Sejak dari Daniel dibebaskan dari tahanan reman, hingga kini dia diam seribu bahasa. Semakin jarang pulang ke rumah apatah lagi bertanya keadaan anak-anak dan juga diri Adra sendiri. Adra sudah letih dan buntu memikirkan apa yang sedang berlaku dalam perkahwinannya kini sehingga Daniel mula terjebak dan mengambil barang terlarang dan ditangkap.
"Jangan sibuk hal aku. Suka hati aku nak buat apa!" Tiap kali ditanya hanya tengkingan dan amukan dari Daniel yang diterima.
Adra juga sudah naik jelak mahu bersedih hati atau mengusutkan kepala dengan sikap Daniel yang bukan baru sehari dua dingin dan perengus. Kesudahannya masing-masing membawa haluan sendiri. Daniel lebih suka pulang dinihari dan keluar waktu pagi selepas subuh, kadang-kala dia akan menghilang 1-2 hari tanpa berita mahupun pulang ke rumah.
Adra pula lebih banyak meghabiskan masa selepas waktu pejabat melepak bersama Nash di luar. Adra hanya akan pulang selepas maghrib untuk mengambil anak-anak daranya dari rumah mertua. Sedikit pun tiada cerita tentang Daniel dari Adra mahupun mertuanya bertanya tentang ketiadaan anak lelakinya, seolah-olah mereka sentiasa bahagia kerana Adra tidak pernah menunjukkan sikap murungnya pada keluarga mertua.
Kehadiran Nash di saat Adra berhadapan dengan kemelut rumah tangganya dengan pengakuan cintanya pada Adra sebulan yang lalu telah meranapkan tembok yang dibina dalam hatinya supaya jangan jatuh cinta dengan lelaki lain. Hati Adra tidak mampu lagi menahan panahan cinta yang di hulurkan Nash, biarlah kali ini saja dia beralah. Moga ada sinar harapan bahagia yang baru buat dirinya.
Setelah sebulan berchatting di telegram dan video call saja, Hari ini Adra begitu teruja kerana dia bakal bertemu empat mata dengan Nash. Sejak pengakuan cinta Nash pada Adra yang lalu, hidupnya sudah tidak lagi terasa kosong. Baru kini Adra mengerti perasaan Nash yang selalu menyebut 'terapung terbang' kerana dia sedang mengalaminya sendiri.
Bila diceritakan tentang cinta, makan tidur pun tak lena. Adra dicintai, disayangi sepenuhnya. Setiap ungkapan perasaan hati Nash berkisarkan sayang, membuatkan Adra terbang melayang dek hembusan rindu hingga ke bintang kejora cinta.
Setiap hari mesej cinta dan sayang sentiasa menghiasi ruang penglihatan matanya sewaktu bangun dari tidur. Panggilan diantara mereka juga sudah bertukar kepada sayang, terasa kasih dengan penuh rasa cinta.
+Salam Subuh dan Selamat Pagi Sayangggggg
+Semoga hari-hari kita berdua akan bertambah indah, seindah cinta dan rindu antara kita.
+I rindu sayang sangat-sangat
+Rindu makin parah ni. Kalau masuk hospital cinta, memang dah kategori koma tak sedar diri dah.
+I takkan berhenti menyayangi dan mencintai sayang.
+Love you sayang
Tersenyum simpul Adra membaca, jantung berdegup rindu, hati terisi bahagia apabila membaca aksara-aksara cinta Nash yang dihantar kepadanya setiap pagi menerusi Telegram.
+You know sayang, lepas subuh tadi I tidur and mimpi pelik la. I mimpi sayang give me a shave on my face.
+Tiba-tiba I rasa hensem sangat lepas bangun
Begitulah sikap Nash yang suka menceriakan hari-hari Adra biarpun dengan hanya berkongsi cerita mimpinya.
Malam-malam Adra juga tidak lagi kesepian, tidurnya begitu lena diselimuti dengan ungkapan-ungkapan rindu mereka berdua. Semakin hari semakin serasi, bagai pagi dengan sinar matahari, bagai malam dengan kerdipan bintang yang berseri.
+ Sayang, I wish I could see your face while you're sleeping right now and kiss your lips, say good night to my lovely wife.
Hidup Adra kembali begitu indah, dicintai oleh seseorang yang begitu sayangkan dirinya lebih dari segala-gala, sering mendahulukan perasaan Adra, mengambil berat, menjadi seorang pendengar yang setia. Setiap masalah yang di kongsi Adra pada Nash, pasti ada penyelesaian sehingga Adra merasakan diri Nash seperti suaminya sendiri. Nash lelaki yang membahagiakan Adra, lelaki yang mewarnai kehidupan Adra yang suram dengan warna-warna cinta.
Bukan Adra tidak cuba untuk meletakkan cinta suaminya paling utama di dalam hati, tetapi ternyata huluran cinta Nash yang begitu tulus dan ikhlas mengatasi segalanya. Nash selalu ada di saat Adra memerlukan berbanding suaminya yang hanya bersikap acuh tak acuh saja.
Terasa tidak adil apabila Adra mula membanding-bandingkan kasih sayang suaminya dengan Nash tetapi di dalam hal ini tidak sepatutnya Adra dipersalahkan seratus peratus kerana dia sememangnya mengharapkan kebahagiaan dari seorang lelaki.
Adra pasti ramai yang akan memandang serong malah mencemuh padanya apabila dia yang berstatus isteri orang menjalin hubungan cinta terlarang bersama suami milik wanita lain. Dia akan digelar sebagai wanita perampas dan zalim kerana merampas kebahagiaan wanita lain. Bukan Adra pinta untuk jatuh cinta dengan suami orang apatah lagi merampas kebahagiaan wanita lain tetapi soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa jika rasa cinta itu hadir tanpa diduga.
Saat ini Adra tidak mahu fikirkan tentang pandangan orang lain terhadapnya. Apa yang pasti sekarang, dia di dalam fasa bahagia yang telah lama diimpikan selama ini. Lelaki ini yang selalu melafazkan kata cinta tanpa rasa ragu. Lelaki inilah segalanya buat dirinya, dialah cinta, dialah sayang. Nama Nash sudah pun terukir indah di suatu tempat yang paling istimewa dalam hati Adra, hanya dia yang bertahkta.
"Sayang, rindunya. I teringin nak jumpa sayang depan-depan. Pegang tangan sayang, usap pipi sayang, renung mata sayang yang cantik tu dalam-dalam." Kata Nash sewaktu mereka sedang berbual di video call.
"Sayang, I juga rindukan you. Kejap lagi kan kita nak jumpa. Sabar sikit eh." Jawab Adra sambil tertawa kecil, geli hatinya mengenangkan mereka bakal berjumpa dalam 20 minit lagi tapi masih lagi mahu berbual di video call dengan alasan rindu.
Bercinta mengalahkan budak kolej!
Setiap hari mereka berdua pasti bertemu biarpun hanya melalui video call selain berutus cinta melalui Telegram bagi melepaskan rindu. Dengan cara itu saja mereka dapat meluah dan berkongsi cerita sesama sendiri kerana Nash telah disahkan positif Covid-19 dan terpaksa di kuarantinkan selama 14 hari di rumah.
Cukup saja 14 hari kuarantin, Nash beria-ria mengatur temu janji pada hari ini kerana sudah tidak tertanggung rasa rindunya pada Adra. Walaupun Adra ragu-ragu untuk bertemu Nash kerana risau akan kebarangkalian jangkitan virus Covid padanya, tapi demi tidak mahu mengecilkan hati sang kekasih hati maka Adra turutkan jua. Lagipun cuma hari ini saja masa yang Adra ada kerana lagi 4 hari umat islam akan menyambut bulan Ramadhan dan sudah semestinya masing-masing tiada cuti dan sibuk mengejar pahala berganda di bulan mulia itu.
"Sayang, I dah sampai. I tunggu sayang depan A-news eh." Kata Adra sebelum menghentikan panggilan video bersama Nash.
Dup..dap..dup..dap...jantung Adra berdegup hebat.
Semakin dekat dirinya pada tempat yang dijanji, semakin laju jantungnya berdetak. Peluh di dahi mula terbit, hati bergetar hebat sehingga tangannya sejuk, kakinya mulai kebas. Dalam banyak-banyak dating, cuma kali ini saja Adra rasa gemuruh yang amat sangat. Lain maciam sungguh aura Nash yang dirasakan kali ini. Berbagai persoalan mula bermain di minda Adra. Apa penerimaan Nash selepas melihat dirinya secara live in-person.
Nash melangkah keluar dari ruang ketibaan. Baru sebentar tadi dia selesai membuat panggilan video bersama Adra. Sejurus berada di dalam stesen KL Sentral, entah mengapa hatinya tiba-tiba dirundung gelisah. Jantung berdegup kencang. Menggeletar lutut kakinya apabila mengenangkan bahawa hari ini adalah hari pertama kali dia bertemu Adra. Rasa tak percaya pun ada.
Nash mula cemas. Perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya adalah tandas!
Apa-apa pun baik diselesaikan segala hajatnya awal-awal. Selesai urusan nature call, Nash melangkah ke destinasi yang dijanjikan. Melilau mata Nash mencari tempat yang dimaksudkan.
Akhirnya berjaya dipertemukan. Namun Adra masih belum kunjung tiba. Menurut Adra, dia masih dalam tren. Kalau ikut kiraan masa, lebih kurang setengah jam lagi dia akan sampai.
Nash mundar mandir tanpa hala tuju. Sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap berjalan melihat suasana sekeliling. Serba tak kena kalau dilihat pada gelagat Nash waktu ini. Ibarat kucing kehilangan anak.
+ Kalau you ada rasa nak patah balik ke rumah sempat lagi ni. Takut pulak you menyesal bila dah tengok I. Dengan terkial-kial Nash menaip text kepada Adra.
Ping!
+I rasa you yang lari bila tengok I nanti.
Amboi. Dia nak saiko kita balik pulak!
+I tak lari. I akan terus menetap dalam hati you sayang. Wink wink!
+You memang takkan dapat lari dari hati I sayang. Tunggu sampai I datang ye. Ngee~
Nash jadi semakin tak senang duduk bila melihat jam. Nash ke hulu ke hilir tanpa arah di dalam KL Sentral. Nash menekan perut dengan tapak tangan.
Aduh.. waktu macam ni jangan la nak buat hal lagi.
"Dik, boleh tolong duduk satu tempat tak. Dari tadi acik tengok kau ke hulu ke hilir. Mana tempat yang acik dah mop, kat situ juga kau nak pijak."
Terpaku kaki Nash mendengar suara yang menegurnya. Terencat terus sakit perutnya.
"Maaf acik. Tak perasan. Tak sengaja." Sebelum kena beduk dengan batang mop, Nash cepat-cepat meninggalkan kawasan jajahan acik cleaner.
Nash keluar dari kawasan KL Sentral berdiri di tepi jalan raya sambil menyedut vape bagi menghilangkan darah gemuruh. Kemudian dia masuk semula dan terus naik ke tingkat atas bagi memerhatikan kelibat ketibaan Adra.
Ping!
Sayangggg, I dah sampai depan A-News. Where are you sayangggg?
Gulp!
Dari jauh Nash mencari kelibat Adra dan akhirnya Nash perasan susuk tubuh insan yang sering menjadi igauan indah dalam mimpinya setiap malam.
Nak jumpa Perdana Menteri pun tak rasa nervous macam ni!
Mohon Tuhan,
Untuk kali ini saja,
Beri aku kekuatan ,
tuk menatap matanya,
Mohon Tuhan,
Untuk kali ini saja,
Lancarkanlah hariku,
Hariku bersamanya,
Hariku bersamanya...
Hanya lagu itu saja yang sedang bermain difikiran Nash manakala matanya masih tertumpu pada si cantik manis yg kusyuk mengadap handphone ditangan tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan dari jauh.
Adra...
Share this novel