Sudah pagi-pagi lagi, Tengku Diana sibuk berperang di dapur. Bunyi kuali berdecit dan aroma tumisan bawang memenuhi ruang dapur, menjadikan suasana pagi itu lebih hidup. Walaupun mereka mempunyai beberapa pembantu rumah yang boleh membantu, bab makan minum suami dan anak-anak adalah keutamaannya. Dia percaya, air tangan seorang isteri dan ibu adalah rahmat buat keluarganya.
Mee goreng yang sudah siap dimasak diangkat dengan cermat lalu dimasukkan ke dalam mangkuk besar. Kepulan wap yang naik dari mee itu membangkitkan selera. Setelah memastikan rasanya sempurna, Tengku Diana mengelap peluh di dahinya. Kepuasan jelas terpancar di wajahnya. Dia meletakkan mangkuk mee goreng itu di atas meja makan, tersusun rapi bersama hidangan sampingan yang lain.
“Siti!” panggilnya sambil melangkah ke ruang tamu. Suaranya tegas tetapi tidak kasar, memanggil pembantu rumahnya.
Siti yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumah segera berlari masuk ke dalam rumah apabila mendengar suara Tengku Diana memanggil. “Ya, Tengku...” jawabnya pantas, sambil berdiri di muka pintu dapur, menyapu peluh kecil di dahinya.
Tengku Diana yang sedang menyusun sudu dan garfu di atas meja makan memandang ke arahnya. “Sarapan semua dah siap, nanti awak tolong hidangkan ye. Saya nak naik atas panggil Tengku Ali,” pesannya lembut tetapi tegas.
“Baik, Tengku,” jawab Siti dengan penuh hormat. Dia segera melangkah ke meja makan, bersedia untuk menjalankan tugas yang diarahkan.
Tengku Diana baru saja mahu melangkah keluar dari dapur menuju ke tingkat atas, tetapi langkahnya tiba-tiba terhenti. Dia berpaling semula ke arah Siti, wajahnya seperti baru teringat sesuatu. “Hah, lagi satu, ikan pindang tu, hidangkan untuk Cik Airis ye. Dia suka ikan pindang, jangan lupa,” katanya sambil mengangguk kecil.
Siti menganggukkan kepala tanda faham. “Baik, Tengku. Saya akan pastikan semuanya siap,” jawabnya sambil tersenyum kecil. Dia segera mengalihkan perhatian kepada meja makan, mula mengatur hidangan seperti yang diarahkan.
*******$****$
Setelah selesai mandi, Airis melangkah keluar dari bilik air dengan wajah yang masih basah sedikit. Dia menuju ke meja soleknya, mencapai sepasang stokin yang terletak di atas meja. Dengan penuh teliti, dia menyarungkan stokin itu ke kakinya, memastikan ia kemas dan selesa.
Setelah itu, Airis bangkit dari tempat duduknya. Tangannya mencapai sikat kecil di meja solek, lalu mengemaskan rambutnya yang telah disanggul tinggi sejak dari bilik air tadi. Dia mengerling cermin sebentar, memastikan penampilannya rapi sebelum melangkah pergi.
Airis mengatur langkah perlahan menuju ke ruang sofa, tempat suaminya, Danial, sedang tidur lena. Wajah lelaki itu kelihatan tenang dalam tidurnya, berbeza dengan sikap dingin dan keras yang sering ditunjukkan ketika sedar. Airis berdiri sejenak di hadapan Danial, memerhati raut wajahnya yang sedikit lelah.
Airis melabuhkan duduk di hujung sofa yang ditiduri suaminya. Tubuhnya terasa lemah, namun hatinya sarat dengan perasaan yang sukar diungkapkan. Dia menatap wajah suaminya lama, setiap lekuk wajah itu dihafal satu persatu. Raut wajah Danial yang tenang dalam tidurnya membuatkan Airis semakin sebak.
“Dina rindu sangat dengan abang…” suaranya hampir berbisik, tapi penuh dengan rasa rindu yang mendalam. “Dina rindu senyuman abang, Dina rindu bebelan abang… Semua pasal abang, Dina rindu.” Air matanya mulai menitik, mengalir perlahan ke pipinya tanpa dapat ditahan. Dia menyeka pipinya perlahan-lahan, tetapi tangisan itu seolah-olah enggan berhenti.
Dengan perlahan, Airis mengangkat tangannya, menyentuh rambut Danial buat pertama kali. Hatinya bergetar, tak pernah dia menyangka akan mendapat keberanian ini. Selalunya hanya suaminya yang membelai rambutnya, tetapi kali ini dia ingin merasakan detik ini pula.
“Abang tahu tak…” suaranya bergetar, sambil jarinya bermain lembut di rambut suaminya. “Kenapa Dina selalu jauhkan diri dari abang?” Airis cuba melanjutkan bicara, tetapi kata-katanya terhenti. Dada yang sebak membuatkan dia terdiam. Air mata terus mengalir deras.
"…sebab... Dina trauma dengan lelaki. Dina takut abang..." Suara Airis bergetar, setiap kata penuh dengan rasa kesedihan dan ketakutan yang terpendam lama. Namun, luahannya terhenti apabila Danial bergerak sedikit. Tidurnya terganggu, lalu dia mencelikkan mata perlahan-lahan.
Sebaik sahaja matanya terbuka, pandangannya terus bertemu dengan wajah isterinya yang sedang penuh emosi. Wajah yang cuba disembunyikan dengan senyuman, tetapi jelas basah dengan air mata.
Danial bingkas bangun dari posisi baringnya, menegakkan tubuh dengan rasa jengkel. “Kau ni dah kenapa, nangis depan aku ni? Tak cukup drama lagi ke?” soalnya dengan nada sinis. Matanya memandang tajam ke arah Airis, yang nampaknya cuba mengawal emosi.
Airis tergamam seketika, namun segera mengesat air matanya dengan cepat. Dia cuba mengukir senyuman manis, walaupun dalam hati masih terluka. “Mana ada Dina nangis…” katanya dengan suara bergetar kecil. “Mata ni hah… masuk habuk.” Airis memalingkan wajahnya sedikit, cuba mengelak daripada pandangan Danial.
Danial hanya menggulingkan matanya tanda tidak percaya.
“Tepi boleh tak, menyemak je...” Danial menolak kasar Airis yang berdiri di depannya. Nasib baik Airis sempat mengimbangkan badan. Kalau tak, mungkin sudah terduduk dia di lantai.
Hatinya berdegup kencang, lebih kerana terkejut dengan tindakan Danial. Dia mengangkat kepala, matanya memerhatikan belakang tubuh suaminya yang langsung tidak menoleh. Danial terus mengambil tuala di penyangkut sebelum melangkah masuk ke bilik air tanpa sepatah kata.
Airis mengeluh berat, tangan diletakkan di dada yang masih terasa sakit. “Sabar Airis... kau kena sabar...” bisiknya perlahan, cuba memujuk diri sendiri. Dia memejamkan mata seketika sebelum membuka semula dan menghela nafas panjang.
Airis melangkah keluar bilik.
Dia tahu kalau terus berada di situ, hanya akan menambah luka di hatinya.
**************************
“Mama, kalau Danial bawa isteri Danial balik rumah kami boleh ke?” tanya Danial, suaranya agak perlahan namun tegas. Tengku Diana, yang sedang duduk di hadapan mereka, memandang wajah menantunya dengan teliti. Airis yang duduk di sebelah hanya memandang meja, menundukkan kepala.
“Boleh tu boleh, tapi Danial boleh ke uruskan Adik...?” Tengku Diana menyuarakan kebimbangan yang tersirat. Wajahnya penuh kerisauan, takut jika sesuatu yang buruk terjadi kepada Airis.
Danial mengangguk penuh keyakinan. “InsyaAllah mama, Danial boleh uruskan...” Dia cuba menenangkan ibunya, walaupun hatinya sendiri keliru.
“Betul ni, boleh...” Tengku Diana mahu kepastian lagi, ragu-ragu dengan keputusan yang akan diambil.
Encik Mustafar yang duduk di sebelah, menyengol lengan isterinya dengan lembut. “Biar lah, diorang ni dah besar, tahu lah Danial nak jaga isteri dia macam mana...” Tegur Encik Mustafar, menenangkan Tengku Diana yang masih ragu.
Tengku Diana mencemberutkan wajahnya. Risaukan anak je... Gerutu hati Tengku Diana. Namun, dia tahu dia hanya seorang ibu yang terlalu sayang.
Airis yang mendengar perbualan itu memandang wajah mama dan papanya bergilir-gilir. Hati ibu mana yang tidak risau, kata hati Airis. Namun, dia tidak mahu keadaan ini menjadi lebih tegang.
“Mama... Adik ok lah, adik pandai jaga diri adik, lagipun kan adik ada Danial. Mama janganlah risau...” Pujuk Airis dengan nada lembut. Dia memandang suaminya di sebelah, memberi isyarat agar Danial mengerti bahawa dia bersedia untuk menghadapinya bersama.
“Betul ni... adik ok....” Tengku Diana masih ingin kepastian, matanya penuh dengan kerisauan.
“Betul, adik ok... Don’t worry ok...” Airis melakar senyuman manis, cuba meyakinkan mama dan papa walaupun dalam hati ada sedikit rasa cemas.
Encik Mustafar yang melihat Airis yang hanya menguis-nguis nasi di dalam pinggan, mengangkat kening. “Hah, adik, kenapa nasi tak bergerak tu? Tak sedap ke mama masak...?” Tegur Encik Mustafar dengan nada berseloroh, ingin menceriakan suasana.
Airis mengangkat wajahnya perlahan, menyedari yang papanya memerhatikan gerak-geriknya.“Sedap, mesti lah sedap mama adikkan yang masak...” balas Airis sambil tersenyum, cuba menceriakan suasana. Namun, senyumannya tidak sampai ke mata, kerana hatinya terasa kosong.
Danial yang duduk bersebelahan dengan Airis, tiba-tiba memegang tangan Airis yang berada di atas meja. Airis terkejut dan memandang pelik ke arah suaminya.
“Sayang ada sakit-sakit badan lagi ke?” tanya Danial, suaranya lembut, penuh perhatian. Namun, Airis tahu, itu hanya sebuah soalan biasa, tidak lebih dari sekadar untuk menjaga perasaan.
“Hmm, tak ada lah Dina, ok,” jawab Airis dengan senyuman kelat. Dia tahu, Danial sedang berpura-pura baik di depan keluarga mereka. Terasa seperti ada dinding yang memisahkan mereka berdua, walaupun mereka duduk berdekatan.
“Kalau ok, kenapa tak terusik nasi tu?” Danial berkata sambil menjuihkan mulutnya ke arah pinggan nasi yang masih belum terusik oleh Airis. Tangan Danial tanpa ragu, mengusap lembut tangan Airis.
Airis memandang wajah ibu dan bapanya yang mula tersenyum sesama sendiri. Melihat mereka, hatinya terasa berat. Dia menundukkan wajah, menarik nafas panjang sebelum dihembuskan perlahan. Seperti ada sesuatu yang menekan di dadanya, sesuatu yang membuatnya semakin lemah.
Pandangannya beralih kepada suaminya, Danial. Wajah lelaki itu tidak menunjukkan sebarang perasaan, hanya dingin dan kosong. Airis cuba tersenyum, namun senyuman itu hilang sebaik sahaja mulutnya bersuara.
“Dina tak selera lah...” kata Airis dengan jujur, suaranya seakan terhalang. Memang benar, dia tidak ada selera untuk makan. Bukan kerana perutnya tidak lapar, tetapi selera itu mati begitu saja apabila dia merasakan sikap dingin Danial padanya. Rasa sepi yang menyelubungi mereka berdua semakin menjarakkan hubungan mereka.
DI RUMAH DANIAL DAN AIRIS
Kereta Audi Danial memasuki garaj rumah dua tingkat mereka. Handbrake ditarik, lalu seat belt dilepaskan. "Turun," ujar Danial dengan nada tegas. Airis memandang wajah suaminya dengan pandangan takut-takut. Dia tahu bila Danial bercakap begitu, dia sudah buat sesuatu yang membuatkan suaminya geram.
"Abang nak pergi mana?" tanya Airis, suaranya sedikit gemetar. Matanya memerhati setiap pergerakan Danial, berharap suaminya tidak terlalu marah.
Danial memandang tajam ke arah Airis Medina, matanya berkilat penuh geram. "Kau ni tak payah banyak tanya lah, turun je lah. Ke kau nak aku tolak kau keluar baru kau nak turun?" Geram betul dia dengan sikap Airis yang satu ni. Lihat sahaja muka isterinya, hatinya jadi panas. Kalau terlalu lama tidak bersama, terasa rindu pula. Tetapi bila berhadapan, dia jadi sebal.
Airis mengangguk perlahan, enggan berdebat lebih lanjut. Seat belt dilepaskan, dan beg baju yang berada di belakang diambil. Tanpa berkata apa-apa lagi, pintu kereta dibuka dan dia terus keluar dari kereta, melangkah ke luar dengan perlahan.
Setelah Airis menutup pintu kereta, Danial menghidupkan enjin Audi itu. Dengan cepat, kereta itu meluncur keluar dari petak parking, meninggalkan Airis yang masih tercegat di luar rumah. Airis hanya memandang kereta yang semakin menjauh, hatinya dipenuhi perasaan yang bercampur aduk—rindu, kecewa, dan sedikit takut dengan sikap Danial yang semakin sukar dijangka.
“Ya Allah, Kau kuatkanlah hati aku ni, Ya Allah,” rintih Airis perlahan, hampir berbisik. Tubir matanya mulai panas, menahan air mata yang sudah mahu mengalir. Hatinya cukup terluka dengan layanan Danial padanya. Walaupun sudah terbiasa dengan perangai suaminya, hari ini terasa lain—seperti ada jurang yang makin melebar antara mereka.
“Sudah hilang kah cinta Danial buatku?” bisik hati kecilnya, penuh kesedihan.
Badan yang masih lemah, hasil dari pergolakan emosi dan keletihan seharian, dipaksa melangkah ke pintu hadapan rumah mereka. Langkahnya perlahan, seolah-olah memikul beban yang berat. Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia membuka zip kocek hadapan beg bajunya dan mengeluarkan kunci rumah.
Setelah melangkah masuk ke dalam rumah, tubuh Airis terasa semakin lemah. Dia tidak mampu lagi menahan beban emosi yang menghimpit. Lututnya mengalah, dan dia terus jatuh ke lantai. Airis terduduk di situ, memeluk lututnya sambil menangis teresak-esak.
“Mama... adik takut… maaa, adik perlukan mama…” rintihnya, suara penuh sendu. Air mata yang mengalir di pipinya semakin deras, membasahi wajah yang penuh dengan kesedihan dan keletihan. Dia terlalu rindu pada pelukan dan nasihat mamanya, tempat dia selalu mencari kekuatan.
Tiba-tiba, telefon di dalam kocek beg bajunya berbunyi, menandakan panggilan masuk. Tangisannya terhenti sejenak. Dengan tangan yang masih menggigil, Airis mengelap air mata di wajahnya. Telefon diambil perlahan, dan dia memandang skrin. Tanpa banyak berfikir, dia menekan butang hijau, menyambut panggilan tersebut.
"Assalamualaikum, Dina, betul ke Dina dah balik rumah Danial?" suara lembut Puan Ain kedengaran di talian, penuh dengan nada prihatin.
"Waalaikumsalam, Mummy. Ye, baru je balik ni, Mummy..." balas Airis dengan suara yang cuba dikawal. Dia sedaya upaya menenangkan diri agar Puan Ain tidak menyedari tangisannya tadi. Airis tahu, jika Mummy dapat menangkap kesedihannya, pasti akan timbul soalan demi soalan yang dia sendiri tidak mampu jawab sekarang.
"Kenapa balik sayang? Kan Dina masih dalam pantang lagi…" Suara Puan Ain kedengaran risau, jelas menunjukkan keprihatinannya. Mana tak risau, anak lelakinya tu mana pernah ada pengalaman menjaga orang dalam pantang.
"Alah Mummy, jangan risau lah. Danial kan ada, dia boleh jaga Dina," jawab Airis, cuba menenangkan Puan Ain. Dia bangun perlahan dari lantai dan melangkah ke arah sofa. Walaupun kata-katanya seperti meyakinkan, dalam hati dia sendiri tahu realitinya tak begitu.
"Nak harapkan Danial? Mana lah dia reti jaga orang dalam pantang ni, risau lah Mummy…" balas Puan Ain lagi, kali ini nadanya makin gelisah. Dia tahu perangai anak lelakinya—keras kepala dan jarang menunjukkan sisi lembutnya.
"Mummy, janganlah risau. Dina pandailah jaga diri. Lagipun, mama dah bagi tahu Dina apa yang Dina boleh makan dan yang tak boleh," kata Airis, cuba meyakinkan. Dia menahan nafas, berharap alasan itu cukup untuk meredakan kebimbangan Puan Ain.
Namun, suara di talian masih kedengaran ragu. "Mummy tak kira, mummy tetap risau juga... Hmm, macam ni je lah. Nanti mummy mintak tolong Kak Zana tengok-tengokkan kamu tu, ok?" cadang Puan Ain dengan nada yang tidak boleh dibantah.
Airis menggelengkan kepala, senyum kecil muncul di wajahnya walaupun dia tahu Puan Ain tidak dapat melihatnya. "Aduh, Mummy ni…" gumamnya perlahan. Tangan naik menggaru kening, tanda dia buntu untuk mencari alasan lagi.
"Baiklah, Mummy. Dina ikut je apa yang terbaik untuk Dina..." ujar Airis akhirnya, mengalah. Dia tahu kalau tak diiyakan, mahunya nanti mak mertuanya itu merajuk. Airis tak mahu menambah masalah dengan Puan Ain yang sememangnya sangat prihatin.
"Dina, Mummy minta maaf ye, tak dapat lawat Dina kat Bali masa tu. Mummy ikut Daddy pergi outstation. Kalau Mummy tak ikut, dah lama Mummy ajak Daddy teman Mummy pergi Bali hari tu…" suara Puan Ain terdengar penuh penyesalan.
Airis tersenyum kecil, walaupun hatinya diselubungi rasa bersalah. Kalau Mummy tahu aku ni mengandung anak orang lain, mesti Mummy akan benci aku… sama macam Danial bencikan aku sekarang. Fikirannya berputar, membayangkan kemungkinan terburuk.
"Tak apa lah, Mummy. Dina faham..." balas Airis dengan nada tenang, walaupun di dalam hati bergelora. Matanya sekilas memandang jam dinding di ruang tamu. Sudah pukul 5 petang. Danial pasti akan pulang sebentar lagi, dan dia tahu suaminya itu akan lapar seperti biasa.
"Ok lah, Mummy. Dina letak telefon dulu ye, nak rehat sekejap," tambah Airis, mencari alasan untuk mengakhiri panggilan. Dia perlukan masa untuk menenangkan diri sebelum berdepan dengan Danial yang mungkin pulang dengan mood yang lebih teruk.
"Iyalah, jaga diri ye. Mummy sayang menantu Mummy ni," pesan Puan Ain sebelum mengakhiri panggilan dengan nada kasih.
"Baiklah, Mummy. Bye," balas Airis lembut sebelum menekan butang merah. Dia menghela nafas panjang, seolah-olah melepaskan beban yang menghempap dadanya sebentar tadi.
Telefon itu diletakkan perlahan di atas meja di ruang tamu. Matanya tertancap pada beg bajunya yang tergeletak di sisi. Dengan langkah perlahan, dia mengambil beg itu, bersedia untuk membawanya ke bilik. Lututnya yang masih lemah terasa berat untuk melangkah, namun dia gagahkan diri.
Pintu bilik Dina dibuka perlahan, bunyi engsel yang sedikit berderit memecah keheningan petang itu. Airis berdiri tegak di hadapan pintu bilik itu, memandang ke dalam ruang yang sepatutnya kini menjadi tempat mereka berdua berkongsi cerita dan hidup bersama.
Namun, tanpa diduga, air matanya jatuh lagi. Perasaan yang cuba ditahannya sejak tadi akhirnya tumpah. Kenangan di Bali, tentang perjanjian yang dibuat antara dia dan Megat Danial, kembali menghantui fikirannya. Perjanjian itu, yang dipersetujui tanpa banyak pilihan, cukup untuk membuatkan hatinya terasa seperti dirobek perlahan-lahan.
"Semua ni salah aku…" bisiknya perlahan, seolah-olah menyalahkan dirinya sendiri. Luka itu, meskipun berpunca daripada keputusannya, kini terasa lebih pedih setiap kali dia cuba melupakan.
Airis melangkah masuk ke dalam bilik, matanya memerhatikan sekeliling. Ruang itu kelihatan kosong, sama seperti hatinya kini. Sepatutnya, bilik ini sudah dihuni oleh Danial, tetapi segalanya berubah selepas pulang dari Bali. Kenapa semuanya jadi begini? Hatinya tertanya-tanya.
Tak layak ke aku untuk bahagia? Hati Airis menjerit, namun tiada suara keluar dari bibirnya. Air matanya mengalir semakin deras, menandakan betapa berat beban perasaan yang dipikulnya.
"Maafkan Dina, bang... sebab dah khianati cinta kita," bisiknya perlahan, suaranya tersekat-sekat antara tangisan yang sukar ditahan. Dia tahu kesalahannya besar, terlalu besar hingga hubungan mereka kini terasa seperti benang yang hampir putus.
Dengan langkah yang perlahan, Airis mendekati katil. Beg bajunya yang berat itu diletakkan di atas tilam, tetapi beban di hatinya jauh lebih berat daripada apa yang ada di tangannya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.
Tangannya mengusap wajah, mengelap air mata yang kian lebat. Namun, ia sia-sia kerana tangisannya terus mengalir. Namun, kali ini ada tekad dalam hatinya. Aku dah buat salah, tapi aku takkan biarkan perkahwinan ini hancur begitu saja.
Dia nekad. Aku akan cuba ambil hati suamiku balik. Jika sebelum ini Danial bersabar dengan karenahnya, kini dia akan berusaha pula untuk memenangi hati lelaki itu. Dia tahu ia tidak mudah, tetapi dia mahu mencuba.
"Ok, Airis, kau kena buktikan yang kau boleh jadi isteri yang terbaik untuk suami kau..." Airis berbisik pada dirinya sendiri, menyeka air mata yang masih belum kering. Suara hatinya memberi semangat walaupun jiwanya terasa kosong. Dia tahu hanya dengan usaha dan kesungguhan dia dapat menebus kesalahannya, walaupun jalan itu penuh dengan cabaran.
Airis bangun dengan penuh tekad. Dia perlu berubah, perlu melakukan sesuatu yang dapat menggamit perhatian Danial kembali, memperbaiki kesalahan yang telah dia lakukan. Kalau nak pikat suami, kena lah ikat perutnya dahulu, fikirnya sambil tersenyum kecil.
**********************
Di pejabat Megat Danial, suasana agak sibuk dengan urusan kerja yang tidak pernah berkesudahan. Namun, di meja Jannah, suasana sedikit berbeza.
Akim menghampiri meja kerja Jannah dengan langkah perlahan. Tangannya menongkat dagu di atas meja Jannah, membuatkan Jannah mengangkat wajahnya, memandang dengan tajam.
"Ye, Cik Akim, ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tanya Jannah, suaranya penuh dengan sindiran. Matanya tajam, seperti mencabar Akim untuk berkata sesuatu yang boleh membuatkan dia terganggu.
Akim tersengih, tidak terkesan dengan pandangan tajam Jannah. Dia mengetuk meja dengan perlahan, seolah-olah menguji kesabaran Jannah.
"Danial ada ke?" tanya Akim, sambil melangkah lebih dekat dengan meja Jannah. Wajahnya penuh dengan keinginan untuk mendapatkan jawapan yang jelas.
Jannah menjulingkan matanya ke atas, memberi isyarat betapa dia sudah malas melayan soalan yang berulang-ulang. "Ada, kenapa? Nak jumpa? Baik tak payah, nanti ada kena maki jap lagi," larang Jannah dengan nada yang agak kasar.
Akim mengerutkan dahinya, sedikit kebingungan. "Asal pulak?" soalnya, tidak faham dengan situasi yang sedang berlaku.
"Encik Akim," Jannah menghela nafas panjang, malas nak layan sikap 'kipoci' Akim yang selalu datang dengan seribu soalan. "Dari bos masuk ofis tadi, dia dah warning saya, jangan bagi sesiapa pun masuk dalam bilik dia," jelas Jannah, sedikit kesal dengan situasi yang mengganggu kerjanya.
"Bos ada cakap apa-apa tak sebelum masuk tadi?" Akim bertanya sambil menyandar di tepi meja Jannah. Dia memandang pintu bilik Danial yang tertutup rapat, seperti cuba meneka apa yang berlaku di dalam.
Jannah menggelengkan kepala perlahan. "Tak cakap apa-apa pun. Tapi muka dia tadi macam lain, kan?"
Akim mengangguk, bersetuju. "Takkan gaduh dengan Puan Airis lagi?"
Jannah mengangkat bahu. "Kenapa? Bos gaduh ke dengan Puan Airis?" tanyanya, cuba memancing cerita daripada Akim.
Akim menjulingkan mata. "Dia ni, cakap orang, tapi sendiri lagi banyak tanya!" Dia mendengus kecil sambil berlagak sibuk menyusun beberapa dokumen di tangannya. Hakikatnya, dia sendiri juga penuh dengan rasa ingin tahu.
"Tak ada apa-apalah. Saya sambung kerja dulu." Akim memotong perbualan itu cepat-cepat, tak mahu meleret. Dia melangkah pergi, namun sempat menjeling sekali lagi ke arah pintu bilik Danial.
Jannah menghentak meja dengan kuat, membuat beberapa dokumen di atas meja hampir berterabur. "Geram betul lah! Orang suka cakap tak habis ni memang buat darah naik!" Dia merenung ke arah pintu bilik Danial dengan dahi berkerut, cuba merungkai misteri apa yang sedang berlaku di dalam sana.
Kringgg!!!
Bunyi telefon pejabat memecahkan suasana tegang. Jannah tersentak.cepat-cepat mengangkat telefon yang berdering, tangannya sedikit terketar-ketar. Dalam hatinya, dia sudah dapat mengagak siapa di hujung talian itu. “Mesti bos ni,” bisiknya perlahan. Dia menekan butang hijau dan meletakkan gagang di telinga.
“Hello, Jannah…” Suara garau yang dikenali menyapa.
“Ye, bos,” jawab Jannah pantas, cuba memastikan nadanya profesional walaupun dia tahu Danial jarang memanggilnya tanpa sebab tertentu.
“Tolong bawa fail yang saya pass kat awak semalam. Saya nak cek semula sebelum diserahkan kepada klien…” Dingin sahaja suara Danial saat ini, membuatkan Jannah merasakan tekanan yang mendadak.
“Ok bos, saya cari sekarang…” balas Jannah dengan suara sedikit bergetar. Badannya terus membongkok ke bawah, membuka pintu rak di bawah mejanya. Tangannya ligat menyelak dokumen-dokumen yang tersusun, tetapi matanya tak berjaya menangkap apa yang dicari.
“Mana lah aku letak fail ni…” Jannah menggumam sendiri. Semua laci di mejanya sudah digeledah, tapi tidak ada satu pun fail yang sesuai dengan apa yang dia ingatkan. Peluh mula memercik di dahinya.
“Mampus aku kalau fail tu hilang…” gumam Jannah dengan muka cemas. Rasa nak menangis pun ada bila fikir apa akan jadi kalau fail itu betul-betul tak jumpa. Dia bangun dari kerusinya, terus menyelongkar rak atas pula. Tangannya menggali antara timbunan fail lain yang berselerak.
Akhirnya, fail yang dicarinya itu terselit di bahagian belakang rak. “Alhamdulillah…” Jannah menghembus nafas lega, memeluk fail itu sekejap sebelum cepat-cepat melangkah ke bilik Danial. Dia tahu bosnya takkan tunggu lama.
Setibanya di depan pintu bilik, Jannah mengetuk perlahan.
“Masuk,” suara beku Danial bergema dari dalam. Jannah menelan liur, pintu ditolak dengan berhati-hati. Dia melangkah masuk sambil memegang fail itu erat di tangannya.
“Nah, bos…” Fail itu dihulurkan oleh Jannah dengan penuh berhati-hati. Danial mengambilnya tanpa sebarang senyuman, seperti biasa wajahnya tetap beku. Dia membuka fail itu dan mula membelek isinya.
“Bos nak apa-apa lagi?” tanya Jannah, berdiri tegak sambil mengerling ke arah bosnya. Hatinya berdebar, takut kalau ada benda yang tak kena dalam fail itu.
Danial hanya menggeleng kepala perlahan, matanya masih tertumpu pada dokumen di hadapannya.
“Ok, kalau macam tu saya keluar dulu…” pinta Jannah, cuba mengekalkan nada profesional walaupun hatinya sebenarnya sudah tak sabar mahu keluar dari bilik itu.
Danial mengangguk kepala sedikit tanpa memandangnya. Jannah mengambil peluang itu untuk cepat-cepat keluar dari bilik sebelum ada lagi arahan tambahan yang mungkin keluar dari mulut bosnya.
Keluar saja dari bilik, Jannah menarik nafas panjang. “Huh, nasib baik semuanya ok. Kalau tak, habis aku…” dia mengeluh kecil, lalu kembali ke mejanya sambil berdoa agar hari itu berlalu tanpa sebarang masalah lagi.
Share this novel