Bab 33 - Kau Pergi

Romance Series 38806

- 15 TAHUN LEPAS -

"Macamana mak?"

"Kau betul-betul nakkan budak tu?" Soal ibunya.

"Orang memang betul-betul sukakan dia. Tolonglah mak."

"Malam ni kita pergi rumah dukun anjang. Suruh dia jampi bagi budak tu sukakan kau. Kau ada gambar dia?"

Pemuda itu mengangguk girang. "Terima kasih mak. Sayang mak." Sambil memeluk erat ibunya.

Enjin dimatikan setelah motorsikal memasuki halaman rumah. Dia bergegas bersama ibunya menaiki tangga kayu rumah.

Tok! Tok!

Seorang lelaki tua berusia lingkungan lewat 60 an mengenakan pakaian melayu hitam lengkap dengan kain selimpang di letakkan pada dada terpacul membuka pintu rumah.

"Salmiah?" Dukun Anjang mengerutkan dahi.

"Saya datang ada hajat untuk anak saya tok." Ujar beliau dan di sebelahnya seorang pemuda sedang tesipu-sipu malu sambil menghulurkan salam.

Salam disambut. "Masuk dulu."

Pemuda itu bersama ibunya membuka langkah masuk. Mereka memandang sekeliling rumah. Terdapat pelbagai hiasan dan barangan pelik. Suasana di dalam rumah agak suram dan menyeramkan.

Mereka bersila di atas lantai papan beralaskan tikar mengkuang setelah dipelawa oleh Dukun Anjang.

Sambil menggulung tembakau daun dia bertanya." Aku tahu kau ada hajat. Tapi macamana kau boleh tahu aku tinggal sini?"

"Saya tanya pada pak karim." Jawab Salmiah.

"Hmmm.." Dukun Anjang mengangguk sambil menyedut asap tembakau. Baunya agak kuat sehingga mereka hampir pening tercium bau asap tembakau itu. "Dulu mak kau pun datang jumpa aku juga sebelum nak berkahwin dengan ayah kau. Sudahnya tak jadi apa. Menjanda juga. Buat penat je aku tolong." Dukun Anjang menggeleng hampa.

"Alah tok. Cerita lama tak usah la diungkit lagi. Macam ni...Jadi dipendekkan cerita, anak saya nak minta tok tengokkan seorang perempuan ni." Ujar Salmiah.

"Saya nak minta tok buatkan dia sukakan saya. Biar dia tak pandang lelaki lain." Sampuk si pemuda.

"Ada gambar?" Tanya Dukun Anjang

Sekeping gambar bertukar tangan. Lelaki tua itu merenung gambar dan bertanya nama penuh si gadis di dalam gambar tersebut beserta nama ibu si gadis.

"Adra Aaira Binti Salleh" Sambil mendengar kata si pemuda, mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu kemudian dia mengerutkan dahinya.

"Susah sikit ni. Kalau ikut tilikan aku, budak ni bukan jodoh kau. Boleh dipaksa tapi tak selama-lamanya dia akan jadi jodoh kau. Jodoh sebenar dia dah ada cuma belum sampai masanya untuk mereka berjumpa."

"Tolonglah tok. Saya nakkan sangat dia. Apa yang tok minta saya akan buat....asalkan tok boleh buat dia jatuh cinta pada saya." pinta pemuda itu bersungguh.

"Baiklah. Tapi aku nak ingatkan kau. Ada pantang larang yang kau perlu ikut. Andai kata kau tak berjaga-jaga, budak ni akan beransur-ansur hilang perasaannya pada kau. Sebabnya dari asal dia memang tak pernah sukakan kau. Kau sanggup?" Dukun Anjang memandang tepat pada si pemuda kemudian ibunya.

"Macamana Daniel? Kau sanggup?" Soal si ibu.

Pemuda itu tekad mengangguk.

"Jangan menyesal kalau terjadi apa-apa di luar kawalan kau satu hari nanti." Tegas Dukun Anjang.

"Saya sanggup dan takkan menyesal." Tekad si pemuda.

"Kalau begitu kita mulakan sekarang."

******

Kini Daniel kembali semula berdiri di hadapan halaman rumah yang semakin usang itu. Dia melangkah perlahan menaiki anak tangga yang semakin uzur dengan penuh berhati-hati.

Tok! Tok!

Kreekkkk.. Bunyi ensel pintu lama yang sudah berkarat. Pintu papan rumah terbuka dengan sendiri setelah diketuk.

Terdapat seorang lelaki tua sedang bersila di ruang tamu rumah. Di hadapannya terdapat mangkuk tembaga berisi kemenyan dan bekas-bekas kaca yang berisi limau sudah dipotong, sebilah keris lama yang dibaluti kain kuning serta keratan-keratan kayu kayan diracik halus yang tidak diketahui jenisnya. Asap kemenyan memenuhi ruang rumah.

Wajah lelaki itu cengkung. Segala helaian yang tumbuh di wajah dan kepala sudah beruban putih sepenuhnya tidak dijaga rapi menunjukkan dia sudah jauh dimamah usia. Seraya itu dia merenung ke arah pemuda itu dan tersungging bibirnya dengan senyuman sinis.

"Aku dah agak. Satu hari nanti kau akan datang cari aku semula. Aku dah cakap dia bukan jodoh kau tapi kau degil."

Setelah berhenti tercegat berdiri seketika di pintu masuk, Daniel melangkah perlahan. Setiap langkah menghasilkan bunyi derapan papan lantai yang menandakan ianya sudah terlalu usang.

"Tolonglah saya kali ini sahaja Tok. Saya merayu." Danial berlutut di hadapan dukun tersebut meminta belas.

"Kau dan mak kau sama-sama tak pegang pada janji dan langgar pantang larang. Sebab itu hidup kau kacau bilau. Tengok apa jadi pada mak kau sampai bercerai berai? Mujur waktu mak kau dulu tiada perjanjian nyawa untuk dikorbankan. Tapi kau?"

"Sekali ni sahaja saya minta pertolongan tok. Tolonglah ... Saya tak mahu kehilangan dia.." Daniel tunduk malu.

"Kau dah lupa nyawa-nyawa yang jadi korban sebab langgar pantang larang aku dulu? Kau sanggup kalau ada lagi yang jadi korban?"

"Apa pun syarat saya terima. Saya cintakan isteri saya. Saya sanggup hilang segalanya kecuali isteri saya."

"Cinta tak boleh dipaksa tapi boleh disemai dan dipupuk perlahan. Apa yang aku buat hanya bantu dan buka jalan untuk kau. Bertahun-tahun kau ada peluang tu tapi kau sia-siakan."

"Saya janji. Ini kali terakhir saya minta pertolongan tok. Apa saja yang berlaku selepas ini saya akan tanggung sendiri. Itu janji saya."

"Baiklah kalau itu yang kau mahukan. Malam ini tepat jam 1 pagi kau datang bawa semua bahan yang aku perlukan. Ini juga kali terakhir aku tolong kau."

Daniel mengangguk laju. Hatinya girang apabila Pak Anjang setuju untuk membantunya kali ini.

"Padan muka kau Nash, berani lagi kacau isteri aku. Dasar jantan si*l. Lepas ni, sebelum Adra sedar, dia akan lupakan terus cinta bodoh kau tu! Kalau aku langgar pantang pun yang mati nanti anak benih dari kau juga." Rengus Daniel perlahan.

"Ehem.. boleh aku mulakan sekarang?" Soal Pak Anjang pada Daniel yang dilihat sedang keadaan marah.

Daniel terdiam. Satu senyuman sinis terukir dari bibirnya. "Silakan tok."

******

"No!" bentak Nash.

"Dia tak boleh buat aku macam ni? Aku tak peduli, apa nak jadi pun jadilah!" Keras suara Nash, amarah yang tak mampu dikawal lagi.

"Nash, sabar. Aku tak habis cakap lagilah!."

Laungan Sabreena tidak Nash hiraukan. Laju langkah kakinya keluar dari cafe Tok Mak itu sambil mengenggam penumbuk. Hatinya betul-betul sakit, pedih, sedih yang bercampur baur.

"Tergamak buat aku macam ni." Gumam Nash mengetap gigi.

Nash masuk ke dalam kereta, dihempas pintu kereta dengan kasar, gear P bertukar D. Ditekan pedal
minyak sekuat hati, mengaum enjin kereta meluncur laju.

Sabreena mengeleng kepala, lantas di dail nombor yang tertera dalam list panggilan terakhir yang diterima.

"Aku tak mahu masuk campur lagi, jangan libatkan aku." Kata Sabreena sejurus si penerima menjawab panggilan.

Destinasi Nash saat ini adalah hospital, ingin berjumpa dengan Adra, memastikan Adra masih lagi berpegang pada janjinya untuk setia disisi selamanya.

Sampai saja di hospital, Nash terus mengatur langkah laju berjalan menuju ke dalam wad sambil meninjau mata mencari nombor katil seperti yang diberitahu oleh Sabreena.

Adra telah dipindahkan ke wad biasa. Menurut Sabreena Adra sudah sedar dan boleh bercakap seperti biasa. Cuma bila Sabreena beritahu Adra mengalami amnesia, Nash tidak mahu percaya. Dia yakin Adra mengenali dirinya.

Kali ini dia tak peduli. Dia berani redah untuk bertemu Adra. Daniel ada atau tidak bersama Adra, dia tidak mahu peduli lagi. Dia tekad untuk berjumpa dengan kekasihnya yang sangat dirindui setelah sekian lama terlantar di hospital.

Puas Nash mencari akhirnya dia bertanya pada jururawat yang bertugas.

"Pesakit nama Puan Adra dia dah discharge encik. Baru je dalam 10 minit tadi rasanya." Ujar jururawat itu.

Tanpa berlengah Nash menuju ke arah pintu keluar. Dia berlari bergegas mencari Adra di luar wad. Melilau dan berlari ke setiap pelusuk laluan yang ada. Akhirnya dari jauh dia melihat kelibat Adra dari belakang. Dia pasti itu adalah Adra. Lantas Nash menjerit memanggil nama wanita yang amat dirinduinya.

"Sayanggggggggg...!!!" Jerit Nash dari jauh namun tidak diendahkan Adra. Nash berusaha berlari ke arah Adra sambil berteriak memanggil namanya.

"Adra Aaira !!" Namun panggilan itu masih belum didengari Adra. Nash semakin menghampiri.

"Adra..."

Adra terdengar seseorang memanggil namanya. Lalu dia berhenti menoleh. Siapakah gerangan lelaki yang memanggil dirinya.

Belum sempat Nash maju ke arah Adra, satu tolakan kuat berlaku pada tubuhnya lalu terdorong ke belakang. Tiba-tiba Daniel muncul entah dari mana dengan wajah bengis menahan dirinya dari menuju ke arah Adra.

"Jantan tak guna!!! Apa hal kau panggil isteri aku? Kau nak apa?!!" Daniel terus menolak tubuh Nash berkali-kali namun Nash tekad tidak mahu berganjak.

"Kau tepi la! Jangan halang aku!" Nash terus berdegil mengajukan langkah ke arah Adra.

Bukk!! Buku lima Daniel singgah di pipi Nash. "Kau ni tak faham bahasa ke si*l?!!"

Nash tetap tidak mahu berpaling dan pergi dari situ malah dia tidak peduli dengan kesakitan yang dirasai akibat tumbukan Daniel.

"Kurang ajar. Kau memang jantan keparat. Tak tahu malu. Aku bunuh kau pu**mak si*l!!!" Daniel bagaikan dirasuk iblis. Dia mula memukul Nash bertubi-tubi. Namun Nash hanya menahan setiap pukulan Daniel tanpa membalas. Daniel semakin menggila melayangkan satu tumbukan dan tendangan pada perut Daniel. Nash menekap perut menahan senak. Kesempatan itu diambil Daniel untuk menerpa Nash sehingga jatuh terlentang ke lantai. Daniel menghadiahkan tumbukan bertubi-tubi ke arah muka Nash sehingga pecah berdarah bibirnya.

Melihat Daniel semakin hilang pedoman memukul Nash mula bertindak balas. Dirangkul leher Daniel mengunci pergerakannya dari terus memukul. Ibarat teknik penyudah submission di dalam pertarungan UFC. Daniel terkejut dengan tindakbalas Nash lalu meronta cuba untuk melepaskan diri. Sepantas kilat Nash sudah berpaling berada di atasnya kemudian lincah beralih ke belakang badan Daniel melakukan triangle choke. Sewaktu zaman remaja Nash ada mempelajari sedikit sebanyak ilmu seni mempertahankan diri silat gayong di kampung.

Adra berlari menuju ke arah suaminya yang tidak berdaya untuk bergerak kembali melawan kerana tubuhnya telah dikunci.

"Abanggg!! Lepaskan suami saya!!" Adra memukul lemah tubuh Nash. Sedih hati Nash melihat Adra mempertahankan suaminya. Benarlah kata Sabreena. Adra memang telah lupa akan dirinya.

"Security!!!"

"Tolongggg!!!"Jerit Adra.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian mula berkerumun meleraikan pergaduhan. Ditarik Nash dari terus mengunci Daniel. Dari jauh 3 orang pengawal keselamatan berlari sambil membunyikan wisel dan membawa cota. Nash kini tidak mampu untuk bergerak kerana telah dipegang oleh orang ramai.

"Apahal kecoh-kecoh ni? Ini hospital! Bukan tempat bergaduh!" Marah seorang pengawal keselamatan terhadap Nash.

"Bawa dia pergi balai je bang" Jerit seorang pemuda yang sedang memegang Nash.

Adra mendapatkan Daniel yang sedang lemah. "Abang tak apa-apa? Siapa lelaki tu abang? Apa dia mahu? Abang kenal dia ke?"

Daniel menggelengkan kepala. "Abang tak kenal dia. Tapi dia memang niat nak ganggu mama dari dulu."

"Siapa dia? Mama tak kenal dia"

" Kenapa awak pukul suami saya? Apa salah dia sampai awak nak belasah dia begini" Jerkah Adra pada Nash.

Nash kaku.

Adra betul-betul sudah tidak mengenali dirinya lagi. Sinar mata Adra hanya kosong. Amnesia Adra buatkan dia berubah 360 darjah, bukan seperti Adranya yang dulu. Hilang sifat manja, tiada lagi perasaan cinta dan rindu.

"Tak mengapa sayang. Mama tak perlu kenal siapa dia. Jom kita balik rumah. Mama perlukan rehat." Daniel memujuk.

Adra memapah Daniel untuk bangkit. Sambil berjalan Daniel mengusap tengkuk dan rahang yang kesakitan kerana tindakan Nash. Nyaris-nyaris dia jatuh pingsan kerana sukar bernafas. Mujur diselamatkan orang sekeliling. Dia fikir dia boleh makan si Nash. Silap percaturannya. Nash bukan sembarangan lelaki rupanya.

Tanpa sedar gugur satu persatu air mata lelakinya bila melihat si kekasih hati berpelukan berpimpin tangan dengan lelaki lain. Nash yang selayaknya berada di sisi wanita itu, tetapi apakan daya lelaki itu pemilik yang sah kerana dia adalah suami kepada Adra.

"Kau menangis apa? Tak sedar diri ganggu isteri orang. Sudah!! Jom kita bawa dia ke balai." Ujar pengawal keselamatan yang berbadan besar.

Adra sempat menoleh memandang wajah sayu Nash dalam kesedihan. Dia pelik mengapa lelaki yang tidak dikenalinya itu menitiskan airmata melihat dirinya melangkah pergi. Timbul rasa sayu dan seribu pertanyaan dalam dirinya asbab apakah sehingga lelaki itu mampu menitiskan airmata kerana dirinya?

Namun Daniel segera mengalih permerhatian Adra mengajaknya pulang ke rumah kerana ibu dan ayah mereka sedang menunggu kepulangan Adra.

Dari satu sudut kelihatan berdiri seorang lelaki berkopiah hijau hanya menggelengkan kepala menyaksikan kejadian yang telah berlaku. Dia ingin membantu tetapi biarlah mereka menyelesaikan masalah itu terlebih dulu. Dia yakin akan bertemu semula dengan pemuda yang dipukul tadi satu hari nanti.

******

Nash masih berbuku rasa amarah dalam hati apabila mengenang semula kejadian bertemu dengan Abang Ad yang menceritakan kisah sebenar yang berlaku disebalik kemalangan Adra. Tidak sangka Nurul Ain sekejam itu terhadap Adra. Kerana tindakan Ain, segalanya berubah baik hidup Adra dan juga Nash. Namun kerana dia terlalu menghormati Abang Ad, dia terpaksa beralah untuk memenuhi permintaan Abang Ad.. Walau sakit hati, geram dan marah mengenangkan apa yang berlaku, dia akan berpegang pada janji yang dibuat di hadapan Abang Ad bahawa Nurul Ain tidak akan muncul lagi dalam hidup Nash buat selamanya.

"Kau gila ke Nash sampai nak bertumbuk dekat hospital. Nasib baik kawan aku kenal kau tu adik aku." Suara Inspektor Akashah abang kepada Nash memecah lamunan Nash ketika di dalam balai.

Terkejut Akashah mendapat panggilan dari rakannya mengenai Nash lalu dia bergegas menuju ke balai yang dimaksudkan. Malu juga nak berhadapan dengan rakan sejawatnya itu. Dia seorang pegawai yang berdedikasi dan berintegriti. Tapi disebabkan hal Nash, dia terpaksa menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk membebaskan Nash tanpa syarat.

Nash hanya diam.

"Aku tak nak campur hal peribadi kau. Tapi kau kena sedar diri, kau masih ada anak-anak dan isteri yang perlu kau jaga. Tak berbaloi kau kejar isteri orang sampai macam tu sekali." Tenang suara Akashah. Dia faham apa yang sedang dilalui adiknya. Tapi dia tidak menyangka Nash bertindak sejauh ini dan menunjukkan betapa seriusnya perasaan Nash pada Adra. Akashah sangkakan Nash cuma nakal-nakal biasa sahaja. Macam lelaki-lelaki lain yang sudah berkahwin. Ada gatal dan miangnya yang tersendiri. Ada yang sekadar mencuba, ada yang sekadar nakal mengusik dan sebagainya.

"Aku sayangkan dia bang." Nash tunduk kesal dan sedih.

"Ye aku faham perasaan kau. Soal hati dan perasaan kau, tiada siapa yang mampu nak halang. Cuma kau sendiri yang boleh kawal. Tapi sayang macamana sekalipun dia masih isteri orang...dan kau pula masih ada keluarga yang perlu kau beri perhatian dan utamakan. Itu dah jadi tanggungjawab kau. Jadilah manusia yang rasional dulu. Jangan sebab cinta, hati kau jadi buta sampai abaikan keluarga kau yang sedia ada."

"Balik nanti singgah farmasi. Sampai rumah, pandai-pandailah kau menjawab dengan Suraya kenapa bibir kau bengkak pecah tu." Sambil menyalakan rokok Inspektor Akashah melangkah keluar dari perkarangan balai polis meninggalkan Nash sendirian.

Setibanya Nash di rumah, Nash terpaksa berbohong mengatakan dia terlanggar bucu pintu. Betapa cemas Suraya melihat muka Nash lebam bibirnya koyak. Tidak lupa dua orang anaknya terutama Adha tidak berhenti bertanya "Babah..sakit tak? Sakit tak?" berulang-ulang kali dia bertanya tatkala Suraya membersihkan luka dan menuam wajah Nash dengan air panas.

"Babah okay sayang. Dah pergi ikut umi masuk tidur, esok sekolah." Lembut Nash memujuk anak bongsunya itu sambil mengusap ubun-ubun Adha.

"Okay babah." Dicium pipi Nash dan berlari ke arah Suraya yang berdiri di tepi pintu bilik.

"Papa pergi mandi dulu, lepas tu masuk tidur. Mama tidurkan Adha kejap." Kata Suraya sambil memimpin tangan Adha.

Nash mengangguk lemah. Dia berjalan keluar ke balkoni ingin mengambil angin sebentar. Nash bersendirian di balkoni rumah. Nash menyentuh luka dan lebam pada bibir. Mula terasa berdenyut sakit namun tidak sakit seperti apa yang hatinya sedang rasakan.

"Sampai hati sayang lupakan janji kita."

Sekali lagi tanpa sedar air matanya menitis gugur perlahan pada pipi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience