang, awak nak saya lupakan semuanya macam tu saja?”
Danial tunduk, menahan rasa bersalah yang kian menyesakkan dada. “Abang tahu abang salah. Abang tak minta Dina lupakan semuanya. Tapi abang harap Dina beri abang peluang untuk tebus kesilapan abang.”
Airis menggeleng perlahan. “Peluang? Awak tak pernah fikir tentang peluang saya untuk bahagia. Kenapa sekarang baru awak nak berubah?”
Danial diam, tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Dia tahu kata-kata tidak cukup untuk mengubah keadaan, tetapi dia benar-benar mahu mencuba.
“Dina, abang cuma nak Dina tahu satu perkara. Abang tak akan berhenti cuba bahagiakan Dina, walaupun Dina tak percaya pada abang sekarang.”
Airis memandang ke arah lain, menahan sebak yang tiba-tiba hadir. Tanpa berkata apa-apa, dia membaringkan dirinya di atas katil, memberi isyarat supaya Danial pergi.
Danial menghela nafas panjang. “Selamat malam, Dina. Abang akan tunggu, tak kira berapa lama.”
Dia melangkah keluar, meninggalkan Airis sendirian dalam gelap malam, di mana hati dan fikirannya berperang antara rasa sakit dan keinginan untuk percaya semula.
Pagi itu, suasana rumah Megat Faizal dan Puan Ain sedikit suram walaupun dihiasi dengan senyuman yang terpaksa. Danial sudah bersiap untuk pulang bersama Airis. Setelah bersarapan, dia berdiri di hadapan kedua ibu bapanya.
“Mummy, daddy, kami balik dulu. Kalau ada masa, kami datang lagi, ya,” ucap Danial sambil menyalami tangan mereka dengan hormat.
Airis, yang berdiri di sebelah Danial, turut menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Bye, mummy. Assalamualaikum,” ucapnya perlahan sambil memeluk erat Puan Ain.
Puan Ain membalas pelukan itu dengan penuh kasih sayang, tetapi di hatinya terselit rasa pilu melihat menantunya yang begitu muda menghadapi ujian berat.
“Dina, dengar cakap mummy ini. Dina masih muda, baru 19 tahun. Kadang-kadang Allah uji kita sebab Dia tahu kita mampu hadapi. Mungkin bukan sekarang masa untuk Dina mengandung. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini...” kata Puan Ain lembut, memegang bahu Airis sambil memandang wajahnya yang murung.
Airis hanya tersenyum kelat, cuba menyembunyikan rasa pedih di hati. Dia tahu niat mertuanya baik, tetapi kata-kata itu seperti garam yang ditabur ke luka.
“Mummy, anak yang gugur itu... dia bukan cucu mummy,” bisik Airis dalam hatinya, rasa bersalah dan kesedihan bersatu menjadi satu.
“Terima kasih, mummy,” balas Airis dengan suara yang hampir bergetar. Dia melepaskan pelukan Puan Ain, dan tanpa menoleh lagi, melangkah keluar rumah bersama Danial.
Dalam Kereta
Perjalanan pulang ke rumah terasa sunyi. Airis hanya memandang ke luar tingkap, melihat pemandangan yang berlalu. Danial, yang sedang memandu, beberapa kali mencuri pandang ke arah isterinya, tetapi tidak berani memulakan perbualan.
“Dina…” akhirnya Danial bersuara, cuba memecahkan kesunyian.
Airis tidak berpaling, hanya menjawab pendek, “Ya?”
“Abang tahu apa yang mummy cakap tadi buat Dina terasa. Tapi abang harap Dina tahu, abang ada untuk Dina, walau apa pun jadi.”
Airis mengetap bibir, menahan rasa sebak yang kembali menghantui. “Awak tak akan faham apa yang saya rasa, Danial. Awak cuma cakap sebab awak rasa bersalah. Itu saja.”
Danial terdiam, tidak mampu menjawab. Dia tahu, apa yang dikatakan Airis ada kebenarannya.
Airis menutup mata, cuba mengawal emosinya. “Ya Allah, kuatkan aku…” bisiknya dalam hati. Dia tahu perjalanan ini masih panjang, dan dia perlu terus melangkah walaupun kakinya terasa lemah.
Airis menarik nafas panjang, cuba menahan tangis yang mula membelenggu. Matanya tetap tertumpu ke luar tingkap, seolah-olah mencari jawapan di luar sana.
“Danial, awak tak akan faham. Saya bukan terasa, saya terkilan,” suaranya serak, hampir berbisik. Dia menoleh ke arah suaminya, air mata sudah bergenang di kelopak matanya. “Sampai sekarang mummy dan daddy awak tak tahu siapa sebenarnya anak yang gugur tu. Ini bukan anak awak, Danial. Dan sebab itulah awak benci saya, kan?”
Danial mengetap bibir, jemarinya menggenggam erat stereng. Kata-kata Airis itu menikam tepat ke hati. Namun, dia tidak mampu membalas segera. Dia tahu, segala yang berlaku adalah akibat tindakannya juga.
“Dina…” Danial bersuara perlahan, memecah kesunyian yang menghimpit. “Benda yang dah lepas, janganlah diungkit lagi. Abang tahu abang salah. Abang minta maaf. Abang tak patut hukum Dina macam tu dulu…”
Airis mendengus kecil, senyum sinis terukir di bibirnya. “Awak senang cakap, Danial. Tapi awak tak tahu macam mana rasanya dituduh, disisih, dihukum… semua sebab satu perkara yang saya sendiri tak mampu kawal.”
Danial melepaskan nafas berat. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan, tidak sanggup terus memandu dalam keadaan tegang. Dia memandang Airis, wajahnya penuh dengan penyesalan.
“Dina, dengar sini…” Danial mengangkat tangan, cuba menyentuh wajah isterinya, tetapi Airis menepis perlahan. “Abang tak kesah anak siapa yang Dina kandungkan dulu. Tapi satu yang abang tahu, baby tu pernah ada dalam hidup kita. Walaupun dia dah tak ada sekarang, Dina tetap penting untuk abang. Kita buka buku baru, ya, sayang?”
Airis menggelengkan kepala, air mata mulai mengalir di pipinya. “Buka buku baru? Awak rasa semudah tu? Luka lama tak pernah sembuh, Danial. Saya tak tahu kalau saya boleh percayakan awak lagi.”
Danial tunduk, kedua-dua tangannya di wajah. Dia tahu, kata-kata sahaja tidak cukup untuk mengubah apa-apa. Perlu ada tindakan, dan dia bertekad untuk memperbaiki hubungan ini.
Airis mengalihkan pandangannya ke luar tingkap lagi, air mata masih mengalir tanpa henti. Dia tahu, di satu sudut hatinya, dia mahu percaya semula pada Danial. Tetapi ketakutan dan kekecewaan terlalu mendalam untuk dia lepaskan begitu sahaja.
“Kita balik rumah,” ujar Airis dingin, memecah kesunyian.
Danial mengangguk perlahan dan kembali memandu, walaupun hatinya masih diselubungi rasa bersalah dan kecewa. Perjalanan mereka penuh dengan persoalan, tetapi jawapannya masih kabur di hujung jalan.
Sesampai sahaja di hadapan rumah Danial, kereta milik Raiz sudah terpacak di sana, menunjukkan bahawa lelaki itu sudah tiba lebih awal. Raiz keluar dari keretanya dan menuju ke arah Danial yang sedang berdiri bersama isterinya, Airis. Airis yang berada di sebelah Danial menunjukkan wajah yang tidak puas hati, jelas tidak senang dengan kehadiran Raiz.
Raiz memandang Airis seketika sebelum bersuara, “Danial, boleh aku cakap dengan isteri kau kejap?” suaranya tegas tetapi ada sedikit keraguan di hujung kata-katanya. Dia tahu hubungan mereka berdua sedang rapuh.
Danial yang kelihatan tenang menjawab tanpa ragu, “Cakap lah…,” sambil memandang Airis yang berdiri di sebelahnya dengan raut wajah yang masih tidak mesra.
Raiz mengerling kepada Airis, seolah-olah meminta izin. “Tapi aku nak cakap berdua je dengan Airis…” katanya, cuba untuk meminta ruang.
Airis yang mendengar itu tidak dapat menahan diri, lalu bersuara dengan nada sindiran, “Cakap je lah kat sini, biar dia dengar. Tak adalah nanti salah faham.” Dia mengerling tajam ke arah Danial di sebelahnya, memberikan isyarat yang jelas bahawa dia tidak ingin ada lagi rahsia atau permainan dalam keadaan seperti ini.
Raiz menarik nafas panjang, lalu berkata dengan penuh penyesalan, “Aku datang ni nak mintak maaf kat korang berdua. Sebab aku, korang dua bergaduh dekat Bali masa tu. Dan di sebabkan aku juga, korang kehilangan anak korang. Aku mintak maaf, serius.”
Airis mendengus, wajahnya masih keras. “Tak apa lah, Raiz. Kalau tak sebab kau, aku pun tak tahu yang aku ni mengandung. Lagipun, anak tu bukan anak Danial…” jawabnya dengan nada yang dingin, seolah-olah semua ini sudah terlalu jauh untuk dibaiki.
Raiz terdiam seketika, terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Airis. “Habis tu, anak sape?” tanyanya, cuba mencari kepastian.
Airis hanya menjawab dengan senyap, “Aku pun tak ada jawapan untuk itu, Raiz. Kalau aku cakap pun, mana ada orang yang akan percaya…” Dia melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkan dua lelaki itu di luar, tanpa memberi peluang untuk berbincang lebih lanjut.
Setelah Airis masuk ke dalam rumah, Danial yang selama ini mendiamkan diri, akhirnya membuka mulut. “Itu anak kau ke, Raiz?” tanyanya dengan nada yang agak keras, jelas menahan amarah yang mula membuak.
Raiz menundukkan kepala, kemudian berkata dengan nada yang penuh kejujuran, “Jujur aku cakap, Danial. Itu bukan anak aku. Memang dulu aku ada niat nak buat benda tak baik kat dia, tapi itu dua tahun lepas. Masa tu tak sempat pun…”
Danial menggenggam penumbuknya, hampir meledakkan amarahnya. “Habis tu, anak sape?” suaranya naik sedikit, jelas tidak dapat menahan ketegangan yang semakin memuncak.
Raiz menggelengkan kepala, wajahnya penuh dengan kejujuran yang mendalam. “Sumpah, wey, aku tak tahu,” jawabnya dengan penuh keikhlasan.
Danial terdiam, cuba untuk menenangkan dirinya. “Dah lah, kau balik lah, Raiz. Dina sekarang ni tengah tertekan. Jangan buat keadaan lebih teruk,” ujarnya dengan nada yang lebih tenang, meskipun hatinya masih berkecamuk. Bahu Raiz ditepuk perlahan sebagai isyarat untuk pulang.
Raiz menganggukkan kepala. “Aku mintak maaf, bro,” ucapnya dengan suara yang penuh penyesalan.
Danial menoleh dan memandang wajah sahabat baiknya itu. “Buat apa nak mintak maaf kat aku, Raiz? Yang sepatutnya kau mintak maaf kat Airis Medina, bukan aku. Aku pun sekarang ni tengah cuba nak dapatkan kemaafan dia.”
Raiz mengangguk perlahan, mengerti maksud Danial. “hmmm. Aku balik dulu.” Sebelum beredar, Raiz sempat menghulurkan salam kepada Danial, yang disambut dengan perlahan oleh Danial, walaupun hatinya masih penuh dengan pertanyaan.
Kehadiran Raiz hanya menambah beban di dalam hati Danial dan Airis. Walaupun Raiz meminta maaf, ia tidak menyelesaikan masalah yang lebih besar antara mereka, dan ia meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab.
Raiz mengeluh berat sebaik sahaja dia duduk di dalam keretanya. Pandangannya kosong, terpaku pada stereng kereta, seolah-olah dia sedang mencari jawapan kepada segala kesalahan yang telah dilakukannya. "Aku mintak maaf, Airis, Danial... korang kehilangan anak korang sebab aku," bisiknya perlahan, namun kata-katanya bergema dalam hatinya. Dia tahu betul tentang segala yang berlaku, tentang bagaimana dia terlibat dalam permainan kotor ini, dan bagaimana semuanya berpunca daripada dirinya.
Raiz menggigit bibir, mengingati kembali peristiwa yang telah berlaku empat bulan yang lalu. Airis, dalam keadaan tertekan dan keliru, telah terperangkap dalam permainan yang dia sendiri aturkan. Danial dan Airis, tanpa mereka sedari, telah terjerat dalam satu perancangan licik yang melibatkan dirinya. Raiz tahu siapa yang menjadi dalang di belakang semua ini, dan dia juga tahu bahawa Alvina adalah orang yang berjaya mempengaruhi dirinya untuk membenci Danial dan Airis.
Apa yang lebih memilukan adalah kenyataan bahawa anak yang dikandung oleh Airis dulu itu sebenarnya adalah anak Danial. Raiz tahu segalanya, dari awal lagi, tetapi dia tidak pernah ada keberanian untuk berhadapan dengan kebenaran itu. Kebenaran yang lebih menyakitkan ialah dia sendiri yang telah menipu Danial, memanipulasi keadaan sehingga menyebabkan jurang yang besar antara pasangan itu.
“Danial... anak yang dikandung Airis dulu itu anak kau,” kata-kata itu akhirnya terkeluar dari mulutnya, tetapi bukan kepada Danial. Dia tidak dapat mengatakannya kepada lelaki itu, kerana dia tahu ia akan menghancurkan hati Danial lebih daripada yang sudah sedia. Kata-kata itu hanyalah bisikan dalam hatinya sendiri, sesuatu yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri.
Raiz meraup wajahnya, cuba untuk menenangkan diri, namun ia tidak berjaya. Setiap detik yang berlalu hanya menambah beban di bahunya. Dia tahu dia telah menjadi punca segala masalah ini. Raiz sendiri tidak tahu bagaimana untuk menebus kesalahan yang telah dia buat, bagaimana untuk menghapuskan perasaan bersalah yang menghantui dirinya setiap saat. Keputusan-keputusan yang salah, permainan manipulasi yang dia mainkan, semuanya kini terbalik dan menghempap dirinya.
Di luar, hujan mulai turun, membasahi kaca depan kereta. Raiz menatap hujan yang turun deras, seolah-olah berharap agar hujan itu dapat membasuh segala kekotoran yang ada dalam dirinya. Tetapi dia tahu itu tidak mungkin. Semua yang telah berlaku tidak mungkin untuk dipadamkan begitu sahaja.
Share this novel