Bab 22 - Biarkan Berlalu

Romance Series 38806

"Jadi ke nak friendly minggu depan dengan Taman Anggerik?" Soal Nash.

"Jadi". Jawab Fazril ringkas. Kelihatan tekun beliau sedang meracik tembakau bersama herba ajaib. Sambil menyedut rokok ditangan, jari jemarinya lincah menggulung daun tembakau. Selamba betul.

"Kita cukup orang ke? Nak pakai jersi yang mana satu ni? Lepas tu berapa nak bayar padang dengan pengadil?" Soal Zamri pula tanpa memandang tetapi matanya tekun melihat skrin telefon.

"Main cemey. Semuanya ahli majlis dah sponsor. Kita datang bawak diri je. Makan minum pun disediakan." Balas Fazril dengan tenang. Selaku pengerusi persatuan penduduk, beliau rajin berhubung dengan individu tertentu yang ada pengaruh untuk mendapatkan manfaat bagi penduduk kawasan perumahan mereka.

"Terbaik la tok ketua. Tahun depan boleh masuk bertanding jadi exco pemuda ni." Ujar Zamri dengan gembira.

"Pakai jersi merah la. Jersi tu ada ong. Aku biasa score kalau pakai jersi tu." Dengan berlagaknya Nash bersuara.

"Pffftttt... Baru dapat score sebijik dua dah kecoh. Lepas tu cukup lima minit minta keluar padang. Arwah Diego Maradona pun tak nak mengaku kau tu umat bolasepak." Kata si Fazril.

"Entah kau ni Nash. Baru main lima minit pun dah pancit." Zamri memandang Nash dengan jengkel.

"Penat la samdol. Kau duduk tepi padang setakat jerit-jerit mana kau tau azab nak cari oksigen kat tengah padang tu. Yang kau pulak, main keeper boleh la sembang." Nash membalas kutukan Fazril dan Zamri.

"Kot ye pun tak payah la setakat lima minit je main. Balik rumah pun takkan lima minit jugak dengan bini?" Berderai ketawa Zamri. Main kasar ni.

"Kau tonggeng sekarang kalau nak tau lima minit ke tak."

"Kau ni nak mintak turun bala kena terbalik bumi macam kaum Nabi Luth ke? Dengan si Zamri muka jawa kena buang daerah ni pun kau ada selera?" Tegur Fazril.

"Siot. Part jawa kena buang daerah tu aku setuju. Kah kah kah!" Tergelak besar Nash dengan kata-kata Fazril.

"Babi! Aku jawa empayar majapahit. Bukan jawa terbuang jahanammm!!!" Bentak Zamri sehingga seorang pelayan datang kepadanya membawa pen dan kertas. Disangkanya Zamri marah sebab order tak sampai lagi.

"Eh kau ni. Bila masa aku nak tambah order? Penampar nak?" Bukan main garang si Zamri.

"Time panggil order kau tak nak datang. Aku tak panggil kau sibuk pulak nak datang. Sudah! Blah kau dari sini." Sambung Zamri lagi. Bercucuran airmata pelayan kedai mamak mendengar kata Zamri.

"Okay dah siap. Malam ni port biasa, time pun macam biasa." Ujar Fazril sambil mengemas kembali peralatan khasnya.

"Kau ada tak malam ni Nash?" Tanya Zamri.

"Malam ni aku ada hal. Korang jalan dulu. Kalau free aku datang." Nash memberikan alasan untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti tersebut. Peristiwa Daniel ditahan polis telah memberikan keinsafan kepadanya.

******

Hari sabtu, tepat jam 7.30 pagi Nash sudah bersiap. Nash melangkah keluar rumah menuju ke kereta dengan semangat yang berkobar-kobar.

Ketika masuk ke dalam kereta, dia menerima panggilan telefon.

"Helloo... Ye bang.. apa cerita?"

"Kau free tak? Aku nak jumpa kau boleh?" Soal suara dari telefon.

"Bila? Kalau sekarang tak boleh la. Aku ada friendly match bola pagi ni."

"Lepas-lepas kau habis main bola la. Nanti aku share location."

"Roger and out."

Panggilan dimatikan. Enjin kereta dihidupkan. Nash terus bergegas ke tempat yang ingin dituju.

******

"Nash! Sini! Sini!" Dari jauh abang Ad memanggilnya.

Nash menuju ke arah beliau.

"Gafurrr!! Macam biasa ya". Tanpa berlengah dia terus melabuhkan punggung.

"Belum duduk lagi mamak tu dah tau kau punya order eh."

"Aku selalu lepak kedai ni. Kau dari mana bang?"

"Aku ada kerja dekat-dekat sini tadi. Kebetulan teringat kau duduk area sini, saja la ajak lepak."

Jari abang Ad lincah menaip pada handphone. Nampak macam sedang sibuk. Mungkin hal kerja agaknya.

"Apa mimpi kau nak jumpa aku ni bang?"

"Kejap Nash." Jawab abang Ad. Dia masih sibuk memicit-micit skrin telefonnya. Nash hanya menunggu abang Ad menyelesaikan urusannya. Selang beberapa ketika dia meletakkan kembali telefonnya di atas meja.

"Sebetulnya, bukan aku yang nak jumpa kau. Tapi si Ain. Ni tengah tunggu dia la ni. Dari tadi cakap on the way tapi tak jugak sampai-sampai. Dia cakap tengah cari parking." Kata Abang Ad sambil menyuap makanan.

Tergamam Nash bila mendengar nama Nurul Ain. Asap vape yang sedang disedut juga terhenti.

******

"Nash.. Sebenarnya Ain yang beriya-iya suruh aku ajak kau datang. Dia nak jumpa kau. Mungkin nak tanya khabar kau...atau ada hal lain, itu aku tak pasti. So korang chill je ok. Aku pergi dulu. Kau tunggu Ain sampai ye." Kata-kata abang Ad sebelum beredar meninggalkan Nash dan Nurul Ain di kedai makan pada tengahari itu.

******

"A..awak.. awak apa khabar?" Sedikit gementar suara Nurul Ain sewaktu memulakan bicaranya.

Suara itu sudah bertahun-tahun lamanya tidak kedengaran. Kini di hadapan Nash susuk tubuh yang pernah menggetarkan jiwa, menyentap segenap perasaannya tentang apa itu erti bahagia dan kecewa. Insan pertama yang memberikan pengalaman duka dan lara dalam soal cinta.

Kata orang, cinta di alam persekolahan adalah cinta monyet yang hanya sekadar singgah untuk sementara waktu. Ia akan luput dimamah waktu apabila menginjak ke alam dewasa.

Nash selalu berpesan pada Adam supaya jangan terjebak dengan cinta monyet di sekolah. Memang Nash sekeh Adam cukup-cukup kalau dapat tau. Mujur lah Adam tidak berminat dengan perkara macam tu. Lucu juga bila mendengar cerita Adam tentang rakan sekolahnya yang rata-rata baru seminggu berkenalan dah isytihar sebagai pasangan kekasih.

Namun sebaliknya pula bagi Nash. Depan anak beriya-iya nasihat jangan bercinta di sekolah. Tapi dia sendiri cakap tak serupa bikin.

Terlalu lama dia cuba melupakan wanita yang bernama Nurul Ain ini. Hatinya masih membekas dengan sisa parut dan luka. Ditinggalkan tanpa sebarang berita. Segala usahanya tidak berbalas. Segala penantiannya hanya beroleh sia-sia. Nurul Ain tidak pernah muncul dan memberikan khabar. Perkhabaran dari rakan sekolahnya Nurul Ain berhijrah dan berkahwin dengan warga asing di luar negara menyebabkan hatinya luluh. Hatinya benar-benar dirobek dengan rasa kecewa dan putus harapan.

Masa terus berlalu membuatkan Nash berhenti dari terus meratap sedih. Dalam kala waktu Nash dalam fasa kecewa munculnya Suraya. Kehadiran Suraya menyedarkan Nash bahawa hidup ini perlu diteruskan. Tak usah lagi berpaling dan berharap pada perkara yang tidak pasti. Akhirnya takdir tertulis untuk Nash dan Suraya membina hidup bersama dalam sebuah ikatan perkahwinan.

Kini Nurul Ain muncul kembali di hadapan mata. Tidak diketahui apa yang diinginkannya.

"Sihat." Jawab Nash ringkas.

"Good." Balas Nurul Ain tersenyum kecil. Rasa berdebar dan gementar ketika membalas renungan tajam Nash.

Suasana sepi seketika. Nash hanya diam sambil sesekali menyedut vape ditangan. Nurul Ain masih kekal tunduk sesekali mencuri pandang wajah Nash. Wajah Nash bersahaja seolah tiada perasaan.

Nurul Ain menjadi semakin gugup bila melihat Nash sebegitu rupa. Nash yang dia kenali dahulu jika begitu pandangan matanya, pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Dan kebiasaannya ia akan menjadi titik perbalahan antara mereka. Mereka adalah pasangan yang sering bertengkar. Kedua-duanya kepala batu. Cuma bezanya perwatakan Nurul Ain terbentuk begitu disebabkan dia adalah anak bongsu yang dikelilingi enam orang adik beradik lelaki.

"Awak... Lama kita tak jumpa kan?"

"Lebih tepat lagi, dah 17 tahun kita tak berjumpa. Bukan kita, awak yang tak nak jumpa dan hilangkan diri." Jawab Nash dengan serius. Dari nada suaranya jelas terbuku satu perasaan marah.

Nampaknya Nurul Ain harus bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Dia mencari idea untuk memulakan perbualan secara aman. Tidak mahu tersalah tutur sehingga menimbulkan pergaduhan. Dia tidak mahu itu berlaku. Setelah sekian lama, baru hari ini dapat berjumpa takkan hendak diakhiri dengan pertengkaran.

"Awak... Boleh saya tanya satu perkara?"

"Dipersilakan." Ujar Nash.

"Kehidupan awak dengan wife macamana? Awak bahagia ke?" Terpacul satu soalan yang tidak bijak dari mulut Ain.

Buntang mata Nash mendengar soalan dari Ain. Kenapa soalan itu yang terbit dari mulutnya?

"Motif soalan?" Tanya Nash ringkas.

Ain mula mengatur kekuatan untuk kembali berbicara.

"Saya..err.. kita pernah terserempak baru-baru ni. Cuma waktu tu awak tak cam saya mungkin sebab saya pakai mask. Tapi saya cam awak."

Nash mengerutkan kening.

"Saya nampak awak dengan seorang perempuan. Saya tahu perempuan tu bukan wife awak sebab saya pernah tengok muka wife awak. Sebab tu saya tanya awak dengan wife macamana?" Ain memberanikan diri dengan pertanyaan maut ini.

"Awak tak sihat atau dah hilang akal tiba-tiba tanya soalan macam ni?" Tanya Nash.

"Betul awak ada pergi hotel dengan orang lain?" Soal Ain kembali.

Nash menyandarkan diri pada kerusi. Terkebil-kebil matanya. Fikirannya cuba mengingati sesuatu.

"Apa relevannya dengan soalan awak tadi?" Dia langsung tak boleh berfikir buat masa sekarang. Mungkinkah soalan ini hanya secara rambang dilontarkan kepadanya untuk menguji.

"Few days before ramadhan. Hilton hotel kl sentral."

Oh shit! Itu waktu aku first time jumpa Adra. Nash mula teringatkan sesuatu. Detik di mana ketika dia dan Adra hendak memasuki lif ada seorang wanita berkebaya merah memakai spek mata dan pelitup muka memerhatikan dia dan Adra sehingga masuk ke dalam lif. Dia tidak mengendahkan langsung peristiwa itu. Perempuan itu Nurul Ain?

"Sekarang awak dah ingat?" Nurul Ain menyinis.

"Awak, tak kisahlah saya pernah ke hotel dengan perempuan lain. Takde kaitan dengan awak pun. Itu hal peribadi saya. Kalau awak nak jumpa saya semata-mata nak tanya soalan itu, lebih baik saya balik. Saya tak mahu buang masa." Nash bingkas bangun dari kerusi bersiap sedia untuk melangkah pergi namun Nurul Ain bertindak memegang lengannya dari melangkah pergi.

"Awak.. tunggu dulu. Saya tau awak marahkan saya. Saya nak jumpa untuk minta maaf dan jelaskan semuanya supaya awak faham keadaan sebenar."

Nash kembali menarik kerusi lalu duduk semula. Dia memandang sekeliling terlebih dahulu kemudian berkata.

"Awak tau tak, saya ni jadi macam orang bodoh. Setiap minggu saya hantar surat ke rumah awak dengan harapan awak akan balas tapi hampa. Dari form 4 hingga ke universiti sampai dah bekerja, saya tunggu awak macam orang gila. Penuh dengan harapan. Sekarang kita dah ada kehidupan masing-masing, tiba-tiba awak datang dan tanya saya bahagia ke tidak? Takde akal punya soalan!"

Nash kembali berdiri bangun meninggalkan meja lalu menjelaskan bil. Dia melangkah keluar menuju kereta tanpa menoleh lagi.

Dengan segera dia masuk dan menghidupkan enjin. Suis penghawa dingin dipulas maksimum. Terasa panas dan bahang. Tanpa diduga Nurul Ain mengejar dan turut masuk ke dalam kereta.

"Hey!!" Jerit Nash. Terkejut dengan tindakan Nurul Ain.

"Awak.. dengar dulu penjelasan saya. Kalau awak masih marahkan saya itu terpulang pada awak. Tapi setidaknya awak dengar dulu." Rayu Nurul Ain.

"Apa gunanya penjelasan awak? Bukan boleh ubah apa-apa pun."

"Pertama, saya tak pernah lupakan awak. Kedua, bukan saya sengaja tak kirim berita pada awak. Ayah saya bila dapat tahu tentang kita, ayah saya marah dan tak benarkan saya berhubung dengan awak. Pergerakan saya dikawal oleh ayah-"

"Kemudian, surat-surat yang awak kirim semua ayah saya sorok tanpa pengetahuan saya." Tanpa berlengah terus Nurul Ain memberikan penjelasan.

"Awak jangan nak create drama macam dalam tv la!!" Balas Nash.

"Awak tahu tak ayah kita sebenarnya bermusuh selama ni?" Ain menyoal.

Ayah mereka bermusuh? What the fakkk! Memang sebiji macam dalam drama tv ni!

"Ayah saya berdendam dengan ayah awak. Diorang bermusuh disebabkan hal politik. Ayah saya kalah pemilihan untuk jawatan ketua kampung dengan ayah awak. Ayah saya digantung dari parti kerana politik wang. Disebabkan itu ayah berpindah dari kampung awak sebab jadi bahan mulut. Kita asalnya sekampung. Tapi kita tak pernah kenal sebab awak dan saya baru umur 5 tahun waktu tu. Itulah sebabnya kenapa dia tak benarkan kita bercinta."

"Itu bukan isu utama berbanding dengan apa yang awak buat pada saya dulu. Saya tak peduli ayah kita bermusuh ke apa. Yang tinggalkan saya dulu awak orangnya. Bukan ayah awak! Dan kenapa baru sekarang awak nak jelaskan. Kenapa bukan waktu kita habis sekolah dulu?"

Nurul Ain terdiam seketika. Dia menjangkakan respon yang berbeza dari Nash malangnya Nash sedikit pun tidak peduli dengan apa yang dijelaskan.

"Sebab saya rindukan awak. Saya masih cintakan awak. Saya nak kembali bersama awak. Kita bina semula hubungan kita yang terputus dulu." Tutur Nurul Ain dengan lembut dan sayu.

Nash menggelengkan kepala dan tersenyum sinis dengan kata-kata Ain.

"Awak ni mungkin terlalu banyak tengok drama. Jangan buang masa untuk kembali macam dulu. Itu semua dah berlalu. Mustahil kita-"

"Mustahil sebab awak dah ada skandal dengan perempuan lain walau awak dah anak dan isteri? Itu maksud awak?" Nada Ain kembali meninggi. Memang itu perwatakannya sepanjang berhubungan dengan Nash.Kasar dan sering meninggi suara bila berkata-kata.

"Awak jangan menilai dengan apa yang awak lihat sebab awak tak tahu apa yang berlaku disebaliknya." Nash mula geram dan hampir menengking.

"Pergi hotel, berpegang tangan dan berpelukan dengan perempuan yang bukan isteri. Tak cukup lagi untuk dinilai apa yang saya nampak? Yang saya tak nampak ialah apa yang awak buat dengan perempuan tu dalam bilik!" Tegas Nurul Ain.

"Awak takde hak untuk persoalkan itu semua!"

"Saya takde hak tapi saya tak bodoh lagi sampai tak faham dengan apa yang saya lihat!" Bentak Nurul Ain.

"Awak-" belum sempat Nash menghabiskan kata-katanya dia menerima panggilan telefon dari Suraya.

"Papa kat mana? Adha jatuh kena hempap basikal. Kepala dia berdarah teruk ni. Cepat balik sekarang bawa dia ke hospital!" Kedengaran suara Suraya dalam nada cemas dan hampir menangis.

"Astaghfirullah. Papa balik sekarang! Mama tunggu papa sampai" Panggilan dimatikan.

"Sila keluar sekarang!"

Nurul Ain akur dengan arahan Nash. Dia keluar dari kereta dengan wajah yang sugul. Deruman enjin kereta Nash meninggalkan Nurul Ain yang sedang termangu.

Nurul Ain bergegas menuju ke kereta. Dengan segera dia bergegas dan memecut. Harapannya semoga kereta Nash masih belum jauh dari pandangannya untuk diekori. Dia masih belum berpuas hati. Dia ingin tahu di mana Nash tinggal. Ada sesuatu yang sedang dia rencanakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience