Sesampai sahaja Airis di rumah Puan Ain, dia perasan isterinya itu langsung tak bercakap dengannya. Merajuk agaknya. Susah betul nak pujuk perempuan ni. Padahal, dia cuma tegur pasal pakaian je pun, bukan suruh apa-apa pun.
Danial tahu dia tak boleh nak paksa isterinya menutup aurat, tapi dia harap isterinya berpakaian yang sopan. Itu je. Baju yang seksi-seksi tu memang dia tak bagi pakai. Bukan apa, dia cuma tak selesa bila melihat isterinya berpakaian begitu. Tapi, dia faham, setiap orang ada cara dan pilihan sendiri. Cuma dia harap, Airis faham maksud dan niatnya.
“Dina dah siap ke potong buah?” tanya Mak Munah dengan lembut.
Airis menoleh ke arah Mak Munah. “Sikit je lagi, Mak Munah. Nanti dah siap, Dina bawa ke depan ye...” balas Dina sambil tangannya tekun memotong buah apel dan tembikai. Hari ni, mak mertuanya ada buat jamuan makan-makan sikit. Katanya, untuk menyambut menantu baru.
“Hah, yelah... Mak Munah ke depan dulu, nak letak kuah spaghetti...” jawab Mak Munah sambil membawa kuah spaghetti ke ruang tamu.
Airis hanya menganggukkan kepala, sedikit kelihatan terperangkap dalam kesibukan.
“Akak ada apa yang nak Aina tolong tak?” tanya Aina, adik iparnya yang muncul di dapur, memandang penuh harapan.
“Dah tak ada apa kot nak ditolong...” balas Airis sambil menyusun buah yang sudah siap dipotong ke dalam pinggan.
“Kenapa tiba-tiba nak tolong akak ni...” tanya Airis dengan mata yang sedikit mengecil, menatap Aina yang kelihatan agak canggung.
Aina hanya tersengih, sambil tangannya menggentel-gentel kain lap di atas meja.
“Mummy lah dia bising, suruh tolong akak. Kalau ikutkan Aina, Aina malas lah nak masuk dapur...” jawab Aina dengan nada bergurau.
Airis tersenyum. “Ok... nah, Aina tolong akak bawak buah ni ke depan... kejap lagi tetamu nak datang...” Airis menyerahkan pinggan buah itu kepada Aina.
"Abik... nak mummy bising ke..." Aina terus mengambil pinggan yang berisi buah dan keluar dari dapur.
Airis ketawa kecil, terasa lucu melihat Aina. Dah macam aku dulu... bisik hati Airis. Memang susah betul nak masuk dapur. Dua lagi pinggan yang berisi buah itu diambil dan kakinya melangkah keluar dari dapur. Namun, ketika dia ingin menyelak langsir dapur, tiba-tiba Airis terserempak dengan suaminya.
Muka Airis serta-merta berubah. Moodnya terus hilang.
“Nak abang tolong tak?” tanya Danial dengan nada lembut, cuba menenangkan suasana.
“Tak apa, sikit je ni...” tolak Airis tanpa memandang suaminya.
Danial, yang tak berpuas hati, mencuit hidung Airis dengan geram. “Cuba cakap tu pandang suami...” jawab Danial dengan nada sedikit marah.
“Sakit lah...” marah Airis, dah lah kedua-dua tangan dia pegang pinggan. Nasib baik tak jatuh. “Suka sangat cuit hidung orang, sakit pulak tu.”
“Alololo... meh sini abang tiub,” Danial menggoda, mendekatkan wajahnya ke muka Airis. Terkejut, Airis hanya mampu menatap suaminya dengan pandangan yang lama. Danial dengan lembut meniup hidung Airis, dan mata mereka bertembung.
Tanpa berkata apa-apa, Airis cepat-cepat menjarakkan dirinya.
Danial, terasa sedikit janggal, berdehem untuk menghilangkan rasa malu. “Abang bawakan...” Dua pinggan yang dipegang oleh isterinya diambil dengan lembut.
“Irrmm... ok...” jawab Airis, cuba menyembunyikan rasa malu dan terus meninggalkan ruangan itu.
Sesampainya di depan, Airis memegang kedua pipinya yang terasa panas, seolah-olah masih terkesan dengan perasaan malu yang muncul selepas kejadian tadi. Pipi yang kemerahan itu dikembungkan. Tangan Airis mendarat di dada, terasa detak jantungnya berdegup kencang. Tipulah jika dia kata dia tak jatuh cinta dengan Danial. Apatah lagi, Danial itu sangat memanjakan dirinya. Nampak garang, tetapi hati dia sangat baik.
“Dina, kenapa ni? Tak sihat ke?” Puan Ain memegang bahu Airis dengan penuh keprihatinan. Terdengar nada risau dalam suara orang tua itu.
“Dina ok, mummy. Janganlah risau...” Airis cuba sekuat hati mengawal riak wajahnya, berusaha untuk tidak menunjukkan apa yang dia rasakan.
“Betul ni ok...." Puan Ain ingin kepastian lagi, masih kelihatan ragu dengan keadaan Airis.
“Betul.....” Airis cuba meyakinkan mummy, walaupun dia rasa sedikit janggal. Puan Ain mengangguk perlahan dan sebelum beredar, sempat lagi Puan Ain mengusap perlahan perut Airis, memberikan sentuhan lembut yang penuh kasih sayang.
Airis terkejut dan terus memegang perutnya, mula rasa sedikit pelik dengan tindakan mertuanya. “Kenapa mummy pegang perut aku...” Soal Airis dalam hati, namun dia cuba tidak terlalu memikirkan dan terus meneruskan kerja. Malas dia nak fikir, mungkin mummy hanya ingin menunjukkan kasih sayang seperti biasa.
“Selamat datang, jemput masuk....” Airis menyambut kedatangan tetamu yang baru tiba dengan senyuman manis, sambil membuka pintu. Matanya melirik sedikit ke arah mertuanya yang sudah menjemput ramai orang ke rumah.
“Hah... kenalkan ni menantu aku, Medina.... Dina ni kawan mummy, Aunty Suzy...” Puan Ain memperkenalkan Airis kepada seorang wanita yang tersenyum mesra di hadapannya. Airis dengan sopan menyalam tangan Puan Suzy, yang kemudian membalas dengan senyuman yang sangat manis.
“Ni lah Medina... Dah besar dah kamu sekarang ye....” Puan Suzy berkata dengan nada yang penuh kasih sayang, seolah-olah mengenali Airis dengan rapat.
Airis sedikit terkedu dan mengerutkan dahi, perasaan terkejut muncul dalam dirinya. Kenal ke?
“Dina ingat tak masa kecik, Dina ada bermain dengan anak Aunty Suzy, ingat tak?” tanya Puan Ain, dengan nada yang agak ceria.
Airis masih terpinga-pinga, sedikit keliru dengan situasi itu. Wajah Puan Suzy kelihatan penuh harapan, mungkin mereka pernah bertemu ketika dia masih kecil.
“Sorry Aunty, boleh saya tahu apa nama anak Aunty... Saya tak berapa nak ingat sangat... Maklum lah masa tu kecik lagi....” jawab Airis dengan sopan, cuba menyusun kata-kata agar tidak kelihatan terlalu canggung. Dia benar-benar tidak ingat siapa anak Puan Suzy, meskipun mendengar nama itu berulang kali seolah-olah sudah lama dikenali.
“Nama anak Aunty Ella...” Seorang gadis cantik menghampiri Puan Ain dengan senyuman lebar di wajahnya. Airis menoleh ke arah gadis itu yang berjalan penuh gaya.
“Hello, Auntie Ain...” Tangan Puan Ain disalam mesra oleh gadis itu.
“Ella...” Puan Ain menyebut nama itu dengan penuh kasih, lalu terus memeluk Ella erat. Ella turut membalas pelukan itu dengan lembut, membuatkan suasana di ruang tamu terasa hangat dan mesra. Puan Suzy hanya tersenyum melihat suasana tersebut, manakala Airis hanya tersenyum janggal, masih merasa agak kekok dengan perkenalan yang agak mendalam ini.
Ella meleraikan pelukan dengan penuh sopan. “You... Dina kan?” soal Ella dengan nada ramah, seolah-olah sudah lama mengenali Airis.
“Ye...” jawab Airis dengan senyuman sedikit malu.
“Makin cantik you sekarang,” kata Ella sambil melangkah lebih dekat kepada Airis. Wajah Ella dipenuhi dengan senyuman manis, seolah-olah dia benar-benar memuji. Airis agak terkejut dengan pujian itu, namun tetap tersenyum sopan.
“Tak sangka, you yang dapat Danial,” sinis Ella. Airis mengerutkan dahi. Matanya memandang tajam Ella di depannya.
“Dan perangai you pun sama macam dulu, Ella. You tetap nak cuba rapat dengan Danial walaupun Danial tak suka dengan you,” balas Airis sambil tersenyum sinis.
“Eh, you jangan macam-macam dengan I, ye? I akan pastikan yang Danial akan lepaskan you walau apa pun caranya,” Ella berkata sambil menjarakkan dirinya dari Airis, dengan wajah manisnya yang tidak ikhlas. Airis hanya merenung tajam, tidak membalas kata-kata Ella.
“Mummy, auntie saya ke depan dulu...” ujar Airis, tanpa mempedulikan lagi Ella. Wajah Ella langsung tidak dipandang. Airis segera beredar, melangkah ke arah suaminya yang sedang berdiri di hujung ruang tamu.
Airis menghampiri Danial dengan penuh manja, memaut lengan suaminya. Walaupun Danial kelihatan pelik dan sedikit terkejut dengan sikapnya yang tiba-tiba, Airis pura-pura tidak peduli. Dia hanya mahu menunjukkan bahawa dia tidak gentar dengan ancaman Ella.
“Sorry doo, jalan jem…” Akim berkata sambil menyalam tangan Danial, kemudian mengerling ke arah Airis dengan senyuman nakal.
“Dina…” Akim menyapa dengan penuh semangat, dan Airis hanya membalas dengan senyuman yang sederhana.
“Mana Raiz?” tanya Danial, matanya memandang ke arah jalan, mencari kelibat rakannya. Akim mencebikkan bibir, menunjukkan ketidakpuasan hati.
“Ada tu… tengah ambik fon dia kat kereta,” jawab Akim sambil muncungkan bibir ke luar, menunjukkan arah tempat Raiz berada.
Danial hanya mengangguk, membuat mulut ‘O’ sambil melirik ke arah kereta yang dimaksudkan. Dia tidak terlalu peduli dengan kelakuan Raiz yang selalu mengambil masa lama untuk keluar dari kereta.
"Raiz, tak mungkin lah Raiz yang aku kenal. Macam lah dia sorang je Raizkan," Airis cuba menyedapkan hatinya. Walaupun dia berusaha untuk tenang, perasaan gelisahnya semakin kuat.
"Hah... panjang umur," Airis mengangkat wajahnya, terkedu melihat wajah Raiz yang kini berdiri di depan mata.
Raiz turut terkejut melihat Airis, namun segera memaniskan wajahnya, cuba untuk menutup rasa canggung. "Dah jom masuk," ajak Danial, cuba mengalihkan perhatian.
"Tak nak kenalkan ke?" tanya Raiz sambil tersenyum, membuatkan Airis buat muka meluat. Dia tidak mahu bersikap mesra dengan Raiz, apatah lagi setelah apa yang berlaku sebelum ini.
"Ou... lupa pulak, Dina kenalkan ni kawan abang, Raiz," kata Danial dengan nada biasa, walaupun dia juga dapat merasakan ketegangan di antara mereka.
"Hi..." Raiz menghulurkan tangan dengan senyuman lebar, tetapi Airis hanya memandang sepi tangan itu. Dia tidak mahu bersentuhan dengan Raiz, seakan ada sesuatu yang menghalang dirinya.
Danial dan Akim saling berpandangan, mereka sedar ada ketegangan yang berlaku antara Airis dan Raiz, namun mereka tidak mahu terlalu campur tangan.
“Tak perlu kenalkan kot...” jawab Airis dengan nada datar, tanpa menunjukkan sebarang perasaan. Raiz hanya tersenyum sinis, jelas terasa sedikit tercabar dengan jawapan Airis itu.
“Macam mana Dina boleh kenal Raiz?” tanya Danial, matanya tertumpu pada Airis, seakan menunggu jawapan yang jelas.
Airis memandang wajah Danial dengan pandangan tajam, lalu dengan nada penuh sindiran berkata, “Abang siapa je tak kenal dengan dia, dia kan Playboy terbesar, macam abang kan...”
Kata-kata itu langsung membuatkan Danial terdiam, wajahnya berubah sedikit. Airis yang menyedari situasi itu, tidak mahu terus berlama-lama di situ. Dia tidak dapat menahan perasaannya lagi.
“Dina masuk dulu,” kata Airis dengan tegas, seolah memberi isyarat untuk mengakhiri perbualan. Tanpa menunggu balasan, dia terus berlalu pergi, langkahnya cepat dan berat. Dia tidak mahu berhadapan dengan Raiz lebih lama, takut kalau-kalau dia tidak dapat mengawal kemarahan yang ada dalam dirinya. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia memberi sedikit pelajaran pada Raiz yang dianggapnya sebagai lelaki yang tiada beza dengan masa lalu Danial.
Danial menggaru kepalanya. “Sabar lah bro, perempuan memang macam tu, bendera merah kot..." Akim membuat andaian sendiri. “Macam mana kau boleh kenal dengan Dina?" Tanya Danial, matanya memandang tajam ke arah Raiz. Rasa cemburu mula datang di tangkai hatinya.
Raiz menelan air liur yang terasa pahit. “Ermm aku kenal dia kat London dulu, itu kenal gitu² je...." terang Raiz, sambil memandang Akim. “Dah lah jom...." Bahu Danial di tepuk-tepuk. Danial menghembuskan nafas dengan kasar. Sabar Danial, sabar jangan cemburu buta sangat.
Kaki Danial terus melangkah ke dalam. Akim dan Raiz mengekori Danial dari belakang, cuba mengatur langkah dengan lebih santai. Namun, perasaan ketegangan masih jelas terasa, dan Raiz merasakan ada sesuatu yang tidak kena di antara Danial dan Airis.
Keesokan paginya, Airis terus meluru ke dapur. Hidupnya menghidu sesuatu yang sedap. "Ni mesti mummy yang masak ni...." gumam Airis. Kakinya terus menuju ke dapur dengan langkah cepat.
“Mummy...." Belakang tubuh mummy dipeluk. Terperanjat Puan Ain dengan sergahan menantunya. “Ya Allah, Dina! Terkejut mummy, nasib tak terbalik kuali ni....." Puan Ain mengurut dadanya, cuba menenangkan diri. Airis hanya tersengih melihat reaksi mummy yang masih belum pulih dari terkejut.
“Sorry mummy......" Airis berkata sambil menggelengkan kepalanya. Puan Ain hanya mengeluh ringan dan terus mematikan gas dapur, sambil melepaskan nafas panjang.
“Sorry², lain kali Dina buat lagi mummy cili² mulut tu tau....” marah Puan Ain dengan nada gurau. Airis hanya menekur lantai, sedikit malu dengan kejadian tadi.
“Nak Dina tolong apa² tak?” tanya Airis sambil memandang ke arah nasi goreng di dalam kuali. Tiba-tiba selera makannya naik mendadak. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini, nafsu makannya bertambah, seakan-akan tak pernah cukup.
Airis sedikit berfikir, nak kata datang bulan, dah dua bulan dia tak datang period. Sesekali dia terfikir, "Period aku ni memang macam tu, kadang² tiga bulan tak datang, lepas je tiga bulan terus period." Tapi sejak beberapa hari lalu, dia merasa seperti ada yang tidak kena.
Dia cuba menenangkan dirinya, menganggap itu mungkin disebabkan tekanan atau stress. Walaupun begitu, perasaan yang mengganggu fikiran Airis makin lama makin sukar untuk diabaikan.
“Ehh budak ni, orang cakap dengan dia boleh pulak termenung..." Nasi goreng yang sudah dimasukkan ke dalam mangkuk diletakkan di atas meja. Puan Ain menghampiri Airis Medina dengan wajah yang sedikit terkejut melihatkan Airis yang sedang melamun jauh.
Puan Ain mencuit lengan Airis dengan lembut, cuba menarik perhatian. Tetapi Airis tidak memberi sebarang respon. Puan Ain mengangkat kening, sedikit bingung.
“Medina....” panggil Puan Ain sekali lagi, tetapi masih tiada respon daripada Airis. Melihatkan sikap Airis yang seakan-akan hilang dalam dunia sendiri, Puan Ain mula rasa sedikit risau. Dengan geram, dia terus mencubit pipi bulat menantunya.
“Auwww! Mummy!!” jerit Airis sambil meringis kesakitan, terkejut dengan cubitan yang agak kuat itu. Airis terus memegang pipinya yang kini terasa pedih.
Pipinya diusap perlahan, menahan rasa sakit akibat cubitan tadi. “Auww, sakit lah mummy,” Airis Medina merengus, cemberut dengan wajah comelnya. “Mummy ingat pipi saya ni pau ke?” sambungnya, sedikit mengusik. Puan Ain hanya ketawa kecil melihat reaksi menantunya yang manja itu.
“Hah, tu lah, mummy panggil buat tak tahu je,” Puan Ain menggelengkan kepala sambil mengambil pinggan dari rak atas. Senyumannya penuh dengan kasih sayang, walaupun ada sedikit kekesalan melihat Airis yang asyik termenung tadi.
Puan Ain menghela nafas dan mengalihkan pandangannya ke arah Airis yang masih berdiri di situ. “Dah, kamu pergi naik atas, panggil suami kamu tu turun makan,” arah Puan Ain, suaranya penuh dengan nada tegas tetapi tetap lembut.
“Pergi lah cepat,” Puan Ain menegur lagi apabila melihat Airis yang masih terkulat-kulat di depannya, seakan-akan belum faham apa yang diminta. Airis hanya mengangguk perlahan.
“Baik mummy, Dina naik atas dulu ye…” Airis terpaksa mengalah. Dia melangkah berat keluar dari dapur, fikirannya masih keliru dengan perasaan yang mengganggu hatinya. Langkahnya perlahan, seolah-olah tubuhnya terasa lebih berat daripada biasa.
Puan Ain hanya menggelengkan kepala, matanya penuh dengan rasa sayang dan sedikit kekhuatiran. Dia tahu menantunya itu sedang menghadapi sesuatu yang lebih besar daripada yang dia tunjukkan. Namun, dia memilih untuk tidak bertanya lebih jauh, biar Airis menghadapinya dengan cara sendiri.
Sesampai sahaja di hadapan bilik suaminya, Airis terus masuk ke dalam. Matanya tertancap pada sosok tubuh suaminya di beranda rumah yang sedang termenung, menghadap jauh. Airis menghela nafas berat, cuba menenangkan hatinya yang sedang bergelora.
Kakinya melangkah perlahan, langkahnya terasa berat menuju ke arah suaminya. “Abang, mummy panggil turun sarapan…” tegur Airis dari belakang, suara lembut namun sedikit teragak-agak. Danial tetap buat tak tahu, tidak mengendahkan isterinya yang berdiri di situ. Matanya kosong, seakan memikirkan sesuatu yang jauh.
Airis menjeling mata ke atas, menahan rasa marah yang hampir meletus. Rasa kecewa itu bercampur dengan rasa buntu. "Kenapa dia tak pernah nak cuba faham aku?" desis hati Airis. Namun, dia memilih untuk tidak berkata apa-apa, hanya berharap agar suaminya itu akan datang kepada dirinya tanpa perlu dipaksa.
“Abang dengar tak ni...” Airis memegang lengan suaminya dengan lembut, cuba menarik perhatian Danial. Tetapi Danial, dalam kebingungannya, hanya menepis perlahan tangan isterinya. “Tak apa lah, Dina makanlah dulu, abang tak ada selera...” Suara Danial kedengaran kosong, seolah-olah tak mahu melibatkan diri dalam apa yang sedang terjadi.
Namun, reaksi Danial itu seakan memberi kesan yang besar kepada Airis. Wajahnya yang tadinya ceria, kini berubah menjadi suram. Airis terasa hati, bukan kerana apa, tetapi kerana rasa ditolak itu. Setiap kali dia cuba mendekatkan diri, suaminya menjauhkan dirinya. Tangan yang ingin menyentuh dan memberi perhatian itu, ditepis dengan begitu sahaja.
Danial, yang sedar dengan perubahan wajah isterinya, merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia tahu, meskipun dia sedang merajuk, dia tidak boleh membiarkan isterinya terluka lebih jauh. Hatinya mula terasa berat. Merajuk itu adalah perkara biasa dalam hubungan, tetapi yang lebih penting adalah menjaga perasaan pasangan.
Dengan perlahan, Danial memusingkan badannya dan memandang Airis. “Dina…” katanya dengan suara yang lebih lembut. Dia tahu, merajuk itu bukanlah penyelesaian, tetapi menjaga hati isterinya adalah yang lebih utama. Dia sudah berjanji pada dirinya sendiri, untuk tidak membuat Airis merasa kecewa atau terluka oleh sikapnya.
“Dina ada masalah ke?" Tanya Danial, suaranya lembut namun jelas membawa nada risau. Airis tersenyum kelat, cuba menyembunyikan perasaan yang bercampur-baur di hatinya. Dia menggeleng perlahan.
“Abang, Dina nak mintak maaf...” Suara Airis sedikit tersekat. Dia memberanikan diri memegang kedua tangan suaminya yang kelihatan sedikit kaku.
Kali ini Danial tidak menolak. Sebaliknya, dia membiarkan isterinya menyentuhnya. Matanya kini memandang tepat ke dalam anak mata Airis, mencari kejujuran di sebalik kata-kata itu.
“Kenapa pulak Dina kena mintak maaf? Abang kan yang salah... jadi abanglah yang kena mintak maaf.” Dengan penuh kasih, Danial mengusap pipi isterinya yang terasa lembut di bawah sentuhan jarinya.
Airis menarik nafas dalam-dalam, cuba menguatkan dirinya untuk berbicara. “Tak... Dina yang patut mintak maaf. Dina yang salah. Dina tak patut layan abang macam tu.” Suaranya semakin sayu, dan tanpa disedari, air mata mula bergenang di tubir matanya sebelum jatuh menitik di pipinya.
Terluka hatinya apabila melihat air mata berharga isterinya jatuh. Terasa gagal dirinya untuk menjadi suami yang baik untuk Airis Medina. Dia menghela nafas panjang, cuba menahan sebak yang mula bertandang di dadanya.
“Sorry, abang...” Airis memeluk suaminya erat, seolah-olah takut kehangatan itu akan hilang bila-bila masa. Danial membalas pelukan isterinya tanpa ragu, mendakap tubuh itu dengan kasih sayang yang tulus. Dia menunduk sedikit, lalu mencium ubun-ubun isterinya dengan penuh rasa cinta.
“Abang dah maafkan Dina pun... abang tahu abang tak sempurna. Abang banyak buat dosa...” Danial bersuara perlahan, suaranya sedikit bergetar, namun jelas menyampaikan keikhlasannya.
Airis menggelengkan kepala kecilnya di dalam pelukan suaminya, terasa sebak dengan kata-kata itu. Dia tahu, di dalam hubungan ini, dia juga membawa kesalahan yang berat. Namun, hatinya masih terasa perit untuk meluahkan semuanya.
“Abang... Dina yang tak sempurna,” bisiknya perlahan. Dia menguatkan pelukannya, cuba mencari kekuatan untuk terus berbicara, namun lidahnya seolah-olah terikat. “Dina tak suci lagi... Dina tak jujur dengan abang... Dina lah yang paling banyak dosa...” Kata-kata itu hanya mampu diluahkan di dalam hatinya.
Airis menggigit bibir, cuba menghalang tangisannya daripada kembali tumpah. Dia sendiri tidak tahu kenapa susah sangat untuk mengakui segalanya kepada Danial. Rasa takut, rasa bersalah, dan rasa malu bercampur-baur dalam dirinya.
Entah sampai bila dia mampu terus menipu semua orang, termasuk dirinya sendiri. Hatinya bagaikan dihempap beban berat setiap kali memikirkan rahsia yang disimpan kemas. Danial meleraikan pelukan, kedua tangannya memegang wajah isterinya dengan penuh kasih.
“Dina, jujur abang kata... abang dah mula cintakan Dina,” luah Danial perlahan tetapi penuh makna. Mata Danial tidak berkelip, memandang tepat ke dalam mata Airis, seolah-olah mencari kebenaran dalam setiap reaksi isterinya.
Terkebil-kebil mata Airis, tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata itu. Dadanya berdebar kencang, dan tangannya terasa sejuk. Dia menarik nafas panjang, cuba mengawal debaran yang semakin menggila.
“Ermm... abang, jom...” Airis mencuba menukar topik, suaranya sedikit bergetar. Dia tahu dia belum bersedia mendengar luahan cinta dari lelaki itu. Belum bersedia untuk menerima perasaan yang mungkin boleh meruntuhkan tembok rahsia yang dibinanya. Tangannya segera menurunkan tangan Danial yang masih memegang wajahnya.
Baru sahaja dia melangkah setapak, terasa tangannya dipaut erat oleh Danial dari belakang. Langkahnya terhenti, dan sekali lagi jantungnya berdengup kencang, kali ini lebih hebat. Dia tidak berani memandang ke belakang, takut akan mata suaminya yang pasti penuh dengan kejujuran.
Bibir bawah dikemam rapat. Mata Airis terpejam kejap, cuba menenangkan debaran di dada yang semakin menggila. Danial yang sedari tadi memerhatikannya, melangkah mendekat, membuatkan Airis semakin tidak keruan.
“Dina tak cintakan abang?” Suara Danial perlahan, tetapi cukup untuk menusuk ke hati. Raut wajahnya berubah muram, seolah-olah kecewa dengan jawapan yang belum diberi.
Airis membuka matanya, menggaru keningnya dengan kekok. “Malu lah nak mengaku...” gumamnya perlahan, hampir tidak kedengaran.
Danial mengerutkan kening, cuba memahami kata-kata isterinya. “Sayang ada... cinta pun ada...” ucapnya, masih menatap Airis dengan penuh harapan.
Airis pantas menurunkan tangan Danial yang cuba menggapai tangannya. Wajahnya sudah merah padam, menahan malu yang tak terkawal. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus berlari keluar dari bilik, meninggalkan Danial terpinga-pinga.
Danial terpaku seketika sebelum tersenyum kecil, menggeleng kepala. “Malu-malu pun, abang tahu Dina sayang abang,” gumamnya perlahan, matanya masih memandang ke arah pintu bilik yang ditinggalkan Airis. Perlahan-lahan, senyuman di wajahnya berubah menjadi tawa kecil. “Budak manja ni...” ujar Danial, sambil melangkah perlahan ke beranda, membiarkan dirinya menikmati pagi itu dengan rasa bahagia yang tidak mampu disembunyikan lagi.
Bersambung
Share this novel