Selepas Adra sihat dan keluar dari hospital, Daniel telah memberitahu Adra dia sedang mengandung. Betapa gembiranya Adra mendengar khabar itu. Dalam ingatan Adra mereka masih belum pernah mempunyai anak walaupun realiti adalah sebaliknya. Adra sangat bersyukur dengan apa yang diimpikan setelah bertahun lamanya berumahtangga akhirnya kini dia berpeluang menjadi seorang ibu.
Sudah hampir 2 bulan dia dan Daniel tinggal di perumahan berhampiran dengan tempat kerja barunya. Semuanya diuruskan kakak Daniel memandangkan Adra sedang mengandung. Daniel tidak lagi berkhidmat sebagai seorang despatch. Dia melakukan kerja rider penghantaran barang secara freelance mengikut mood rajinnya. Kalau rajin, dia aktifkan apps. Kalau tidak dia hanya bermain telefon di rumah atau minum ketum bersama kawan-kawan barunya.
Hendak diharapkan suaminya menolong? Hanya di dalam mimpi. Dia tidak begitu peduli dengan keadaan Adra. Sekali sekala sahaja dia membantu kerana perlukan duit belanja dari Adra untuk membeli stok air ketum. Berbeza sungguh sewaktu Adra terlantar di hospital dahulu. Setiap masa Daniel menemani dan mengambil berat.
Kini tidak lagi.
Adra tidak faham dengan perangai suaminya. Mengapa dia masih bertahan hidup bersama Daniel juga dia tidak mengerti. Jiwa Adra merintih namun akhirnya mahu atau tidak dia tetap tunduk pada Daniel bagaikan kerbau dicucuk hidung.
Adra mengimpikan Daniel akan berubah ke arah yang lebih baik dalam menjalankan tanggungjawab seorang suami dan ayah selepas dia bersalin nanti.
Dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih dari kesan endemik covid-19 semua beban perbelanjaan lebih banyak bergantung pada Adra. Adra tidaklah berkira kerana niatnya hendak membantu suami namun kadangkala mengeluh juga di dalam hati.
Mujur syarikat Adra bekerja sangat mengutamakan kebajikan. Faedah perubatan semuanya ditanggung oleh insurans syarikat untuk satu keluarga. Adra bersyukur dengan kemudahan yang diperolehi. Dia sangat berterima kasih kepada kakak iparnya atas jasanya bersusah payah memberikan peluang pekerjaan untuk Adra. Kakak iparnya faham kesusahan yang dialami serta sudah muak dengan perangai adik kandungnya sendiri. Dia kasihankan Adra. Sebab itu dia tidak berkira dengan Adra. Lebih-lebih lagi Adra telah disahkan mengandung.
Selama 3 bulan Adra tidak bekerja kerana berehat panjang setelah kemalangan. Sehingga ke hari ini kes kemalangan Adra tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis akibat kekurangan bukti. Walaupun ada saksi video kemalangan, tetapi si pelaku tidak dapat dikesan kerana menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.
Adra redha dengan apa yang berlaku. Setidaknya dia masih meneruskan hidup bersama suami dan anak yang bakal lahir nanti. Tidak sabar rasa hati untuk menimang cahaya mata.
Hari ini Adra tidak bekerja. Waktu yang terluang dipenuhi dengan aktiviti mengemas rumah. Walau sedang sarat mengandung Adra masih aktif melakukan kerja rumah dan tidak betah duduk diam. Mungkin juga kerana pembawakan anak dalam kandungan menyebabkan dia menjadi begitu rajin mengemas rumah. Alahan sewaktu mengandung Adra tidak begitu teruk seperti sesetengah ibu mengandung lain.
Adra mengemas almari di dalam bilik yang kelihatan berhabuk. Dia memanjat kerusi untuk mengemas bahagian atas almari. Sebelum ini dia tidak pernah mengemas di situ. Hari ini Adra ada temujanji di klinik dan seperti biasa, dia akan memandu sendiri kerana Daniel dari awal pagi sudah keluar melakukan kerja penghantaran. Jadi dia perlu menyelesaikan kerja mengemas rumah dengan segera.
Ketika dia menyapu habuk di sudut hujung atas bucu almari tiba-tiba penyapunya terkena pada satu objek lalu terjatuhnya sebuah beg lusuh ke bawah. Adra memandang hairan. Dia tidak pernah melihat beg itu sebelum ini selama dia mengemas rumah. Mungkin kerana ia disimpan di tempat yang tersorok dan tidak pernah dikemas oleh Adra.
Selesai mengemas, dia mengambil semula beg yang terjatuh tadi. Adra membawa beg itu ke ruang tamu. Dilabuhkan punggung di atas sofa. Entah kenapa rasa berdebar di dalam hati tiba-tiba muncul. Dengan perlahan dia menarik zip untuk melihat kandungan lain di dalam beg itu.
Terdapat 2 biji botol kaca berisi minyak dan serabut akar kayu yang dibaluti kain kuning. Mungkinkah ini kepunyaan Daniel? Sambil itu dia cuba menghidu botol tersebut. Baunya pelik. Hendak dikatakan minyak wangi pun bukan. Tapi minyak apa ni? Minyak urut? Boleh jadi Daniel simpan minyak ini untuk kegunaan Adra ketika berpantang nanti. Mana lah tahu. Cuba bersangka baik dulu. Adra mengumam dalam hati.
Dia melihat lagi apakah yang ada di dalam beg.
Terketar-ketar tangan Adra memegang sebuah anak patung perempuan yang dililit penuh dengan benang kuning. Terdapat kesan-kesan tusukan jarum dan tompokan seperti darah yang sudah kering. Adra berasa seram sejuk melihat keadaan patung itu. Dia menyelongkar lagi dan menemui beg kecil yang memuatkan buku-buku dan gambar.
Beberapa keping gambar Adra yang diconteng dengan simbol-simbol yang tidak difahami di setiap penjuru gambar. Kemudian terdapat dua buah buku pink KKM namun ia tidak dapat dibaca kerana tulisannya sudah pudar. Adra semakin hairan dan tidak mengerti. Apakah kaitan botol, buku pink dan gambarnya pada waktu muda?
Bunyi hon motorsikal penjual roti tiba-tiba memecah suasana. Tersentak seketika Adra dengan bunyi tersebut.
Dia melihat jam di dinding. Dia hampir terlupa untuk bersiap segera ke klinik. Nanti-nanti lah bila Daniel balik rumah dia boleh bertanya. Urusan di klinik perlu diutamakan terlebih dahulu. Akhirnya Adra terlupa akan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
Adra bergegas untuk mandi kemudian bersiap. Terasa malas hendak memandu kereta Adra memesan grab. Setelah lima belas minit menunggu akhirnya Adra bergerak menuju ke klinik
******
KLIA
"Hello brader. Apa khabar? Amacam life sekarang?"
Nash tersenyum memandang sahabat karibnya.
"Alhamdulillah Ajib"
Nash dan Ajib berpelukan antara satu sama lain. Lama sungguh dua sahabat ini tidak bertemu.
"Suraya?"
"Ok je." Nash senyum.
"Adra?" Bisik Ajib perlahan.
"Aku dah takde dalam ingatan dia lagi." Balas Nash juga dengan perlahan.
"Cerita pada aku nanti apa yang jadi." Bisik Ajib perlahan.
"Izaara, Inaara... Salam pakcik Nash ni cepat." Nash bersalaman dengan anak-anak Ajib.
"Besar dah anak-anak kau jib."
"Terima kasih Nash sebab datang jemput kami." Sapa Isteri Ajib dari belakang.
"Ajib punya pasal no problem. Kalau orang lain memang aku dah suruh naik grab je." Ujar Nash ketawa kecil sambil menyusun bagasi yang ada di dalam kereta. Setelah selesai masing-masing masuk ke dalam kereta.
"Takde lagi barang yang tinggal kan?" Tanya Nash kemudian mula menekan pedal minyak.
Dalam perjalanan anak-anak Ajib tidak berhenti melilau memandang kiri dan kanan perjalanan. Lahir di luar negara. Baru pertama kali tengok negara sendiri. Nampak teruja kedua-duanya. Farah sedang bercakap dengan ibunya menerusi telefon. Nash dan Ajib pula berbual berdua.
"Kau settle down terus ke jib? Takde nak migrate ke tempat lain?"
"Cukup la. Buat apa nak kejar duit banyak-banyak. Lagi pun mak aku tu dah uzur."
"Apa plan lepas ni?"
"Rilek dulu sebulan dua lepas tu baru pikir. Malam ni jom lepak."
"Eh baru je sampai kau tak reti penat ke?"
"Lepak duduk kat kedai mamak je. Penat apanya? Bukan aku ajak kau berlari."
"Tu bentara guru kat belakang tu?"
"Tolong sikit. Dekat belakang tu kalau aku yang panas dia la yang kipas."
"Pergi la bang. Lepak kedai mamak takpe. Jangan lepak kedai janda pulak." Balas Farah. Sambil senyum dan menjeling suaminya di hadapan. Dia kenal suaminya. Tiada apa yang perlu dirisaukan bila dua sahabat ini bertemu.
"Macam pasrah je bunyinya Farah. Mesti Ajib ni banyak buat hal dengan nurse arab." Sakat Nash.
"Hotak kau!" Rengus Ajib.
"Kawan baik kau ni nak buat hal? Cuba la kalau berani." Perli Farah. Nash tergelak kecil sambil memandang wajah Ajib di sebelah. Takut bini rupanya. Ingatkan maulana.
"Sayang ni. Cover la sikit depan Nash. Gugur air muka abang tau." Nash tak tahan gelak mendengar kata Ajib. Memang sah Ajib bukan maulana seperti dia.
"Kalau malam ni kita jamming ok juga kan?" Sambil tersengih-sengih Ajib mengubah topik perbualan.
"Nanti aku call Bujal suruh dia bawa kunci studio."
"Cantik. Lepas isyak kau jemput aku." Kata Ajib. Tidak sabar dia nak lepas gian jamming dengan kawan-kawan seperti waktu dulu-dulu.
******
Hari ini Nash perlu menghadiri satu persidangan keselamatan ICT di Pulau Pinang selama 3 hari. Ikutkan hati mahu saja dia bawa keluarganya bersama tetapi disebabkan Adam sedang menghadapi peperiksaan di sekolah terpaksa Nash batalkan hasratnya. Oleh kerana malas hendak memandu sendirian, dia mengambil keputusan menggunakan kenderaan pejabat sahaja.
Dalam perjalanan Nash berbual dengan pemandu jabatannya yang baru 3 minggu bekerja. Bekas pemain bolasepak kebangsaan. Masih kekok memegang stereng dan belum mahir dengan selok-belok jalan.
"Kau dulu betul ke wakil Malaysia?"
"Betul encik."
"Kenapa aku tak cam kau?"
"Itu la encik tak ambil peduli dengan liga bola Malaysia. Asyik tengok epl je macamana nak kenal player sendiri."
"Serius. Jangan kecik hati eh.."
"Sampai hati encik. Saya famous tau. Siapa yang layan liga Malaysia kalau nampak saya kat mana-mana mesti nak bergambar punya la."
"Kalau betul famous, apasal kau apply keje pemandu? Kenapa tak main bola sampai pencen atau jadi coach ke buka akademi ke?"
"Panjang ceritanya. Tapi yang pasti saya famous. Kalau tak percaya kita singgah rnr kita tengok ada tak orang kenal saya.."
"Kalau takde kau bayar aku punya makan."
"Deal." Pemandu itu tersenyum lebar.
Selesai makan Nash menyumpah dalam hati.
"Menyesal aku deal tadi."
"Saya dah cakap. Mesti ada orang nak bergambar dengan saya. Hehehe.. Burrpp.. Alhamdulillah."
"Aku baru ingat. Wakil Malaysia dulu kau main left back kan?"
"Haaa... Ingat pun. Macam ni baru fans sejati Harimau Malaya." Mereka berdua berbual dengan rancak sambil menyedut asap rokok di tepi parking kereta. Sedang rancak berbual tiba-tiba Nash disapa seseorang.
"Assalamualaikum." Seorang lelaki seperti ustaz memberi salam.
"Waalaikumussalam." Nash menyambut salam yang dihulurkan.
"Maaf mengganggu. Saya pernah nampak awak sebelum ni. Cuma awak mungkin tak kenal saya." Ujar ustaz tersebut dengan sopan.
"Pakcik kenal saya?" Berkerut dahi Nash memikirkan.
"Nama saya Ustaz Hambali. Ada perkara yang hendak disampaikan pada awak cuma sekarang masa tak mengizinkan. Saya nak kena bergegas balik ke Alor Setar ada urusan kematian."
"Saya Nash. Ini Firdaus."
"Awak jangan risau saya cuma niat ingin membantu."
Nash menggaru kepala tidak faham.
"Takpe saya tau awak keliru. Bagi saya nombor telefon awak untuk saya hubungi awak semula. Allah dah aturkan jodoh pertemuan kita untuk berjumpa hari ini dan akan datang. InsyaAllah.."
Tanpa banyak soal Nash terus memberikan nombor telefonnya walau dalam hati rasa berat dan penuh tanda tanya namun melihat tingkah dan gaya pertuturan Ustaz Hambali, Nash percaya tiada apa yang perlu dirisaukan. Bak kata AR Tompel "Takkan tok lebai nak menipu."
"Saya nak pesan sikit. Sebelum sampai di temapt bermalam, cari lah limau nipis tujuh biji letak dalam poket sebelah kiri. Waktu tidur pun pastikan limau tu sentiasa ada dengan awak. Baca selawat dan tiga Qul ye. InsyaAllah semua baik-baik belaka. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Kata-kata Ustaz Hambali masih terngiang-ngiang dalam kepala Nash. Nash bersangka baik menurut pesanan itu. Dia singgah membeli apa yang disuruh. Firdaus menurunkan Nash di hotel.
"Confirm eh kau tak nak tumpang bilik aku?"
"Betul encik. Saya tidur rumah sedara saya tak jauh dari sini. Apa-apa encik nak minta bawa keluar makan ke, nak ronda-ronda ke mana-mana malam encik telefon la saya. Nanti saya datang."
"Ok"
Sampai sahaja di bilik hotel Nash melangkah masuk memberi salam, selawat serta sedikit amalan pendinding yang diajarkan oleh ayahnya. Tidak lupa limau nipis yang dibeli.
Tiada sebarang keadaan pelik yang berlaku disepanjang keberadaan Nash di dalam bilik sehingga keesokkan harinya.
is typing...
Salam subuh Firdaus. Hari ni aku bagi kau aktiviti bebas. Lepas conference aku tak pergi mana-mana. Duduk hotel je.
Send!
Usai mandi dan solat subuh, baru Nash teringat bungkusan limau itu ada di dalam poket seluarnya yang baru digantung di almari. Tiba-tiba dia berasa ingin tahu apa sebabnya Ustaz Hambali menyuruhnya mencari 7 biji limau nipis. Nash mengambil limau nipis dari dalam poket seluarnya.
Dia membelek limau itu. Tiada sebarang perkara ganjil ditemui pada limau itu.
"Alang-alang ada limau ni, baik aku buat teh o limau nipis pagi ni. Segar sikit mata nanti."
Setelah air dipanaskan dan teh o siap dibancuh. Nash mencari pisau serbaguna di dalam beg yang sering dibawa jika outstation.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Nash membelah limau tersebut.
"Astaghfirullahalazim."
Istighfar panjang Nash melihat dalaman limau yang dibelah.
Terdapat ulat-ulat putih halus sedang memakan isi limau tersebut. Tidak sampai 5 saat limau yang bewarna hijau tiba-tiba bertukar menjadi kehitaman kulitnya manakala isinya berubah menjadi kekuningan seperti membusuk. Anehnya ulat yang kelihatan berpuluh ekor tadi tiba-tiba ghaib dari pandangan.
Melihat apa yang berlaku, Nash terus membelah kesemua limau yang ada dan hasilnya sama seperti limau yang pertama. Nash seram dan cemas melihatnya..
Apa yang sedang berlaku?
Share this novel