Malam semakin sepi, tetapi Nash masih berdiri di luar balkoni rumah. Angin malam yang dingin menyapa wajahnya, namun tidak dapat mendinginkan perasaan hati yang hangat di dalam dada. Segalanya kini berputar dalam fikirannya tentang isterinya, dan... Adra.
Fikirannya kosong mindanya cuba berfikir tetapi buntu lantas dia bingkas untuk menunaikan solat malam. Usai solat tahajud, Nash kembali termenung di balkoni. Bersaksikan cahaya bulan yang hampir penuh menyinari wajahnya yang suram. Dalam hati, perasaan rindu yang mendalam terhadap Adra datang menghimpit tanpa henti secara tiba-tiba. Entah kenapa ini berlaku. Dia berusaha melawan, mengalihkan fikirannya, namun lirikan kenangan dan wajah Adra itu seperti bayang-bayang yang setia mengekorinya ke mana sahaja.
Di sudut biliknya, telefon bimbit terletak di atas meja. Jari-jarinya gatal ingin membuka galeri gambar, ingin menatap wajah Adra sekali lagi. Namun, dia tahu, itu hanya akan menambah perit rindu di hati.
Dahulu, Adra adalah cahaya dalam hidupnya. Tawa dan senyuman Adra, cahaya lirik matanya apabila menatap wajah Nash jelas terpancar bahawa Nash adalah segala-gala baginya. Bagaimana mungkin Nash melupakan kenangan itu?
Dia memejamkan mata, menggenggam erat tangannya. "Ya Allah, kenapa aku tak mampu melupakan dia? Kenapa rasa ini tak pernah hilang? Berdosakah aku kerana masih terkenang pada wanita yang bukan halal untukku?"
****
Beberapa bulan berlalu, suasana di rumah Nash sedikit demi sedikit kembali normal. Rawatan Ustaz Kamil memberikan kesan positif, dan Suraya mulai pulih akan tetapi masih ada sisa-sisa ketakutan yang menghantui. Tubuh Suraya masih sedikit lemah. Namun Suraya sudah boleh bergerak bebas melakukan aktiviti ringan seharian di rumah dan menguruskan anak-anak.
Ustaz Kamil berpesan kepada Nash supaya terus memperkuatkan diri, memperbanyakkan amalan ibadah dan berusaha menjadi suami serta ayah yang lebih baik. Sentiasa dipanjatkan doa agar kesulitan dan musibah yang menimpa dinagkat dan dipermudahkan untuk hari-hari yang mendatang.
"Saya harap kamu redha dan doakan yang terbaik untuk isteri kamu. Sebenarnya masih ada perkara yang saya bimbang. Dari pengamatan saya, kesihatan isteri kamu belum tentu pulih dan normal seperti dulu. Sihir yang dihantar ini terlalu kuat. "
"Maksudnya apa ustaz?"
"Daripada apa yang saya tahu, nampaknya sihir ini seperti sudah merosakkan organ hati isteri kamu. Isteri kamu mungkin akan menderita dengan penyakit ini mungkin untuk selamanya. Maafkan saya jika ini berat dan sukar untuk kamu terima dan percaya." Ujar Ustaz Kamil tenang sambil memegang bahu Nash untuk menenangkan perasaannya.
Ketika ini perasaan Nash bagaikan dipukul dengan palu yang maha berat setelah mendengar kata-kata ustaz Kamil.
Apa dosa Suraya? Aku punca semua ini.
***
Masa terus berlalu, suasana di rumah Nash kembali seperti biasa. Nash bersyukur kerana hubungannya dengan Suraya dan juga anak-anaknya semakin erat. Dalam diam, Nash bersyukur atas hikmah di sebalik semua yang berlaku. Walaupun luka itu masih ada, dia tahu Allah sentiasa bersamanya, memimpinnya ke arah jalan yang lebih baik.
Di suatu petang, ketika Nash duduk bersama keluarganya di ruang tamu, dia tersenyum pahit. Dia menatap wajah Suraya sudut sunyi. Melihat isterinya yang sedang tertawa bergurau senda bersama anak-anak mereka. Dalam hati, Nash berbisik perlahan, "Inilah yang terbaik. Biarlah walau aku terpaksa berpura-pura mengasihi Suraya untuk selamanya demi anak-anak yang tercinta."
Membesarkan anak-anak dalam suasana harmoni. Dia rela mengorbankan hati dan perasaan demi anak-anaknya.
Malam itu, selepas solat tahajud, Nash duduk bersandar di dinding biliknya.
Matanya berat bagaikan ada beban yang menimpa akhirnya mata terpejam. Kepalanya terlentok ke belakang, tenggelam dalam lena yang berat.
Belum sempat Nash berlayar jauh ke alam mimpi, telefon bimbit di tepi meja katil bergetar. Sambil terpisat-pisat matanya dia melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali. Nash mengerutkan dahi, hatinya berdebar-debar. Siapa pula yang telefon malam-malam macam ni? Dia menatapnya untuk seketika namun dengan ragu-ragu dia menjawab panggilan itu.
"Hello..."
Suara lembut di hujung talian menyambutnya. "Sayangggg..."
Nash terdiam, tekaknya terasa kering. Seperti sukar untuk mengeluarkan kata-kata. Suara itu terdengar sebak, membuatkan Nash semakin gelisah. Dia sangat mengenali suara itu. Suara yang sekian lama dirinduinya.
"Adra,...sayang?" Nash cuba mengawal nada suaranya, walaupun hatinya bergetar hebat.
"Sayang... I rindukan sayang..." suara Adra bergetar, seperti menahan tangis.
Nash terdiam. Suara Adra menangis teresak-esak mengisi halwa telinga dan fikirannya.
Nash terasa dunia bagaikan berpusing dengan laju. Bagaikan sebuah mimpi. Insan yang sekian lama menakluk hati dan perasaannya yang hilang tanpa khabar kini tiba-tiba muncul dengan suara indah yang sekian lama tidak kedengaran. "Sayangggg... I juga terlalu rindukan sayang." Balas Nash.
"Sayang di mana sekarang?" Soal Nash dengan nada bimbang.
"I jauh dari sayang. I minta maaf tak mampu terus di sisi sayang... tapi I sentiasa berharap suatu hari nanti kita...."
"Kau takkan memiliki dia selamanya. Dia hak aku!!" Tiba-tiba kedengaran suara garau kemudian disusuli dengan tawa yang menyeramkan. "Sayangggg..."Suara Adra semakin lemah sayup-sayup kedengaran sebelum talian akhirnya terputus.
Nash memandang telefon di tangannya, hatinya berkecamuk. Kata-kata terakhir Adra terus bergema dalam fikirannya. Dia kembali mendail nombor tersebut berkali-kali namun malangnya nombor itu sudah tidak dapat dihubungi.
***
"Papa! Papa!"
Nash tersentak. Matanya terbuka luas. Di hadapannya, Suraya memandangnya dengan wajah penuh kebimbangan.
"Papa mengigau ni" ujar Suraya lembut sambil mengusap dahi Nash.
Nash memegang kepalanya, peluh dingin membasahi dahinya. Nafasnya masih tersangkut-sangkut.
Dia memandang sekeliling. Telefon bimbitnya masih terletak di atas meja, tidak pernah bergetar. Keadaan bilik itu sunyi, hanya terdengar bunyi kipas siling yang berputar perlahan.
Suraya menyentuh bahunya. "Papa okay?"
Nash mengangguk perlahan, cuba menenangkan dirinya. "Ya... ya, papa okay." Sambil itu Nash beristighfar.
"Papa mimpi apa sampai mengigau teruk macam ni?"
"Err.. takde apa. Takpe la. Mama tidur la semula. Papa nak ke bilik air sekejap."
Suraya tersenyum pahit mengangguk lemah kemudian berpaling sambil, membetulkan selimut anak bongsunya yang berada di tengah-tengah katil sebelum kembali berbaring. "Papa tidur balik nanti ya. Dah lewat ni. Esok nak pergi kenduri doa selamat Kak Nor." Ujar Suraya kemudian berbaring mengiring menepuk Adha agar kembali tidur dengan lena.
Nash hanya mengangguk, tetapi hatinya masih terasa tidak tenang. Mimpi itu terasa begitu nyata. Kata-kata Adra dalam mimpinya terus bergema di fikiran.
"Ya Allah. Apakah yang Engkau ingin sampaikan kepada aku?" bisik Nash dalam hati.
Disaat dia ingin melupakan namun kenangan bersama Adra masih tidak jemu menerjah ke dalam ingatan.
Dia bangkit menuju bilik air sebentar kemudian dia kembali ke katil dan memejamkan matanya, cuba untuk tidur semula lalu bayangan mimpi Adra kembali bertamu namun kali ini sebuah mimpi indah. Saling melepas rindu biar pun hanya di dalam mimpi Nash lena dalam dakapan mimpinya bersama Adra.
Untuk sebuah nama, rindu yang tak akan pernah pudar!
Adra.
Share this novel