Telefon di meja solek Airis diambil. Dengan cepat, dia menekan nombor Syah dan menempelkan telefon ke telinga.
“Hah… helo? Ada apa call aku ni?” tanya Aisyah, suara di hujung talian kedengaran santai.
Airis, yang sedang berdiri di tepi tingkap, memberi salam dengan lembut. "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..."
“Wow, sekarang dah pandai ye bagi salam...” Aisyah membalas, sindiran kedengaran dalam nada suaranya.
Airis berdecit, sedikit geram. "Kau tak payah nak perli aku. Jawab je lah, itu pun susah."
Airis mendengar tawa halus Aisyah di talian, lantas menjeling ke atas sambil tersenyum kecil. “Yelah… waalaikumusalam, sahabat. Amacam, bahagia?” tanya Aisyah, suaranya penuh dengan nada menggoda.
Airis tersengih, tak dapat menahan rasa gembira yang menyelinap di hatinya. "Bahagia, bahagia sangat… Dia layan aku baik sangat," balas Airis jujur, membayangkan wajah suaminya yang selalu penuh perhatian.
Aisyah mengucapkan syukur dalam hati. “Alhamdulillah… baguslah kalau kau dah mula terima dia,” ujarnya penuh lega.
Airis tersenyum lebar, tak dapat menyembunyikan rasa bahagianya. “Kau tahu tak, dia rajin gila, Syah. Balik je kerja, dia tolong aku kemas rumah, masak, basuh baju… semua benda dia buat. Aku rasa bersyukur sangat,” kata Airis dengan suara ceria, jelas terpancar betapa dia menghargai setiap pengorbanan suaminya.
“Bersyukur tu bersyukur jugak, tapi kau pun kena la rajin sikit. Tolonglah dia, belajar jadi suri rumah yang baik. Takkan semua benda kau nak biar dia buat? Tak baik tau, Airis. Dia tu dah penat-penat kerja, balik rumah kena sambung buat kerja lagi. Tak patut la macam tu…” bebel Aisyah panjang lebar di hujung talian.
Airis menjauhkan telefon dari telinga, mencebik kecil. Aduh, nak bernanah telinga aku, sama je macam mama, rungutnya dalam hati. “Aku tak pandai la, Syah. Aku dah cuba, tapi... tak boleh,” balas Airis, mengeluh kecil.
“Macam tu je kau mengalah? Airis, kau kena usaha sikitlah. Buang sikit perangai malas kau tu, kau tu bukan anak dara lagi…” tegur Aisyah, nada suaranya tegas.
“Ye lah, ye lah, aku cuba nanti. Kau ni dah makin lama makin sama macam mama aku, asyik nak membebel je. Sakit tau telinga aku,” balas Airis sambil mencebik, jelas rasa jengkel.
“Aku membebel sebab benda yang betul, Puan Airis Medina oi. Ingat pesan aku, buang sikit sifat malas kau tu…” balas Aisyah, tegas dengan nasihatnya.
“Ye, aku ingatlah. Eh, kau ni bila nak balik sini? Jangan lupa pula lusa ni aku nak ambik kereta baru tu. Kau kan janji nak teman aku.” Airis mengingatkan, bimbang kalau rakannya terlupa dengan janji yang telah dibuat.
“Aku ingatlah, esok aku balik, ok…” jawab Aisyah, sambil ketawa kecil.
“Hmm, ok lah. Aku nak masak ni. Besok kau datang rumah aku tau, nanti aku bagi alamat. Ok?” balas Airis, tersenyum sambil merancang persiapan untuk kedatangan rakannya.
“Ok...bye.”
“Bye…” Airis terus mematikan panggilan, lalu meletakkan telefon untuk dicaj. Dengan tekad yang baru, kakinya melangkah ke arah dapur. Hari ini, dia berazam nak cuba masak lagi. Mudah-mudahan kali ini tak masin.
Betul juga kata mama dan Aisyah, fikirnya dalam hati. Sampai bila dia nak terus-menerus malas begini? Mulai hari ini, dia akan berusaha untuk jadi lebih rajin. “Kau boleh, Airis,” bisiknya sambil tersenyum pada dirinya sendiri, penuh semangat.
Kakinya melangkah menuruni tangga, dan sebaik sampai di bawah, Airis terus menuju ke dapur. Peti ais dibuka, dan ayam dikeluarkan dari bahagian pembeku. Tangannya mencapai buku resipi yang tersimpan di laci atas, lalu dia mula menyelak helaian demi helaian mencari resipi yang sesuai.
“Nak try masak apa, ye…” gumamnya sambil meneliti pilihan yang ada. Tiba-tiba matanya tertumpu pada helaian resipi “Ayam Batter.”
“Ni macam sedap… okay, ni je lah.” Dengan penuh semangat, Airis memutuskan untuk mencuba masakan ayam batter kali ini.
-----------------------------------
"Assalamualaikum," kedengaran suara lembut memberi salam dari luar. Airis segera melangkah ke pintu depan dan menjawab, "Waalaikumussalam…" sambil membuka pintu. Terpampang wajah ibunya, Tengku Diana. "Mama…" Airis tersenyum, lalu tunduk mencium tangan mamanya. Tengku Diana segera menarik tubuh anak bongsunya ke dalam pelukan erat, melepaskan rindu yang sudah lama bersarang.
Sudah dua minggu sejak Airis berpindah ke rumahnya bersama Danial, dan dalam tempoh itu, Airis belum sempat pulang menjenguk mamanya. Katanya, Danial sibuk, dan mereka tak sempat meluangkan masa.
Airis membalas pelukan mamanya dengan hangat. Dia tahu mamanya merinduinya, dan sebenarnya, dia pun begitu.
Tengku Diana meleraikan pelukan dengan perlahan, memandang wajah berseri-seri anak perempuannya. Wajah yang penuh kasih itu memberikan ketenangan di hati. "Adik sihat?" tanya Tengku Diana, penuh keprihatinan.
Airis mengangguk, membalas senyuman mama. "Sihat, mama sihat?" soal Airis kembali, sambil memandang wajah ibunya dengan lembut.
"Alhamdulillah, mama pun sihat," jawab Tengku Diana, sambil menyentuh rambut lurus Airis dengan penuh kasih. Tangan lembut itu membelai rambut anaknya, tanda kasih sayang yang tiada bertepi.
Mangkuk tingkat di tangan mamanya diambil dengan lembut oleh Airis. "Masuk mama... maaf lah rumah bersepah sikit," kata Airis sambil memberi pelawaan kepada ibunya untuk masuk. Tengku Diana melangkah masuk dengan senyuman, namun matanya tetap menggelengkan kepala melihat keadaan rumah yang agak bersepah.
Airis kemudian menuju ke meja makan untuk meletakkan mangkuk tingkat yang dibawa oleh mamanya. Tengku Diana berjalan perlahan ke arah sofa, meletakkan buku yang ada di atas meja TV sebelum memandang anaknya dengan penuh kasih sayang. "Adik tak kemas rumah ke?" tanya Tengku Diana dengan nada lembut namun penuh makna, seolah-olah ingin memberi nasihat.
Airis mengaru kepala. “Tak sempat lah mama, adik baru je siap masak," jawab Airis sambil menghampiri mamanya di sofa.
“Pukul tiga baru siap...” Tengku Diana menggelengkan kepala. "Anak-anak."
Airis menghentakkan kakinya, sedikit terganggu dengan kata-kata mama. Dia tahu mama ada point, tetapi dia juga tahu betapa sibuknya dia dengan kerja rumah dan urusan peribadi. Kadang-kadang, semuanya terasa seperti terlalu banyak untuk diuruskan.
“Penat lah mama, masak, kemas rumah, basuh baju, gosok baju, adik tak reti lah...” Rengek Airis sambil memeluk mamanya, sambil menundukkan kepala, menunjukkan keletihan yang cukup ketara. Airis merasa terlalu terbeban dengan semua tanggungjawab rumah tangga yang datang begitu mendalam. Cuma dia yang masih belum mampu menyesuaikan diri sepenuhnya.
Tengku Diana hanya tersenyum mendengar rengekkan anak bongsunya itu. “Kalau tak pandai, kena lah belajar, tak kan suami balik dengan rumah bersepah macam ni...” Beberapa kata-kata tegas mengiringi bebelan Tengku Diana. Walaupun suara tengkingannya sedikit keras, namun jelas ada kasih sayang di sebalik kata-kata itu.
“Alah mama ni, nanti Danial balik dia lah sambung kemas ni, adik kan dah masak, biar hal lain dia yang buat....” Balas Airis bersahaja, cuba mengelak dari memikirkan tanggungjawab yang lebih berat lagi.
Tengku Diana hanya menggelengkan kepala, tidak terkesan dengan jawapan anaknya itu. “Danial yang kemas? Adik, Danial tu balik kerja mesti penat. Patutnya, bila suami balik, adik kena lah layan dia, buatkan air ke, kan bagus macam tu....” Tegur Tengku Diana dengan lembut, sambil menyentuh ubun-ubun anak bongsunya. Ciuman kasih itu memberi sentuhan penuh makna, seolah-olah ingin memberi peringatan bahawa menjadi seorang isteri bukan hanya tentang memasak dan mengemas rumah, tetapi tentang menjaga hubungan dan memberi perhatian kepada suami.
Airis memuncungkan mulutnya, menahan rasa. “Susah lah jadi isteri orang ni, tu kena buat, ini kena buat, itu tak boleh, ini tak boleh,” keluhnya, suara sendu itu jelas menunjukkan betapa beratnya perasaan yang dia simpan.
Tengku Diana hanya mengelus lembut rambut anak bongsunya, merasa sedih melihat anaknya yang sedang bergelut dengan perasaan. “Adik, jangan lah macam ni, takkan adik nak give up sekarang kot. Adik kan belum cuba lagi. Adik cuba lah dulu, mama tahu adik boleh...” Tegur Tengku Diana dengan suara penuh kelembutan, wajahnya dipenuhi rasa kasih sayang yang mendalam.
Airis menarik nafas panjang, matanya yang hampir bergenang air mata, segera diseka dengan jari. Dalam hatinya, ada perasaan ingin menyerah, tetapi dia tahu ini adalah ujian yang harus dia lalui. “Kau boleh, Airis,” bisiknya kepada diri sendiri, cuba memberi semangat.
“Ok... adik cuba...” Balasnya sambil tersenyum, walaupun senyuman itu sedikit dipaksakan. Tengku Diana yang melihat perubahan kecil itu, turut tersenyum lega, rasa bangga dan harapan terlihat di wajahnya.
Tengku Diana merangkul anaknya dengan penuh kasih, “Mama percaya pada adik. Setiap perubahan memerlukan masa, dan setiap usaha pasti ada hasilnya. Jangan putus asa, nak.”
Airis mengangguk, walaupun dia masih merasa takut dan ragu, namun semangat yang diberikan oleh mama memberi sedikit kekuatan. Perjalanan sebagai isteri baru saja bermula, dan dia tahu, dengan sokongan mama, dia akan dapat belajar dan menyesuaikan diri.
“Adik masak apa hari ni?” tanya Tengku Diana dengan penuh rasa ingin tahu, wajahnya nampak ceria dan teruja.
Airis tersenyum, sedikit rasa bangga walaupun masih bimbang dengan hasil masakannya. “Adik masak ayam batter, mama nak rasa?” Pelawanya sambil mengatur langkah menuju ke dapur, matanya sempat melirik kepada hidangan yang baru saja disiapkan. Tengku Diana mengikuti anaknya sambil senyum lebar, tak sabar ingin mencuba masakan Airis.
Airis dengan penuh perhatian mengambil sudu kecil dari bekas sudu dan menyerahkannya dengan lembut kepada mamanya. "Ni, mama... rasa lah," kata Airis, sedikit teruja namun tetap ada rasa risau di hati.
Tengku Diana mengambil sudu yang dihulurkan oleh Airis. Dengan senyuman, dia membuka penutup periuk dan mencicipi sedikit kuah yang ada.
“Macam mana mama, ok tak...” tanya Airis dengan penuh debaran, tidak sabar menunggu respon dari Tengku Diana.
Tengku Diana mencuba lagi sedikit masakan itu dan mengeluh sedikit, “Tawar lah dik, adik tak letak garam ke?” tanya Tengku Diana, agak kecewa dengan rasa yang sedikit kurang.
Airis menunduk, sedikit rasa malu. “Tak, adik takut lah mama. Adik tak berani nak letak garam, takut nanti masin...,” jawabnya sambil mengemas dapur yang agak berantakan, menyembunyikan rasa risau di wajahnya.
Tengku Diana menggelengkan kepala sambil mengeluh berat. “Lah, kenapa pulak tak letak? Ni, mana garam? Meh sini, mama bubuhkan.” Airis segera mengambil bekas garam yang ada di kabinet atas dan menyerahkannya kepada mamanya.
Dengan penuh perhatian, Tengku Diana mengambil garam itu dan mula menambah sedikit garam ke dalam masakan. Airis berdiri di situ, matanya memerhatikan kelincahan mama dalam memasak, terasa terpesona melihat bagaimana mama boleh membuat segala-galanya tampak begitu mudah dan sempurna.
Mungkin suatu hari nanti, dia juga akan mahir seperti mamanya, fikir Airis dalam hati.
“Cuba rasa ok tak?” Tengku Diana menyuapkan kuah ayam batter ke dalam mulut anaknya. Airis terus terkejut, matanya terbuntang luas. “Sedapnya mama...” keluhnya, tidak percaya dengan rasa yang begitu enak.
Tengku Diana tersenyum, gembira melihat anaknya menikmati masakan tersebut. Tanpa berlengah, Airis terus mengambil sudu di tangan mamanya dan menceduk kuah ayam batter tersebut. Dia memasukkan ke dalam mulut, terpejam-pejam matanya. “Betul sedap ye,” gumamnya, terkejut dengan hasil yang dia sendiri masak.
Tengku Diana yang melihat senyum manis anaknya menggelengkan kepala dan bangun. “Ni mama balik dulu,” katanya sambil menuju ke singki untuk membasuh tangan.
“Lah, nak balik ke?” tanya Airis dengan wajah sedikit kecewa, sambil menarik tangan mamanya. “Nanti lah mama... adik belum puas lagi nak bermanja dengan mama...”
“Danial kan ada, bermanja lah dengan dia…” Tengku Diana berkata sambil mula bergerak ke depan, diikuti Airis yang masih merasakan sedikit kecewa.
“Dia lain…” balas Airis sambil memuncungkan mulut, menyuarakan sedikit keluhan. Tengku Diana yang melihat gelagat anaknya tidak dapat menahan geram, mencubit perlahan pipi Airis.
“Nanti kirim salam dekat Danial…” ujar Tengku Diana, sambil melangkah menuju pintu.
Airis hanya menganggukkan kepalanya, matanya mula berkaca. Wajah sedih anaknya di tatap lama oleh Tengku Diana, hati ibu itu terasa sebak melihat perubahan pada anak bongsunya.
Dengan penuh kasih, Tengku Diana mendekatkan diri dan memeluk Airis erat. “Jaga diri tau…” pesan Tengku Diana dengan lembut. Airis hanya diam, memeluk mamanya dengan erat. Tak ada kata-kata yang perlu diucapkan, kerana pelukan itu sudah cukup untuk menyampaikan segalanya.
Dalam pelukan itu, Airis merasakan kasih sayang yang tak ternilai dari seorang ibu, dan dia tahu, walaupun dia belum sempurna, mamanya akan sentiasa ada untuk memberi sokongan.
----------------------------------
Airis menghela nafas panjang, matanya tertumpu pada cawan kopi yang diletakkan di meja. Dia berusaha menenangkan diri sebelum bersuara, takut-takut kata-katanya nanti akan membuatkan Danial marah atau kecewa. Rambut ekor kuda yang dia ikat kemas kini terjuntai di bahunya, menambah rasa resah di hatinya.
Danial membuat muka pelik, melihat Airis yang tiba-tiba menjadi resah. “Dina nak cakap apa-apa ke?” tanya Danial, sambil tangannya mencapai cawan kopi yang diletakkan di meja. Dia meneguk sedikit kopi itu, terasa kehangatan di tekaknya.
“Tak...tak ada nak cakap apa....” Tipu Airis, sambil mengusap-usap lututnya. Jantungnya berdegup kencang. “Dina bila nak tidur kat bilik kita....” tanya Danial, sambil mendekati Airis di sebelahnya. Airis terkejut, dengan cepat dia mengesot dirinya ke tepi sofa.
“Sorry, Dina tak sedia lagi...” Airis terus menolak bahu Danial dengan agak kuat. Danial hanya tersenyum, tetapi senyuman itu kelihatan agak misteri.
“Dina tak rasa nak bagi mama dengan mummy cucu ke...” Danial mengusik, namun kata-katanya membuatkan Airis terkedu. Airis mengerutkan dahi. Kenapa tiba-tiba Danial sebut soal anak?
Ermm...abang nak anak ke?” soal Airis, perlahan, seolah-olah cuba membaca reaksi Danial.
“Mestilah abang nak...” Danial menjawab dengan nada penuh yakin. Airis mengeluh perlahan, seakan-akan berfikir sejenak sebelum bersuara lagi.
“Tapi Dina... Dina tak cintakan abang lagi,” balas Airis, jujur. Wajah Danial berubah sekelip mata, kekecewaan jelas tergambar.
Danial menarik nafas panjang dan menjarakkan diri sedikit dari Airis. “Dina nak sambung belajar dulu... anak tu nanti-nanti je lah,” sambung Airis, cuba menjelaskan rancangannya. Namun, pandangan Danial tiba-tiba bertukar tegang, tajam memandang ke arahnya.
“Siapa yang izinkan Dina sambung belajar?” tanya Danial, suaranya keras dan penuh ketegasan, membuatkan Airis terdiam seketika. Suasana terasa mendadak tegang.
Airis memandang Danial dengan wajah tak puas hati. “Ni kan memang plan Dina dari sebelum kita kahwin lagi… Itu pun nak kena minta izin juga ke?”
Danial menghela nafas, namun nada suaranya tetap keras. “Dina isteri abang, selagi abang tak izinkan, jangan nak memandai buat keputusan sendiri…” Danial terus melangkah menuju ke tangga, naik ke atas dengan perasaan yang jelas marah.
Airis yang ditinggalkan di ruang tamu menggenggam bantal yang ada di sofa, menumbuk-numbuknya sekuat hati, seolah-olah bantal itu adalah Danial. Geramnya bukan kepalang. “Arghh! Susah betul nak bincang dengan dia ni!” Airis berbisik geram, rasa seolah-olah tak ada ruang untuknya bersuara.
Dia merapatkan diri di sofa, menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Namun, hatinya tetap bergelora. Takkan sepanjang perkahwinan dia harus ikut saja tanpa ada ruang untuk impiannya sendiri?
Share this novel