Bab 9 - Akhir Rasa Ini

Romance Series 38806

"Pagi esok kau free tak?" Soal Zamri pada Nash.

Sambil menyedut Nash membuat kepulan asap O dengan penuh gaya. Suka betul Nash buat asap O banyak-banyak. Bila melihat banyak O yang terapung di udara ianya seperti memberi kepuasan buat dirinya.

"Woi, esok pagi kau free tak "? Zamri mengulangi pertanyaan. Bengang dia bila Nash dengar tak dengar.

"Apa yang free"? Nash tersengih. Tergendala projek asap O.

"Aku tanya esok free ke tak".

Nash angguk tapi tidak menjawab.

"Esok tolong aku. Ada 5 biji aircond nak kena pasang. Kau 2 aku 2. Sebiji lagi buat sama-sama".

"Pasang kat mana"?

"Dekat-dekat sini je. Haji Dahari. Pasang kat 3 rumah sewa baru dia tu".

"Apa kejadah rumah sewa nak pasang aircond"?

"Eh lantak dialah. Boleh demand sikit harga sewa kot". Ujar Zamri.

"Ok. Tapi sebelum pukul 8 aku nak balik. Dah janji nak jamming dengan kawan aku malam esok".

Zamri angguk. Senyum kerana sedang melayang ke angkasa. Budak Zamri ni kalau dah 'high', lain macam. Pernah sekali dia nampak tikus lalu depan pondok, dikejarnya sampai dapat.

Yang dahsyatnya dia berjaya tangkap tikus tu. Entah apa ilmu dipakainya. Lepas tu ditelangkup dengan baldi. Zamri tebuk lubang kecil kemudian dia hembus asap ganja ke dalam. Selang 30 minit lepas tu dia lepaskan semula tikus tu.

Macam tengok Jackie Chan mabuk dalam filem Drunken Master. Terhuyung-hayang tikus tu kejap ke kiri kejap ke kanan. Terbahak-bahak Nash dan Zamri bersama 3 orang lagi rakan seangkatan.

Pernah sekali mereka bermain teka-teki. Zamri tanya soalan, apa yang makin dipotong makin panjang. Tiada siapa yang mampu jawab dalam keadaan sedang stim ganja macam tu.

"Jawapan dia.... tanah ".

Kesudahannya Zamri dimaki hamun bertubi-tubi secara berjemaah tanpa ragu apabila memberikan jawapan teka-teki.

Benda apa yang makin dipotong akan makin panjang, jawapannya tanah?

Berkerut Nash dan rakan-rakan lain nak fikir.

Potong tanah? Apa benda siak?

Zamri cakap dekat kampung orang kampung panggil potong tanah. Jadi bila dipotong parit makin panjang la jadinya.

Sama ada dia bongok atau kepala tengah sedap. Kalau buat parit biasa orang cangkul, korek atau gali. Apahal nak dipotong pulak? Apa punya kampung si Zamri ni lahir? Tak valid langsung teka-teki dia. Nash rasa nak lastik je kepala dia sampai benjol.

Zamri ni pakar tentang aircond. Bekerja di sebuah syarikat gergasi barangan elektrik dari Jepun.

Dengan kemahiran yang ada, Zamri buat kerja pemasangan dan servis aircond secara sambilan pada hujung minggu untuk duit sampingan.

Dia sering minta Nash bantu jika kerja itu perlu dibuat lebih dari seorang. Jauh lari dari bidang pekerjaan sebenar Nash. Tapi Nash tak kisah malah belajar dari Zamri sehingga mampu melakukan kerja yang diberi. Sedikit sebanyak dapat membantu Zamri menyelesaikan kerja-kerja yang ada.

Kadang-kadang Zamri pelik dengan Nash ni. Ada skill tapi bila orang offer buat freelance contoh buat website, sistem dan apps untuk fyp bebudak student dia tolak.

Tapi sanggup bersusah payah letih badan tolong Zamri buat kerja-kerja aircond. Upah pun bukan Zamri mampu bayar banyak sangat pun.

Alasan Nash kenapa tak nak buat kerja sambilan dengan skill yang ada sebab dia dah tepu nak menghadap komputer. Naik bosan mata dia nak pandang skrin dan keyboard. Kalau boleh nak tukar bidang ternak kambing katanya.

Macam-macam la kau Nash.

****

Keesokkan paginya.

"Assalammualaikum Haji". Laung Zamri dari luar rumah.

"Waalaikumussalam. Haa.. sampai pun korang. Biasa manjang lambat je." Jengah Haji Dahari dari dalam sambil membuka pintu kemudian menuju ke pagar rumah.

"Biasa la Haji. Buat kerja part time masa free je. Kebetulan bini saya kerja malam. Boleh datang awal" jelas Zamri sambil tersengih. Pagi-pagi dah kena perli.

"Mari aku tunjuk tempat nak kena pasang tu. Semua yang aku pesan tu ada ke?"

"Ada ji".

Satu masalah kalau buat kerja dengan Zamri. Selalu lupa nak beli barang-barang untuk buat kerja. Time nak buat kerja baru terhegeh-hegeh pergi kedai beli barang. Kadang-kadang lupa beli wall plug, lupa beli skru bracket, lupa bawa spanar la. Macam-macam hal. Mujur dia masih tak lupa nak bayar duit upah Nash.

Pernah sekali dah selesai buat kerja, baru dia perasan gas aircond dalam tong dah habis. Kelam kabut start kereta cari kedai dealer aircond. Nak cari kedai supply barang aircond bukan sama macam cari kedai hardware. Sudahnya terpaksa tangguh kerja sebab stok gas takde bila nak beli.

Sistem kerja tunggang langgang. Peralatan seperti spanar, pemutar skru, tukul besi dan lain-lain main sumbat je dalam beg. Melambatkan kerja bila nak kena punggah cari barang dalam satu beg. Nash dah pesan beli la satu toolbox untuk letak barang. Senang nak buat kerja. Sampai sekarang haram satu pun Zamri tak beli. Lama-lama Nash pun malas nak cakap banyak. Lantak dialah. Dia yang nak meniaga. Nash tolong je.

Tapi kualiti kerja tip top. Sebab tu customer tetap dia tak kisah nak tunggu Zamri datang. Sebab harga murah dan servis terbaik.

****

Nash masih berada di dalam kereta leka membalas telegram dari seorang gadis yang baru dikenalinya semalam. Menetap di Perlis. Sedang melanjutkan master dalam bidang chemistry. Bukan calang-calang bijak gadis ni. Anak dara pulak tu.

"Nash, dah dah la telefon tu. Asyik nak mencalap je dengan makwe. Awak tu ada anak bini kat rumah. Tak guna punya jantan." Jerit Zamri dari luar kereta.

Zamri tau Nash selalu chatting dengan ramai makwe. Kadang-kadang Nash tunjuk pada Zamri apa yang diborakkan. Memang lahanat si Nash ni. Bukan main dia mengayat. Ada rasa nak muntah pun ye. Namun Zamri kagum juga dengan kemampuan Nash mengayat perempuan. Mungkin bakat semulajadi agaknya

Tapi Zamri tak peduli sebab itu bukan urusannya. Pandai makan pandai simpan. Berani buat berani tanggung la brader.

Tapi Zamri tak tau apa yang si Nash sedang lalui. Nash pula bukan jenis suka bercerita pasal hal rumahtangga. Lelaki. Suka pendam dan ada ego sendiri.

"Kecoh la lu. Dengki letteww".

Mereka berdua pun memulakan kerja. Zamri sibuk dengan menebuk lubang pada dinding manakala Nash melakukan kerja pendawaian elektrik.

Sesekali Zamri meminta bantuan Nash untuk mengangkat compressor di luar rumah. Selepas selesai melakukan pemasangan paip tembaga, Zamri mula perasan akan sesuatu.

"Nash, aku lupa beli drain pipe la. Kau lari kejap ke hardware".

Dah agak! Mesti ada yang dia terlupa punya. Macamana la meniaga nak kaya kalau macam ni punya gaya.

Nash sudah masak dengan perangai Zamri, bergegas menuju ke kedai hardware membeli apa yang disuruh.

Jam 6.30 pm akhirnya selesai kerja mereka.

"Hari ni punya payment aku kasi lebih. 350 cukup tak?" Soal Zamri setelah selesai kerja mereka. 7 keping not 50 dihulurkan pada Nash.

"Berapa kau bagi pun aku ambil je la". Nash tak pernah persoal berapa upah yang dia dapat. RM50 pun dia ambil tanpa merungut. Itu yang Zamri suka bila ajak Nash buat part time dengan dia.

Ping!

Whatsapp dari Suraya meminta dia membelikan makanan untuk malam ni. Dah biasa dah. Suraya bukan jenis rajin memasak. Memasak bukan aktiviti kegemaran Suraya. Suraya lebih cekap dalam hal mengemas dan membasuh. Nash pun tak kisah. Setidaknya rumah bersih dan keperluan pakaian terjaga rapi.

Nash membeli 3 bungkus nasi kuning berkuah kari. Suraya mahukan lauk ikan tongkol masak sambal, Adam mahu ayam goreng rempah manakala Nash memilih lauk gulai daging. Kuah kari diasingkan dari nasi.

"Kuah untuk nasi ni sekali kan dengan daging ye bang? Kuahnya sama je." Tanya si penjual.

"Aa.. err boleh la bang sekali kan je la senang" jawab Nash sambil membalas teks dari makwe perlis yang baru dikenalinya.

Nash tiba di rumah. Badannya terasa letih. Tak jadi dia nak pergi jamming kalau penat macam ni. Tanpa berlengah Nash terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Azan maghrib berkumandang. Selesai Nash mandi dia terus menunaikan solat maghrib. Suraya dan anak-anak mula makan makanan yang dibeli.

Setelah selesai solat dan berwirid serba ringkas, Nash terasa sangat lapar. Anak isterinya telah selesai makan. Begitulah rutin mereka. Jarang makan bersama. .

Bila Nash makan, Suraya sibuk buat kerja lain. Bila Suraya makan, Nash pula dah habis makan atau belum rasa nak makan. Jadi makanan yang ada kebiasaannya diletakkan di atas meja. Pandai-pandailah ambil sendiri.

Dulu mereka makan sekali. Waktu tiada anak. Bila dah ada anak, Suraya akan biarkan Nash makan dulu kemudian baru Suraya makan dan Nash pula menjaga Adam.

Nash melihat bungkusan makanan yang ditinggalkan Suraya untuknya. Tanpa berlengah Nash membuka bungkusan nasi. Dia mencari kuah gulai daging yang dibelinya. Perutnya benar-benar lapar. Mungkin sebab kerja berat siang tadi.

Mata Nash masih melilau mencari kuah gulai daging. Tiada di atas meja. Hanya nasi dan sambal belacan yang ada.

"Mana kuah gulai daging?" Tanya Nash pada Suraya yang sedang melipat baju. Adha sedang nyenyak tidur di sebelah katil.

"Kuah gulai daging? Mana ada daging. Kuah tu sikit je. Ada daging ke dalam kuah tu? Ingatkan asam keping. Mama buang la lepas ambil kuah. Ingat papa nak makan tak nak kuah." Jawab Suraya kehairanan selamba tanpa rasa bersalah.

Mendidih terus darah Nash bila mendengar jawapan Suraya.

"Mama tak reti nak tengok ke apa ada dalam kuah tu? Takkan lepas ambil kuah terus buang"?

"Mana mama tau. Rupa dia macam asam keping. Mama buang je la. Yang papa tak cakap papa beli gulai daging siapa suruh".

"Takkan la benda simple macam tu pun nak kena ajar. Bukan rocket science! Kalau ye pun memang asam keping, yang gatal pergi buang tu kenapa? Kenapa tak buang nasi tu sekali je?!"

Nash mula hilang sabar. Perut lapar, badan penat. Bila nak makan lauk kena buang. Takkan nak makan nasi dengan sambal belacan je!

"Ah! Dulu pernah mama suruh beli burger ikan tapi papa beli burger ayam. Dah tau mama tak makan ayam apasal papa beli jugak?!"

Tercengang Nash dengan reaksi Suraya. Apa kena mengena dengan salah beli burger dengan dia buang gulai daging Nash?

Bammm ! ! !

Pintu bilik dihempas dari dalam.

Adam yang sedang bermain PlayStation di ruang tamu terhenti seketika.

"Perempuan memang bukan makhluk dari bumiiiiiii???" Rungut hati kecil Nash.

Handphone di capai, Nash perlukan si dia saat ini. Si dia yang bisa menyejukkan hatinya yang tengah hangin itu.

Adra Aaira...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience