Suasana di kediaman Tengku Ali seperti pasar malam apabila kesemua adik beradik Tengku Diana pulang ke rumah agamnya. Lagi seminggu cucunya akan diijabkabulkan, dan semua persiapan sedang dilakukan. Dalam hati Tengku Ali, kadang-kadang dia merasa kasihan melihat cucu perempuannya, Airis. Namun, semua ini dilakukan untuk memastikan Airis menjadi matang dan memahami tanggungjawab yang akan datang.
Airis termenung di tepi kolam. Melihatkan wajahnya yang murung, Tengku Ali mendekatinya. “Airis, kenapa kat sini sorang-sorang?” tegurnya. Airis yang leka dengan fikirannya tersedar. “Ermmm, saje nak ambil angin malam. Kat dalam tu panas...” balasnya sambil memandang ke langit yang dipenuhi bintang.
Tengku Ali turut mendongak ke atas. Ini adalah kebiasaan Airis; jika ada masalah, dia pasti akan mencari ketenangan dengan melihat bintang di tepi kolam. “Airis tak boleh nak tipu Tok Daddy. Airis mesti ada masalah, kan?” teka Tok Daddy, melihat gelagat cucunya. Airis mengemam bibir, menyembunyikan kerisauannya.
“Kenapa? Airis tahu kan Tok Daddy buat semua ini untuk kebaikan Airis sendiri...” Tengku Ali menepuk bahu cucunya. Airis menarik nafas dalam-dalam. “Tak ada apa-apa pun, Tok Daddy. Airis ok je... cuma tu lah, Syah lepas je Airis kahwin, dia nak balik Kedah. Tu yang Airis sedih...” terang Airis, walaupun sebenarnya hatinya berbelah bagi. Dia tahu Syah perlu pulang kerana ibunya sakit, tetapi dia risau tentang masa depannya.
Dia teringat tentang Danial. Dia bimbang untuk berterus terang tentang statusnya. “Kalau aku bagi tahu Danial, apa pandangannya pada aku?” soalnya dalam hati. Dia merasa sakit kepala memikirkan tentang masa depan dan perasaan yang semakin menghimpitnya.
“Pasal tu ke? Kalau Airis dengan Danial ada masa, kamu pergi je lah melawat dia kat Kedah tu. Senang je kan... Dah lah, Tok Daddy masuk dulu. Sejuk kat luar ni. Kamu tu jangan lupa masuk, takut demam pulak,” pesan Tengku Ali sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Airis hanya menganggukkan kepala, mendengar pesanan itu.
Dia duduk di kerusi tepi kolam, berfikir dalam-dalam. “Betul ke aku ikhlas nak kahwin dengan Danial? Atau aku nak dia jadi pak sanggup aku je?” soalnya pada diri sendiri, sambil meramas rambutnya.
Ketika Airis sedang merenung, suara lembut mamanya, Tengku Diana, memanggilnya. “Ye mama, ada apa?” tanyanya sambil menghampiri ibunya. Tengku Diana mengajak, “Jom masuk, dah malam sangat ni.” Rambut anaknya dibelai lembut. Dia menyedari sejak Airis pulang dari rumah Syah, anaknya itu selalu menyendiri. Jika ditanya, Airis hanya memberi jawapan ringkas, “Tak ada apa, jangan risau.”
Airis melihat ke skrin telefonnya. “Ye lah mama, tak perasan dah lewat. Adik masuk tidur dulu ye, mama...” Dia mencium tangan mamanya sebelum naik ke atas. Tengku Diana hanya memandang, penuh rasa kasih.
Pintu sliding door ditutup dan dikunci. Dia berasa letih tetapi lega. Esok masih banyak yang perlu diuruskan sebelum hari bahagianya tiba.
------------------------------------------------------
Pintu bilik Airis dibuka perlahan, dan matanya sedikit terkejut apabila melihat sesusuk tubuh kecil di atas katilnya. Dia melangkah mendekati katil dengan hati-hati, dan apabila dilihat dari dekat, rupanya anak sepupunya, Tengku Farisha Irwayu, sudah terlelap di situ. Telefon bimbit yang dipegangnya diletakkan di sisi meja, lalu pipi gebu Irwa dicium lembut. Setelah mematikan lampu tidur, dia berbisik lembut, "Good night... kesayangan acik Ina."
Gelaran "Dina" atau "Ina" memang kesukaannya. Walaupun tidak ramai yang memanggilnya begitu, hanya Danial dan Auntie Ain yang berbuat demikian, baginya panggilan itu amat istimewa.
Airis tidak sedar bila dia terlelap, hanya menyedari tubuhnya terasa lenguh apabila tersedar dalam keadaan duduk. Pukul 5.30 pagi terpampang di skrin telefon, menandakan waktu untuk bangun. Irwa yang masih diulit mimpi segera dikejutkan. Walaupun beberapa kali cuba dikejut, anak kecil itu bangun juga akhirnya, berlainan dengan dirinya yang sukar untuk bangun jika dikejutkan mamanya sewaktu kecil.
"Acik Ina pergi mana semalam? Penat Irwa tunggu kat sini," rungut Irwa dengan suara manja, memeluk erat badan Airis. "Acik Ina tak pergi mana pun, sayang... Acik ada je kat bawah," jawab Airis sambil mengusap rambut Irwa. Airis mengomol pipi gebu Irwa, namun anak kecil itu membuat muka tak senang, "Ish, kenapa semua orang suka sangat cium pipi Irwa... Irwa tak suka lah!" merajuk Irwa sambil berpeluk tubuh.
Airis ketawa kecil. "Sebab Irwa ni comel sangat..." Pipi Irwa dicubit lembut sebelum dia mengajak, "Dah jom ambil wuduk. Dah nak masuk waktu ni..." Mereka berdua bangkit dari katil, bersiap menuju ke bilik air.
Ketika di depan pintu, suara Kak Rifah memanggilnya. "Ris... dah bangun ke?" Airis membuka pintu sambil tersenyum. "Dah, kak..." jawabnya. Kak rifah sedikit terkejut melihat Airis yang biasanya sukar bangun subuh, Biasanya, Auntie Diana yang akan "memekak" di depan bilik sepupunya setiap pagi. Kak rifah bersyukur jika airis ingin berubah.
"Irwa mana?" tanya Kak Rifah sambil mencari anak perempuannya. "Ada dalam bilik air sana," balas Airis sambil mengikat rambut panjangnya. Kak Rifah mengangguk dan berkata, "Kalau macam tu, akak tunggu kat bilik solat... Jangan lama sangat, kita nak berjemaah sekali." Airis mengangguk dengan rasa teruja. Ini kali pertama dia akan solat berjemaah dengan seluruh keluarganya.
Tidak lama kemudian, suara kecil Irwa kedengaran. "Acik Ina, Irwa dah siap!" kata Irwa yang sudah mengenakan telekung. "Irwa pergi dulu, ya? Acik Ina nak ambik wuduk kejap. Pesan kat Tok Abah, tunggu Acik Ina dulu, ok?" pesan Airis sambil membetulkan telekung Irwa yang sedikit senget. Hatinya tersentuh melihat kecomelan anak kecil itu.
"Ok, Acik Ina!" Irwa berlari keluar dari bilik dengan gembira. Airis tersenyum sambil mengingatkan, "Irwa, jangan lari, nanti jatuh!"
Airis kemudian bergegas mencari telekung istimewa pemberian arwah Tok Mummynya dalam almari. Dia rasa sudah tiba masanya untuk berubah, terutama sekali dengan statusnya yang bakal bergelar isteri kepada Megat Danial. Namun, setelah beberapa minit mencari, dia mula berasa buntu.
"Mana aku letak ni..." Airis menggaru kepalanya yang tidak gatal. Perasaannya bercampur-baur antara perasaan rindu dan harapan untuk memulakan lembaran baru dalam hidupnya.
“Mana Airis ni? Kata nak jemaah sekali." Tengku Ali mula bersuara, sedikit risau apabila kelibat cucu perempuannya itu masih belum kelihatan, walaupun waktu solat hampir masuk. Dia memandang ke arah Tengku Diana, mengisyaratkan supaya mencari Airis.
"Jap ye, Daddy..." Tengku Diana bergegas hendak ke bilik Airis. Namun, langkahnya terhenti apabila pintu bilik solat tiba-tiba ditolak kuat dari luar.
"Sorry semua... Airis lambat..." Airis muncul sambil terengah-engah, mengusap dadanya untuk menenangkan degupan jantungnya yang kencang. Dia hampir terlupa telekungnya, dan nasib baik dia sempat menemukannya. Jika tidak, terpaksalah dia meminjam telekung mamanya.
Melihat perubahan mendadak pada anak perempuannya yang kini lebih bersemangat untuk solat berjemaah bersama keluarga, Tengku Diana tersenyum bangga. Dia memegang lengan Airis dengan lembut, tanda senang dan syukur. Walaupun tanpa kata-kata, sentuhan itu menyampaikan perasaan bangga yang mendalam dalam dirinya terhadap usaha Airis untuk berubah.
Airis tersenyum malu, namun dalam hatinya terasa lega. Dia melangkah masuk dan duduk di sebelah ibunya, bersedia untuk solat bersama-sama keluarga. Bagi Airis, pagi itu menjadi satu kenangan bermakna—langkah pertamanya untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa sambil ditemani oleh keluarga yang sentiasa mendukung perubahannya.
Di MEGAT HOLDING
Danial menekan butang interkom di mejanya. “Jannah, tolong panggilkan Encik Akim. Suruh dia jumpa saya sekarang.” Suaranya tegas dan serius, membuatkan staf yang lain berhati-hati dan cuba untuk tidak mendekati biliknya. Semua orang di pejabat sudah masak dengan mood bos mereka yang sukar diduga. Senyumannya jarang terlihat, dan mereka yang baru sahaja tersalah langkah sering mendapat teguran yang tajam.
“Baik, bos…” balas Jannah, segera melaksanakan arahan itu.
Fail di hadapan Danial dicampak di atas meja. Batang hidungnya diurut-urut, cuba menenangkan diri. Dalam masa beberapa minggu sahaja dia akan berkahwin, namun bebanan kerja masih tidak berkurangan. Tambahan pula, mummynya meminta dia bercuti lima hari sempena majlis perkahwinan, satu tempoh yang panjang baginya untuk tidak berada di pejabat.
Di luar pintu, Akim menarik nafas panjang, membaca doa kecil sebelum masuk ke bilik bosnya. “Ya Allah, selamatkanlah aku dari bos durjana ni…” Dengan tangan sedikit gemuruh, dia membuka pintu.
“Sekarang dah tak reti nak ketuk pintu dulu sebelum masuk?” Danial menegur Akim dengan nada dingin.
Akim tersengih, cuba untuk mengawal kekoknya. “Relaks lah, bro... aku terlupa tadi,” katanya sambil menarik kerusi dan duduk. Namun, raut wajah Danial tidak berubah.
“Kenapa benda ni belum settle lagi, Akim? Aku dah cakap benda ni kena siap sebelum aku kahwin. Kau tak ingat ke?” nada marah Danial jelas dalam suaranya.
“Sorry lah... aku lupa,” jawab Akim dengan nada memujuk sambil membelek fail itu. “Aku janji, aku akan siapkan hari ni juga, ok?” Tanpa menunggu jawapan Danial, dia segera bangkit dan kembali ke biliknya.
Sejurus selepas itu, telefon bimbit Danial berdering. Dia menjawab tanpa melihat skrin dan menjawab dengan nada masih kasar, “Hello…”
“Waalaikumsalam... kasar sangat tu bahasa, cik abang,” perli Airis di talian dengan lembut, menyebabkan Danial tersentak.
“Oh, Dina! Maaf... saya ingatkan siapa tadi,” suaranya berubah, cuba menenangkan diri selepas tersedar panggilan itu daripada Airis.
“Awak ni, tak suka saya call ke? Kalau sibuk, saya tak kacau lah,” rajuk Airis dengan nada yang penuh manja, mencetuskan senyum kecil pada wajah Danial.
“Dina, saya ingatkan perangai merajuk tu dah hilang... rupa-rupanya masih ada lagi, ya?” Danial ketawa kecil sambil memusing-musingkan kerusinya, menikmati detik singkat itu.
Airis tergelak kecil sambil mengetel rambutnya, membuat gaya manja yang sedikit berlebihan. Di sebelah, Irwa, sepupu kecilnya, membuat muka nakal, seolah-olah tidak sabar untuk turut serta dalam perancangan Airis.
“Ada apa Dina call Dan ni?” Danial bertanya, sedikit teruja.
“Sebenarnya... saya nak ajak awak jalan-jalan kat mall, kalau awak tak sibuk,” suara Airis penuh harap, dan Irwa di sebelahnya kelihatan teruja mendengar cadangan itu.
“Boleh, bila tu?” Danial pantas menjawab, sambil mula mengemas fail-fail di mejanya dengan cepat.
“Sekarang boleh?” Airis senyum malu, menyedari sikapnya mungkin terburu-buru.
“Ok, saya datang sekarang.” Danial bangkit dari kerusinya, terus menuju ke arah PA-nya, Jannah. “Jannah, batalkan semua mesyuarat saya hari ini. Kita ganti esok,” arah Danial dengan nada serius.
Jannah terkejut, memandang bosnya yang tiba-tiba membatalkan mesyuarat, sesuatu yang jarang berlaku. Namun, dia tetap mengangguk, “Baik, bos…”
Sebelum keluar dari pejabat, Danial melihat dirinya di cermin kaca, membetulkan sedikit tali lehernya. Dia tersenyum kecil, mengingati wajah Airis yang merajuk manja di talian tadi. "Hah, ini kali terakhir aku keluar sebagai bujang. Lepas ni, mungkin kena ikut jadual ketat si isteri pula," bisiknya pada diri sendiri.
bersambung.......
Share this novel