DUA TAHUN LEPAS
Adra sedang tekun membuat kertas kerja. Hari ini dia agak sibuk untuk menguruskan perkara berkaitan tawaran tender yang perlu dihantar syarikatnya. Bos Adra, En Sufian mengarahkan Adra melunaskan kerja yang tertangguh pada hari ini juga.
"Adra, kita ada masalah. Tuan Zaid dah tanya pasal tender dengan PearlStone. Dia nak apa cara sekalipun kita mesti menang tender ni. Ini yang menentukan hala tuju syarikat selepas ni. Kalau tak menang maksudnya tiada bisnes untuk kita. Bila tiada bisnes, macamana company nak survive? So awak faham-faham la apa akan jadi."
"Sampai macam tu sekali?" Soal Adra tidak percaya.
"10 juta punya nilai tender. Siapa tak nak? Tuan Zaid dah tanya kenapa belum selesai lagi. Dia tak sabar nak semak sendiri semua dokumen."
"Kita ada masalah dengan quote harga dari logistic and transporation company. Setakat ni belum ada yang bagi respon untuk senarai harga. Macamana saya nak buat forecast, calculate harga untuk submit dalam paper?"
"Saya baru call Mr Chin. Dia dah bagi quotation. Harga dia paling reasonable. Kita guna harganya sebagai rujukan. So your task today is to make sure everything well prepared. Saya nak awak siapkan hari ni. Selagi tak siap jangan balik. Ini senarai harga yang saya dapat." Ujar En Sufian sambil menghulurkan usb drive kepada Adra.
Adra meneliti file yang ada pada skrin komputer. Dia mengeluh. Terlalu banyak yang perlu dilakukan.
"So Adra, saya tau awak boleh uruskan. . Saya nak bantu tapi kena pergi selesaikan masalah driver mogok dekat site Kerteh petang ni juga pula. Kejap lagi saya akan lock kunci dari luar office. Mana tau awak nak cabut lari sebelum siap kerja."
Adra hanya tergelak kecil kemudian mengangguk. Dia tau dia perlu bekerja lebih masa di pejabat sehingga selesai. En Sufian bergegas keluar dari bilik Adra.
"Baik En Sufian. Saya cuba yang terbaik. Kalau berjaya, hujung tahun ni tolong recommend increment saya 50% tau." Sengih Adra sinis menguji.
"Saya tak berani bagi harapan. Tapi saya janji akan recommend nama awak untuk promotion Senior Executive Officer."
"En Sufian serius?" Soal Adra. Betul ke apa yang dia dengar?
"Muka saya ada nampak tengah main-main ke?" Soal En Sufian kembali.
"Alhamdulillah. Kalau dapat ada la rezeki untuk anak-anak saya. Terima kasih en Sufian." Ucap Adra dengan penuh kesyukuran. Tak tergambar perasaan gembiranya saat ini.
"Sudah jangan nak berangan awal sangat. Selesaikan dulu kerja ni. Lepas tu berangan la puas-puas. Satu perkara lagi, kita menang atau tidak tender ni
esok saya belanja awak makan. Makan lah apa yang awak nak. Nak makan kepala monorel pun saya tak kisah.. you are the best Adra." Ujar En Sufian dari celah pintu sebelum melangkah keluar. Sempat lagi dia cuba berseloroh.
"Haitttt... Sufian san...Arigatou gozaimasu." Adra tunduk membuat suara comel ala-ala karakter waifu kebanggaan rakyat Jepun sebelum bosnya berlalu pergi.
Jam di dinding menunjukkan pukul 5.30 petang.
Balik lambat la aku malam ni. Adra sedikit mengeluh. Tapi dalam dirinya tetap berasa bersemangat apabila mendengar berita gembira dari En Sufian sebentar tadi.
Perkara pertama dalam fikirannya adalah telefon Daniel agar menjemput anak-anak dari rumah ibu mertuanya.
Namun perasaannya hampa setelah 5 kali mendail panggilannya tidak berjawab. Lalu dia meninggalkan pesanan ringkas melalui WhatsApp.
Abang, Ma balik lambat hari ni. Ada tender penting nak kena siapkan. Abang tolong ambil budak-budak dulu.
Send!
Dari jam 6 sekarang sudah hampir pukul 10 malam. Akhirnya Adra selesai menyiapkan kerja-kerja seperti yang diarahkan.
Syukur alhamdulillah. Selesai juga. Dia tersenyum puas.
Ketika dia bersiap untuk pulang, dia mendapat panggilan dari ibu mertuanya.
"Adra, anak-anak kau ni semua dah melalak tak berhenti. Kenapa lambat hari ni?"
"Abang Daniel tak jemput budak-budak lagi? Saya dah pesan suruh dia jemput tadi." Adra merengus geram. Kenapa Daniel tak jemput anak-anak? Apa yang dia sibukkan sangat sampai sekarang tak jemput lagi?
"Takde pun dia datang."
"Takpe la mak. Saya jemput diorang sekarang. Saya dah balik ni."
"Cepat sikit. Diorang dah tercari-cari mama diorang ni."
"Baik mak."
Tok tok! Bunyi ketukan pintu.
Adra segera mencapai beg tangan kemudian menuju keluar pintu.
Seorang lelaki berusia lingkungan 60an berdiri di hadapan pintu bilik Adra.
Pak Hashim.
Ketua pengawal kepada bangunan wisma syarikat Adra bekerja tercegat di hadapan pintu. Beliau merupakan bekas polis yang amat berdedikasi. Setelah tamat perkhidmatan, dia pulang ke kampung namun disebabkan bosan, dia berpindah semula ke rumah lamanya di kuala lumpur. Pengalamannya yang luas sebagai anggota polis, tambahan pula kudrat tubuh badan yang masih mengizinkan untuk bekerja, rezeki untuk beliau apabila diterima bekerja sebagai ketua pengawal untuk sebuah syarikat keselamatan terkenal.
"En Sufian beritahu saya tadi tinggal puan seorang je dalam office. Jadi dia minta saya tengokkan kalau puan perlukan apa-apa."
Adra senyum. Dalam garang dan tegas En Sufian ni pun dia tetap ambil berat tentang pegawai bawahannya.
"Tak apa pak Hashim. Saya nak balik dah. Terima kasih. Buat susah pak Hashim je." Adra membalas sopan.
"Puan balik naik apa? Saya suruh Mail hantarkan puan."
"Eh takpe lah. Saya jalan kaki sampai stesen mrt."
"Dah lewat ni puan. Bahaya jalan seorang diri. Mail boleh hantar puan ke stesen. Ini permintaan dari En Sufian. Dia tak mahu puan jalan kaki dah lewat malam begini."
"Baiklah kalau macam tu. Saya pun nak cepat sebab dah lewat nak jemput anak-anak ni. Terima kasih ya pak Hashim."
Pak Hashim angguk dan senyum. Dia mengiringi Adra sehingga ke lobi. Mail selaku pembantu kepada Pak Hashim sudah siap sedia menunggu di dalam kereta. Tanpa berlengah Adra memasuki kereta menuju ke stesen mrt berdekatan.
Sepanjang di dalam tren Adra menelefon suaminya berkali-kali namun hampa. Dia memeriksa teks pesanan Whatsapp yang dihantar tetapi masih belum dibaca suaminya. Adra geram dengan perangai suaminya yang semakin sambil lewa dan acuh tak acuh dalam hal menguruskan anak-anak.
Kadangkala Adra terasa seolah-olah dia yang lebih suami dari suaminya sendiri. Apa tidaknya. Segala perbelanjaan rumah, barang dapur, keperluan anak-anak, kenderaan, bil-bil termasuk bayaran rumah semuanya terletak dibahu Adra. Duit gaji Daniel hanya digunakan untuk dirinya sendiri. Seringkali juga Adra mengeluh dalam hati. Mengapa suaminya tidak seperti suami orang lain.
Namun begitu Adra tetap menghormati Daniel sebagai suaminya. Dia juga yang rela untuk membantu suami mencari nafkah untuk menampung perbelanjaan keluarga. Jika tidak si isteri, siapa lagi yang harus membantu. Dia juga sedar gaji Daniel tidak besar mana. Malah tidak cukup untuk menampung segala perbelanjaan yang sedia ada. Dia tidak menyalahkan Daniel 100%. Akan tetapi jauh di sudut hati kecilnya dia mengeluh. Suaminya seolah-olah lepas tangan dan mengambil kesempatan di atas kerja keras Adra demi kelangsungan dan kesenangan hidup mereka sekeluarga.
Sejurus keluar dari MRT, Adra bergegas menuju ke parking kereta. Dia perlu segera kerana hari sudah lewat malam. Sambil itu dia memeriksa teks WhatsApp yang dikirim pada Daniel. Kecewa. Masih belum dilihat dan dibaca.
Adra melangkah dengan cepat memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 11 malam keadaan sekeliling sudah semakin sunyi sepi. Timbul perasaan seram dan takut. Dia cepat-cepat mengatur langkah menuju kereta. Ketika melangkah kedengaran bunyi tapak kaki dari belakang seperti sedang mengekori Adra.
"Puan! Tunggu sekejap!"
Adra tidak berani memandang ke belakang. Bunyi tapak kaki tersebut sudah semakin laju dan hampir kepada Adra. Dengan sepantas kilat Adra berlari tanpa mempedulikan tapak kaki yang mengekorinya dari belakang. Dia sudah menghampiri kereta. Dari awal lagi Adra sudah mengeluarkan kunci. Sejurus tiba dia membuka pintu kereta dengan pantas lalu menghidupkan enjin.
Baru sahaja Adra hendak memulakan pemanduan pintu cermin keretanya diketuk.
Tok! Tok!
Terkejut Adra namun dia tidak berani menoleh. Dalam keadaan ketakutan dan cemas seperti itu anggota badan Adra tiba-tiba menjadi kaku. Tidak mampu bergerak untuk menekan pedal minyak kereta. Ketukan pada cermin semakin kuat.
Adra memberanikan diri menoleh.
Seorang lelaki berpakaian polis bantuan sedang tercegat di tepi tingkap kereta. Adra menghela nafas lega. Dia membuka sedikit tingkap. Walaupun kelihatan seperti polis bantuan tetapi Adra trtap berhati-hati.
"Puan..."
"Awak nak apa?" Terketar-ketar suara Adra membalas.
"Saya nak kasi pas pekerja puan yang tercicir ni. Tadi saya sedang ronda saya terjumpa kad puan ni. Saya panggil puan tapi kemain laju puan berjalan." Tergelak kecil pemuda tersebut. Dia faham kenapa Adra bertindak seperti itu.
"Kus semangat. Saya mati-mati ingatkan awak perompak tadi. Maafkan saya encik."
"Tak mengapa puan. Saya faham. Kalau saya jadi puan pun saya lari laju-laju selamatkan diri. "
Kad pekerja Adra dihulurkan setelah Adra menurunkan tingkap kereta. Merah padam muka Adra malu akibat tersalah sangka.
"Selamat malam puan. Hati-hati memandu." Senyum pemuda tersebut.
"Terima kasih encik. Maafkan saya sebab hal tadi ye." Ucap Adra dengan penuh sopan.
"Sama-sama." Balas pemuda tersebut.
Adra bergegas menuju ke rumah ibu mertuanya.
Sejurus tiba di rumah ibu mertuanya, Adra kelam kabut membawa anak-anak masuk ke dalam kereta. Kedua-dua anaknya sudah lena tidur keletihan. Setelah selesai semuanya dia meneruskan perjalanan pulang.
Badan Adra terasa lesu dan tidak bermaya setelah seharian bertungkus-lumus di pejabat. Dia mula menguap beberapa kali sewaktu memandu.
Adra mengurut bahu dan tengkuknya yang terasa lenguh-lenguh. Sesekali dia memicit dahinya dan menggosok mata untuk menghilangkan rasa mengantuk.
Akibat tak mampu menahan kantuk yang amat sangap, Adra terlelap dan kereta yang dipandunya hilang kawalan memasuki lorong bertentangan. Sebuah lori tangki membunyikan hon dan menyalakan lampu tinggi. Adra tersentak lalu cuba mengelak namun sudah terlambat kerana jarak yang terlalu hampir.
Satu dentuman berlaku menyebabkan kereta terpusing beberapa kali hingga terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar berhampiran.
Adra koma selama 2 minggu di hospital tanpa mengetahui keadaan kedua anaknya yang telah meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke hospital.
Ketika Daniel menerima perkhabaran kemalangan Adra, hatinya bungkam. Daniel terjelepuk ke lantai kerana kaki tiba-tiba menjadi lemah tidak mampu berdiri. Dia sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku.
Segalanya mungkin boleh dielakkan jika dia tidak menghabiskan masa melepak dan memancing bersama kawan-kawan. Dia kesal mematikan telefon agar tidak boleh dihubungi oleh sesiapa termasuk isterinya sendiri sewaktu aktiviti memancing dilakukan.
Daniel menangis semahunya di tanah perkuburan. Sudah terlambat untuk diundurkan kembali waktu. Menangis airmata darah sekali pun tidak mampu mengembalikan hidup anak-anaknya. Daniel benar-benar menyesal.
Adra mengalami tekanan emosi akibat kemalangan dan kehilangan anak-anak tersayang. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa anak-anaknya telah tiada.
Hampir 3 bulan lamanya selepas Adra sedar dari koma, dia meracau, mengamuk, menangis tidak kira waktu. Ada waktu-waktu tertentu Adra menjadi agresif sehingga mencederakan diri sendiri. Ini menyebabkan Daniel menjadi semakin bingung tidak tahu hendak menghadapi situasi yang berlaku. Daniel bimbang jika Adra melakukan tindakan yang membahayakan dirinya sendiri terutama ketika Daniel tiada di rumah untuk bekerja.
Majikan Adra diwakili En Sufian menzahirkan rasa simpati malah memberikan cuti selama 6 bulan separuh gaji kerana pihak syarikat juga berasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Jika Adra tidak menerima arahan bekerja lebih masa berkemungkinan kemalangan tersebut dapat dielakkan.
Oleh kerana bimbang keadaan Adra menjadi tidak terkawal, ibu bapa Adra mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke kampung untuk seketika sambil mencari ikhtiar melakukan rawatan secara tradisional.
Selama 2 bulan Adra tinggal di kampung dijaga dengan rapi oleh ibu bapanya termasuk adik beradik Adra. Masing-masing mengambil berat dengan apa yang berlaku. Daniel pula akan berulang alik setiap minggu melawat isterinya. Setelah melalui pelbagai rawatan dan ikhtiar akhirnya Adra semakin pulih walaupun bukan sepenuhnya. Daniel mengambil keputusan untuk membawa pulang Adra ke rumah mereka.
Namun segalanya hanya untuk seketika. Daniel mula kembali kepada perangai lamanya iaitu sering baran dan memarahi Adra walaupun untuk hal-hal kecil. Adra mula memberontak dan menjadi semakin bosan dengan tingkah laku Daniel. Hubungan mereka sebagai suami isteri kembali dingin. Ternyata Daniel tidak pernah mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang pernah berlaku sebelum ini.
******
Daniel masih duduk termanggu di bangku ruangan menunggu. Dia membelek telefon milik Adra yang diserahkan pihak hospital kepadanya. Baru dia sedar betapa sudah terlalu lama dia tidak memegang dan memeriksa telefon milik Adra. Selama ini dia tidak begitu peduli apa aktiviti Adra melalui telefon pintarnya.
Apa yang membuat Daniel semakin curiga, jika tidak salah ingatannya passcode pada telefon Adra adalah sempena hari lahirnya. Namun apabila dicuba tidak berjaya untuk membuka kunci skrin tersebut.
Sejak bila Adra tukar passcode ni? Kenapa dia tukar?
Hati Daniel bertambah curiga.
Sedang dia mencuba beberapa jenis kata laluan yang diteka sendiri kedengaran satu suara memanggil.
"Suami pesakit Adra Aaira!! Siapa suami puan Adra Aaira?" Seorang jururawat memanggil dari permukaan pintu.
Daniel bergegas menyahut panggilan tersebut.
"Encik boleh ikut saya sebentar ye. Doktor mahu bercakap dengan encik." Ujar beliau sambil Daniel terus mengekori dari belakang.
Sejurus memasuki bilik, seorang doktor perempuan sedang menunggu kehadiran Daniel.
"Jemput duduk encik Daniel."
Daniel menurut lalu menarik kerusi.
"Alhamdulillah pembedahan isteri encik telah selamat. Kita dah berjaya keluarkan darah beku dari saluran darah dia. Buat masa sekarang dia stabil dan kita akan pantau dia secara rapi di sini. Encik Daniel tak perlu risau. Semuanya selamat."
"Alhamdulillah. Terima kasih doktor. Berapa lama agaknya isteri saya akan sedarkan diri. Dan bila saya boleh tengok dia?"
"Kita jangkakan mungkin dalam masa kurang dari 24 jam dia akan sedar kalau tiada komplikasi lain. Encik boleh berjumpa dengan dia keesokan harinya."
Daniel meraut wajahnya dengan kedua tapak tangan. Dia bersyukur Adra selamat.
"Oh ya.. satu perkara lagi encik Daniel... Alhamdulillah. Walaupun kemalangan tu menyebabkan kecederaan yang agak teruk pada kepala isteri encik, namun ajaibnya kandungan isteri encik selamat."
"Isteri saya mengandung?" Tanya Daniel terkejut.
"Encik tak tahu isteri encik sedang berbadan dua? Saya periksa kandungan dia baru berusia 5 minggu. Baru lagi. Mungkin isteri encik tak tahu, tak sedar dia mengandung atau tak sempat beritahu. Apa-apapun tahniah saya ucapkan."
"Terima kasih doktor. Saya tak sangka pula isteri saya sedang mengandung. Syukur Alhamdulillah." Daniel senyum terpaksa.
"Kita akan buat pemeriksaan lanjut pada kecederaan kepala puan Adra. Mungkin akan ada komplikasi lain selepas pembedahan semalam. Tapi encik Daniel tak perlu khuatir lagi buat masa sekarang. Yang penting puan Adra selamat dan stabil. Laporan penuh kita akan panggil encik Daniel untuk penjelasan yang lebih terperinci. Buat masa sekarang kita tunggu sampai puan Adra sedar."
"Jadi lusa la saya boleh melawat isteri saya ye doktor?"
"InsyaAllah kalau puan Adra sedar nanti encik boleh datang melawat dia pada waktu yang dibenarkan."
"Baik. Terima kasih doktor. Sebelum saya minta diri dulu, boleh saya minta izin untuk lihat keadaan isteri saya? Nak beritahu pada keluarga dan saudara mara yang lain."
"Silakan."
Daniel berlalu pergi meninggalkan bilik doktor.
******
Daniel mundar mandir di tepi jalan raya besar bertentangan hospital. Mindanya sedang memikirkan sesuatu.
Dicampak puntung rokok ke atas permukaan jalan raya. Diinjak-injak semahunya puntung rokok itu kemudian dia menyalakan sebatang lagi rokok. Sudah empat batang rokok dinyalakan termasuk kali ini adalah yang ke lima.
Dia membelek telefon miliknya. Dia mencari satu nama untuk dihubungi.
"Hello.. Sabreena...."
Share this novel