Di persidangan yang sedang berlangsung, Nash melarikan dirinya seketika dari kesibukan. Kebetulan, Ajib sahabat karibnya, berada di Pulau Pinang, mengunjungi rumah mertuanya. Kesempatan ini digunakan mereka untuk bertemu, berbual, dan berkongsi isi hati.
"Dia tak sama seperti perempuan lain," Nash mengeluh berat, menahan sebak yang cuba dirahsiakan.
"Habis tu, kau nak macam mana lagi? Haish, aku tak faham la dengan kau ni. Kau teruskan la gila macam ni. Aku malas nak layan lagi. Esok pagi aku balik KL. Kau nak stay sini sampai mereput, suka hati kau," bentak Ajib sebelum berlalu, meninggalkan Nash sendirian dengan beban emosinya.
Nash diam membatu. Dalam hatinya, hanya ada rindu yang menggunung kepada Adra, wanita yang kini hanya wujud dalam bayang-bayang ingatannya. Pedihnya mencintai seseorang yang tidak lagi mengenali dirinya-rasa itu lebih perit daripada kehilangan.
Di tepi pantai, Nash termenung di kerusi rehat yang disediakan hotel. Matanya tertumpu pada pasangan yang bermain pasir tidak jauh daripadanya. Gelak tawa mereka mencipta dunia bahagia dalam khayalan Nash-dunia di mana dia dan Adra kembali bersama, dunia di mana kerinduannya akhirnya berakhir.
Namun, realiti kembali mengetuk pintu hatinya. Dia tunduk, sebutir air mata gugur tanpa izin. Sampai bila dia harus begini? Hidup dalam bayangan cinta yang sudah tidak mungkin kembali.
"Dia isteri orang, kau suami orang. Berpijaklah di bumi nyata, Nash," suara Ajib yang berulang-ulang terngiang di telinga, cuba membawanya kembali kepada realiti yang perit.
Masih segar dalam ingatan Nash, saat pertama kali dia mengenali Adra. Tidak pernah dia peduli tentang inbox mesej di media sosial, apatah lagi membalasnya. Namun, entah kenapa hari itu, hatinya digerakkan untuk membuka mesej baru yang dihantar oleh Adra.
Ketika pertama kali membaca mesej itu, jantungnya berdegup kencang, seolah-olah memahami bahawa wanita ini akan membawa satu perubahan besar dalam hidupnya. Nash membalas mesej Adra dengan penuh berhati-hati, memilih kata-kata yang terbaik. Mujur, Adra tidak berkecil hati dengan kelewatannya membalas mesej.
Malam itu, perbualan mereka berlangsung berjam-jam lamanya, sehingga Adra mengucapkan selamat malam dan meminta diri untuk tidur. Namun, bagi Nash, malam itu adalah permulaan gelisah yang tidak berpenghujung.
Esoknya, seawal pagi, mesej dari Adra tiba, menyapa dengan mesra:
Morning u. Bangun-bangun terus terjah hp ke apa eh?
Balasan Nash tiba hanya beberapa saat kemudian, menyebabkan Adra ketawa kecil, mengusik Nash tentang kegelojohannya. Sejak itu, perbualan mereka berkembang menjadi rutin harian, dan cinta pun mekar tanpa sedar.
Namun kini, cinta itu hanya tinggal kenangan.
***
Keesokan harinya, di penghujung persidangan, Nash berbincang dengan Firdaus, tentang perjalanan pulang mereka. Namun, Nash teringatkan sesuatu-pertemuannya dengan Ustaz Hambali di R&R beberapa hari lalu.
"Aku rasa nak cari dia. Tapi aku lupa nak ambil nombor telefon dia," Nash mengeluh, kecewa dengan kelalaiannya sendiri.
Firdaus hanya mengangguk, memahami kebimbangan pegawainya. "Mungkin ustaz tu akan hubungi encik nanti. Kalau ada rezeki, pasti bertemu lagi."
Namun, dalam hati Nash, ada firasat yang kuat-Ustaz Hambali pasti mengetahui sesuatu.
***
Dalam perjalanan pulang, Nash tiba-tiba menerima panggilan daripada anak sulungnya, Adam.
"Assalamualaikum, babah..."
"Waalaikumussalam. Ada apa, abang?"
"Babah, umi jadi pelik lepas Asar tadi. Meracau tiba-tiba. Suara dia berubah..."
Berderau darah Nash mendengar khabar itu. Isterinya, yang selama ini tidak pernah menunjukkan sebarang tanda gangguan, tiba-tiba histeria. Perasaan cemas menguasai dirinya.
"Babah dalam perjalanan balik. Tunggu babah sampai. Jangan risau, abang. Babah akan selesaikan ini," ujar Nash, cuba menenangkan anaknya, walau hatinya sendiri gundah gulana.
Tanpa membuang masa, Nash segera menghubungi Ustaz Kamil, seorang perawat yang dikenali.
"InsyaAllah, saya akan datang ke rumah lepas Maghrib," janji Ustaz Kamil, memberikan sedikit kelegaan kepada Nash.
***
Di sepanjang perjalanan, Nash tenggelam dalam lamunannya. Kenangan tentang Adra kembali hadir, bercampur dengan kebimbangan terhadap isterinya. Nash membuka galeri gambar di telefonnya, menatap satu persatu wajah Adra yang dirinduinya.
Setiap senyuman, setiap renungan Adra dalam gambar-gambar itu seolah-olah berbicara, menyalakan kembali bara rindu menjadi api yang tidak pernah padam. Namun, Nash tahu, wanita itu sudah tiada lagi dalam realiti hari-hari kehidupannya.
"Adra... Where are you know my love? Masihkah sayang ingat pada I?" bisiknya dalam hati.
Ketika kereta menghampiri kawasan Alor Setar, telefon Nash berdering
"Assalamualaikum, encik Nash. Saya ustaz Hambali yang tegur awak di RnR tempoh hari. Ingat lagi tak? Saya rasa ada sesuatu yang perlu saya sampaikan. Kita boleh bertemu sebentar."
"Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Ustaz, saya memang nak sangat jumpa ustaz. Saya ada di kawasan Rawang sekarang. Boleh kita berjumpa sekarang kalau ustaz berkelapangan?" Kelegaan dan kegembiraan hati Nash tidak terkata.
Pertemuan itu berlaku di sebuah masjid kecil. Ustaz Hambali menyambut Nash dengan senyuman lembut, namun ada kerutan di wajahnya yang mencerminkan sesuatu yang berat. Nash menceritakan segala yang berlaku disepanjang dia bermalam di hotel. Ustaz Hambali mendengar dengan teliti.
"Nash, gangguan yang menimpa keluarga kamu bukan kebetulan. Ada pihak yang tidak senang dengan kamu. Saya syorkan kamu perbanyakkan doa, bacaan Yasin di rumah, dan segera bawa isteri kamu untuk rawatan lanjut."
"Kenapa jadi macam tu Ustaz? Apa yang saya dah buat? Siapa pula yang nak buat khianat pada saya sampaikan isteri saya pun jadi mangsa?." Tanya Nash tidak berpuas hati dengan apa yang telah menimpanya.
"Sebenarnya saya dah terserempak dengan awak waktu di hospital dahulu. Waktu itu kecoh awak sedang bertumbuk dengan lelaki.." Ustaz Hambali menyambung semula cerita. Menceritakan dari permulaan sehingga kepada mengapa dia meminta Nash memberikan nombor telefonnya.
"Waktu di hospital, saya nampak macam-macam makhluk yang ikut awak."
Nash tersandar lemah pada dinding setelah mendengar kata-kata ustaz Hambali.
"Maknanya ustaz dah tau banyak perkara sebelum ni? Jadi ustaz mesti tau siapa yang cuba nak sihirkan saya dan isteri saya?"
"Nash, saya minta maaf. Saya tak boleh bagitahu awak siapa yang cuba sihir awak. Tetapi.... Kaedah sihir itu saya tahu. Siapa pengamal sihir itu saya cukup kenal. Sahabat lama saya yang masih belum mahu bertaubat. Cukup awak tau sekadar itu. Awak jangan berdendam. Saya akan usaha dengan izin Allah untuk patahkan sihir itu kembali. Tapi berkemungkinan pengamal atau si pelaku yang minta sihir itu dihantar, akan berbalik kepada dirinya sendiri."
"Kamu sedang diuji, Nash. Apa yang berlaku ini bukan kebetulan. Segera pulang, tetapi ingat, jangan abaikan solat dan teruskan membaca ayat-ayat pelindung. Mungkin ada sesuatu yang lebih besar menanti kamu di rumah."
Hati Nash berdentum. Kata-kata ustaz itu menambahkan kecelaruan dalam fikirannya. "Ustaz, tolong saya. Apa yang perlu saya buat?"
"Allah itu sebaik-baik pelindung. Jangan takut, Nash. Saya akan bantu kamu, tetapi bersedialah. Sesuatu sedang menunggu jawapan dan keputusan dari kamu-dan mungkin ia ada kaitannya dengan tindakan masa lalu kamu."
***
Ketika kereta Nash meluncur masuk ke perkarangan rumah, suasana terasa tegang dan berat. Dari jauh, dia dapat melihat kelibat Adam di pintu, mundar-mandir dalam keadaan resah.
"Babah!" Adam meluru ke arah Nash sebaik dia melangkah keluar dari kereta. Wajah remaja itu jelas kelihatan cemas, matanya merah seperti baru menangis.
Di ruang tamu, ahli keluarga yang lain berkumpul dalam suasana yang penuh kebimbangan. Kedua kakak kepada isterinya, kak Long dan kak Ngah, duduk di sisi tubuh isterinya yang terbaring lesu di atas katil. Peluh dingin membasahi dahi wanita itu, dan wajahnya kelihatan pucat, dengan mata yang tertutup rapat.
"Kami baca Yasin tadi. Lepas tu, Suraya mengamuk minta kami diam. Abang Ijam terus pegang kepala dia baca rukyah kemudian dia pengsan. Sekarang dia diam je, tapi tadi teruk dia meracau," ujar Kakak sulung Suraya, menahan sebak.
Di sudut bilik, anak Nash yang bongsu Adha, memeluk kakak kedua Suraya dengan wajah ketakutan. Adha, menangis teresak-esak sambil memanggil, "Umi... umi..."
"Babah... umi tadi macam orang lain. Suara dia lain. Dia tengok adik macam nak marah," bisik Adam, air matanya kembali menitis.
Nash mengusap bahu anak sulungnya, cuba memberikan kekuatan walaupun hatinya sendiri goyah. Dia menatap isterinya yang masih tidak sedarkan diri.
"Kak Long, terima kasih sebab tolong tengokkan Suraya dan anak-anak. Ustaz Kamil dalam perjalanan. Kita tunggu dia," ujar Nash, berusaha menenangkan keadaan.
Ustaz Kamil tiba selepas Maghrib, membawa bersama aura ketenangan yang meredakan ketegangan di rumah itu. Dengan lafaz basmalah, dia memulakan rawatan. Ayat-ayat suci Al-Quran mengalun di ruang tamu, menenangkan suasana yang sebelumnya penuh dengan kebimbangan.
Ketika azan Isyak berkumandang, isterinya mengerang perlahan sebelum membuka mata. Dia kelihatan keliru, memandang sekeliling dengan pandangan kosong.
"Alhamdulillah, dia dah sedar. Tapi ada sesuatu yang perlu dibersihkan di rumah ini," ujar Ustaz Kamil selepas rawatan selesai.
Di luar rumah, Nash berdiri di bawah langit malam, memandang bulan yang hampir penuh. Hatinya dipenuhi dengan doa, memohon kekuatan untuk keluarganya agar semuanya kembali pulih..
Namun, di sudut hatinya yang paling dalam, bayangan Adra tetap setia menghantui, membisikkan kenangan yang tidak pernah padam. Jauh di sudut hati, cinta kepada Adra masih bersemarak, menjadi misteri yang tidak pernah selesai.
Adakah takdir akan menemukan mereka kembali? Atau adakah rindu ini akan terus membelenggu Nash sehingga ke akhirnya?
Akan adakah sinar bahagia dalam kegelapan ini? Nash hanya mampu berteka-teki jawapan yang masih menjadi rahsia perancangan yang Maha Esa.
Hanya masa yang akan menentukan.
Share this novel