Ruang tamu banglo besar itu kembali sunyi pada malam Jumaat. Hanya bunyi kipas siling yang berpusing perlahan menemani Puan Badariah yang sedang duduk bersandar di sofa. Wajahnya serius, matanya menatap kosong ke arah vas bunga di atas meja. Sejak Yasmin mula menetap di rumah itu, hatinya tidak pernah benar-benar tenteram.
Walaupun di hadapan Yasmin dia cuba melayan lembut, namun di sudut hati kecilnya masih wujud rasa ragu dan tidak puas hati. Yasmin mungkin menantu yang baik, tetapi Puan Badariah tetap melihatnya sebagai penghalang kepada kebahagiaan anak lelakinya. Baginya, Rayqal terlalu banyak berkorban untuk perempuan itu, seolah-olah cinta kepada Yasmin sudah membutakan mata.
“Mama takkan biar benda ni berlarutan…” bisiknya perlahan, suaranya penuh tekad.
Sejak beberapa hari lalu, Puan Badariah sudah mengatur sesuatu. Bukan mudah untuk seorang ibu mengambil langkah seperti itu, tetapi dia yakin tindakannya untuk “menguji” Yasmin adalah jalan terbaik. Jika benar Yasmin setia, dia akan bertahan. Jika tidak, maka lebih baik hubungan mereka berakhir sebelum Rayqal semakin tenggelam dalam cinta yang membinasakan.
Dia mengeluarkan telefon bimbit, membuka satu nombor yang telah disimpan sejak minggu lalu. Nama lelaki itu hanya disimpan sebagai Farid Projek.
“Farid, semuanya berjalan ikut rancangan?” soal Puan Badariah sebaik panggilan berjawab.
Di hujung talian, suara lelaki muda kedengaran yakin. “Jangan risau, Puan. Esok pagi penghantaran pertama akan sampai. Saya sendiri akan pastikan bunga itu dihantar terus ke rumah Puan.”
“Bagus. Jangan lupa sertakan kad tu,” arah Puan Badariah tegas.
“Ya, Puan. Kad dengan puisi itu sudah siap. Saya pasti bila Encik Rayqal baca, dia akan marah. Semua nampak seolah-olah ada lelaki lain cuba pikat isteri dia.”
Puan Badariah menghela nafas lega. “Baik. Saya akan pastikan Rayqal ada di rumah esok. Ingat, ini hanya permulaan. Jangan silap langkah.”
Sebaik panggilan tamat, senyuman kecil terbit di bibirnya. Dia yakin rancangan ini akan menggoncang Yasmin. Sama ada Yasmin mampu menahan badai itu atau tidak, itu soal kedua. Yang penting, Rayqal perlu sedar bahawa isterinya bukanlah wanita sempurna seperti yang selalu dia bayangkan.
Pagi keesokan harinya, suasana di banglo itu tenang. Yasmin sibuk di dapur menyediakan sarapan. Rayqal pula duduk di ruang tamu, membaca akhbar sambil sesekali meneguk kopi yang sudah dibancuh isterinya.
“Awak ada mesyuarat ke hari ni?” tanya Yasmin sambil meletakkan pinggan roti bakar di atas meja.
Rayqal mengangguk. “Ada. Tengah hari nanti saya kena keluar. Tapi pagi ni saya nak duduk rumah dulu. Rasa malas nak ke pejabat awal-awal.”
Yasmin tersenyum, lega mendengar suaminya sudi meluangkan masa di rumah. Hubungan mereka memang semakin baik sejak pulang dari bulan madu. Rayqal lebih penyabar, lebih penyayang. Dan Yasmin sendiri sudah mula belajar membuka hati semula.
Namun ketenangan pagi itu tidak bertahan lama.
Bunyi hon dari luar mengejutkan mereka berdua. Yasmin menyangka mungkin posmen atau penghantar barang, lalu dia segera berjalan ke pintu. Dari jendela, dia nampak sebuah van kecil berhenti di hadapan pagar. Seorang lelaki muda berbaju kemas turun sambil membawa sejambak bunga ros merah besar yang dihias indah.
Yasmin terpinga. “Bunga?”
Lelaki itu melambai, memberi isyarat mahu menghantar sesuatu. Yasmin melangkah keluar, menekan butang pagar automatik. Sejurus lelaki itu masuk, dia terus menyerahkan jambangan bunga segar itu bersama sekeping kad kecil.
“Untuk Puan Yasmin,” katanya dengan senyum ramah.
“Untuk saya?” Yasmin terkejut, tangannya teragak-agak menerima jambangan itu.
Sebelum dia sempat bertanya lebih lanjut, Rayqal sudah muncul di muka pintu. Wajahnya serta-merta berubah melihat bunga besar di tangan Yasmin. Pandangan matanya tajam, penuh tanda tanya.
“Min… apa tu?” suaranya dalam, menahan amarah.
Yasmin tergamam. Dia berpaling ke arah lelaki penghantar. “Siapa yang hantar ni?”
Lelaki itu mengangguk hormat. “Ada orang tempah, Puan. Katanya untuk puan Yasmin tercinta. Itu saja yang saya tahu. Maaf, saya perlu pergi.” Dia segera meninggalkan kawasan rumah sebelum Yasmin sempat bertanya lebih lanjut.
Rayqal melangkah mendekat, merampas kad kecil dari jambangan itu. Tangannya bergetar saat membaca bait puisi yang tertulis dengan tulisan kemas:
“Untukmu, wanita yang selalu hadir dalam mimpiku. Senyummu adalah cahaya, suaramu adalah penawar.
Aku akan menunggu, walau seribu tahun lagi, kerana cintaku hanya untukmu, Yasmin.”
Rayqal mengetap rahang. Matanya merah menahan marah. “Apa maksud semua ni, Min? Siapa yang berani tulis benda macam ni?”
“Ray, saya tak tahu! Saya sumpah saya tak tahu!” Yasmin tergagap, panik. Dia cuba meraih tangan suaminya, tetapi Rayqal cepat mengelak.
“Jangan sentuh saya, Min. Awak nak cakap ni semua kebetulan? Puisi ni, bunga ni… semuanya dihantar dengan nama awak!”
Air mata Yasmin mula bergenang. “Saya tak pernah kenal sesiapa, Ray. Saya tak tahu siapa buat semua ni!”
Suasana jadi tegang. Puan Badariah yang sejak tadi mengintai dari tingkat atas segera turun dengan wajah berpura-pura terkejut.
“Astagfirullah… Min, siapa pula hantar bunga pagi-pagi macam ni?” soalnya, nada penuh drama.
Yasmin menunduk, air matanya jatuh. “Saya betul-betul tak tahu, Mama…”
Rayqal masih berdiri kaku, tangannya menggenggam kad itu sehingga renyuk. Nafasnya kasar, dadanya turun naik menahan cemburu.
“Ray…” Yasmin merayu, suaranya serak. “Percayalah saya. Saya tak ada apa-apa hubungan dengan sesiapa. Saya hanya ada awak.”
Namun kata-kata itu tidak cukup meredakan hati Rayqal yang sedang terbakar. Dia melangkah masuk semula ke dalam rumah, meninggalkan Yasmin termangu di muka pintu dengan jambangan bunga di tangan.
Petang itu, suasana rumah dingin. Rayqal berdiam diri di bilik kerjanya. Yasmin pula menangis di kamar, hatinya hancur kerana fitnah yang tidak pernah dia bayangkan.
Puan Badariah masuk perlahan, pura-pura bersimpati. Dia duduk di sisi Yasmin, menepuk bahunya lembut.
“Min… Mama percaya kamu tak buat salah. Tapi lelaki mana sanggup hantar bunga macam tu kalau tak ada sebab?”
Yasmin mendongak, matanya merah. “Mama, saya tak pernah kenal sesiapa. Demi Allah, saya tak tahu siapa buat ni!”
Puan Badariah menghela nafas, menunduk kononnya risau. “Mama takut Rayqal tak boleh terima, Min. Dia lelaki… cemburu darah daging dia. Mama harap kamu kuat. Kalau betul kamu setia, biar masa buktikan.”
Yasmin hanya menangis, tidak mampu membalas kata-kata itu. Hatinya semakin remuk, terasa seperti dia sedang dihukum atas kesalahan yang tidak pernah dia lakukan.
Malam itu, Rayqal pulang lewat dari bilik kerjanya. Dia masuk ke kamar, melihat Yasmin yang sedang duduk di tepi katil dengan wajah sugul.
“Ray…” Yasmin cuba bersuara, namun suaminya hanya diam, membuka baju dan terus berbaring tanpa memandang wajahnya.
“Ray, awak marah pada saya?” tanyanya perlahan.
“Awak sendiri tahu jawapan tu,” balas Rayqal pendek.
Air mata Yasmin menitis lagi. Dia tahu fitnah itu telah berjaya mengoyakkan kepercayaan yang baru mereka bina.
Namun jauh di sudut hati Rayqal, ada suara kecil yang berbisik mungkin Min benar-benar tidak tahu apa-apa. Tetapi egonya masih menolak untuk percaya bulat-bulat. Rasa cemburu itu terlalu kuat, menutup kewarasan fikirannya.
Dan di tingkat atas, Puan Badariah duduk di kerusinya sambil menatap ke luar tingkap. Senyum halus terukir di bibirnya.
“Ini baru permulaan, Min. Kita tengok sejauh mana kamu boleh bertahan.”
Keesokan harinya, Yasmin bangun dengan wajah sembap. Namun dia tetap berusaha menyiapkan sarapan seperti biasa. Dia tidak mahu menunjukkan kelemahannya lagi. Tetapi di dalam hati, hanya Allah tahu betapa pedihnya perasaan difitnah dengan cara begitu.
Rayqal turun tanpa banyak bicara. Dia makan beberapa suap, kemudian bangun meninggalkan meja. Yasmin hanya mampu memandang, bibirnya menggigil.
Deya menelefon pagi itu, mengajaknya datang ke kedai. Yasmin hampir setuju, tetapi akhirnya menolak. Dia tahu kalau dia keluar rumah, Rayqal akan lebih marah. Dia mahu buktikan bahawa dirinya tidak bersalah, walaupun harus menahan diri.
Namun Puan Badariah tidak berhenti di situ. Rancangannya belum selesai. Dia sudah menempah penghantaran kedua kali ini lebih besar, lebih provokatif.
Dan Yasmin tidak tahu, badai yang lebih dahsyat sedang menunggu.
Ruang dapur banglo itu petang itu sibuk dengan bunyi senduk berlaga kuali, air paip mengalir, dan suara lembut Yasmin yang sedang memberi arahan pada pembantu rumah. Wajahnya kelihatan tenang, walaupun penat masih bersisa selepas semalaman menangis. Dia mahu cuba memulakan hari baru dengan lebih baik, dan caranya adalah dengan memasak sendiri untuk Rayqal.
“Min sendiri nak masak? Biar kami yang uruskan,” kata salah seorang maid, memandangnya simpati.
Yasmin tersenyum kecil, menunduk. “Tak apa. Saya nak buat sendiri. Saya nak Ray tahu… saya masih peduli pada dia.”
Kata-kata itu sempat singgah di telinga Puan Badariah yang berdiri di tepi pintu dapur. Pandangannya tajam menikam ke arah menantunya itu. Dari cara Yasmin mengadun sup dan menumis bawang, jelas dia benar-benar berusaha untuk memenangi hati Rayqal semula.
Namun bagi Puan Badariah, itu semua hanya helah. “Perempuan tu pandai berpura-pura. Nak tunjuk konon isteri solehah depan anak aku,” bisiknya dalam hati.
Saat Yasmin meminta izin untuk ke bilik air sebentar, Puan Badariah yang sejak tadi hanya memerhati mula bergerak. Dua orang maid sedang sibuk mengupas bawang di sudut dapur, membelakangi periuk besar yang terletak di atas dapur gas. Inilah peluang yang ditunggu.
Dengan langkah tergesa, dia menyeluk beg tangan kecilnya dan mengeluarkan sebotol kecil berisi cecair jernih. Wajahnya serius, matanya liar memandang kiri dan kanan.
“Cepat sebelum dia datang balik…” bisiknya, jantung berdebar kencang.
Dia membuka penutup botol dengan hati-hati. Bunyi klik halus bergema, membuatkan tangannya sedikit menggigil. Tanpa berfikir panjang, dia berlari kecil ke arah periuk di mana masakan Yasmin sedang mendidih.
Satu renungan terakhir pada dua maid yang masih asyik dengan kerja masing-masing, lalu dia menuangkan beberapa titis cecair itu ke dalam kuah yang sedang mengepul. Bau harum bawang putih dan rempah segera bercampur dengan bau aneh, tetapi cepat hilang ditelan wap panas.
Sebaik sahaja cairan itu tenggelam dalam kuah, Puan Badariah menutup semula botol, menyumbatnya ke dalam beg tangan dengan pantas. Nafasnya turun naik, wajahnya pucat.
Namun di bibirnya terukir senyuman nipis. “Kita tengok, Min. Kau nak ambil hati Ray? Aku akan pastikan sebaliknya berlaku.”
Belum sempat Yasmin kembali, Puan Badariah sudah kembali berdiri di tepi pintu dapur, wajahnya tenang seolah-olah tiada apa berlaku.
Share this novel