Bab 27 - Kemesraan

Romance Series 38806

"Selamat tahun baru sayang." Gumam Nash sambil tangan tangkas menaip di Telegram.

Hatinya rindu pada sang kekasih, seminit tak dengar khabar berita, hatinya resah serba tak kena.

Ping..

Lebar senyuman Nash melihat tak sampai beberapa saat, Adra membalas. Nash membetulkan duduk pada kerusi "healing" yang menjadi bualan budak-budak tiktok masa kini.

Angin laut yang bertiup perlahan, bunyi deruan ombak memukul pantai begitu mendamaikan hatinya. Alangkah indah andai Adra turut berada di sisi, bersama-sama memadu kasih di pantai Port Dickson kala ini.

Baby Love: Selamat tahun baru baby boo. I miss you so badly...

Terbayang di mata Nash, betapa manjanya Adra tika mengungkapkan kata rindu.

Pejam celik, sudah setahun mereka bersama. Hubungan cinta mereka bahagia biar pun ada pasang surutnya. Mereka saling menyintai antara satu sama lain, banyak suka dan duka telah mereka lalui bersama-sama dan masih kekal hingga ke saat ini.

Nama yang disimpan di dalam phon juga sudah bertukar nama. Adra suka memanggilnya "Baby Boo" dan kerana itu Nash turut menukar panggilan dari sayang ke "Baby Lovey".

"Babah, Adam nak pergi mandi dulu." Laung Adam dari tepi pantai. Lamunannya terhenti mendengar panggilan dari Adam.

"Jangan mandi jauh sangat bang." Jerit Nash semula.

Hari ini Nash bersama adik beradiknya sedang mengadakan Family day untuk keluarga mereka. Suraya sibuk melayani dan berbual mesra di apartment yang disewa bersama kakak-kakak ipar Nash.

Manakala yang lain seperti anak-anak buah Nash sibuk dengan aktiviti di pantai dan ada yang ke kolam mandi. Nash pula membawa Adha bermain pasir di tepi pantai bersendirian. Adha begitu manja dengan Nash. Tidak boleh berenggang. Ke mana Nash pergi pasti Adha akan tercari-cari kelibatnya. Betul-betul anak babah.

******

"Sayang, jadi tak plan kita nak pergi celebrate 1st year anniversary dekat Penang ni? I nak apply cuti dan arrange anak-anak duduk dengan mertua." Soal Adra manja.

Nash memeluk erat bahu Adra. Sifat manja inilah yang membuatkan dirinya bahagia dalam dakapan Adra.

"Mestilah jadi sayang, I dah tempah hotel dan flight ke Penang sejak bulan lepas lagi. Sayang ambil cuti 4 hari."

Adra bangun dari kerusi kemudian mengambil gitar kepunyaan Nash dari dalam khemah. Hari ini mereka bertemu di pantai port dickson. Nash dan Adra mengambil cuti sehari untuk meluangkan masa bersama. Membawa kelengkapan perkhemahan dan perkelahan.

Semua dilakukan kerana masing-masing saling merindui. Keterbatasan dengan kehidupan masing-masing menyukarkan mereka untuk sering bertemu selain untuk mengelakkan hubungan cinta mereka diketahui oleh pasangan masing-masing.

"Sayangggg... Cepat la nyanyi untuk I lagi." Ujar Adra dihulurkan gitar kepada Nash. Hatinya tidak sabar mendengar nyanyian dan petikan gitar dari kekasih hati.

Nash adalah insan pertama mencemar duli menyanyi dan bermain gitar untuk Adra. Selama ini Adra begitu mengimpikan seorang lelaki yang romantik, yang pandai bermain gitar mempersembahkan lagu-lagu khas untuk dirinya. Kini impian telah menjadi kenyataan, lelaki yang didambakan berada di hadapan mata. Menyulam kasih, mengukir rindu, memahat rasa cinta yang diidamkan selama ini. Hatinya tidak sabar untuk mendengar Nash mendendangkan lagu.

~~~~

Suatu hari
Di kala kita duduk di tepi pantai
Dan memandang ombak di lautan yang kian menepi

Burung camar terbang bermain di derunya air
Suara alam ini getarkan jiwa kita

Sementara sinar suria perlahan mulai tenggelam
Suara gitarmu mengalunkan melodi tentang cinta

Ada hati membara erat bersatu
Getar seluruh jiwa tercurah saat itu

Kemesraan ini janganlah cepat berlalu
Kemesraan ini ingin ku kenang selalu

Hatiku damai jiwa ku tenteram di sampingmu
Hatiku damai jiwa ku tenteram bersamamu

Felix Irwan - Kemesraan (Nyanyian asal : Iwan Fals)

~~~~

"Yeaaaayyyyyy....."

Adra bersorak kegembiraan sambil bertepuk tangan, senyuman terukir lebar dari bibir mungilnya menyaksikan nyanyian Nash.

"Sayang... Dah pukul 6.30 petang ni. I rasa kita dah kena balik ni. Kalau lambat takut traffic jam. Malam ni I nak kena hantar Adam ke kelas tuisyen." Ujar Nash sambil meletakkan gitar dengan berhati-hati.

"Okay sayangku. Next month kita pergi jalan-jalan Penang ye!" Jerit Adra girang.

Nash tersenyum melihat gelagat comel dan manja Adra. Kadang-kadang macam anak remaja tingkah lakunya. Dia juga tidak sabar untuk meraikan anniversary pertama mereka nanti.

"Excited nya dia. Dah sayang. Jom kita kemas barang dulu."

"Angguk" Adra senyum sambil melipat tikar alas ditangan.

******

Kini Adra dalam perjalanan untuk menjemput Nash sebentar lagi ke luar ibu kota. Segala perancangan telah mereka atur 2 minggu lebih awal, percutian pertama mereka di Pulau Pinang selama 3 hari 2 malam. Hati Adra meronta-ronta tidak sabar untuk bertemu dan meluangkan masa bersama si kekasih pujaan hati yang dirindui saban hari dan waktu.

Kali terakhir mereka berjumpa 3 bulan lalu di Genting Highlands. Seharian menghabiskan masa di dalam bilik hotel, berpelukan memadu asmara cinta. Dunia seakan berhenti berputar setiap kali mereka berjumpa menghabiskan waktu bersama, berkongsi rasa cinta dan rindu.

Selepas peristiwa salah faham Nash pada Adra tentang lelaki yang bersamanya di restoran Mc Donalds beberapa bulan sebelum itu, tiada apa lagi yang dapat menghalang percintaan mereka. Identiti Aina a.k.a Nurul Ain juga akhirnya terbongkar. Wanita itu tidak lagi mampu mengganggu gugat kesetiaan cinta Nash pada Adra.

Sesekali Adra menyedut peranti vape, pemberian Nash supaya dia berhenti merokok.

Mata masih pada pemanduan tetapi ingatan lebih kepada Nash. Sungguh hatinya begitu rindu ingin memeluk si kekasih hati. Berbagai rencana difikir sesudah mereka bertemu nanti.

"Alamak, bateri habis pula." Adra mengomel.

Vape yang disedut tidak berfungsi akibat kehabisan bateri.

Tangannya kirinya mula mencari-cari charger vape di dalam beg yang diletak pada dikerusi penumpang depan, manakala matanya masih didepan. Kelajuan kereta diperlahankan dari 110km/j kepada 90km/j .

"Ish mana pula charger ni. Rasanya aku bawa tadi." Adra mula merengus.

Dijeling pada beg tangannya, cuba melihat samada kelibat pengecas ada di dalam dengan tangan masih lagi meraba-raba mencari. Setiap kali jarinya menyentuh sesuatu seperti kabel, di tarik keluar dari beg dibawa ke depan mata tetapi ianya bukan kabel pengecas vape.

Geram hatinya bila pengecas yang dicari tidak dijumpai, Adra terus menarik begnya diletak pada riba, sambil pandangannya pada pemanduan, mata turut melingas mencari pengecas yang dikehendaki di dalam beg.

"Hah, jumpa pun." Adra menjerit kecil.

Kepalanya yang asyik menunduk ketika sedang sibuk mencari pengecas di angkat semula dan pandangannya kembali pada pemanduan.

Adra terpana!

Streeeetttt......

Dummmmm.....

Bunyi dari brek kereta begitu bingit disusuli dengan dentuman kuat.

~Kau begitu sempurna
dimata ku kau begitu indah
Kau membuat diri ku akan selalu memuja mu~

Nada dering dari telefon Adra berbunyi, berkali-kali tanpa henti, pasti si pemanggil sedang dalam keadaan kecewa bercampur risau apabila Adra langsung tidak menjawab panggilannya.

Sepi.

Lagu sempurna sudah tidak kedengaran lagi.

"Cik..cik..."

"Cik bertahan, saya akan dapatkan bantuan segera." Jerit seorang pemuda yang cuba menghulurkan pertolongan.

Begitu kuat suara pemuda itu memanggil dari luar tingkap kereta diiringi ketukan pada cermin bertalu-talu. Pintu kereta yang remuk tidak dapat di buka dari luar.

Si pemandu masih tidak menunjukkan tanda-tanda memberi respon.

Hati pemuda itu semakin galau apabila melihat darah mengalir keluar tanpa henti.

"Cik...cik..."

******

Nash mundar mandir di depan hospital, hatinya tidak tenteram sejak tadi. Hatinya sangat risau dengan apa yang berlaku.

Setelah menerima panggilan dari Sabreena mengenai Adra, Nash ketika itu sedang menunggu ketibaan Adra untuk menjemputnya. Tanpa berlengah Nash terus menuju ke hospital dengan menaiki teksi.

Setibanya Nash di perkarangan wad kecemasan dari jauh dia melihat kelibat seorang lelaki yang telah lama ingin dia temui.

"Assalamualaikum, En Daniel?" Sapa Nash pada lelaki yang duduk di bangku...

Mendongak kepala Daniel melihat lelaki yang berdiri di depan nya menyapa. Dahi Daniel berkerut, dia tidak mengenali lelaki ini.

"Waalaikumsalam. Kau siapa?" Garau suara Daniel bertanya.

Gulp! Nash menelan liur.

Dia kini bertentang empat mata dengan suami Adra. Lelaki ini yang selalu membuat si Adranya menangis dengan sikap baran yang tidak bertempat, lelaki yang culas dengan tanggungjawab sebagai suami dan ayah pada anak-anak perempuan mereka.

Nash menghulur tangan bersalaman dengan Daniel, kemudian dilabuhkan punggung duduk bersebelahan di bangku itu.

"Aku Nash. Kawan Adra. Macamana dengan keadaan dia sekarang?" Tanya Nash sambil memperkenalkan diri. Hatinya sedikit gementar untuk berbicara.

Takut?

Tidak sama sekali malah sudah lama dia ingin bertentang mata dengan Daniel.

"Adra masih tak sedarkan diri lagi .Tapi dia stabil. Sekarang sedang dibedah untuk keluarkan darah beku dari kepala. " Jawab Daniel. Raut wajahnya menujukkan kerisauan.

"Insya-Allah semuanya akan selamat. Banyakkan berdoa. Kau datang sorang je ke? Anak-anak mana?" Ujar Nash sambil memegang bahu Daniel.

"Anak-anak?" Daniel berkerut memandang Nash kehairanan.

Nash memandang wajah Daniel dengan seribu pertanyaan. Apa yang tidak kena dengan soalannya?

"Adra tak pernah beritahu kau?"

Nash menggeleng kepala tidak faham. Dia mula berasa tidak sedap hati bila mendengar kata-kata Daniel.

"Sebenarnya Adra ni sakit."

"Adra sakit?" Soal Nash dengan nada terkejut.

Daniel menghela nafas panjang.

Lama Nash merenung muka Daniel ingin tahu kerana dia tidak menyangka Adra menyembunyikan penyakitnya sendiri.

"Adra sebenarnya....." Lemah suara Daniel. Dia mula menceritakan satu persatu kepada Nash apa sebenarnya yang telah berlaku.

"Allahuakbar." Nash terkejut dengan apa yang didengarinya.

******

BEBERAPA HARI SEBELUM KEJADIAN

"Maafkan mama, sayang. Mama tak sengaja. Maafkan mama..."

"Ma, buat apa tu?" Daniel menegur isterinya Adra yang duduk membelakangi dirinya.

Adra berpaling memandang Daniel.

Buntang mata Daniel, isterinya nampak tak terurus dengan maskara comot sekitar mata, kesan lipstik dilap tidak bersih hingga ke pipi. Muka Adra basah dengan airmata. Apa dah jadi pada isterinya ini? Daniel cuak.

"Eh, kenapa ni ma? Apa yang dah jadi?" Daniel membebel cemas, tangannya ligat mencari ubat di dalam beg tangan Adra. Setelah ditemui botol tertulis Buspirone dengan segera dia menghampiri Adra.

"Abang... mana anak kita abang? Kenapa dari tadi Ma tak nampak diorang. Abang tak ambil anak-anak dari rumah mak ke?"

Daniel duduk di sebelah Adra. Dibelai rambut Adra dengan perlahan sambil memujuk.

"Ma, makan ubat ni dulu. Nanti sakit Ma makin teruk. Dah berapa lama ma tak ambil ubat ni. Makan ye sayang" Lembut tutur Daniel sambil menghulurkan pil kepada Adra

"Tak nakkk!"

Adra menjerit kemudian menepis tangan Daniel menyebabkan pil-pil terpelanting dari botol. Daniel tergamam apabila melihat ubat yang bertaburan di atas lantai. Hatinya mula membara.

"Aira!!! Adelyna!!! Sayang mama...." Dia teresak-esak meraung memanggil nama anak-anak. Airmatanya kembali deras mengalir. Matanya melilau mencari kelibat mereka. Adra bingkas berdiri membuka setiap pintu bilik yang ada sambil memanggil nama mereka.

Daniel memandang sayu namun ini bukanlah adegan luar biasa. Dia sudah terbiasa dengan keadaan ini namun dia terdetik di dalam hati sampai bila dia mampu bertahan dengan keadaan ini.

******

"Apa yang kau tahu tentang Adra?" Soal Daniel.

"Maksud kau?"

"Sepanjang kau kenal Adra, apa yang korang pernah berkongsi cerita?"

"Kerja, family, anak-anak."

"Apa yang kau tahu pasal anak-anak kitorang?"

"Hal normal saja pasal budak-budak. Melayan ragam diorang semua."

"Selain itu?" Soal Danial ingin tahu.

"Itu saja." Nash berkerut dahi. Sungguh dia tak faham maksud soalan Danial. Dia pun tak mahu jawab berlebihan dan Adra pun sebenarnya amat jarang bercerita tentang anak-anak bila bersama Nash. Ada la sekali dua. Nash anggap itu perkara biasa tiada apa yang pelik.

"Kau tau tak anak kitorang dah meninggal?"

"Meninggal..?" Terkejut Nash dengan kenyataan dari Danial. Tidak percaya.

Daniel mengangguk perlahan. Dia tahu Nash terkejut.

"Tapi Adra tak boleh terima realiti yang dah berlaku."

"Dia dah lama tak ambil ubat tapi disebabkan dia nampak normal, aku anggap dia dah okay. Tapi aku silap."

"5 hari lepas dia meracau, menangis, ketawa bercakap sendiri dengan bantal dan anak patung milik anak kami."

"Tapi selama ni aku tak nampak dia macam sakit. Normal je." Nash mencelah.

"Sekarang kau dah tau kan?. Apa-apa pun terima kasih sebab datang. Kau boleh balik dulu. Aku nak tunggu isteri aku sampai dia sedar."

Isteri?

Pedih hati Nash mendengar perkataan itu dari mulut Daniel.

Kalau diturutkan perasaan, ingin sahaja dia berterus terang pada Daniel tentang hubungan mereka namun dia faham sekarang bukanlah waktu yang sesuai.

"Ok bro.. jaga diri. Banyakkan berdoa. Apa-apa nanti update. Aku beransur dulu."

Nash faham Daniel mahu bersendiri. Fikirannya mesti risau dan runsing dengan keadaan Adra.

Nash melangkah meninggalkan Daniel. Ikutkan hati, dirinya tak sanggup untuk melangkah pergi meninggalkan kekasihnya yang sedang bertarung nyawa.

Walau sedalam mana cintanya pada Adra, dia perlu akur wanita ini masih ada pemiliknya. Daniel lebih berhak ke atas Adra. Tapi apakan daya. Itulah kenyataan yang harus ditelan.

Sewaktu melangkah keluar dia bertembung dengan Sabreena.

"Nash, macamana dengan Adra sekarang?" Soal Sabreena.

"Dia masih di ICU, koma." Berkaca mata Nash sedih dengan keadaan si kekasih hatinya.

"Allahu. Kau nak balik dah ke? Tak tunggu Adra sampai sedar?". Sabreena menutup mulutnya, terkejut.

"Suami dia dah ada, aku harap dia baik-baik sahaja. Kalau aku stay tunggu mungkin dia pelik nanti." Jawab Nash perlahan.

"Eh.. lain macam je kau ni. Kenapa ni?" Soal Sabreena.

"Kau tak bagitahu aku pun Adra ni sakit." Nash merengus.

Sabreena menundukkan wajah.

"Nash.. aku minta maaf. Bukan aku nak sorok dari kau penyakit dia. Sebab aku percaya kau terima diri dia ikhlas. Kau tak sama dengan lelaki lain yang dia pernah kenal sebelum ni." Kata Sabreena.

"Aku rasa diri aku tak berguna. Dalam keadaan sekarang kenapa bukan aku yang jadi suami dia. Aku yang lebih layak bersama dia. Kenapa si Daniel tu yang jadi suami? Kenapa bukan aku? Dan aku tak mampu nak buat apa-apa sekarang selain mengharap Adra akan selamat" Suara Nash sayu dan kecewa.

"Nash, jangan salahkan takdir. Takdir yang pertemukan kau dengan Adra walau bukan dalam situasi yang memihak pada korang. Kau buat dia bahagia. Adra yang aku kenal dulu berbeza disebabkan kehadiran kau. Kau buat dia bertambah gembira dan ceria. Tak pernah satu hari dia tak bercakap tentang kau. Betapa happy nya dia dapat bersama kau. Kau satu dalam sejuta untuk Adra." Sabreena menepuk bahu Nash memberi semangat.

"Aku balik dulu. Apa-apa kau bagitahu aku ye." Nash senyum hambar.

Dia melangkah lemah meninggalkan perkarangan hospital dengan hati yang resah dan pilu mengenangkan keadaan Adra, si kekasih hati yang sakit akibat tekanan jiwa.

Nash buntu, adakah dia masih mahu bersama Adra lagi atau pergi meninggalkan perhubungan terlarang ini untuk kembali semula berbahagia bersama si isteri tercinta, Suraya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience