**POV Nash**
Takdir itu bagaikan sebuah buku yang tersorok di depan mata. Namun kisah antara kau dan aku apakah mungkin ianya sudah tertulis sebelum kita dilahirkan?
Adakalanya aku berkhayal bagaikan sedang mengintai ke dalam buku dan ianya sangat terkesan di dalam hati.
Kehadiranmu bagaikan angin yang menyapa pada wajah. Menari dan menerpa lembut memberikan kedinginan dan nyaman yang mendamaikan hati.
Aku masih tidak percaya apa yang telah berlaku. Entah mengapa dan bagaimana di dalam hati ini mula terbit satu rasa yang membuatkan diri ini seolah sedang terapung, melayang dan terbang tinggi hingga membelah awan hanya disebabkan baris aksara yang disusun menjadi sebuah kata-kata oleh dia? Apakah yang sedang berlaku?
Kata-kata perbualan dari Adra itu menuju tepat ke dalam hati. Tidak pernah aku semudah ini. Perimeter perasaanku ini bukan sewenangnya mampu diceroboh oleh sesiapa.
Aku seorang yang angkuh dengan cinta.
Tetapi mengapa terlalu mudah kau menawan, menggugah, menakluk hati ini? Mengapa timbul pula perasaan rindu? Adakah ini yang sebenar-benarnya rasa apabila sedang jatuh cinta?
Aku cuba mempertahankan ego diri tapi ternyata aku tidak dapat membohongi perasaan sendiri.
Mungkinkah takdir kita akan terus bersama buat selamanya?
Ibarat angin yang tidak kelihatan tetapi dapat dirasakan? Begitukah dirimu?
Tidak sama sekali !
Dirimu adalah nyata !
Berdiri di hadapanku mengukir senyuman indah yang belum pernah aku lihat sebelum ini biar pun ianya cuma sebuah gambar pegun. Lesung pipit yang terpancar jelas apabila menguntumkan senyuman. Oh tidak ! Sungguh aku tak mampu berpaling dari perasaan ini.
Adra Aaira.
Nama sang pemunya diri. Seiring indah nama dan tuan punya badan.
Di saat aku melukut kesepian memujuk hati sendiri yang sedang dihiris perlahan oleh hati yang lain, tatkala itu kau hadir ke dalam hidupku.
Membawa nan indah.
Menuntun jiwa meresap jauh ke dalam relung kalbu. Mengusir renyai di dalam hati. Melenyapkan segenap rasa gelisah. Memukul ombak rindu ke persisir hati.
Membawa kembali bunga mekar ke dalam dalam hati ini yang telah sekian lama merasakan sendu.
24 jam berlalu perlahan-lahan tanpa sedar yang aku telah jatuh cinta !
***
Nash termenung di dalam bilik sambil memetik gitar akustik jenama Yamaha F510 miliknya tanpa arah. Petikan tali gitar langsung tidak mengeluarkan sebarang rentak lagu. Fikirannya masih berkisarkan Adra.
Sesekali anak lelakinya yang berusia 3 tahun keluar dan masuk ke dalam bilik mengintai apa yang sedang dilakukan Nash sambil bertanya dengan keletah percakapan yang pelat baru hendak belajar bercakap.
Nash tersenyum apabila mengenang kembali saat pertama kali mengenali Adra.
Dia sekadar memberi pendapat biasa ketika membalas hantaran Adra di dalam group socmed. Dia hanya meninggalkan komen yang agak ringkas tetapi tak disangka telah membuatkan Adra meninggalkan Direct Message kepadanya.
Itu pun dibalas hanya beberapa jam selepas itu kerana baru dia perasan ada Direct Message yang masuk dalam inbox.
Agak aneh sebenarnya. Pertama kali disapa oleh wanita. Bukan bermaksud tiada wanita yang pernah menyapa dirinya sebelum ini dan hanya dibalas acuh tak acuh. Tetapi Adra menyapa dengan bertanya tentang subjek yang menjadi kecintaan dan keghairahan dalam hidupnya iaitu muzik. Hatta isterinya sendiri pun tidak peduli dengan minatnya terhadap muzik. Subjek itu membuatkan dia terpanggil untuk membalas pertanyaan Adra.
Semua orang sukakan muzik. Semua orang ada citarasa tentang muzik. Namun pada Nash, terdapat 2 jenis golongan yang mendengar muzik.
Pertama, golongan teramai di atas muka bumi. Mendengar lagu untuk menghiburkan diri. Hanya sekadar end user. Tidak peduli dengan penghasilan karya dalam sesebuah lagu. Asalkan ianya sedap, kena dengan jiwa, layan jer.
Kedua, kelompok yang mendengar lagu tidak hanya bersandarkan pada apa yang disuapkan oleh media mainstream. Golongan yang tidak peduli pada trend semasa. Menggunakan hawa telinga untuk menjiwai melodi dan lirik biar sama selari.
Memahami sudut originaliti, teknikaliti, ketelitian, kesungguhan serta pemikiran atau falsafah yang ada di dalam sesebuah karya lagu. Nash meletakkan dirinya di kelompok yang kedua. * Ah! Poyo la kau Nash. (bebelan dari hati penulis)
Muzik itu sebenarnya adalah sihir. Sihir yang tidak terlarang. Sesiapa sahaja mampu melakukan sihir ini. Sihir yang mampu membuat gejolak hati menjadi alpa dan terpukau. Melodi yang terhasil mampu memukau sesiapa yang terkesan.
Ada insan dalam kesedihan kembali ceria tatkala mendengar lagu. Emosi yang kusut beroleh semangat baharu hanya kerana sesebuah lagu.
Mereka yang dirundung kecewa kembali bangkit bersemangat bagaikan mendapat motivasi baru untuk diri hanya dengan mendengar rentak melodi lagu yang menyuntik rasa untuk bangkit dari sebuah kegagalan. Itulah antara contoh sihir muzik.
Rakan-rakan Nash juga terdiri dari pencinta muzik. Mereka menyewa sebuah lot rumah kedai dan berkongsi wang ringgit untuk membeli segala kelengkapan studio muzik mini mereka. Sewa bulanan juga dikongsi sama rata untuk 5 orang.
Apalah sangat setakat RM500 sebulan untuk sebuah bilik kecil. Yang penting dapat bermain muzik semahunya. Setiap hujung minggu mereka menghabiskan masa di studio muzik. Begitulah keghairahan Nash dan kawan-kawan berkaitan dengan muzik.
~ Bila cinta menggugah rasa,
Begitu indah mengukir hatiku,
Menyentuh jiwaku hapuskan
semua gelisah~
Lagu 'Begitu Indah' nyanyian kumpulan muzik yang menggelar diri mereka Padi berasal dari negara seberang. Salah satu kumpulan muzik kegemaran Nash sejak di bangku sekolah. Begitu besar pengaruh kumpulan muzik ini terhadap Nash.
Lagu ini sudah lama menghuni dalam fikirannya. Nash jatuh cinta pada melodi dan liriknya. Dia berangan sejak dulu lagi siapakah gerangan insan yang selayaknya ditujukan lagu ini kepadanya.
Lagu ini tertanam indah di dalam mindanya. Setiap susunan melodi dan bait baris liriknya sudah dihafal dalam kepala. Dari intro ke penamat lagu Nash sudah khatam.
Malah seringkali dia menyanyi lagu ini sambil bermain gitar sama ada di rumah atau pun sewaktu berada di studio jamming kepunyaan Nash dan rakan-rakan.
Setiap kali dia memainkan lagu ini, dia berkhayal seolah-olah bayangan manusia yang dipuja itu berada di hadapan turut bersama mendengar.
Disebabkan itu, apabila pertama kali Adra menyapa bertanyakan tentang lagu, hatinya tiba-tiba melonjak teruja kegirangan.
Pertama kali seorang wanita bertanya soalan berkaitan muzik dan yang bertanya pula mempunyai jumlah followers yang agak ramai sedangkan Nash pula boleh dibilang dengan sebelah jari sahaja jika hendak dihitung jumlah followers. Itu pun entah siapa. Boleh jadi kerana sekadar simpati atau tak sengaja terfollow.
Akhirnya setelah sekian lama, lagu kegemaran Nash menemui insan yang selayaknya untuk Nash persembahkan lagu ini.
Dialah yang bernama Adra Aaira !
Hatinya kembali merindui wanita itu. Lantas dicapai telefon jarinya lincah membuka aplikasi Telegram menaip perkataan mukadimah setiap kali memulakan perbualan.
+You..
+ Buat apa tu?
+ Rinduuuuuu
Wajahnya berseri-seri apabila teks yang dihantar sudah bluetick dan status last seen kini bertukar menjadi is typing..
Share this novel