SEHARI SEBELUM KEMALANGAN
Di sebuah gelanggang permainan papan selaju, Nash sedang melepak bersama rakan-rakan lamanya yang sealiran aktiviti pada zaman muda. Dia datang menemani anak sulungnya Adam memasuki pertandingan Skateboard yang dianjurkan oleh aktivis dan skaters handalan kawasan sekitar.
"Anak kau ni ada talent. Boleh gilap kalau nak cuba jadi wakil Malaysia. Tiap hari bagi training aku rasa boleh ni." Kata Epet kepada Nash.
"Anak aku ni tak tau la apa yang dia paling minat. Aku tengok dia lebih kepada bolasepak."
"Main bola dah ramai sangat Nash. Susah nak dapat tempat. Baik kau suruh dia fokus main skateboard. Mana tau boleh masuk X-Games nanti."
"Biar jadi hobi dia masa lapang dulu la pet. Aku nak dia fokus sekolah dulu. Nanti skate ke mana, belajar ke mana."
"Kau la uruskan. Ada bakat anak kau ni. Baru 14 tahun selamba buat trick fs crooked. Perfect landing pulak tu."
"Ikut dia la pet. Kalau dia minat aku support je."
"Kau pun dulu skate. Ajar lah dia."
"Kita dulu degil sendiri. Mak ayah tak kasi main tapi kita main juga. Budak sekarang untung. Mak ayah ramai dah supportive. Kedai dah banyak. Skatepark pun dah berlambak. Magazine, video tutorial semua senang nak cari. Kita dulu nak dapat majalah trasher sikit punya susah."
"Kau tak nak comeback ke. Sorong la balik buat hilang boring."
"Sekarang nak ollie air tin pun belum tentu lepas. Dah lama aku tinggal." Balas Nash sambil tertawa.
"Tapi basic skill ada lagi. Teringat aku zaman kita kena kejar dengan polis sebab main skate kat bandar pukul 2 pagi." Epet membuka cerita.
"Kau punya pasal la sampai aku kena soal siasat jadi suspek nak pecah kedai."
"Yang kau berlagak sangat nak melawan brader polis tu siapa suruh."
"Lawak juga bila ingat balik. Malam tu nasib baik dia tak bawa ke lokap. Kalau tidak mampus aku. Esoknya aku nak kena balik kampus nak register sem baru." Kata Nash sambil tersenyum mengenangkan kisah lamanya.
"Tapi lama siot kau kena ceramah dengan dia. Keluar dari bilik muka insaf terus. Kah kah kah."
"Ada ke dia bagi ceramah dari buang masa tengah malam macam ni baik kamu duduk rumah mengaji. Tengah malam bangkit buat solat tahajjud."
"Time tu kita jiwa rebel. Mana nak dengar nasihat. Lagi pun kalau anak dia rajin bangun solat tengah malam, kisah pulak aku. Itu anak dia punya pasal lah. Kita bukan anak dia."
Bercerita semula kisah-kisah lama zaman remaja amat mencuit hati mereka berdua. Terbahak-bahak ketawa dari mulut masing-masing.
"Babah! Lepas ni turn abang." Adam menghampiri Nash.
"All the best abang. Kalau menang tu bonus. Jangan gelabah. Tenang. Buat trick macam biasa. Jangan pressure tau." Nash memeluk bahu Adam. Anak sulung kesayangan yang sudah menginjak remaja.
Adam memulakan persembahan. Trick pertama Adam, 180° B/S Boardslide berjaya mendarat dengan sempurna. Para penonton memberi tepukan semangat kepadanya. Adam semakin berkeyakinan untuk meneruskan aksi-aksi yang memukau. Nash menonton dari tepi dengan perasaan gembira dan bangga melihat aksi Adam. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Adam berjaya menamatkan saingan terakhir dengan menduduki tempat ke empat keseluruhan peserta. Satu pencapaian yang baik untuk Adam walau pertama kali memasuki pertandingan papan selaju.
Setelah tamat pertandingan, Nash tidak berhenti-henti memuji Adam.
"Jom kita balik. Babah belanja makan pizza. Esok babah outstation 4 hari. Abang jangan merayap tak tentu hala. Tolong umi jaga adik tu. Lepas babah balik kita pergi beli deck baru."
"Okay babah. Terima kasih babah. I love you babah!" Adam senyum gembira memeluk Nash. Teruja rasa hati bila Nash berjanji untuk membelikan kelengkapan permainan skateboard baru untuknya. Walaupun Suraya langsung tidak faham dengan sukan ini, tapi Suraya tidak menghalang. Dalam hati Adam tidak sabar untuk berkongsi cerita kejayaan dengan ibunya Suraya.
Malam itu sambil mengunyah pizza Adam berceloteh tidak henti-henti pada Suraya menceritakan apa yang berlaku petang tadi.
Nash sedang mengemas kelengkapan yang hendak dibawa untuk bercuti bersama Adra. Dari dalam bilik dia melihat keletah anak-anak bujangnya di ruang tamu. Adam tak habis-habis bercerita pada Suraya tentang pertandingan yang disertai. Suraya melayan dengan bersungguh dan penuh rasa bangga. Yang si Adha pula sibuk nak menyampuk dengan tutur kata sedikit pelatnya. Comel sahaja diperhatikan tingkah dua anak lelakinya itu.
Nash memandang sayu ke arah luar bilik. Riuh rendah Suraya bersama anak-anak. Dia melihat gelagat Suraya melayani dan memanjakan anak-anak. Satu perkara yang Nash tidak dapat nafikan tentang kebaikan Suraya.
Suraya memang seorang ibu yang baik. Tugas seorang ibu digalas dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Adam dan Adha begitu menyayangi Suraya. Walaupun mereka berdua anak lelaki, namun apa-apa perkara yang dimahukan atau hendak diceritakan, Suraya adalah orang pertama yang dicari oleh anak-anaknya.
Entah kenapa malam ini timbul rasa bersalah pada isterinya sendiri. Walau terlalu banyak perkara yang mengguris hatinya sebagai suami namun Suraya tidak pernah membelakangkan dirinya sebagai suami. Tanggungjawabnya sebagai isteri menjaga makan minum & pakaian Nash sentiasa diutamakan.
Dari satu sudut lain Nash tetap dihantui rasa kecewanya pada Suraya kerana culas dengan kehendak batinnya yang dibiarkan ketandusan selama 3 tahun lamanya. Sedang pokok bunga harus disirami air dan dibaja, apatah lagi dirinya sebagai seorang lelaki yang mempunyai nafsu?
Kehadiran Adra dalam hidupnya telah mengubat kekecewaan Nash. Cintanya pada Adra tetap utuh terpahat di dalam hati. Dia tidak ragu lagi akan cinta yang telah ditemui. Selama ini Nash tidak mengerti istilah sebenar mencintai dan dicintai. Bersama Suraya, segalanya telah dijalani akan tetapi rasa itu tidak mampu membendung rasa cinta yang telah Adra berikan padanya.
******
Malam semakin berlalu meninggalkan waktu sehingga pagi mula menjelma.
Kini tiba masanya untuk Nash bertolak pergi bertemu dengan kekasih hati. Nash bersiul perlahan dengan hati yang teruja untuk menghabiskan masa berdua di Penang nanti. Pelbagai rencana sudah disusun rapi.
Sebelum melangkah keluar dari rumah, Adam dan Adha bersalaman dan memeluk Nash. Sambil menyarungkan kasut di hadapan pintu, muncul Suraya menghulurkan salam kepada Nash. Tergamam Nash untuk seketika namun cepat-cepat dia membalas huluran salam Suraya.
"Papa elok-elok kat sana nanti. Dah sampai bagitahu. Jangan lupa telefon anak-anak terutama si kecik ni. Takut dia mencari babah." Ujar Suraya sambil mendukung Adha.
Nash senyum dan melambaikan tangan. Dia sudah memesan grabcar untuk menjemputnya di pintu masuk apartment. Pemandu kereta telah sampai menunggu ketibaan Nash.
Dalam perjalanan, dia mendail nombor Adra. Hatinya girang dan tidak sabar untuk menemui sang kekasih hati. Dia ingin tahu Adra sudah bertolak atau tidak ke destinasi yang dijanjikan. Beberapa kali dia mendail namun panggilannya tidak dijawab.
Hmmm.. tak jawab pula dia. Mungkin Adra tidak perasan atau sedang sibuk bersiap agaknya. Omel Nash untuk menyedapkan hati.
Setelah tiba di KL Sentral, Nash cuba menghubungi Adra sekali lagi namun kali ini nombor yang didail tidak dapat dihubungi. Nash mula berasa pelik. Kenapa tiba-tiba call tak dapat? Adra off telefon atau tiada line? Mustahil tiada line. Minda Nash mula berfikir-fikir.
Nash melihat jam. Sudah 30 minit lewat dari waktu yang dijanjikan. Dia kembali mendail nombor Adra. Belum sempat dia menghubungi Adra, telefonnya berdering. Sabreena yang menelefon?
"Hello Nash. Adra kemalangan dekat MEX. Sekarang dia dalam perjalanan ke hospital Putrajaya. Aku dengan en Sufian on the way ke sana. Jumpa kau dekat sana okay?." ujar Sabreena dengan nada cemas.
"Allahuakbar. Teruk ke dia accident Sab? Accident macamana dengan apa?" Nash mula cemas dan panik.
"Aku tak dapat info lagi. Husband dia call pejabat tadi bagitahu pasal ni. Kita jumpa nanti." Sabreena mematikan telefon.
Sayanggggg... Jerit Nash di dalam hati.
*****
Kerusi malas dilaras ke belakang. Dicapai segelas kopi panas dihirup dengan penuh perasaan nikmat. Diletakkan kembali di atas meja lantas dicapainya paip tembakau yang ada. Berkepul-kepul asap dihembus dengan rasa syahdu. Dalam bersandar pada suasana tenang barulah dia membelek telefon ditangan. Ketika ralit melayari aplikasi media sosial, matanya berhenti pada skrin melihat sebuah video kemalangan yang baru berlaku kira-kira sejam yang lepas.
Dalam video yang ditular netizen itu menunjukkan rakaman dashcam dari sebuah kereta dari arah bertentangan memaparkan sebuah kereta dirempuh dengan sengaja dari belakang dengan sebuah kenderaan pacuan beroda 4x4.
Kereta yang dirempuh dari belakang hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing beberapa kali sehingga menghentam sebatang pokok.
Kenderaan pacuan roda 4x4 di dalam video itu memecut laju meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Dia menggelengkan kepala mengeluh simpati kepada mangsa kemalangan tersebut. Dibaca satu persatu komen yang ada. Ramai yang mendoakan keadaan mangsa kemalangan semoga berada dalam keadaan selamat. Tidak kurang juga yang mencemuh mencaci maki si pelaku yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Rata-rata memberikan komentar kejadian itu disengajakan. Ia adalah kemalangan yang dirancang.
Sedang dia khusyuk menonton video tersebut kedengaran bunyi kenderaan dari luar pagar rumah. Hon dibunyikan berkali-kali tanda si pemandu mahu pintu segera dibuka.
"Hish.... Sabar la. Roboh pagar ni nanti." Geleng kepala dia melihat karenah si pemandu. Lantas dia bangun untuk membuka pintu pagar. Kenderaan itu terus meluru masuk ke halaman rumah dengan tergesa-gesa.
"Kau ni apa hal kelam-kabut sangat? Kena kejar hantu ke?" Marah lelaki tersebut pada pemandu kenderaan itu.
Seorang wanita keluar dari kenderaan dalam keadaan wajah cemas dan terketar-ketar ketakutan.
"Kenapa ni?"
"Abang kena tolong saya..." Suara cemas kedengaran.
Share this novel