Nash masuk ke dalam rumah selepas pulang dari hospital dengan langkah longlai. Hatinya runtun, jiwanya kelam, fikirannya kosong. Terngiang-ngiang suara Sabreena yang berlegar-legar didalam kepala ibarat kaset yang rosak.
"Adra..." Nash mengeluh perlahan.
Nama yang sinonim dalam dirinya. Nama yang menggugah hatinya yang dahulunya termangu sepi kini terisi padat dengan cinta luhur wanita yang disayangi separuh mati itu.
Azan maghrib berkumandang dari surau berdekatan apartmentnya. Nash hanya senyum kecil saat disapa anak lelakinya di muka pintu.
"Anak babah makan apa ni sampai comot-comot..." Sapa Nash pada Adha anak bongsu kesayangannya yang sedang makan aiskrim.
"Adha makan eskem. Abang beli."
"Pergi mandi Adam, lepas tu kita berjemaah sama." Nash melontar arahan pada anak lelaki sulungnya yang asyik bermain game di handphone.
Nash melintas di depan bilik utama yang dihuni oleh isterinya Suraya. Pintu bilik terbuka luas tetapi sedikit pun dia tiada keinginan untuk mengintai apa yang si isteri sedang buat seperti hari-hari sebelumnya, Nash tiada mood.
"Eh, papa kata kena outstation?" Lembut suara Suraya bertanya dari dalam bilik.
Terhenti langkah Nash.
Pelik bin ajaib.
"Outstation postponed. Ada masalah lain kena selesaikan dulu di pejabat." Balas Nash terpaksa berbohong.
"Baguslah. Boleh papa rehat kat rumah. Papa tu selalu balik lewat. Jangan kerja kuat sangat. Kesihatan kena jaga. Nanti kalau sakit siapa yang susah?" Lembut percakapan Suraya.
Dia pelik, selama hari ni Suraya tidak pernah mengambil tahu tentangnya apatah bertanya jika dia pulang awal mahupun lambat malah lebih suka memerap di dalam bilik dengan menutup pintu. Tetapi kenapa hari ini isterinya tiba-tiba bertanya? Apa yang telah merasuk Suraya?
"Oh ya..Ibu kirim salam. Tadi ibu telefon."
"Waalaikumussalam. Ibu sihat?" Nash angguk.
"Sihat Alhamdulillah." Suraya senyum.
"Alhamdulillah. Papa nak mandi dan solat dulu." Nash mencapai tuala dan terus menuju ke bilik mandi. Selesai mandi dia bergegas untuk menunaikan solat.
Baru saja Nash ingin mengangkat takbir, Suraya menegur dari pintu bilik. Langsung terhenti perbuatannya seketika.
"Papa, mama nak berjemaah sekali." Kata Suraya yang sudah lengkap bertelekung.
Nash mengiyakan hasrat Suraya. Setelah niat dibaca, Nash mengangkat takbir dan menyempurnakan solat maghrib bersama keluarga kecilnya setelah sekian lama dia tidak mengimamkan Suraya.
Usai berdoa, Nash yang baru saja berkira-kira ingin bangun melipat sejadah tiba-tiba terhenti. Terasa kakinya disentuh tangan seseorang. Suraya, isterinya sedang memeluk kakinya. Nash terkejut, dia cuba melepaskan pegangan si isteri tetapi semakin erat Suraya memeluk.
"Eh kenapa ni mama?" Soal Nash nada terkejut.
"Papa, mama nak minta ampun. Selama ni mama banyak buat dosa, mama abaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Mama biarkan papa merana sepanjang 3 tahun ni. Mama....." Tersedu-sedan Suraya menangis meminta maaf.
"Mama menyesal papa. Mama....."
Nash hanya kaku berdiri, air mata lelakinya turun perlahan-lahan dari tubir mata. Dia bersyukur apabila doa yang dipanjatkan setiap hari akhirnya mungkin telah termakbul. Dahulu, inilah yang dia mahukan, si isteri yang dikasihi menyedari kekhilafan diri dan memohon maaf darinya.
Tetapi mengapa disaat hatinya sudah diserahkan kepada Adra sepenuhnya, Suraya baru berubah hati?
"Sudahlah tu mama, papa sentiasa maafkan mama." Kata Nash sambil memegang bahu isterinya supaya bangun. Semudah itu Nash memberikan kemaafan kepada Suraya.
Makin kuat tangisan Suraya. Hati Suraya tersentuh dengan kata-kata suaminya setelah apa yang telah dia lakukan sebelum ini. Ternyata apa yang si ibu katakan tentang Nash itu adalah benar, suaminya adalah seorang lelaki yang baik, penyabar dan cukup sempurna sebagai suami yang lengkap ilmu agama.
"Ampunkan mama..mama bukan isteri yang baik. Mama abaikan papa selama ini, mama terlalu ikutkan perasaan, mama pentingkan diri sendiri." Suraya tersedu sedan memohon keampunan sambil memeluk erat kaki Nash.
Anak lelaki sulungnya keluar dari bilik sebelah lalu mengintai mencuri dengar apa yang sedang berlaku. Seperti memahami, Adam melangkah perlahan melintasi bilik kemudian dia menutup pintu bilik utama di mana Nash dan Suraya berada. Membiarkan ruang dan masa untuk babah dan umi berduaan di dalam bilik. Dibawanya sekali si adik keluar.
Dia sedikit kehairanan melihat apa yang sedang berlaku namun dalam hati Adam dia gembira melihat apa yang sedang berlaku. Adam mungkin mula mengerti sedikit sebanyak kehidupan sebagai suami isteri. Pasti akan ada pasang surutnya. Dari kacamata sebagai seorang anak, semestinya dia berharap semoga akan ada sinar kegembiraan antara Nash dan Suraya.
Malam itu, buat sekian kalinya Suraya mengajak Nash untuk tidur bersama di dalam bilik utama rumah mereka. Tiga tahun lamanya Nash sudah alah tidur keseorangan, namun malam ini dia menjadi kekok dan sukar untuk lena walaupun tubuhnya keletihan.
Nash menarik sedikit selimut menutupi dada si isteri yang terdedah itu. Direnung wajah Suraya yang sedang lena akibat kepenatan hasil pelayaran mereka tadi. 3 tahun lamanya tiada hubungan badan tetapi ketika berlangsung hubungan intim, dia sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai suami sahaja. Perasaan cinta dan kasih langsung tiada dalam hatinya buat Suraya berbanding ketika dia bersama dengan Adra. Fikirannya tidak berhenti melayang memikirkan tentang Adra yang sedang terlantar di hospital.
Setiap gerakan, dayungan, liuk tubuh Adra begitu membangkitkan nafsunya. Begitu mendalam cintanya pada Adra, Nash curahkan sepenuh kasih, cinta dan sayang buat Adra setiap kali mereka melayari bahtera asmara pasti diakhiri dengan kepuasan bersama.
Nash buntu, hatinya mula berbolak-balik. Nash begitu sayang dan cintakan Adra tetapi setelah mengetahui kisah sebenar Adra, Nash bingung.
Nash terima apa saja kekurangan Adra, malah cinta dan sayangnya pada Adra sedikit pun tidak berkurang biar pun telah mengetahui keadaan sebenar diri Adra. Tetapi Nash harus memikirkan masa depan dirinya dan juga anak-anak.
Nash yakin dia pasti mampu membahagiakan Adra. Namun
Mampukah Adra menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri?
Mampukah Adra menjaga dirinya dan anak-anaknya dalam keadaan diri dan kesihatan emosi yang tidak menentu barangkali?
Mampukah Nash melepaskan Suraya setelah isterinya tiba-tiba berubah dan kembali ke pangkuannya seperti yang pernah dia inginkan sebelum ini?
Bagaimana penerimaan anak-anaknya pula jika mengetahui babah dan umi sudah tidak hidup sebumbung dengan membawa haluan masing-masing sekiranya Nash bertindak ingin hidup bersama Adra?
Satu ketika dulu Nash begitu yakin dia mampu bahagia dengan Adra tetapi kini dia tersepit antara cinta pada Adra dan juga tanggungjawabnya pada Suraya dan keluarga.
Cinta terlarang dan cinta yang halal. Nash mengeluh panjang, rambut panjangnya yang diminati Adra ditolak ke belakang. Hatinya tidak tenteram, lantas dia bangun mengapai tuala yang tersangkut di belakang pintu.
Dia ingin membersihkan diri dan mengadu pada yang Maha Esa meminta petunjuk dalam dia ingin mencari sinar bahagianya.
Ting!
Sabreena: Nash, kau perlu ingat satu perkara.., Adra sangat bahagia bila bersama kau, jangan pula kau nak tinggalkan dia di saat minah tu tengah sakit. Kalau aku tahu, sampai lubang kubur aku cari!
Nash tersenyum sinis usai membaca WhatsApp Sabreena.
"Memang dasar minah tomboy , gangster mengalahkan lelaki. Garang bebenau. Siapa la yang jadi laki dia nanti ni." Nash bermonolog dalam hati.
Di lempar handphonenya di atas meja berdekatan, tak mahu melengahkan masa untuk bertahajud.
Pili pancuran mandi dibuka, dibiarkan air mencurah ke lantai begitu saja. Nash merenung diri pada cermin di hadapannya.
Fikiranya tidak tenang.
Perjalanan rumahtangga dan cintanya penuh dengan ranjau berduri.
Apakah yang bakal dilaluinya setelah peristiwa yang berlaku hari ini? Adra, wanita terhebat yang berjaya membuatkan dirinya angau siang dan malam. Tetapi mengapa Adra merahsiakan sakitnya dari pengetahuan Nash?
Dan kini..
Mengapa Suraya berubah sebegitu drastik? Adakah si isteri dapat menghidu suaminya telah curang? Jika ya, mengapa Suraya tidak mengamuk meminta cerai darinya kerana itulah yang ditunggu-tunggu.
Nash mengeluh lemah.
Usai mandi, Nash berpakaian lengkap menghampar sejadah. Takbir diangkat, bibir dialun dengan bacaan surah-surah. Selesai tahiyat akhir, doa dipanjatkan pada yang Maha Esa.
Begitu banyak yang ingin diluahkan, air mata keluar bercurahan bersama rahsia hati yang sudah tak mampu disimpan lagi, memohon petunjuk pada yang Maha Esa. Tidak putus doanya buat Adra semoga berada dalam lindungan dan keselamatan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selesai berdoa, Nash masih lagi duduk berteluku di atas sejadah. Dia hanya menunggu detik pagi. Hatinya sudah tidak sabar menghitung detik dan hari untuk bertemu Adra di hospital apabila dia sedarkan diri dari koma nanti.
Nash tak mahu berteka-teki lagi. Keputusan telah dibuat, akan dikhabarkan pada Adra mengenai hala tuju hubungan mereka biar pun ini bukanlah masa yang sesuai.
Nash sudah bersedia dengan segala kemungkinan akibat dari keputusan nekadnya itu.
Azan subuh berkumandang, Nash terkejut apabila bahunya disentuh perlahan oleh Suraya.
"Papa, jom kita subuh sekali." Lembut sekali suara Suraya berserta senyuman manis terukir di bibir.
Nash juga turut senyum, sejuk hatinya melihat senyuman manis Suraya yang sudah lama tidak disaksikannya, kerana senyuman inilah yang membuatkan Nash jatuh cinta pandang pertama pada isterinya.
Terima kasih ya Allah, Nash semakin yakin dengan keputusannya kini.
Share this novel