Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Hujan turun mencurah-curah sederhana lebat. Menghadirkan rasa dingin pada malam ini.
Dalam cuaca begini, semua orang sudah enak dibuai mimpi tetapi Nash masih terkebil-kebil matanya memandang ke permukaan siling di dalam bilik tidur. Disebelahnya Suraya, berada di tengah-tengah katil antara Adha dan Nash. Suraya tidur membelakangi Nash.
Jika dahulu di awal perkahwinan, dalam situasi posisi tidur Suraya sebegitu rupa, tangan Nash akan merayap-rayap nakal pada tubuh isterinya kerana dia tahu Suraya turut menginginkannya walau tidak menyatakan kemahuan. Kesudahannya mereka berdua terkulai kepenatan dek aktiviti bersenggama.
Namun sekarang Nash tidak berasa ghairah dan bernafsu walau pun panorama itu sudah di depan mata. Mungkinkah Suraya berkeinginan untuk berasmara pada malam ini dengan sengaja memancing nafsu, mempamerkan bentuk badan yang cukup mengiurkan.
Lantaran sukar untuk melelapkan mata Nash melangkah keluar dari bilik ke ruang tamu. Televisyen dipasang begitu saja tanpa ditonton.
Mata Nash ralit membelek galeri gambar di dalam telefon. Ratusan gambar dia dan Adra tersimpan. Dia menatap satu persatu, wajah ceria dan manja Adra menghiasi ruang mata. Kasih dan rindunya pada Adra tidak terperi pada waktu itu.
Tersungging senyuman Nash menatap beberapa gambar yang diambil sewaktu lunch bersama, comel betul mereka dalam pakaian kerja warna pink. Seharian Nash dibahan oleh rakan sekerja tapi sedikit pun Nash tak heran. Yang penting hati Adra gembira mereka berdua sedondon.
Selama bertahun-tahun tak pernah sekali Nash ambil pusing dengan pilihan warna baju. Semuanya ditentukan Suraya. Tetapi selepas mengenali Adra, Nash yang memilih warna tema baju raya untuk anak-anak dan isteri. Nash mahu warna yang sama dengan warna tema pilihan Adra. Semuanya kerana perasaan sayang yang begitu menebal.
Lain macam sungguh penangan Adra dalam mempengaruhi kehidupan Nash.
Siang tadi dia ke hospital tetapi tiada peluang untuk melawat Adra. Daniel berada di hospital menemani Adra sepanjang waktu. Oleh itu, Nash pulang ke rumah dengan perasaan hampa. Dia bukan mahu mengelak dari Daniel, tetapi biarlah Adra stabil dan pulih terlebih dahulu. Walaupun Daniel banyak mengguris hati Adra selama menjadi suami, Nash tahu masih tersimpan rapi perasaan cinta dan sayang Daniel pada Adra.
Nash keluar menuju ruang balkoni untuk mengambil angin malam. Dia merenung jauh ke langit dalam suasana gelap dan hening. Bau udara malam yang dingin disulami hujan rintik-rintik turun hinggap di jendela kaca. Mengalir turun perlahan-lahan mencorakkan aliran air hingga ke bawah secara rawak.
Dia menyedut vape pemberian Adra ketika hari jadinya. Disedut dengan penuh syahdu sambil fikiran melontarkan rasa rindu pada Adra. Dia terlalu merindui Adra.
Rindu pada senyuman dan tawa manjanya.
Rindu pada rajukan Adra.
Rindu nak dengar Adra membebel.
Rindu nak berbalah pendapat dengan Adra.
Rindu nak bercerita pada Adra tentang hari-hari yang dilalui.
Rindu pada pelukan dan ciuman berahi dari Adra.
Rindu untuk mengulit cinta bersama.
"Kenapa tak tidur lagi?" Suara Suraya dari belakang memecah kebuntuan.
Nash tersentak dari lamunannya. Dia tidak menjawab pertanyaan Suraya. Suraya berdiri bersebelahannya sambil memandang wajah Nash yang masih merenung pemandangan jauh ke luar sekitar kediaman mereka.
"Apa yang papa menungkan tu?"
"Takde apa-apa." Pandangan Nash masih terarah ke luar.
"Papa nampak stress, ada masalah ke?"
"Er.. takde lah. Mata belum mengantuk."
"Siang tadi papa pergi mana?"
"Melawat kawan di hospital. Kemalangan kereta."
"Ingatkan papa pergi mana tadi. Lama sangat keluar. Cuti sabtu ahad ni papa duduk la rumah luangkan masa dengan keluarga."
"Papa baru dapat berita pagi tadi. Tu yang pergi melawat sekejap."
"Lelaki ke perempuan?"
"Perempuan."
"Kawan satu pejabat?" Suraya merenung tajam.
"Bukan.."
"Kawan sekolah?"
"Bukan." Nash menggaru hidung yang tidak gatal.
"Mama kenal ke?"
"Tak."
"Hospital mana?"
"Putrajaya."
"Oh patut la kak Hanim bagitau dia nampak papa kat hospital tadi. Dia tanya mama, papa pergi melawat siapa. Mama cakap tak tau."
"Kak Hanim buat apa kat hospital?"
"Melawat anak jiran dia baru lepas bersalin."
"Oh.." Nash angguk.
"Kenapa tak beritahu?" Soal Suraya kembali.
"Apa dia?"
"Kenapa tak beritahu pergi hospital?"
"Kenapa pula?"
"Ye la.. lain kali bagitau la nak pergi mana. Takde la mama risau."
Nash pelik dengan soalan-soalan dari Suraya. Selama ini isterinya tidak pernah mempersoalkan jika dia hendak keluar ke mana-mana.
"Papa tak nak tidur?"
"Tak mengantuk lagi. Mama pergi la tidur dulu."
"Mama tunggu papa."
"Tunggu untuk apa?"
"Tunggu papa masuk tidur."
"Mama tidur la dulu. Nanti papa mengantuk papa tidur la."
"Tak nak. Nak papa masuk bilik tidur dengan mama." Suraya mula merengek manja sambil merangkul lengan Nash. Dari nada yang didengari Nash faham maksud dan keinginan Suraya.
"Mama tidur la dulu. Nanti Adha terbangun bila mama takde kat sebelah." Nash cuba mengelak.
"Papa..." Suara Suraya menjadi sebak tiba-tiba. "Papa ada orang lain ke? Papa tak macam ni sebelum ni."
"Mama cakap apa ni?" Nash gusar dengan perubahan Suraya.
"Seorang isteri ada naluri pada suami. Dah 3 malam mama mimpi papa ada perempuan lain."
"Mama tu fikir yang bukan-bukan. Memang la terbawa-bawa dalam mimpi. Banyak sangat tengok kisah-kisah artis la tu."
"Tapi tak mustahil boleh berlaku pada kita."
"Sudah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Jom kita masuk tidur ye." Nash tidak mahu soalan Suraya semakin berlarutan. Lebih baik dia turuti kemahuan Suraya dari situasi ini berpanjangan.
Suraya kembali tersenyum. Dia terus memimpin tangan Nash menuju ke bilik. Bersaksikan hujan yang semakin lebat, dua tubuh bersatu dalam desahan kepuasan.
*
*
*
Hari ini Nash keluar ke pejabat seperti biasa. Menghadiri meeting dan perbincangan berkaitan kerja.
"Macamana server baru yang aku minta tu? Bila boleh ready?"
"Biar aku bincang dengan bos aku dulu la."
"Bos kau dah setuju la acap. Dia dah bincang dengan bos aku hari tu."
"Tapi tak rugi resources ke nanti?"
"Alah sistem nak pakai 3 bulan je. Lepas tu kau arkib kan je la."
"Kalau macam tu aku tunggu official email dari bos aku la."
"Ok. Tq acap. Pastikan okay lepas ni ye."
"Beres." Acap berlalu meninggalkan bilik Nash. Selesai sudah satu masalah. Nash membelek dokumen yang ada di atas meja. Banyak pula email dan borang permohonan yang perlu disahkan. Telefon di atas meja bergegar tanpa bunyi. Tertera nama Sabreena. Nash terus menjawab panggilan tersebut.
"Hello Nash. Busy? Hari ni kau kerja ke tak?"
"Kerja. Kenapa?"
"Aku baru lepas melawat Adra. Kau free tak petang ni lepas habis kerja?"
"Kenapa?"
"Penting ni pasal Adra. Aku tak boleh cakap lama dalam telefon sebab aku tengah kejar masa nak balik office ni."
"Cakap je sekarang. Ringkas dan padat."
"Tak boleh. Lebih senang kita jumpa petang nanti dekat kl sentral. Aku tunggu kau. Bye."
*****
"Encik Daniel. Saya harap penjelasan saya dapat membantu encik untuk memahami situasi isteri encik sekarang."
"Saya faham doktor." Daniel angguk dan bersedia menumpukan perhatian.
"Begini encik, selepas puan Adra sedar, kami buat beberapa diagnosis ringkas pada dia tetapi dia tak ingat apa yang berlaku. Mula-mula kita jangkakan sebab kesan dari bius pembedahan. Tapi bila kita buat ujian lanjut saya dapati dan percaya puan Adra mengalami Amnesia."
"Amnesia?" Berkerut kening Daniel. Dia pernah dengar perkataan itu tetapi dia terlupa akan maksudnya.
"Ye encik. Saya terangkan dulu apa itu amnesia. Dari istilah perubatan ia adalah ketidakupayaan untuk mengingati sebahagian atau keseluruhan pengalaman lalu atau menyimpan ingatan baharu, melibatkan kehilangan ingatan yang ketara. Amnesia boleh jadi sementara atau berterusan. Gejala amnesia bergantung kepada jenis amnesia. Gejala biasa termasuk keupayaan pesakit terjejas untuk ingat peristiwa lalu atau belajar maklumat baharu, ingatan jangka pendek terjejas, hilang sebahagian atau keseluruhan, ingatan asal yang berbeza dengan masa atau ingatan yang dicipta sepenuhnya juga akan berlaku kekeliruan. Encik jelas setakat ni?"
Daniel angguk. "Teruskan."
"Amnesia ada banyak jenis. Tapi yang saya nak encik tahu adalah Amnesia retrograde, anterograde dan disosiatif. Itu yang sedang dialami isteri encik."
Semakin pening otak Daniel untuk menghadam apa yang diterangkan. Namun dia tetap tekun mendengar dan angguk sekali sekala.
"Retrograde ni bermaksud pesakit tak ingat peristiwa masa lalu. Ini akan mengganggu memori baru yang ada sebelum kemalangan. Dalam ertikata lain dia tak ingat memori 10 tahun lepas sebagai contoh, kemudian memori yang baru terbentuk dalam masa 1-2 tahun sebelum kemalangan juga akan bercelaru atau dia tak ingat langsung."
"Anterograde pula kebiasaan disebabkan trauma otak. Isteri encik mungkin mempunyai ingatan penuh sebelum berlaku trauma tetapi tidak dapat mengingati maklumat baharu."
"Terakhir ialah disosiatif atau keadaan kabur. Ini biasanya berlaku kerana peristiwa traumatik. Isteri encik mungkin lupa masa lalu dan identitinya sendiri."
"Itulah ketiga-tiga simptom amnesia yang isteri encik alami sekarang. Ada soalan?"
"Sebenarnya doktor..." Daniel cuba bersuara untuk menyampaikan sesuatu tetapi dia berbelah bagi untuk berkata. Senyap seketika suasana.
Dr Fatin memandang Daniel dengan perasaan ingin tahu. "Sebenarnya apa en Daniel? Ada apa-apa yang awak nak beritahu kepada saya?" Soal Dr Fatin apa bila melihat Daniel seperti sukar untuk menyambung kata-katanya.
"Sebenarnya 2-3 tahun yang lepas isteri saya pernah kemalangan... Selepas dari kemalangan dia jadi kemurungan dan trauma. Sampai kena makan ubat untuk redakan tekanan emosi dia."
"Isteri awak trauma tahap macamana tu?"
"Dia tak boleh terima kenyataan anak-anak kami meninggal dunia dalam kemalangan itu doktor. Hampir nak masuk wad psikiatri. Pelbagai ikhtiar diusahakan dan Alhamdulillah ikhtiar saya dan keluarga berhasil mengurangkan tekanan yang dia alami. Tapi kesilapan saya ialah biarkan dia tak makan ubat ikut waktu sebab saya sangkakan dia dah pulih. Kemudian dalam masa yang sama saya sering abaikan perasaan dia. Saya yang bersalah dengan apa yang berlaku. Waktu itu saya hampir-hampir hilang sabar untuk bertahan dengan penyakit isteri saya."
"Allahuakbar. Saya bersimpati pada awal dan isteri. Maaf saya tak tahu. Takziah atas kehilangan anak en Daniel. Namun jika awak sedar dengan kesilapan awak, nasihat saya selepas ini awak kena berikan perhatian yang lebih pada dia. Mulakan kehidupan baru yang lebih menggembirakan hati dia. Anggaplah ini salah satu usaha awak untuk tebus semula kekhilafan dan kealpaan awak sebagai suami sebelum ini."
"Terima kasih doktor. Saya terima dan hargai nasihat doktor. Tapi saya ingin tahu berkenaan amnesia dia tu. Adakah memori sebelum ini semua dia dah tak boleh ingat?"
"Bergantung pada keadaan. Tapi kalau awak usaha untuk pulihkan ingatan dia insyaAllah dia boleh kembali ingat semula."
"Saya harap dia tak ingat semua memori tu doktor. Biar lah terpadam selamanya memori hitam itu. Saya sendiri pun dah tak sanggup nak ingat semula. Itu salah satu masalah yang melanda rumahtangga kami sebelum ini. Saya hampir-hampir hilang sabar dengan karenah dia."
"Encik Daniel sebagai suami itu tanggungjawab awak untuk jaga dan beri sokongan pada dia. Terutama dalam keadaan sekarang. Kita khuatir kalau terjadi apa-apa yang tak diingini. Dia memerlukan encik di sisinya."
"Baik doktor. Saya terima nasihat doktor. Apa lagi yang perlu saya tahu? Boleh saya pergi melawat dia sekarang?"
"Kita akan buat diagnosis terperinci. Kami akan ambil rekod sejarah perubatan keluarga isteri encik termasuk encik sekali nanti."
"Kita nak buat pemeriksaan neurologi pada ahli keluarga puan Adra. Kemudian kita lihat sama ada ianya gangguan disosiatif atau PTSD kompleks. Kita akan CT scan, MRI, EEG untuk kesan aktiviti sawan, ujian darah dan spinal tap."
"Ujian darah ni bertujuan mencari jangkitan, kekurangan nutisi, paras gula dan paras elektrolit. Kemudian kita ambil sampel cecair tulang belakang untuk cari kalau ada penyebab lain."
"Saya harap encik Daniel tabah dengan dugaan yang menimpa. Isteri encik perlukan sokongan dari encik dan juga ahli keluarga yang lain. Lebih-lebih lagi dia sedang mengandung. Mungkin ini salah satu hikmahnya. Saya percaya encik seorang yang kuat dengan apa yang sudah terjadi."
Luluh hati Daniel apabila mendengar perkataan 'mengandung' dari mulut doktor.
Adra curang dengannya selama ini.
Adakah Nash bapa sebenar bayi dalam kandungan Adra itu?
Semakin kusut fikirannya kini. Tapi kesihatan Adra harus diutamakan, biarlah dulu semua persoalan itu. Tiada guna untuk Daniel bertanya kerana Adra sendiri tidak mengingati apa yang telah terjadi.
******
Daniel memandang pada Adra yang sedang terlantar masih tidak sedarkan diri. Digenggam tangan Adra lalu dikucup perlahan. Diusap wajah Adra dengan rasa sayu lalu dikucup lembut pada dahi isterinya. Tanpa sedar dia menitiskan airmata hingga gugur menimpa wajah Adra. Daniel tunduk teresak-esak mengenangkan malang yang menimpa.
"Abang...." Lemah suara itu. Bibir Adra bergerak-gerak ingin berkata sesuatu.
Terhenti seketika tangisan Daniel mendengar suara yang memanggil. Daniel kembali menangis dalam kegembiraan bila menyaksikan Adra telah pun sedarkan diri. Lebih menggembirakan dirinya yang disebut terlebih dahulu bukan kekasih gelapnya Nash.
Inilah peluang dan harapan untuk Daniel mengembalikan semula hubungan dan kehidupan mereka sebagai suami isteri seperti dahulu. Daniel turut berdoa jikalau memori Adra tentang Nash turut lenyap selamanya.
Dia tidak peduli dengan apa yang sudah berlaku. Hatta Adra telah berlaku curang terhadapnya namun itu tidak bermakna dia perlu menghukum Adra. Daniel menganggap itu adalah ujian dan hukuman Tuhan buat dirinya yang terlalu lama mengabaikan Adra. Dia bertekad tidak akan sesekali mengabaikan Adra lagi untuk selamanya. Masih belum terlambat untuk itu.
"Ma... Syukur Alhamdulillah Ma dah sedar." Tidak berhenti Daniel mengucapkan syukur sambil memeluk dan mencium wajah isterinya.
"Kenapa abang menangis? Apa yang dah berlaku? Kita kat mana sekarang ni?" Adra cuba untuk bangun tetapi ditahan oleh Daniel.
"Shhhh... Ma jangan cakap apa-apa. Ma rehat je. Abang akan sentiasa menemani Ma. Abang sayangkan Ma. Sayang rehat dulu ye. Abang nak bagitau pada ayah dan ibu Ma dah selamat. Tunggu sekejap tau. I love you." Daniel keluar sebentar dari bilik untuk membuat panggilan telefon. Dia mahu keluarga dan rakan sepejabat Adra tahu isterinya sudah selamat dan sedarkan diri.
Adra masih terasa lemah dan sakit-sakit pada tubuh badan. Dia mengangguk dan senyum walaupun dia tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku tetapi hatinya rasa gembira dan bahagia melihat keberadaan suaminya di sisi mengucap kata cinta dan sayang.
Setelah selesai Daniel menyampaikan berita kepada ahli keluarga yang lain dia mendail nombor telefon kakaknya.
"Hello Along... Adra dah sedar. Syukur Alhamdulillah."
"Alhamdulillah."
"Long.. alang-alang ni aku nak tanya sikit. Company kau banyak dapat projek dekat pengerang kan?"
"Ye. Tapi kenapa?" Kakak Daniel berasa pelik.
"Kau boleh tak recommend Adra untuk kerja kat sana. Apa-apa position yang sesuai dengan dia."
"Hmmm.. ada tu memang ada. Tapi along kena tanya kawan along kat sana dulu la. Dia ada cakap company dia memang nak cari staf untuk admin. Tapi yang kau tiba-tiba tanya ni kenapa?"
"Aku nak mulakan hidup baru dengan Adra. Dekat sana aku akan cari kerja. Aku rasa sana paling sesuai untuk aku dan Adra. Kau boleh tolong aku?"
"Nantilah kita bincang. Bila boleh melawat Adra?"
"Melawat esok la. Dia baru sedar tadi. Bagi la dia rehat dan stabil dulu."
Daniel senyum lega. Bersinar-sinar matanya dengan apa yang dikatakan kak long nya sebentar tadi. Dia kembali melihat telefon. Ada seorang lagi yang dia perlu hubungi.
"Hello... Sabreena..Boleh kita jumpa?"
Share this novel