“Dina, nek Wan mintak maaf kalau Dina rasa tak selesa duduk kat sini…” ucapan nek Wan itu penuh dengan penyesalan. Wajahnya yang tua kelihatan begitu lembut, menahan perasaan yang hampir tumpah.
Airis hanya merenung nek Wan dengan pandangan kosong. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberi respons, kerana perasaannya berkecamuk. Kenapa dia harus berada di sini? Kenapa semua ini terasa begitu asing dan menjengkelkan? Dia tidak ingat siapa mereka, dan perasaan itu semakin membebani dirinya. Tanpa sedar, kata-katanya yang keluar dari mulutnya sangat tajam.
“Memang pun, nek Wan. Kenapa ye nek Wan beria sangat nak jumpa saya dengan Aidan? Nek Wan tahu tak sebenarnya saya ni tak sudi pun nak jumpa nek Wan?” Suara Airis semakin meninggi, penuh kekeliruan dan keengganan. Dia menundukkan wajahnya, tidak mampu untuk melihat mata nek Wan yang sudah berkaca.
Nek Wan yang sudah tua itu tersentak, namun dia cuba untuk menahan air mata yang hampir menitis. Dia tahu Airis tidak ingat siapa dirinya, tetapi itu tidak mengurangkan rasa kasih sayangnya. Walaupun hati nek Wan terluka, dia tetap cuba berbicara dengan tenang, tidak mahu menambah beban di hati Airis.
“Dina…” suara nek Wan sedikit serak, tetapi masih penuh kelembutan. “Nek Wan tahu mungkin Dina rasa begini sebab tak ingat apa-apa tentang nek Wan. Tapi nek Wan hanya mahu berjumpa dengan Dina dan Aidan. Nek Wan bukan nak paksa Dina, tapi nek Wan sudah lama ingin jumpa cucu-cucu nek. Walaupun banyak yang telah berubah, kasih sayang nek tetap sama. Walaupun Dina tak ingat apa-apa, nek tetap sayangkan Dina dan Aidan…”
Airis memandang ke arah Danial, wajahnya sedikit gusar. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menangani situasi ini. “Tapi nek Wan, saya ni bukan siapa-siapa pun pada nek Wan. Kenapa nek Wan nak sangat jumpa saya? Saya tak kenal pun siapa nek Wan sebenarnya…”
Setiap kata yang keluar dari mulut Airis terasa seperti pisau yang menusuk kalbu. Danial yang sedang berdiri di sebelahnya, hati terasa berat mendengar kata-kata itu. Airis tidak mengingati segala-galanya, malah dia tidak sedar betapa perasaan mereka berdua terluka.
Danial berdehem perlahan, cuba menenangkan dirinya. Wajahnya penuh dengan kesabaran, namun dalam hatinya ada rasa sakit yang sukar diterjemahkan. "Sayang…" suara Danial perlahan, namun tetap penuh keikhlasan. "Nek Wan tu orang yang sangat baik. Walaupun Dina tak ingat siapa dia, nek tetap keluarga kita. abang harap Dina boleh beri sedikit ruang dalam hati untuk terima nek Wan."
Airis merenung wajah Danial dengan penuh kebingungannya. Dia tidak memahami sepenuhnya apa yang Danial cuba sampaikan. Hatinya dipenuhi dengan kekosongan yang sukar dijelaskan, dan dia merasa seolah-olah berada di tengah-tengah dua dunia yang tidak saling bersambung.
"Abang, dina…" kata-kata Airis terhenti. Dia berasa keliru dan tertekan. “dins tak boleh ingat apa-apa, abang. Semua ini terasa asing, abang. Kenapa abang tak faham?”
Danial menghela nafas panjang, lalu dengan perlahan dia meletakkan tangannya di bahu Airis. "abang faham, sayang. abang faham lebih daripada siapa pun. Tapi nek Wan cuma mahu melihat Dina bahagia. Sama seperti abang. Ini bukan tentang ingatan, tapi tentang kasih sayang."
Airis hanya mengangguk lemah, hatinya masih penuh dengan kekeliruan. Walaupun dia tahu bahawa Danial mencintainya, tetapi perasaan itu terasa seperti sesuatu yang jauh dan tidak boleh dicapai. Setiap perasaan yang muncul terasa seperti bayangan yang kabur. Namun, ada sedikit rasa keinginan dalam dirinya untuk mengenali nenek Danial yang ternyata begitu ikhlas dalam menyayangi mereka.
“Tak apa, Dina. Nek faham kalau Dina rasa tak selesa. Nek hanya mahu Dina tahu yang nek sayangkan Dina. Nek berdoa semoga suatu hari nanti, Dina akan ingat semua kenangan kita bersama,” kata nek Wan, sambil mengalihkan pandangannya ke arah Danial, yang kelihatan terharu mendengar kata-kata itu.
Suasana menjadi sunyi seketika. Airis menundukkan kepala, dan dalam hatinya, dia mula merasakan sedikit kepiluan. Walaupun dia tidak mengingati masa lalu mereka, ada sesuatu yang menyentuh hatinya mengenai cara nek Wan berbicara tentang kasih sayang. Sesuatu yang jauh di dalam dirinya ingin menerima kenyataan ini, tetapi memori yang hilang itu menghalang langkahnya.
Danial menepuk perlahan bahu Airis, "Mari kita masuk, sayang. Kita berehat sekejap. abang tahu ini semua bukan mudah untuk Dina. Tapi abang janji, kita akan sama-sama lalui semua ini."
Airis hanya mengangguk, tidak mampu berkata apa-apa lagi. Mereka berdua berjalan masuk ke dalam rumah, dan di belakang mereka, nek Wan masih berdiri, memandang mereka dengan penuh harapan. Dalam hatinya, dia percaya suatu hari nanti Airis akan kembali mengenali mereka, dan kasih sayang mereka akan pulih seperti sediakala.
“aidan sayang kenapa ni nangis,panas ye sayang....." ucap Airis sambil mendukung Aidan dan mengipas-ngipasnya dengan tangan. Suara rengekan Aidan semakin kuat, membuat Airis sedikit cemas.
“kenapa Dina, Aidan panas ke? Kalau nak kipas, nek Wan boleh ambilkan,” ucap nek Wan dengan nada lembut, cuba menenangkan situasi.
“dah tahu panas, pergi lah ambik! Dah nampak kan Aidan ni dah meragam...” ucap Airis dengan suara tinggi, langsung tidak memandang wajah nek Wan. Airis lebih fokus menenangkan Aidan yang masih meragam.
Nek Wan sedikit terkejut dengan nada suara Airis, tetapi dia tetap bangkit perlahan-lahan untuk mengambil kipas. Namun, sebelum sempat nek Wan bergerak, suara Mak Long menyergah dari dapur.
“hoi, Dina! Kau ingat nek Wan ni bibik kau ke?! Jangan nak kurang ajar sangat dekat orang tua!” Mak Long melangkah masuk dengan muka tegang, membawa talam berisi gelas air teh yang hampir jatuh dari tangannya kerana terlalu marah.
“mungkin,” jawab Airis tanpa ragu, sambil melempar pandangan sinis kepada Mak Long. “sebab orang kampung je layak pegang title tu, macam mak long,” sambungnya dengan nada yang sangat menyakitkan hati.
Suasana ruang tamu itu terus menjadi tegang. Danial yang baru keluar dari bilik mandi terpaku mendengar percakapan isterinya. Dia melangkah cepat ke arah Airis sambil memandangnya dengan penuh rasa tak percaya.
“Dina! Apa yang Dina cakap ni? Dina hormat sikit mak long dan nek Wan! Mereka tu keluarga abang,” tegur Danial, nada suaranya kali ini tegas tetapi tidak terlalu tinggi.
Airis mendongak dan memandang Danial dengan mata yang penuh dengan rasa tidak puas hati. “abang tak nampak ke macam mana diorang layan Dina? Macam Dina ni orang luar yang tak patut ada kat sini. Dina tak rasa selesa, abang!”
Mak Long langsung meletakkan talam di meja dan berpeluk tubuh. “Danial, kalau isteri kau tak nak duduk sini, bawak je dia balik. Rumah ni tak pernah halau dia pun. Tapi kalau dah jenis tak tahu hormat orang tua, elok kau ajar dulu sebelum masuk kampung orang.”
Airis mendengar setiap patah kata Mak Long itu dengan hati yang semakin mendidih. Dia bangun dengan Aidan di tangannya, lalu menuju ke tangga untuk naik ke bilik. Sebelum melangkah lebih jauh, dia menoleh ke belakang.
“jangan risau. Lepas ni Dina memang tak akan pijak kampung ni lagi. Dina ada rumah besar kat bandar. Dina tak perlukan semua ni,” ucap Airis sebelum berlalu.
Danial hanya mampu menghela nafas panjang. Dia tahu Airis sedang tertekan, tetapi sikapnya yang semakin keras kepala benar-benar membuatkan segalanya menjadi lebih sukar.
Nek Wan yang dari tadi diam hanya mampu menggelengkan kepala. Dengan nada lembut tetapi penuh makna, dia berkata kepada Danial, “Danial, sabar. Ada masanya manusia tu perlu jatuh dulu sebelum dia sedar tinggi mana budi, rendah mana hati. Doa nek Wan tetap ada untuk kalian.”
Danial menunduk, hatinya berat mendengar nasihat nek Wan. Dia tahu Airis bukan dirinya yang dulu, tetapi dia juga tahu dia tak boleh menyerah. “Terima kasih, nek Wan. Danial akan cuba lagi untuk pujuk Dina.”
“Dina, asal Dina kurang ajar kat nek Wan dengan mak long? Dina tahu tak apa yang Dina cakap tadi betul-betul kurang adab,” ucap Danial dengan nada tegas, wajahnya jelas menunjukkan rasa kecewa. Dia berdiri memandang Airis yang sedang duduk di atas katil sambil mendukung Aidan.
“layanan macam tu lah yang layak dengan diorang,” jawab Airis dingin tanpa memandang Danial. Dia memalingkan wajahnya, seolah-olah enggan berbincang lebih jauh.
Danial menghela nafas panjang. Dia melangkah mendekati Airis dan duduk di hadapannya, cuba menenangkan dirinya walaupun hatinya sudah membuak-buak dengan rasa marah. “Dina, abang tahu Dina tak biasa dengan cara hidup kat kampung, tapi itu bukan alasan untuk hina keluarga abang. Mereka tak pernah buat apa-apa yang buruk kat Dina.”
Airis mendongak, matanya bersinar dengan rasa marah yang terpendam. “abang tak faham. Dina rasa mereka pandang Dina ni macam orang luar, macam Dina ni tak layak ada kat sini. Dina cuma nak balik bandar, itu je. Dina tak nak terus rasa macam ni.”
“Apa yang Dina rasa tak layak? Dina menantu dalam keluarga ni, isteri abang, dan ibu kepada Aidan. Kalau Dina rasa ada yang tak betul, Dina cakap baik-baik. Bukan terus sindir dan kurang ajar,” balas Danial sambil menatap Airis tajam.
Airis menggenggam erat tangan kecil Aidan, cuba menahan perasaan yang bercampur-baur. “abang, Dina tak nak gaduh. Dina cuma rasa abang tak sokong Dina. Kalau abang sayang Dina, abang tak patut biarkan mereka cakap apa-apa yang buat Dina rasa tak selesa.”
Danial mengeluh. “Dina, abang tak pernah tak sokong Dina. Tapi Dina kena ingat, hormat tu kena ada walaupun Dina tak suka keadaan. Nek Wan dah tua, Dina tahu tak apa perasaan dia bila cucu menantu dia cakap macam tu? Dina tak rasa bersalah langsung?”
Airis terkedu seketika. Kata-kata Danial mula meresap ke dalam hati, tetapi egonya terlalu tinggi untuk mengaku salah. Dia bangun dari tempat duduknya dan meletakkan Aidan di dalam buaian kecil. “abang, kalau abang nak teruskan ceramah abang, Dina nak tidur. Dina penat.”
Danial menggeleng perlahan, bangkit dari duduknya. “Dina, abang tak akan berhenti cakap benda ni sampai Dina belajar hargai orang sekeliling Dina. Jangan sampai satu hari nanti Dina menyesal.” Dia melangkah keluar dari bilik dengan langkah berat, meninggalkan Airis yang kini termenung sendirian.
Airis memandang pintu yang tertutup rapat, hatinya bercampur-baur antara marah, sedih, dan rasa bersalah yang mula menjengah. Dia tahu Danial benar, tetapi mengakui itu adalah sesuatu yang paling sukar baginya.
Airis berdiri di bawah pokok rambutan sambil memandang dahan-dahan pokok yang sarat dengan buah merah kekuningan. Udara kampung yang segar menusuk hidungnya, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang minat. Pandangannya kosong, seolah-olah memikirkan sesuatu.
“akk Dina, nak makan rambutan ke?” tegur Azira, seorang gadis kecil berusia 21 tahun, yang datang dengan senyuman manis sambil membawa galah panjang.
Airis memandangnya sekilas dengan riak wajah yang dingin. “Kau ni pulak siapa? Anak mak long ke?” soalnya acuh tak acuh.
“Zira, anak mak Su. Akk nak makan ke?” jawab Azira dengan nada ceria walaupun menyedari sikap dingin Airis.
“Tak nak aku makan buah kampung,” jawab Airis sambil memalingkan wajah, cuba menahan rasa tidak selesa berada di situ.
Azira tetap tersenyum dan mula menggunakan galahnya untuk menjolok buah rambutan. “Akk tak nak, Zira tetap nak ambikkan. Sebab dulu akk suka sangat makan rambutan nek Wan, sampai tak cukup kalau petik sikit.”
Airis terpaku seketika mendengar kata-kata Azira. Dia memandang gadis kecil itu yang bersungguh-sungguh menjolok buah rambutan, tidak mengendahkan kata-kata dinginnya tadi. “Aku suka makan dulu?” soalnya perlahan, seperti berbicara dengan dirinya sendiri.
“Ya lah, akk suka sangat. Nek Wan selalu petikkan untuk akk masa akk datang dulu. Kata nek Wan, akk suka yang manis-manis,” sambung Azira sambil mengutip rambutan yang jatuh ke tanah.
Airis terdiam. Kata-kata Azira seolah-olah membuka sedikit pintu kenangan yang kabur dalam fikirannya. Dia cuba menggali perasaan itu, tetapi segalanya terasa samar. Tangannya perlahan-lahan menyentuh sebiji rambutan yang dihulurkan Azira.
“Ni untuk akk. Cuba makan, mesti akk ingat rasa rambutan nek Wan ni,” ujar Azira sambil menghulurkan buah yang baru dipetik.
Airis memandang buah rambutan itu, teragak-agak untuk menyentuhnya. “Kenapa kau nak ambilkan aku buah ni walaupun aku tak minta?” soalnya dingin.
Azira tersenyum lagi. “Sebab Zira tahu akk mesti rindukan sesuatu, walaupun akk tak ingat sekarang. Zira pun selalu rindu nenek Zira yang dah tak ada, tapi makan buah yang dia pernah bagi buat Zira rasa dia dekat.”
Airis memandang Azira dengan mata yang mula berkaca. Dia tidak tahu kenapa hati kecilnya mula terasa sebak. Perlahan-lahan, dia mengambil buah rambutan itu dan membelahnya. Airis menggigit rambutan itu perlahan, membiarkan rasa manisnya mengisi mulut.
Dia terdiam seketika, memandang Azira yang masih tersenyum di hadapannya. “Mungkin… aku lupa banyak benda, tapi rasa ni… rasa ni buat aku teringat sesuatu,” katanya perlahan, hampir berbisik.
Azira tersenyum ceria. “Kan Zira cakap. Rasa rambutan nek Wan ni tak pernah berubah, macam kasih sayang nek Wan untuk akk.”
Airis memandang buah di tangannya. Untuk pertama kali dalam beberapa hari, dia tersenyum kecil, walaupun hanya sekejap.
Airis yang baru keluar dari bilik air terus memegang kepalanya, perasaan pening semakin teruk. Kepalanya terasa berat dan berdenyut-denyut, seolah-olah ada sesuatu yang menghimpitnya dari dalam. Setiap langkah yang diambil terasa seperti beban yang tak tertanggung.
“Dina ok ke?” tanya Nek Wan sambil memegang bahu Airis dengan penuh rasa cemas. Pandangannya penuh kasih sayang, cuba untuk memberi kekuatan pada cucu menantunya.
“Tak payah sentuh aku lah!!” Airis menjerit dengan suara yang penuh kemarahan, dan tanpa disedari, dia menolak Nek Wan sampai jatuh ke lantai.
“Dina!!!!” Danial menjerit terkejut dan segera memapah Nek Wan untuk memastikan neneknya tidak terluka. Wajah Danial yang sebelum ini penuh dengan keprihatinan kini berubah menjadi marah, tetapi ada juga perasaan cemas yang sangat mendalam.
“Apa yang Dina dah buat? Abang kecewa dengan Dina! Dina pergi naik atas, kemas baju semua, abang hantar balik rumah mama, tapi Aidan abang yang jaga!” Danial berkata dengan suara yang tegas dan kecewa. Matanya tajam memandang ke arah Airis, seolah-olah ingin memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam hidup mereka.
Airis tidak memberi respons, dia hanya duduk di tepi dinding sambil memegang kepalanya yang terasa semakin sakit. Setiap kali dia cuba mengingati sesuatu, kepalanya terasa semakin berat dan sakit, seolah-olah memori itu ditarik jauh darinya.
“Danial, janganlah marah Dina, dia tak sengaja…” ujar Nek Wan sambil berusaha mendekati Airis. Dia tahu, bukan mudah bagi Airis untuk mengawal perasaannya sekarang. Ingatan yang hilang, keliru dan penuh dengan kekeliruan—semuanya membuatkan Airis merasa tersesat.
“Dina, mana sakit cu?” tanya Nek Wan, cuba untuk membantu Airis dengan suara yang penuh kelembutan, berharap agar cucu menantunya itu merasa lebih tenang.
Airis hanya menggelengkan kepala. "Sakit... semuanya sakit..." jawabnya dengan suara lemah, sambil menutup matanya, seolah-olah ingin menahan segala kesakitan yang ada.
“Dah lah Nek Wan, jom Danial hantar pergi klinik, biar je dia kat sini, kurang ajar sangat…” Danial berkata dengan nada tegas, wajahnya penuh kemarahan. Namun, di sebalik kemarahannya itu, dia begitu risaukan keadaan Airis. Perasaan marah bercampur aduk dengan rasa kasihan. Dia tidak pernah menyangka keadaan ini akan berlaku kepada isterinya.
Ingatan lama mula bermain di fikirannya. Beberapa detik yang lalu, dia teringat kembali saat-saat indah bersama, gelak tawa mereka, kebahagiaan yang mereka bina bersama. Tetapi semuanya kini terasa seperti kabus yang pekat, sukar untuk diraih kembali.
Apabila ingatan itu datang, kepala Airis semakin sakit. “Nek Wan…” Airis memanggil nama nenek mentuanya dengan suara yang terputus-putus, suaranya penuh dengan kesakitan dan keraguan. Airis merasa bingung, seolah-olah dia berada di antara dua dunia—yang satu penuh dengan kenangan yang hilang dan satu lagi penuh dengan kekeliruan yang tak terhingga.
Nek Wan segera mendekati Airis, meletakkan tangan di atas kepala cucu menantunya itu dengan penuh kelembutan. Dia mencium kepala Airis dengan harapan agar sedikit sebanyak memberi ketenangan pada Airis. “Danial, tolonglah, bawa Dina pergi hospital, kamu nak hilang dia buat kali kedua ke?” Nek Wan berkata dengan penuh kerisauan, wajahnya penuh dengan ketakutan.
Danial yang memandang dengan penuh kekeliruan, terdiam. “Tak boleh, Nek Wan. Dina dah melampau. Danial tak akan maafkan dia…” Danial berkata dengan suara yang kecewa dan tegas, namun hatinya bergelora dengan perasaan bersalah. Dia tahu Airis tidak sengaja, namun tindakannya yang menolak Nek Wan begitu keras membuatkan Danial hilang sabar. Tetapi di dalam hati, ada sesuatu yang menahan dirinya untuk tidak membiarkan Airis begitu sahaja.
Share this novel