Beberapa hari kemudian, Nash duduk di beranda rumahnya bersama Adam. Angin petang menyapu perlahan, dan dentingan gitar kecil yang berada di sisi Nash terhenti begitu sahaja.
"Babah tahu lagu yang babah selalu main tu, yang babah selalu nyanyi bila duduk sorang-sorang?"
Nash angkat kepala, keningnya berkerut sedikit. "Kenapa?"
Nash terdiam. Pandangannya jauh ke hadapan, tapi matanya seolah tidak melihat apa-apa. Nafasnya terhela perlahan.
"Babah... boleh Adam tanya sikit. Harap babah tak marah."
Nash mengangguk perlahan tanpa memandang anaknya. "Apa dia?"
"Siapa Adra sebenarnya?"
Jari Nash yang sedang memegang leher gitar tiba-tiba mengeras. Gitar itu terjatuh sedikit dari pahanya, lalu dia cepat-cepat menyambutnya kembali. Pandangannya teralih pada Adam, namun wajahnya berubah. Terdapat kekosongan yang samar pada riak wajahnya antara terkejut, tergamam dan tidak tahu harus berkata apa.
"Kenapa Adam tanya?" suara gugup Nash akhirnya keluar perlahan tapi jelas.
Adam tunduk sedikit, namun tetap inginkan pengakuan jujur. "
Adam selalu terdengar babah tidur mengigau sebut nama Adra.... dan Adam tak sengaja terbuka file dalam folder laptop babah."
Nash menelan liur. Tangannya menggenggam lututnya. Lama dia berdiam, sebelum akhirnya tersenyum nipis namun matanya berkaca.
Nash menoleh perlahan. Riak wajahnya berubah seperti ada saraf yang terpicu dalam otaknya.
"Folder apa?"
"Nama folder tu... 'Prototype_Adra'. Adam fikir fail kerja biasa... tapi dalam tu ada satu sistem, tak siap. Ada kod-kod macam framework babah pernah ajar, tapi kompleks sangat. Bila Adam selidik... Adam nampak catatan babah dalam komen kod."
Nash menutup mata, memicit batang hidungnya. Terasa dadanya berat. Adam menyambung perlahan.
"Dalam komen tu babah tulis... '// Adra. I really miss you sayang//"
*********************************
[Dalam perkara berkaitan coding, komen yang ditulis itu adalah bermaksud penjelasan berkaitan coding yang ditulis. sebagai contoh:
# Minta input nama daripada pengguna
nama = input("Sila masukkan nama anda: ")
# Simpan mesej ucapan dalam satu pembolehubah
ucapan = f"Selamat datang, {nama}! Semoga harimu indah hari ini."
# Paparkan ucapan kepada pengguna
print(ucapan)
Simbol # (simbol dalam phyton) diikuti dengan ayat yang diberi adalah komen yang ditulis oleh pengaturcara yang membuat coding tersebut. Ianya tidak akan dipaparkan pada paparan pengguna. Hanya mereka yang mempunyai akses untuk membaca coding tersebut sahaja boleh melihat komen tersebut]
*********************************
Suasana menjadi senyap seketika. Hanya bunyi cengkerik di luar rumah yang menemani mereka. Angin menyentuh hujung daun pokok rambutan di hadapan beranda.
Nash akhirnya bersuara...
"Itu projek terakhir yang babah cuba buat... tapi babah tak mampu siapkan. Tapi tak sampai hati nak padam."
Adam menelan liur. "Sistem tu macam AI, kan? Ada modul emosi, interaksi, dan pengurusan jadual. Adam jumpa semua gambar, video dan rakaman suara dia. Babah combine semua data dia untuk berinteraksi."
Nash mengangguk. "Babah cuba cipta teknologi yang boleh hilangkan kesunyian."
"Jadi babah cipta program tu sebab rindukan dia? Siapa dia sebenarnya? Kenapa bukan umi?"
"Babah minta maaf. Bukan babah nak membelakangkan umi. Babah banyak buat silap dan dosa. Tak adil untuk Adam dan Adha."
"Maknanya babah curang belakang umi?"
"Ya Adam.... Kalau Adam kecewa dengan babah, babah faham nak."
"Kalau 10 tahun dulu Adam memang marah dan takkan maafkan babah!" Suara Adam mula tersekat-sekat menahan sedih.
"Adam tak sangka babah sanggup curang pada umi."
"Adam.... Memang babah yang salah..."
"Kalau ikutkan hati Adam memang marah sangat sekarang ni. Tapi umi dah takde. Takde guna untuk Adam marahkan babah sekarang. Benda dah berlaku."
"Adam....." Pecah tangisan Nash di hadapan Adam.
"Babah.... Adam marah tapi Adam maafkan babah. Adam percaya ada sebab babah buat macam tu..tapi Adam tak nak tau sebabnya. Babah curang pada umi, tapi dalam waktu yang sama babah tak pernah abaikan tanggungjawab pada umi, Adam dan Adha...."
"Babah jaga umi time sakit sampai dia tinggalkan kita... Babah jaga kami adik beradik.. Babah tak pernah abaikan keluarga. Adam bersyukur untuk itu semua."
"Adam sebenarnya kesiankan babah sunyi takde teman. Andaikata babah nak cari teman, Adam tak larang. Demi kebahagiaan diri babah sendiri. Adam percaya Adha pun faham. Kitorang semua dah besar babah. Sampai bila babah nak hidup seorang diri macam ni.?"
"Babah rela hidup sendiri sampai mati."
Adam memandang wajah babahnya yang sudah lama dilukis oleh garis-garis usia. Di bawah cahaya bulan yang semakin pudar, air mata Nash masih belum kering namun ada sesuatu dalam tangisnya kali ini bukan lagi kesedihan tapi kelegaan. Kelegaan kerana akhirnya ada kebenaran yang terbuka, ada luka yang dibalut dengan kejujuran walau pedih.
Adam bangun perlahan, menepuk bahu Nash dengan tenang.
"Babah rehat ya. Kalau satu hari nanti babah rasa nak cerita semuanya... Adam sedia dengar." kata Adam sebelum melangkah masuk ke dalam bilik.
***
Malam itu sunyi. Terlalu sunyi.
Jam di dinding berdetik perlahan, seolah menolak waktu dengan berat hati. Cahaya lampu bilik Adra malap, membentuk bayang samar di dinding. Dahlia sudah lama lena sambil memeluk anak patung, dunia kanak-kanak tak diganggu oleh kesayuan yang bergema dalam jiwa ibunya.
Adra terduduk di birai katil, tangannya menggenggam hujung selimut dengan erat. Malam makin larut, tapi matanya semakin terjaga. Jiwanya seperti dihantui sesuatu bukan mimpi, bukan bayangan, tapi rasa yang entah dari mana datangnya.
Tiba-tiba, satu suara terlintas dalam kepalanya.
"Hari ni semuanya serba tak kena, I tak tau dan tak sedar apa benda yang I buat pun..."
Dia tersentak. Itu bukan suara sendiri. Itu suara lelaki. Lembut, sedikit parau, dan penuh rasa kecewa.
"I mahu jadi payung teduh untuk you, sayang..."
Air liur ditelan perlahan. Degup jantung mula berubah rentak.
Siapa? Siapa yang pernah berkata begitu padanya?
Kilasan bayangan muncul. Di bawah payung hujan, seorang lelaki memayunginya, menutupinya dari hujan, walau dirinya sendiri kuyup. Lelaki itu tersenyum... senyuman yang anehnya, buat jantung Adra terasa nak pecah.
"Adra, belajarlah dari karang di laut. Sekuat mana pun ombak dan angin menerpa, ia tetap berdiri."
Adra pegang dadanya. Sakit. Seolah seluruh dadanya bergetar. Kata-kata itu... dia pernah dengar. Pernah rasa. Tapi bila? Di mana?
"Kenapa awak pukul suami saya?! Apa salah dia sampai awak nak belasah dia begini!?"
Suara jeritan itu muncul. Kali ini suaranya sendiri. Wajah seorang lelaki terbaring di lantai, berdarah. Dan seorang lagi yang memukul menangis, bukan kerana amarah, tapi kerana hancur.
Adra menggenggam kepala.
"Apa semua ni... kenapa semua ni datang serentak?"
"I will always be your knight in shining armour... Susah senang I sentiasa bersama dengan you. Ingat janji I ni sampai bila-bila okay?"
Tangis mula mengalir tanpa sedar. Itu bukan janji Daniel. Bukan suara Daniel. Tapi kenapa hati ini terasa sangat kenal dengan setiap patah kata itu?
"Adra, dirimu adalah ketakjuban..."
Nafasnya terhenti seketika. Suara itu... begitu syahdu. Begitu menghargai. Tiada sesiapa pernah berkata begitu padanya kecuali...
"Sayang, rindunya."
"I juga rindukan you. Kejap lagi kan kita nak jumpa. Sabar sikit eh..."
"Sayang dah makan?"
"Punya la lama I merajuk. Soalan makan yang sayang tanya."
"Sayangggg... Cepat la nyanyi untuk I lagi..."
Petikan gitar. Suara lelaki menyanyi perlahan. Lagu tentang cinta yang gugah jiwa. Suara itu menusuk hingga ke tulang.
"Jantan tak guna!!! Apa hal kau panggil isteri aku?!"
Satu letusan amarah. Wajah lelaki yang marah. Dan seorang lagi, hanya tunduk. Tidak melawan. Tapi air matanya gugur... kerana yang dipanggil isteri itu bukan lagi miliknya.
Adra terdiam.
Bibirnya menggigil.
Tangan meraba ke leher, menggenggam rantai lama yang tergantung. Air matanya gugur, satu demi satu.
"Nash..."
Dia bisikkan nama itu, untuk kali kedua malam ini..
Adra berdiri di depan cermin. Menatap wajah sendiri.
"Siapa aku sekarang?" bisiknya perlahan.
"Nash."
Nama itu tiba-tiba muncul dalam kepalanya. Bibirnya menyebut perlahan, hampir tak sedar. Dan ketika nama itu bergema dalam fikirannya, satu rasa asing menyentap dadanya seperti ombak kecil yang menyentuh pantai kenangan.
Dia terduduk di hujung katil. Nafasnya kian berat.
"Kenapa nama tu rasa... dekat sangat?"
Kelopak matanya tertutup. Kilas-kilas bayangan terpapar dia di dalam kereta, hujan lebat di luar. Tangan seorang lelaki menggenggam erat tangannya. Suara marah, tangis, dan akhirnya... langkah menjauh.
Adra membuka mata semula. Air matanya menitis.
Ada sesuatu yang terpadam dari hidupnya. Sesuatu yang pernah sangat penting. Tapi dia tak tahu bagaimana untuk menyusunnya semula.
Dalam diam, dia mengambil telefon. Membuka galeri tiada apa tentang Nash. Tapi jemarinya mengetik nama itu di carian. Tiada juga. Seolah nama itu tak wujud.
Tapi hatinya tahu... dia ada. Pernah ada.
"Kalau benar dia wujud, kenapa semua orang tak pernah sebut nama tu?"
Adra mengusap dadanya sendiri, seperti cuba menyentuh sesuatu yang tidak nampak. Jiwanya seperti berbisik, "Kau sedang mencari seseorang yang pernah menjadi segalanya."
Dan untuk pertama kalinya dalam bertahun-tahun, Adra menangis... bukan kerana kehilangan Daniel, tapi kerana kehilangan yang dia tak tahu dia sedang tangisi.
****
Nash menatap langit, bintang-bintang mula timbul satu demi satu. Di sudut hatinya ada ruang yang lama tertutup kini mula terbuka sedikit. Mungkin belum sepenuhnya tapi cukup untuk dia berasa lega dia tidak lagi menyimpan rahsia beban memori seorang diri.
Dia mencapai gitar dan buat pertama kalinya selepas sekian lama, dia memetik melodi yang sama lagu yang pernah dia nyanyikan untuk Adra, lagu yang kini hanya tinggal gema dalam memori.
Suaranya perlahan menyanyi bersama petikan gitar seolah menyampaikan kata yang tak sempat diucapkan, seolah meminta maaf kepada masa lalu yang tak dapat diubah. Namun malam itu, langit menyambut nyanyiannya dalam diam.
Bila cinta menggugah rasa
Begitu indah mengukir hatiku
Menyentuh jiwaku
Hapuskan semua gelisah
Duhai cintaku duhai pujaanku
Datang padaku tetap di sampingku
Kuingin hidupku
Selalu dalam peluknya
Terang saja aku menantinya
Terang saja aku mendambanya
Terang saja aku merindunya
Karena dia karena dia begitu indah
Duhai cintaku pujaan hatiku
Peluk diriku dekaplah jiwaku
Bawa ragaku
Melayang memeluk bintang
Terang saja aku menantinya
Terang saja aku mendambanya
Terang saja aku merindunya
Karena dia karena dia begitu indah
~~~
Aku akan tetap menunggu... walau masa terus berlalu, walau dunia ini berubah, walau hatiku semakin uzur dimakan rindu. Aku akan terus menanti, bukan sehari dua, bukan setahun dua... tapi selagi nafasku belum terhenti.
Setiap denyut jantungku menyebut namamu. Setiap malam ku pejamkan mata, bayangmu hadir menjelma. Aku tahu kau jauh, aku tahu mungkin kau takkan kembali... tapi cintaku tak pernah pergi, tak pernah mati.
Andai seluruh dunia melupakanmu, aku tetap di sini... mencintaimu dalam diam, merindui tanpa henti, menunggu tanpa jemu. Kerana dalam jiwaku, namamu telah tertulis, kekal selamanya.
Adra...
Dan buat pertama kalinya juga... Nash tersenyum. Pahit. Tapi benar.
Ada luka yang tak mampu diubati oleh waktu, tetapi kejujuran mampu menjahitnya perlahan dengan sulaman benang pengampunan
Kesilapan masa lalu tidak akan pernah hilang, tapi keberanian mengakuinya adalah hakikat bentuk keluhuran dari sebuah cinta
"Tidak semua cinta harus dimiliki, dan tidak semua kesetiaan lahir tanpa duka. Tapi setiap pengorbanan yang ikhlas, akan menemui damainya sendiri"
TAMAT
Share this novel