Sudah sebulan Faisal sepi tanpa kata selepas peristiwa mereka bertengkar. Adra kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan rutin harian sebagai isteri, ibu dan juga pekerjaan di pejabat. Seperti yang dijangka, lelaki yang bergelar suami orang itu hanya mahukan tubuhnya saja, melayan nafsu yang tidak pernah cukup ketika bersama si isteri. Adra yang bodoh, mudah menyerahkan maruah diri pada lelaki yang pandai bermain kata-kata mengumpan cinta dan rindu.
Benar apa yang dikata, menjalin hubungan terlarang yang tiada hala tuju dan berpenghujung akan sentiasa berakhir dengan kekecewaan kerana terlalu meletak sepenuh kepercayaan pada janji-janji palsu. Adra serik untuk bermain cinta lebih-lebih lagi pada lelaki yang berstatus suami orang.
"Babe, buat apa kau nak bazir airmata bagai untuk lelaki tak guna tu. Kita ni perempuan, ada maruah diri juga, setakat jantan macam tu berlambak dekat pasar malam la. Kita kena jadi mahal, baru lelaki yang 'mampu' saja dapat memiliki kita. Kau fahamkan maksud aku." Kata Sabreena.
Sabreena adalah satu-satunya kawan baik yang dia percayai. Silap Adra kerana tidak memadamkan chat mereka. Dibiarkan sahaja terdedah dalam web browser. Adra ketika itu sedang sibuk menjawab panggilan telefon didatangi Sabreena meminta softcopy fail invoice. Adra menyuruh Sabreena mencari sendiri di dalam desktop. Adra terlupa ketika itu dia sedang berbalas chat dengan Faisal. Tiada rahsia antara mereka berdua sejak terbongkarnya rahsia chat ayat-ayat cinta Faisal pada Adra dibaca tanpa sengaja oleh Sabreena. Tidak tahan diasak dengan berbagai soalan dari Sabreena, akhirnya Adra cerita kesemua kisah hidupnya. Sejak dari itu mereka semakin akrab, berkongsi segala kisah suka duka antara mereka.
"Kau masih ada suami Adra, biar pun dia dingin tetapi dia tetap suami kau yang masih tinggal serumah, makan sepinggan, tidur sebantal. Seburuk-buruk suami kita, buruk lagi perangai jantan berstatus suami orang yang makan luar, dah pula tu lepas dapat apa yang dia nak kita pula dibuang macam kain buruk."
"Ish, geram pula aku dengan si Faisal, kalau dapat memang aku cepuk dia cukup-cukup." Marah Sabreena.
"Dah, kau tak payah nak sedih-sedih ke frust ke apa pun eh. Bukan kau dapat duit pun nak ratapi kesedihan bagai. Kau masih ada suami, anak-anak dan keluarga yang masih menyayangi kau termasuklah aku. Kalau kau sunyi, aku ada. Aku tahu kau wanita yang kuat, if not tak adanya kau masih bertahan dengan perangai suami kau yang tah hapa-hapa tu bertahun-tahun begini." Bebel Sabreena lagi.
Adra termangu seketika mendengar bebelan Sabreena dan mula membuka mata dan nampak dengan jelas tentang kebenaran kata-kata Sabreena itu. Benar, untuk apa dia beriya-iya kecewa untuk lelaki berstatus suami orang yang hanya tahu bermain kata dengan janji palsu demi kerana nafsu. Hati Adra telah dibutakan dengan sandiwara cinta lelaki dengan alasan tidak bahagia!
Kini Adra bertekad, tak akan mudah jatuh dengan godaan lelaki lagi selepas ini!!
Adra sudah letih untuk memberi hatinya pada lelaki lain lagi, untuk apa dia kejarkan cinta dari lelaki lain sedangkan Adra seharusnya perbaiki hubungannya dengan Daniel. Adra bertekad, tidak akan jatuh pada godaan lelaki lagi selepas ini!!
Daniel, suaminya adalah lelaki terbaik yang dia pernah kenali biarpun sejak kebelakangan ini si suami semakin dingin dengannya tanpa sebab. Seburuk mana pun sikap suaminya, Adra masih lagi menyayangi Daniel. Dikala ini biarlah Adra mengalah, berusaha menyemai kembali rasa cinta buat suaminya walaupun Daniel semakin tidak mempedulikan perasaanya.
Petang itu, berbagai rancangan telah Adra aturkan. Hari ni adalah hari kelahiran suaminya dan dia merancang untuk memasak dan makan di rumah berduaan dengan Daniel. Mujur mertuanya memahami, anak-anak daranya akan bermalam di rumah bersama nenek mereka, memberi laluan pada Adra dan Daniel untuk mengembalikan momen cinta antara mereka setelah berbulan-bulan masing-masing membuat hal sendiri. Dia mahu pastikan malam ini, asmara cinta mereka akan kembali hangat seperti malam pertama dulu.
"Hmmm...marvellous. Harap berpingganlah Daniel makan nanti." Adra tersenyum, sambal tumis petai kesukaan suaminya terhidang di atas meja.
Suaminya seorang lelaki yang gemarkan masakan melayu kerana sejak dari zaman mereka bercinta dulu setiap kali keluar dating, Daniel menolak untuk makan makanan barat. Katanya portion makan terlalu sedikit dan tidak kenyang. Pernah sekali mereka makan di restoran Marini's on 57, Daniel menyambut kelahiran Adra di sana kerana dia tahu isterinya sangat menyukai makanan barat terutamanya Wangyu steak maka diturutkan juga. Tetapi sudahnya balik dari restoran, Daniel menyinggah ke kedai tomyam kerana perutnya masih terasa lapar.
Sejak dari hari tu, Adra akan pastikan setiap kali dating sehinggalah sudah berkahwin, hanya hidangan nasi dan lauk-pauk yang wajib disediakan buat suaminya. Bagi Adra, lelaki bergelar suami yang bahagia apabila sedikit buncit, tampak seksi pada pandangan matanya. Adra tersenyum sendiri apabila dia berjaya membuncitkan perut Daniel hasil air tangannya sendiri.
Selesai memasak beberapa lagi lauk kegemaran Daniel, Adra duduk berehat sebentar kerana badannya masih berpeluh untuk mandi. Adra membuka seluar yang dipakai, hanya bersinglet dan panties saja sambil bersandar pada sofa. Tangan Adra mencapai handphone di atas meja, jarinya membuka aplikasi Whatsapp, mencari nama suaminya.
Adra : Abang balik pukul berapa hari ni? Jumpa nanti dekat rumah...miss you, abang.
15 minit Adra menunggu, text yang dihantar satu tick bertukar menjadi blue tick menandakan suaminya sudah membaca pesanan Adra tetapi tiada balasan dari suaminya. Daniel sekadar membaca saja text yang dihantar.
"Mungkin sibuk agaknya." Adra bersangka baik.
Adra bangun, mencapai tuala untuk mandi. Handphone dicampak saja pada atas katil. Dia perlu segera mandi, risau suaminya balik pula tiba-tiba tanpa dia sempat berhias untuk Daniel. Selesai mandi, Adra hanya mengenakan pakaian tidur nipis jenis gaun pendek, sengaja ingin memancing suaminya yang isterinya itu masih lagi seksi dan mengiurkan. Perfume di sembur pada sekitar leher, belakang telinga dan dada kerana itu adalah tempat kegemaran suaminya membuat cop mohor besar sewaktu mereka berasmaradana. Sudah terlalu lama Daniel tidak menyentuh dirinya, keinginan untuk bersama suaminya sudah tidak dapat dibendung lagi. Malam ini Adra akan pastikan asmara cinta mereka bersatu dalam helaan nafas yang sama dengan kepuasan semaksima mungkin.
Jarum jam menunjukkan pukul 10.30 malam, jarang suaminya pulang lewat begini. Bosan menanti, Adra membuka Netflix pada television, dia menonton cerita Mat Kilau yang sedang hangat diperkatakan orang sehingga mendapat sambutan dengan keuntungan jutaan ringgit. Makin lama mata Adra semakin kuyu, berkali-kali dia menguap. Entah kerana jalan cerita melayu ini membosankan Adra atau sememangnya dia sudah mengantuk. Ditahan juga matanya sambil tangan sibuk mendail nombor telefon Daniel, hanya deringan yang berakhir dengan voicemail saja menyapa telinga.
"Manalah Daniel ni. Dah tak ingat nak balik ke? Lupa dah anak bini dekat rumah?" Adra merungut tak sudah-sudah.
Hatinya geram apabila sejak dari maghrib tadi hingga sekarang, satu panggilan pun tidak berjawab.
Lauk pauk yang dimasak petang tadi sudah sejuk, selera untuk makan juga telah hilang. Adra mula risau, berkali-kali dia menelefon suaminya tapi langsung tak berjawab. Berpuluh text sudah dihantar, hanya double tick saja belum dibaca. Hatinya mula berfikir yang bukan-bukan. Dipujuk hatinya sendiri dengan berfikir yang suaminya mungkin pergi melepak bersama kawan-kawan saja. Silap Adra juga kerana tidak mengkhabarkan awal-awal pada suaminya bahawa dia ingin menyambut kelahiran suaminya di rumah malam ini. Sudahnya Adra termanggu seorang diri di rumah, menanti dan terus menanti kepulangan Daniel.
Berkali-kali Adra menguap, mata yang ditahan semakin lama semakin kuyu. Niat dihati hanya mahu baring sebentar telah bertukar menjadi tidur yang sangat lena. Adra terlelap di sofa ruang tamu menanti kepulangan suaminya.
Dalam mata terpejam, telinganya mendengar bunyi deringan handphone berkali-kali tanpa henti, senyap seketika dan berbunyi lagi. Matanya terasa berat untuk dibuka, terlalu mengantuk dirasakanya kala ini lantas dibiarkan saja. Tetapi deringan handphone yang masih lagi berbunyi begitu menganggu tidurnya. Tidak tahan dengan bunyi bising, Adra gagahkan diri untuk bangun.
Adra menguap seketika, dalam keadaan terpisat-pisat dia mengosok mata yang sedikit pedih. Dikerling pada jam dinding yang menunjukkan pukul 3.45 pagi. Suaminya masih belum pulang lagi kerana kasut Daniel tidak ada pada rak berdekatan pintu.
"Siapa pula yang telefon pepagi buta macam ni." Rungut Adra.
Dalam mamai, Adra menjawab panggilan telefon yang hanya tertera 'unknown number.'
"Maaf Puan kerana menganggu pagi-pagi begini? Puan isteri pada En Daniel?" Satu suara garau di corong telinganya setelah panggilan dijawab.
"Ya saya, siapa ni?" Terus hilang rasa mengantuk Adra bila mendengar suara garau yang kedengaran serius itu.
Jantung Adra mula berdegup laju. Hatinya mula sudah rasa tidak sedap.
"Begini Puan, suami puan ada di......."
Adra tergamam.
Kata-kata lelaki yang sedang bercakap dengannya terasa sayup.
Dunia seakan ligat berputar, matanya sudah berbalam-balam ingin pitam.
"Ya Allah.." Hanya kalimah Allah yang mampu Adra ungkapkan ketika ini.
Share this novel