Selepas mengetahui bahawa Dato David adalah bapa kepada Aria, Raqnid terasa seperti ditimpa ribut di lautan yang tenang. Dia terbaring sakit, badannya demam dan kepala terasa berat. Kesedaran bahawa individu yang selama ini dia benci adalah ayah kepada teman wanitanya, Aria, menimbulkan kebingungan dan kekecewaan yang sukar untuk ditangani.
Dalam keadaan yang penuh konflik ini, Raqnid berdepan dengan pertanyaan yang melanda jiwa dan hatinya. Budak perempuan yang menjadi sebab dia dan keluarganya terjebak dalam kemalangan itu ternyata adalah Aria sendiri. Rasanya dia diliputi oleh perasaan campur baur antara kemarahan dan kebingungan. Dia tidak pasti bagaimana harus bertindak atau merespon situasi yang rumit ini.
Setelah malam itu, Raqnid jarang sekali menjawab mesej atau panggilan dari Aria. Walau kadang-kadang dia memberi jawapan ringkas, namun jelas terasa jarak emosional yang terbina di antara mereka. Aria terus mengirimkan mesej, memberitahu tentang kebimbangan dan keresahannya akan keadaan Raqnid.
"Jangan risau, saya okey! Dua tiga hari saya sihat laa!" ujar Raqnid pada Aria melalui panggilan telefon. Suara lemahnya menandakan kesungguhan dalam menyembunyikan perasaan yang kacau-balau.
Aria menanggapi dengan hati yang penuh kepedulian, "Baiklah, jangan lupa makan ubat!"
Minggu berlalu tanpa penyelesaian yang jelas bagi Raqnid. Setiap kali dia berdepan dengan Aria, dia berasa seperti terperangkap dalam pusaran emosi yang tidak dapat dipecahkan. Aria terus berusaha untuk memastikan keadaan Raqnid, tetapi Raqnid merasakan dirinya semakin terpinggir dari kehidupan normalnya.
Dalam diam, Raqnid mula merasakan dirinya terpisah dari dunia luar. Setiap pandangan mata yang melihatinya, dia berasa seperti diselubungi dengan kehancuran yang tak terucapkan. Dia cuba memendam perasaannya, cuba menyembunyikan segala emosi yang melanda hatinya. Namun, dalam keheningan malam, dia terus bergelut dengan pertanyaan yang memenjaranya.
"Apa yang patut aku lakukan?" gumam Raqnid sendiri dalam kegelisahan. "Adakah aku harus memberitahu Aria kebenaran yang memilukan ini? Atau adakah aku harus terus menyembunyikan perasaan ini di dalam diriku?"
Setiap langkah yang diambilnya terasa seperti langkah di atas bara yang menyala-nyala. Tidak pasti, tidak jelas, dan tidak ada yang memberikan petunjuk. Hidupnya, yang sebelumnya terasa teratur dan terarah, kini berubah menjadi labirin emosi yang tak terkendali.
Dalam kebingungan dan kekosongan, Raqnid terus menanti petunjuk yang mungkin membimbingnya keluar dari kegelapan yang merangkumi hatinya. Mungkin suatu hari nanti, cahaya akan menerangi jalan baginya, dan dia akan menemukan jawapan yang dia cari. Tetapi sehingga saat itu tiba, dia terus merangkak di dalam kegelapan, mencari-cari sinar harapan yang mungkin membawanya pulang.
-----------------------------------------------------------------
Ketika Aria bersama Alya menikmati waktu rehat di kedai nenek Siti, suasana tenang yang biasa mereka nikmati terganggu oleh kekecewaan Aria. Meskipun makanan yang disediakan oleh nenek Siti sedap, namun perasaan Aria terus merenung ke telefonnya yang tidak kunjung mendapat respons dari Raqnid.
Dengan hati yang berat, Aria terus menghantar mesej kepada Raqnid, namun hanya mendapat balasan yang sepatah-sepatah. Kekecewaan yang memuncak membuatnya menutup telefon dengan kasar, meletakkannya di atas meja dengan gerakan tegas.
Alya, yang duduk di hadapan Aria, dapat merasakan ketegangan yang meliputi temannya itu. Namun, dia memilih untuk bertanya dengan santai, seolah-olah tidak menyedari keadaan sebenar.
"Kenapa?" tanya Alya, mencuba untuk memahami apa yang sedang berlaku.
Aria memandang ke arah Alya, berfikir sejenak sama ada dia mahu berkongsi masalahnya atau tidak. Akhirnya, dia memilih untuk mengelak daripada memberitahu masalahnya secara terus, dan memilih untuk bertanya soalan yang dapat membuka pintu ke arah penyelesaian.
"Alya, kalau seseorang yang kau kenal, jarang-jarang balas mesej kau... Kenapa ye?" Aria bertanya, berharap Alya dapat memberikan pandangan yang membantu.
"Ahhh, bergantung laa!" jawab Alya dengan singkat, mencetuskan minat Aria untuk mengetahui lebih lanjut.
"Bergantung macam mana tu?" tanya Aria, ingin mendapatkan pandangan lebih mendalam.
Alya memegang dagunya, berpikir sejenak sebelum menjawab, "Bergantung! Orang tu, siapa bagi kau? Dia pekerja ke? Kawan ke? Jiran ke?" Alya berusaha menggali makna di sebalik keadaan Aria dengan pertanyaan sebegitu.
"Ahhh.." Aria berfikir sejenak bagaimana dia hendak mengungkapkan hubungannya dengan Raqnid tanpa mendedahkan terlalu banyak kepada Alya.
"Kawan!" jawab Aria, memilih untuk menyembunyikan beberapa fakta untuk menjaga keamanan hatinya.
“Kawan ye? Biasalah laa tuh, dia bukan teman lelaki kau, nak balas mesej kau selalu!” jawab Alya, tidak memberikan jawapan sebetulnya sehingga rakannya bercerita benar.
Walaupun begitu, terlukis kekecewaan yang mendalam di wajah Aria apabila jawapan yang diharapkan tidak kunjung tiba.
Alya, pula, mula merasa keliru. Dia sudah mencuba pelbagai cara untuk membuka mulut Aria tentang teman lelaki barunya, tetapi seperti mencari jarum dalam tumpukan jerami. Semakin dia mencuba, semakin sulit untuk memahami keadaan sebenar.
“Ahhh! Centu ye!” desis Aria dengan nada kecewa yang tidak dapat dikesan.
Merasa betapa tegangnya situasi itu, Alya akhirnya menyerah kalah. Dia merasakan bahawa dia telah kehabisan idea untuk mengajak Aria bercerita tentang lelaki yang kini menghiasi mindanya.
Namun, tiba-tiba sahaja, Alya membuat keputusan untuk mengambil risiko. Dia memutuskan untuk bertindak lebih jujur.
“Hurghh, teman lelaki kau kan?” desak Alya, tanpa berbelit-belit lagi.
Seolah-olah ditangkap basah, Aria terkejut dengan soalan tiba-tiba sahabatnya itu. Walaupun dia berusaha untuk menyembunyikan perasaannya, lakonannya terlalu jelas untuk disembunyikan.
“Huh? Teman lelaki aku?” Aria pura-pura terkejut.
“Tak payah nak berlakon sangat, buat-buat tak tahu! Aku dah tahulah, kau dah ada teman lelaki!” ujar Alya tanpa menahan lagi.
Tiba-tiba, Aria terasa seperti dunianya runtuh. Dia tidak pernah menyangka bahawa rahsia itu akan terbongkar, dan lagi, oleh sahabat karibnya sendiri.
“Aaa.. Hhh.. Ma—cam mana?” Aria terkedu, mencuba menangkis serangan Alya.
“Kau tu obvious sangat! Tau laa, first time bercinta.. Tersenyum-senyum sorang diri mengadap phone kau tu! Kau ingat siapa je tak tahu?” cetus Alya tanpa berbelah bahagi.
Aria merasa dirinya semakin terjerat dalam permainan sahabatnya. Dia terpaksa mengakui yang sebenarnya, tetapi rasa malu dan ketakutan meresap dalam dirinya.
“Ye ke? Jangan cakap, satu office dah tahu?” desak Aria, penuh kegelisahan.
“Tak mustahil!” jawab Alya dengan selamba.
“Apaaaa!” desis Aria, sambil menutup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangannya, malu yang memuncak.
“Hurghh, jangan risau! Buat masa ni, aku rasa aku sorang je tahu!” kata Alya, cuba menenangkan sahabatnya.
Walaupun hatinya masih berdegup laju, Aria merasa lega bahawa sekurang-kurangnya rahsia itu masih belum tersebar luas.
Aria menjenguk kepalanya melihat Alya melalui celah-celah jarinya. "Betul ke?"
Alya hanya mengangguk walaupun dia sendiri tidak pasti.
Aria membuka semula wajahnya daripada ditutup tangannya. Dia mengambil air lalu diminum sambil tangan kirinya mengibas-ngibas dirinya yang sedang panas tentang perkara itu. Dalam masa yang sama, dia juga malu bagaimana dia hendak berbual dengan Alya tentangnya.
Namun, Alya juga arif tentang hal ini. Mana-mana perempuan akan hilang perasaan malu dan benteng yang menghalang mereka untuk berbual mengenai lelaki akan runtuh apabila bertemu dengan Alya. Alya cukup tahu bagaimana memulakan perbualan itu.
"Jadi, teman lelaki kau, jarang-jarang balas mesej kau?" tanya Alya semula, menghulurkan pertanyaan dengan lebih terperinci.
Aria hanya mengangguk, merah padam wajahnya.
"Selalunya dalam kes macam ni, ada dua kemungkinan. Entah lelaki tu dah tak minat kat kau, atau dia tengah main belakang dengan kau." jawab Alya tanpa teragak-agak.
"Huh! Bubu—kan ke, dua-dua sama je?" Aria mula tidak sedap hati.
"Tak sama langsung! Kalau dia dah tak minat, dia akan putuskan hubungan. Tapi kalau dia main belakang, dia takkan putus sebab dia cuma nak main-main dengan perempuan lain," terang Alya.
Aria terdiam, serba salah dengan pemikiran buruk tentang Raqnid yang kini menerpa kepalanya. Dia tidak pernah membayangkan perkara sebegitu buruk sebelum ini. Namun, dia cuba menolak semua itu dalam hatinya..
Alya meneruskan, "Mereka selalu bagi alasan sibuk, sakit, tak ada line…" Alya menyenaraikan hampir 10 alasan yang biasa diberikan oleh lelaki.
Aria terkejut apabila salah satu daripada alasan yang disebut oleh Alya begitu tepat mengenai situasinya.
Alya melihat kawannya tiba-tiba menjadi bisu. "Jan—gan cakap? Apa kata-kata aku—," Alya menutup mulutnya dengan tangan kanannya, tidak percaya.
Aria bangun dari kerusinya dengan serta-merta dan melangkah keluar dari gerai tersebut tanpa berkata sepatah kata pun.
"Oi, Aria! Kau nak pergi mana tu? Makanan kita belum sampai lagi!" jerit Alya memanggil kawannya.
Aria pulang ke pejabat, sambil memandu dia menelefon Raqnid berkali-kali namun tidak dapat dihubungi.
"Tak mungkin—!" Aria tidak mempercayai kata-kata Alya tetapi, dia perlu buktikan dengan matanya sendiri bahawa perkara itu tidak benar.
Di pejabat, dia terus menuju ke meja kerjanya dengan perasaan yang tidak tenteram. Wajah-wajah pekerjanya yang melihatnya masuk nampak terkejut dengan ekspresinya yang gelisah.
Aria mengambil telefon bimbitnya dan cuba lagi menelefon Raqnid. Namun, panggilan itu tetap tidak dijawab. Tidak mungkin dia boleh menunggu lebih lama lagi.
Dalam ketakutan yang semakin membesar, Aria mula menghadapi kenyataan yang pahit. Apa yang Alya katakan mula meresap dalam fikirannya, walaupun dia masih enggan mempercayainya sepenuhnya.
"Dia mungkin betul," bisik hatinya dalam kesedihan yang mendalam. Tetapi dia tidak boleh terus bergantung kepada kata-kata orang lain. Dia perlu mencari kebenaran sendiri.
Share this novel