10/8/2019
"Papa cepat! Sakit sangat ni!" Jerit Suraya dari ruang tamu.
Nash bergegas berlari mendapatkan Suraya. Wajahnya cemas melihat isterinya dalam keadaan menahan kesakitan.
Pagi tadi selepas solat subuh, Suraya sudah mula mengadu perutnya berasa sakit memulas-mulas. Jika dilihat pada perkiraan tarikh dijangka bersalin sepatutnya 2-3 minggu lagi. Ketika Nash bersarapan, suara cemas dari bilik air kedengaran. Suraya mengalami tumpah darah.
Tanpa berlengah Nash terus memapah Suraya ke sofa ruang tamu dan meminta isterinya bertenang. Kemudian Nash mengambil sedikit keperluan untuk persediaan ke hospital.
Dia memapah Suraya menuju ke kereta. Dengan berhati-hati Nash mengangkat Suraya masuk ke dalam kereta. Dia menjerit kepada anak sulungnya agar lekas masuk ke dalam kereta Adam. Enjin kereta dihidupkan, meluncur laju membelah jalan raya menuju ke hospital.
******
11/8/2019
9.15am
10 tahun yang lalu. Nash dan Suraya dikurniakan seorang cahaya mata. Adam namanya. Kini tiba giliran adik Adam yang bakal melangkah melihat dunia. Kerana sudah lama tidak menerima cahaya mata, Nash dan Suraya kembali kekok seolah-olah baru pertama kali ingin menimang cahaya mata. Kelam kabut Nash kerana sudah hampir lupa pada pengalaman menyambut kelahiran anaknya yang sulung.
Sewaktu kelahiran Adam, Nash tidak berpeluang menemani Suraya sehingga ke bilik bersalin akibat wabak SARS. Kini dia berpeluang menemani isterinya sewaktu bersalin buat kali pertama semenjak bergelar bapa. Nash sangat teruja!
Setelah hampir 24 jam menunggu, tepat jam 9.15 minit pagi berkumandangnya laungan azan dari bilik bersalin. Nash bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan seorang lagi putera. Muhammad Adha nama diberi bersempena kelahirannya di pagi raya aidil adha.
*******
2022
Adha kini usianya hampir 3 tahun. Keletahnya sering mengisi ruang kediaman penuh dengan gelagat, gelak tawa dan tangisan Adha. Suraya dan Nash menatang Adha bagaikan minyak yang penuh. Begitu juga Adam. Orang dah lama teringin nak dapat adik la katakan. Sekarang dah jadi abang long. Tahun depan sudah 14 tahun.
Nash gembira menyaksikan anak-anak membesar di depan mata. Inilah memori terindah seorang bapa. Satu kerugian besar kepada para ibu bapa yang tidak berpeluang melihat gelagat anak-anak membesar di depan mata.
Setiap masa dia berdoa agar kedua zuriatnya ini kelak menjadi insan yang berguna untuk berbakti kepada masyarakat, agama dan negara.
18/3/2020
Negara digemparkan dengan pengumuman perintah kawalan pergerakan akibat wabak covid19 yang melanda seluruh dunia. Setiap hari ribuan kes jangkitan dan kematian dicatatkan dengan jumlahnya yang semakin meningkat di seluruh dunia.
Pengumuman Perdana Menteri secara langsung disiarkan di semua rangkaian saluran televisyen dan radio termasuk internet di seluruh negara. PKP telah diisytiharkan berlanjutan sehingga hari raya Aidilfitri.
Nas melepak bersama jiran-jirang terdekatnya di kawasan tertutup apartment mereka. Setakat ini hanya satu kes covid dikesan dalam kawasan apartmentnya namun keadaan penduduk dilaporkan terkawal dan tidak panik dengan situasi tersebut.
Setiap malam Nash akan berbual, vaping sambil minum kopi yang dibancuh sendiri di pondok persatuan penduduk. Disebabkan kawasan kediaman Nash berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan, dia bebas berkumpul dengan rakan-rakan setiap malam walaupun tindakan itu menyalahi peraturan PKP.
Begitulah rutin Nash setiap malam sewaktu tempoh PKP. Siang harinya dia bekerja dari rumah. Bila malam menjelma, jam 10 malam sehingga subuh Nash akan menghabiskan masa bersama jiran-jirannya.
Sebenarnya, Nash rindu untuk bermesra dengan Suraya. Sudah lama. Sejak dari Adha lahir hingga kini, Suraya bukan lagi seperti sewaktu awal yang dikenalinya. Jika dahulu setiap kali Nash berkehendak, Suraya tidak pernah menolak. Mereka tidaklah terlalu aktif bersama. Jika dahulu, paling kurang sebulan sekali atau lebih mereka berdua akan bersama. Namun kini tidak lagi. Suraya sering mengeluh keletihan dan tiada mood setiap kali diminta menjalankan kewajipan melayani Nash. Entah di mana silapnya Nash tidak tahu. Mungkin juga faktor usia semakin meningkat, penat melakukan tugas harian menjaga anak dan bekerja dalam waktu yang sama.
Nash pula bukan jenis lelaki yang memaksa. Jika salah seorang tidak bersedia, lebih baik tidak diteruskan. Nash sangat mementingkan kepuasan dari kedua-dua pihak. Itu lebih penting dari sekadar dinikmati oleh salah seorang dari mereka berdua. Itu yang Nash akan pastikan setiap kali hubungan badan dilakukan.
Suraya seorang suri rumah namun dalam waktu yang sama dia menjalankan bisnes kecil-kecilan dari rumah secara online. Kesibukan Suraya dalam menguruskan hal rumahtangga dan perniagaannya menyebabkan dia sering berasa letih dan tidak bermaya. Pada waktu malam, seawal jam 9 Suraya dan Adha akan masuk tidur manakala Adam leka bermain video game di ruang tamu.
Sejak kelahiran Adha, Nash dan Suraya tidak tidur bersama. Pada mulanya Nash ingin memberi keselesaan untuk Suraya menyusukan Adha di atas katil.Takut-takut juga kalau terganggu tidur bayinya sebab Nash ni dah dewasa pun boleh tahan lasak tidurnya. Sering berguling-guling ke kanan dan kiri semasa tidur. Pernah dulu dia terhempap Adam yang tidur di tengah katil. Sampai naik biru muka Adam menahan diri akibat dihempap Nash.
Sebab itu Nash ambil inisiatif tidur di luar. Dia tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi. Namun lama kelamaan, Suraya semakin terbiasa dan selesa tidur bersama Adha manakala Adam dan Nash tidur di ruang tamu.
Oleh itu setiap malam Nash hanya akan menghabiskan masa dengan membaca buku, mendengar lagu, menonton tv atau keluar melepak bersama rakan-rakan di kedai.
Apabila PKP dilaksanakan, setiap malam Nash akan melepak di pondok. Berbual-bual sehingga lewat pagi.
23/5/2020
Nash sibuk bersama Adam membeli bahan persediaan masakan juadah Hari Raya. Walaupun tidak dibenarkan pulang ke kampung, namun semangat menyambut perayaan tetap membara di jiwa. Raya tetap raya walau dalam keadaan apa sekali pun.
Ketika Nash dan Adam mengayam ketupat, Suraya pula menguruskan Adha sambil mengemas rumah dan menyediakan bahan masakan untuk berbuka. Masing-masing teruja melakukan tugasan.
Maklumlah kali pertama menyambut hari raya bersendirian seperti keluarga lain. Setelah mendengar laungan azan, mereka sekeluarga berbuka bersama-sama.
Selepas selesai solat isyak dan bertakbir, Nash bersendirian sambil menyedut vape di balkoni. Adam sudah keluar bermain mercun. Kemudian kedengaran bunyi panggilan telefon. Tertera nama Pn Faezah pada skrin.
"Eh, apasal tiba-tiba bos call aku time ni?" Getus Nash.
Jarang sekali dia mendapat panggilan dari pengarahnya terutama di luar waktu pejabat. Pastinya ia adalah sesuatu yang mustahak.
"Assalammualaikum puan"
'Waalaikumussalam. Nash, saya nak awak semak semua portal persidangan dan sistem-sistem lain sekarang !"
"Saya dapat screenshot dari En Azim tadi. Semua portal dan sistem kita kena hack. Saya nak awak check semuanya. Make sure takde data yang leak atau database hilang. Sistem back up pastikan up to date. At least satu hari sebelum kena hack. Kemudian tengok berapa banyak yang dah kena hack."
"What?" Nash terkejut.
"Yes. Someone put list dalam H-zone. Portal dan sistem application kita ada dalam senarai kena hack. Saya nak awak selesaikan segera. Ini melibatkan imej korporat jabatan kita. Saya nak kena jawab dengan MAMPU pasal insiden ni. Ketua Pengarah belum tau lagi pasal ni. Anything please tell me ASAP !"
"Faham puan. Saya cuba selesaikan secepat yang mungkin".
Nash mencapai laptop dan terus mengaktifkan capaian vpn untuk akses masuk ke rangkaian pejabatnya. Dia meneliti satu persatu senarai portal dan sistem aplikasi yang terjejas.
"Setan mana la yang menyusahkan aku time malam raya ni ?!" Rungut Nash sambil memeriksa satu persatu system log yang ada.
Nash bertungkus lumus menyelesaikan satu persatu masalah yang berlaku secara memandangkan hanya dia yang memahami structure, coding dan framework untuk setiap portal dan aplikasi yang dibangunkan. Kesemuanya adalah 100% di bawah tanggungjawab Nash. Akhirnya segala penat lelah Nash berhasil apabila kesemua portal dan sistem aplikasi berjaya dipulihkan sepenuhnya. Hal ini berlarutan dari malam raya hingga hari raya yang ke-5.
Disebabkan insiden tersebut, Nash mengalami stress dan keletihan yang melampau. Dari siang, membawa kepada tengah malam serta berlanjutan sehingga ke waktu pagi memerah otak dan bersengkang mata.
Ketika ini Nash sangat memerlukan isterinya. Nash rindu untuk tidur bersebelahan isterinya. Bukan soal seks semata-mata, Nash rindu nak memeluk Suraya bagi menghilangkan rasa stress dan beban kerja yang sedang dihadapi.
Cukuplah isterinya memahami naluri keinginan seorang suami. Hanya ingin sesekali bermanja dan bermesra. Bukannya dia inginkan setiap masa, sebulan atau dua bulan sekali pun tak mengapa. Dia faham akan penat lelah isterinya mengurus anak dan rumahtangga.Tambahan sejak kelahiran Adha mereka belum pernah sekali pun bersama. Makanya malam ini dia terlalu rindu pada kehangatan tubuh Suraya. Namun begitu, hal sebaliknya pula yang berlaku.
"Ish, tepilah, lemas tau tak asyik nak menempek saja. Rimas!" Rengus Suraya, di tepis tangan suaminya sambil menjarakkan tubuh.
Suraya berasa sangat rimas dengan kehadiran Nash di atas katil, memeluk dan mengusap-usap perlahan tubuhnya. Ini bukan kali pertama berlaku tetapi peristiwa malam ini benar-benar menyentap hati Nash. Akibat dari tindakan Suraya, berlakunya pertengkaran antara mereka hingga Nash menjadi sangat tertekan lalu keluar dari rumah menuju ke pondok bertemu dengan jiran-jirannya yang sedang melepak.
Dari jauh Nash menghidu sesuatu.
"Demmm, lain macam baunya. Ada barang sedap ni. Dah bertahun-tahun tak pekena ni. Alang-alang tengah sakit hati ni." Sudah lama Nash tidak menyentuh bahan terlarang itu. Kali terakhir sewaktu dia belajar di IPT. Itu pun sekadar mencuba dan pengaruh dari rakan-rakan.
Nash nekad menuju ke pondok. Dia tak peduli. Jiwa dan hatinya sedang panas dan perlukan sesuatu yang mampu menenangkan dirinya.
"Woit, ada barang baik tak ajak eh." Sapa Nash.
"Braderrrrr.. jemput masuk braderrr. Hari ni dalam sejarah. Tak pernah jadi lagi niiii. Brader Nash kita yang datang mintak. Selalu mengelak je... Hehehe..." sahut Zamri seperti sedang lalok. Dia tersenyum sambil menyedut gulungan di bibir kemudian dihulurkan kepada Nash.
Jelas kelihatan wajah gembira Zamri melihat Nash datang mencemar duli di pondok untuk menghisap ganja. Sebelum ni dah kerap dia offer layan balut tapi Nash sentiasa menolak sebab dia nak sentiasa 'clean'.
Nash menyedut semahunya tembakau daun yang sudah di 'cai' dengan 'herba ajaib'. Nash kini tenggelam dalam khayalan. Matanya semakin kuyu. Segala apa yang berada di sekelilingnya terlihat bergerak dengan perlahan.
Nash tersenyum dan ketawa mengekek tidak henti-henti. Tidak pasti apa yang kelakar apabila melihat seekor kucing sedang qada hajat di tepi pondok.
"Apehal mamat ni? Takkan tak pernah tengok kucing berak? Tengok kucing berak pun kau nak gelak. Amende yang kelakar sial?" Mungkin itu suara hati dari kucing yang Nash namakan sebagai Mona.
Nash masih tersengih ketawa memandang Mona yang sedang melepaskan hajat. Ini menyebabkan Mona sangat bengang dan berlalu pergi.
"Meoww..." Kata si Mona yang bermaksud, "Lahanat kau. Nak aje aku cakar muka kau. Aku nak berak pun tak senang. Menyirap betul la. Ah, besok pun boleh berak apa."
Selang beberapa langkah, Mona berpatah balik kerana terlupa untuk menutup semula najis yang ditinggalkannya.
"Najis kita, tanggungjawab kita'. Jyeah!" Terkial-kial Mona mengais pasir untuk menutup najisnya. Mona mencium-cium kawasan sekitar.
Itulah prinsip yang dipegang oleh Mona setelah dibuang keluarga oleh tuannya akibat berak di atas sejadah yang mahal. Kini Mona hidup berdikari seekor diri. Mona benar-benar menyesal akan perbuatan lampaunya kerana sehingga kini tiada manusia yang mahu mengambilnya menjadi sebahagian dari keluarga.
Puas Mona mengiau-ngiau menggedik manja menggeselkan badan pada kaki manusia namun penerajang sulung yang diterima. Setelah berpuas hati, Mona berlalu pergi menuju ke restoran siam berdekatan untuk meminta makanan pada pelanggan dengan harapan tidak dilibas dengan penyapu oleh tokey kedai.
Nash semakin mengekek ketawa melihat gelagat Mona, biar pun ianya hanya seekor kucing betina. Dia gembira dan terhibur.
"No.. woman no cry.. kawan-kawan. Ingatlah pesan hamba ini. Setiap insan yang berbuat baik sesama insan sudah pasti akan memperolehi GANJAaaaaaarannya" kata Nash lagak gaya seperti Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
"Dah sampai dah brader kita ni. Cepat betul naik ke bulan" ujar Zamri tersengih-sengih.
Hilang terus segala tekanan yang di alami Nash kini. Otaknya yang kusut mulai kosong, jiwa tenang menguasai perasaan. Ternyata, bahan terlarang yang di ambil itu menjadi pengubat di kala dia dilanda kekusutan. Nash terus bergelak ketawa bersama kawan-kawannya hingga ke pagi.
Yang penting hatinya gembira!
Share this novel