“Dina, ni bilik kita, depan tu bilik Aidan...” ucap Danial sambil menunjuk pintu di sebelah kanan lorong kecil rumah mereka.
Airis melangkah perlahan masuk ke bilik yang Danial tunjukkan. Matanya memerhati setiap sudut bilik tersebut. Terdapat katil bersaiz king, almari pakaian besar, dan langsir tebal yang membuatkan bilik itu nampak redup walaupun siang. Tapi, semuanya terasa asing baginya.
“Bilik kita? Boleh tak saya nak tidur bilik Aidan? Ada tilam tak? Kalau tak ada, bagi je saya selimut. Saya tidur situ,” ucap Airis tanpa ragu. Suaranya jelas menunjukkan dia tidak selesa.
Danial menarik nafas panjang, cuba bersabar. “Tapi, bilik tu kecil, Dina. Abang takut Dina tak selesa...” ucap Danial, cuba memujuk.
“Ye, memang tak selesa pun. Tapi saya lagi tak selesa bila saya tidur satu bilik dengan awak,” balas Airis sambil memandang tepat ke arah Danial.
Danial memandang Airis seketika, matanya sedikit redup. Dia tahu situasi ini sukar untuk Airis, tapi hatinya tetap sakit setiap kali Airis menolak dirinya. “Macam ni lah, Dina. Dina tidur je bilik ni, biar abang yang tidur dengan Aidan. Abang tak kisah,” ucap Danial dengan nada lembut.
Airis memandangnya, kemudian mengangguk. “Ok. Sebelum saya lupa, saya nak cakap ni.” Dia melipat tangan di dada, menegaskan maksudnya. “Saya akan jaga Aidan bila awak pergi kerja. Tapi balik kerja, awak jaga dia. Dan saya tak nak buat kerja rumah dalam rumah ni. Saya tak pandai masak, jadi pagi-pagi awak kena siapkan makanan saya. Ok?” ucap Airis, tegas seperti membuat perjanjian.
Danial tersenyum kecil, walaupun hatinya pedih. Dia tahu Airis masih keras kepala dan enggan menerima situasi sebenar mereka. “Baiklah, Dina. Abang ikut apa yang Dina cakap. Abang akan pastikan Dina selesa di sini,” ucapnya sambil tersenyum. Tapi dalam hati, dia berdoa agar suatu hari Airis dapat menerima kembali kehadirannya, bukan hanya sebagai abang, tapi juga sebagai suami.
Airis membalikkan badan dan berjalan keluar dari bilik. “Saya nak tengok bilik Aidan,” katanya tanpa menoleh.
Danial memandang Airis berlalu dengan perasaan bercampur-baur. Walaupun Airis menolak dirinya, dia tetap percaya masa akan memulihkan hubungan mereka. Sambil menghela nafas panjang, dia melangkah perlahan ke almari untuk mengemas baju Airis.
Di bilik Aidan, Airis mendapati bilik itu kecil tetapi comel. Terdapat katil bayi, almari kecil, dan mainan yang tersusun di rak. Airis tersenyum nipis tanpa sedar. Walaupun dia masih enggan mengakui Aidan sebagai anaknya, ada sedikit rasa tenang melihat bilik tersebut.
“Budak ni bertuah dapat bilik sendiri,” bisik Airis perlahan. Tapi jauh di sudut hati, dia merasakan ada perasaan aneh yang perlahan-lahan menjalar. Perasaan yang dia sendiri tak mahu akui.
---
Pagi itu, Airis melangkah ke bawah dengan malas. Langkahnya terhenti seketika apabila bau nasi goreng yang segar dan harum menusuk hidungnya. Perutnya yang kosong tiba-tiba terasa lapar. Dia memandang ke arah meja makan, melihat Danial sedang sibuk menghidangkan makanan.
“Morning, sayang...” ucap Danial sambil tersenyum manis, matanya memandang Airis dengan penuh kasih.
Airis mengerutkan dahi. “Ihhh, jangan panggil saya sayang boleh tak? Saya geli...” balasnya dengan nada tegas sambil memandang Danial.
Danial ketawa kecil. Dia tahu Airis masih belum terbiasa, tapi dia tetap sabar. “Sorry, Dina. Jom sarapan sama-sama. Abang dah siapkan nasi goreng, ada telur mata lembu sekali. Dina mesti suka,” ucap Danial, cuba mencairkan suasana.
Airis menarik kerusi di meja makan dengan wajah yang masih masam. Dia duduk tanpa memberi respon. “Awak tak kerja ke hari ni?” tanyanya ringkas sambil menuangkan segelas air kosong untuk dirinya.
“Tak, abang ambik cuti seminggu. Dalam seminggu ni, abang nak ajar Dina cara nak uruskan Aidan,” jawab Danial dengan nada serius tetapi mesra.
Airis mengangkat kening, terkejut. “Seminggu? Awak nak ajar saya? Hmmm... ok,” balas Airis perlahan, suaranya sedikit tak berminat.
Danial menarik kerusi di hadapan Airis dan duduk. Dia menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan Airis dengan teliti, memastikan jumlah yang cukup. “Dina tahu tak, nasi goreng ni abang masak sendiri. Resepi special, sebab abang tahu Dina suka makanan yang simple,” ucap Danial sambil tersenyum.
Airis memandang nasi goreng itu. Dia mengambil sudu dan perlahan-lahan menyuap makanan ke mulut. Rasa nasi goreng itu sebenarnya sedap, tetapi dia enggan memuji. Sebaliknya, dia berkata, “Tak buruklah rasanya.”
Danial ketawa kecil. “Terima kasih, Dina. Itu dah cukup buat abang gembira.”
Airis hanya menjeling. Dia terus makan tanpa berkata-kata. Dalam diam, dia tahu Danial berusaha keras untuk membuatnya selesa, tetapi hatinya masih jauh untuk menerima semua ini.
“Aidan mana?” soal Airis tiba-tiba, cuba mengubah topik.
“Dia tengah tidur. Nanti kalau dia bangun, abang ajar Dina cara nak mandikan dia,” jawab Danial dengan lembut.
“Mandi? Saya? Mandikan dia?” Airis terkejut, meletakkan sudu di pinggan.
“Ya, Dina. Anak kita, kan? Dina kena belajar. Tak apa, abang ada. Kita buat sama-sama, ok?” Danial menenangkan.
Airis mengeluh, tetapi dia tidak membantah. Dalam fikirannya, dia hanya mahu minggu ini cepat berlalu. Tapi jauh di sudut hati, ada rasa kagum melihat kesabaran Danial yang tak pernah goyah, walaupun dia sering berkeras.
Selepas selesai sarapan, Airis bangun dari meja makan dan membawa pinggannya ke sinki. Dia menoleh ke arah Danial yang sedang membersihkan meja.
“Awak boleh uruskan semua sendiri, kan? Saya naik atas dulu,” kata Airis, berniat melarikan diri daripada tanggungjawab yang bakal diberikan.
Danial menahan senyum, tahu benar tabiat Airis yang suka mengelak. “Dina, tunggu dulu. Lepas ni abang nak ajar Dina mandikan Aidan, kan? Takkan nak naik atas pula?”
Airis menghentikan langkah, menghela nafas panjang. Dia berpaling, memandang Danial dengan wajah yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati. “Kenapa saya kena buat semua ni? Bukankah awak yang cakap dulu, awak boleh uruskan dia sendiri?”
Danial berjalan menghampiri Airis. “Dina, ini bukan soal abang atau Dina. Ini soal Aidan. Dia perlukan perhatian dan kasih sayang dari kedua-dua mama dan papa dia. Dina kena cuba, walaupun Dina tak ingat.”
Airis menggigit bibirnya. Kata-kata Danial menyentuh sesuatu dalam dirinya, tetapi egonya terlalu besar untuk mengakuinya. Dia mengalihkan pandangan. “Baiklah. Tapi saya nak awak buat sekali. Kalau saya tak reti, jangan salahkan saya.”
Danial tersenyum. “Abang janji, kita buat sama-sama. Dina, percayalah... abang tak pernah nak paksa Dina buat sesuatu yang Dina tak mampu.”
Airis mendengus perlahan. “Ok, fine. Jom. Cepat sebelum saya tukar fikiran.”
---
Di bilik Aidan, bayi kecil itu sudah mula merengek perlahan. Danial mengangkatnya dari katil bayi dengan penuh kasih sayang. Dia memandang Airis, yang berdiri di sudut bilik, seperti tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Dina, mari sini. Tengok abang buat dulu,” kata Danial sambil meletakkan Aidan di atas meja tukar lampin.
Airis berjalan perlahan-lahan, memerhati gerak-geri Danial yang cekap membuka baju Aidan dan membungkusnya dengan tuala kecil.
“Lepas ni, Dina kena cuba buat sendiri, ok?” kata Danial sambil membawa Aidan ke bilik mandi kecil di sebelah.
Airis mengikut dari belakang, rasa kekok mula menjalar di dalam dirinya. Dia memandang Danial memandikan Aidan dengan penuh perhatian. Tangannya lembut, senyuman sentiasa terukir di bibirnya ketika bercakap dengan bayi itu.
“Kenapa awak macam sayang sangat kat dia?” tanya Airis tiba-tiba.
Danial mengangkat wajah, memandang Airis dengan mata penuh rasa cinta. “Sebab dia anak kita, Dina. Darah daging kita. Walaupun Dina tak ingat, Aidan tetap perlukan Dina. Abang tahu Dina boleh jadi mama yang baik untuk dia.”
Airis terdiam, hatinya bagai disentuh. Tapi dia cepat-cepat mengalih pandangan, menahan air mata yang hampir jatuh. “Saya tak pasti saya boleh buat,” katanya perlahan.
Danial mengelap badan Aidan dengan tuala kecil. “Abang tak minta Dina buat semuanya dengan sempurna. Abang cuma nak Dina cuba. Itu sudah cukup.”
Airis tidak menjawab. Dia hanya memerhati Danial yang kini sedang memakaikan baju bersih untuk Aidan. Dalam diam, dia mula merasakan sesuatu yang sukar untuk dia ungkapkan. Aidan, walaupun dia masih enggan mengakuinya, sedikit demi sedikit mula mengetuk pintu hatinya.
Petang itu, Airis hanya duduk bersantai di sofa sambil memakan jajan. Ruang tamu yang tadi kemas kini berselerak dengan bungkusan plastik dan serpihan makanan kecil yang bersepah di atas permaidani.
“Dina, kenapa bersepah ni? Kan abang dah kemas tadi…” tegur Danial dengan nada yang cuba dikawal supaya tidak terdengar seperti memarahi.
Airis hanya memandang Danial sekilas sebelum menjawab dengan nada selamba, “Oh, ye ke? Tak apa lah, nanti awak kemas lah lagi. Ni saya nak naik atas nak tidur. Penatlah tadi pagi tengok awak mandikan Aidan.”
Danial terdiam seketika, cuba mencerna apa yang baru didengarnya. “Penat tengok abang mandikan Aidan? Dina, serius?” Dia meletakkan Aidan yang baru saja selesai menyusu di buaian kecil di sudut ruang tamu.
Airis yang sudah berdiri di tangga memandang Danial dengan wajah tidak bersalah. “Ya lah, awak tak tahu betapa penatnya tengok awak sibuk ke hulu hilir pagi tadi.”
Danial melepaskan nafas berat, menahan dirinya dari berkata lebih. “Dina, abang tak kisah nak bantu apa pun, tapi Dina pun kena belajar untuk jaga rumah ni sikit. Ini rumah kita.”
Airis mengangkat bahu tanpa sedikit pun rasa bersalah. “Kan saya dah cakap, saya tak pakar dalam urus rumah ni. Awak je yang pandai. Jadi, awak buat lah.” Dia tersenyum sinis, lalu menyambung langkah menaiki tangga.
“Dina, kalau Dina terus macam ni, abang tak tahu sampai bila abang boleh bersabar,” ucap Danial, suaranya lebih tegas kali ini.
Airis berhenti seketika di anak tangga terakhir, menoleh ke arah Danial. “Kalau awak rasa tak boleh sabar, awak boleh berhenti cuba. Bukan saya suruh awak kemas rumah ni. Itu keputusan awak sendiri.” Setelah berkata begitu, dia masuk ke bilik, menutup pintu dengan sedikit kuat, meninggalkan Danial berdiri di ruang tamu sambil menggeleng kepala.
---
Beberapa jam kemudian
Danial sedang mendukung Aidan yang mula merengek kerana lapar. Dia berjalan ke dapur untuk menyediakan susu botol sambil mengingatkan dirinya untuk bersabar. Walaupun rasa geram terhadap sikap Airis semakin bertambah, dia tahu itu bukan cara untuk mengendalikan situasi ini.
Sambil memegang botol susu, dia terfikir kembali kata-kata Airis tadi. “Dia betul-betul tak nak cuba berubah ke? Sampai bila dia nak lari dari tanggungjawab ni?” Danial mendesah panjang, memandang Aidan yang kini kembali tenang dalam pelukannya.
“Tengok mama kamu tu, Aidan. Macam mana papa nak buat dia ingat semuanya?” bisik Danial kepada anak kecil itu.
Airis yang diam-diam berdiri di anak tangga mendengar suara Danial dari dapur. Walaupun dia tidak nampak wajah Danial, nada sayu lelaki itu membuatkan hatinya terasa sedikit tersentuh. Namun, rasa ego dan bingung tentang identitinya sendiri membuatkan dia terus mematikan niat untuk bercakap. Dia kembali ke bilik tanpa sepatah kata.
Airis masuk ke bilik dengan langkah kasar, lalu pintu dihempas kuat. Dia berdiri di tengah bilik sambil memeluk tubuh, matanya memandang sekeliling dengan pandangan yang bercampur baur antara marah dan keliru.
“Dia ingat aku ni terkesan ke dengan apa yang dia kata tadi...” gumam Airis, sambil mendengus kecil. Dia melabuhkan tubuhnya di atas katil, tangan meraup wajahnya.
Namun, suara Danial tadi seolah-olah terngiang-ngiang di telinganya. “Tengok mama kamu tu, Aidan. Macam mana papa nak buat dia ingat semuanya?” Kata-kata itu seperti bayang-bayang yang tidak dapat dia abaikan.
Airis memandang siling bilik, hatinya terasa berat walaupun dia cuba untuk bersikap acuh tak acuh. “Kenapa aku rasa macam ni? Aku kan tak kenal dia, tak perlu pun aku peduli apa yang dia fikir...” Tapi semakin dia cuba menafikan, semakin hatinya resah.
Dia bangun, berjalan ke arah tingkap dan memandang ke luar. Hujan renyai-renyai mula turun, menambahkan lagi rasa dingin yang menyelimuti bilik. Dalam keheningan itu, dia mula berbicara dengan dirinya sendiri.
“Kalau betul aku tak ada kaitan dengan dia, kenapa aku rasa bersalah? Tapi... aku tak ingat apa-apa. Apa yang aku tahu, aku cuma nak hidup macam dulu. Tanpa dia, tanpa tanggungjawab ni...” Airis mengeluh berat, cuba memaksa dirinya untuk berhenti memikirkan hal itu.
Dia mengambil bantal kecil dan memeluknya erat. “Aku tak nak fikir. Kalau dia nak buat apa pun, itu urusan dia. Aku cuma nak hidup aku balik.” Namun, kata-kata itu terasa kosong. Jauh di sudut hati, dia tahu sesuatu sedang berubah, dan ia membuatkan dia semakin takut untuk menerima kenyataan.
Di luar bilik, Danial sedang duduk di sofa sambil memangku Aidan yang sudah tertidur. Wajahnya kelihatan letih, tetapi matanya tetap memandang ke arah pintu bilik Airis. Dia tahu Airis sedang bergelut dengan perasaannya, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk menolong.
“Dina... sampai bila Dina nak lawan perasaan sendiri?” bisik Danial perlahan, sambil mengusap kepala kecil Aidan.
Danial mengeluh perlahan sambil memandang pintu bilik Airis. Dia tahu, jika dibiarkan berlarutan, jurang antara mereka akan semakin dalam. Tetapi dia juga sedar, memaksa Airis untuk menerima situasi mereka tidak akan membantu.
Sambil menidurkan Aidan di buaian, Danial mengambil keputusan untuk berbicara lagi dengan Airis. Dia mengetuk pintu bilik dengan lembut.
“Dina... abang nak masuk sekejap,” ucap Danial dengan nada penuh hati-hati.
Dari dalam bilik, Airis yang sedang berbaring memejamkan matanya rapat-rapat, berpura-pura tidak mendengar. Namun, hati kecilnya berdebar. Dia tahu Danial tidak akan pergi begitu sahaja.
“Dina, tolong buka pintu. Abang nak cakap sesuatu,” suara Danial semakin mendesak, tetapi tetap lembut.
Akhirnya, dengan berat hati, Airis bangun dan membuka pintu. “Apa lagi awak nak? Saya nak tidur.” Wajahnya masam, tetapi jelas dia sebenarnya cuba menyembunyikan sesuatu.
Danial menarik nafas panjang sebelum bersuara. “Abang tak nak bergaduh, Dina. Abang cuma nak cakap sesuatu, dan abang harap Dina dengar sampai habis.”
Airis memandangnya dengan pandangan mencabar. “Cakaplah cepat. Saya penat.”
Danial melangkah masuk sedikit, tetapi masih berdiri berhampiran pintu. “Abang tahu, Dina rasa semua ni macam beban. Abang tahu Dina tak ingat apa-apa, dan abang tak salahkan Dina. Tapi, Dina... Aidan perlukan mama dia, dan abang perlukan isteri abang. Kalau Dina tak nak fikir tentang abang, fikirkanlah tentang Aidan.”
Airis mendengus kecil. “Awak ingat senang ke nak fikir? Saya tak ingat langsung siapa awak, siapa Aidan. Saya tak rasa saya ada hubungan dengan mana-mana dari awak. Jangan paksa saya, boleh tak?”
Wajah Danial sedikit berubah, tetapi dia cuba menahan diri. “Abang tak paksa, Dina. Tapi abang cuma nak Dina cuba. Bukan untuk abang, tapi untuk diri Dina sendiri. Kalau Dina tak nak cuba terima abang sebagai suami, sekurang-kurangnya cuba terima Aidan sebagai anak.”
Airis memandang Danial lama. Ada sesuatu dalam kata-kata Danial yang membuatkan hatinya tersentuh, tetapi dia cepat-cepat memalingkan wajah. “Saya tak tahu, Danial... Saya tak tahu macam mana nak mulakan.” Suaranya hampir berbisik.
Melihat kelembutan itu, Danial melangkah lebih dekat. “Tak apa kalau Dina tak tahu. Abang akan bantu. Kita mulakan perlahan-lahan, satu langkah pada satu masa.”
Airis menggigit bibirnya, cuba menyembunyikan rasa serba salah yang mula menghantui dirinya. Dia tidak menjawab, tetapi tidak juga menghalau Danial keluar. Danial tahu, ini adalah peluang kecil untuknya membina semula jambatan yang telah lama runtuh.
“Dina rehatlah dulu. Kalau Dina perlukan apa-apa, abang ada di bawah.” Danial melangkah keluar, meninggalkan Airis yang kini termenung, memikirkan kata-kata suaminya.
Di luar bilik, Danial tersenyum kecil. “Sekurang-kurangnya, dia dengar...” bisiknya, penuh harapan.
Share this novel