Bab 26: Aku Tak Selesa Kau Dengan Dia

Mature Content Series 3457

Pagi itu aku sampai lebih awal dari biasa. Walaupun lutut aku masih berbalut dan langkah aku sedikit perlahan, tapi semangat aku melambung tinggi. Cuaca redup, angin pagi lembut menyapa wajah. Bunyi senduk berlaga dengan kuali dah kedengaran dari dapur stall. Hari ni, aku tak sabar nak mulakan.

Deya sedang menyusun bahan-bahan mentah dengan cekap. Satu-satu disusun dalam bekas, macam nak masuk rancangan masak. Faizal pula tengah lap meja dengan gaya ala-ala ‘abang long kawasan’ yang selalu buat aku dan Deya geleng kepala.

“Min, pagi tadi aku pesan dekat Faizal. Jangan lupa bagi kau ubat luka tu. Dia yang belikan semalam,” kata Deya sambil senyum senget. Mata dia sempat jeling Faizal.

Faizal lambai tangan ke arah aku. “Lepas sapu ubat, jangan lupa minum air banyak tau. Saya tahu Min ni degil.”

Aku ketawa kecil. “Awak ni macam abang long kawasan pula.”

“Abang long Deya je,” jawab Faizal sambil peluk pinggang Deya dari belakang. Deya menjerit kecil, tapi senyum dia lebar.

Aku hanya memerhati. Bahagia betul dua manusia ni. Tak payah sembang lebih pun, cara mereka layan satu sama lain pun dah cukup buat aku tahu mereka saling cinta.

Dan dalam diam, aku rasa... kosong.

Tak tahu kenapa, aku rasa macam jadi penonton dalam kehidupan sendiri. Aku ketawa, aku senyum, tapi dalam hati... ada ruang yang sunyi.

Dan saat aku pandang ke arah jalan utama, langkah seseorang masuk dalam pandangan.

Rayqal.

Dia datang dengan langkah tenang. Baju kemeja putih, seluar slack gelap, rambut sikat tepi dia nampak segak macam biasa. Tapi pandangan mata dia... lain. Tegas. Fokus. Dan terus pada aku.

“Min...” suara dia lembut. Tapi ada nada pelik dalam sebutan tu. Ada sesuatu yang dia tahan dalam nada tu.

Dia sempat pandang Faizal dan Deya. Faizal terus lambai. “Bro! Min okay dah, jangan risau. Pagi ni dia sampai awal lagi dari kami.”

Rayqal angguk. Senyum nipis. Tapi mata dia tak lepas dari tengok Faizal. Sampai waktu Faizal hulur kotak ubat ke arah aku dan berkata,

“Ni, kalau Min tak larat nak sapu sendiri, saya boleh tolong sapukan.”

Dan waktu itulah…

Rayqal terbatuk.

Bukan batuk biasa. Batuk palsu. Sangat ketara.

Aku jeling dia. “Awak ni kenapa?” aku bisik sambil tunduk sikit, takut Deya dengar.

Rayqal senyum senget. “Tak ada apa. Cuma... mungkin saya patut jadi jururawat awak. Senang saya pantau awak siang malam.”

“Jangan mula...” aku kerut kening.

“Faizal nampak ambil berat. Macam… sangat ambil berat,” dia tambah, dengan nada tenang tapi tangan dia masuk poket dan telinga dia... merah.

Aku senyum kecil. Dalam hati aku tepuk tangan.

Dia cemburu.

“Dia memang baik,” aku jawab, sengaja tarik nada perlahan. “Prihatin. Lembut. Ambil berat. Macam ciri-ciri bakal.”

“Cukup,” Rayqal potong ayat aku.

Aku sengih. “Awak marah?”

“Saya tak marah. Saya cuma... tak selesa.”

Aku angkat kening. “Tak selesa saya rapat dengan Faizal?”

Dia tunduk sekejap. Nafas dia dalam.

“Saya tahu saya tak ada hak nak kawal hidup awak. Tapi saya manusia. Saya tak suka tengok awak... mesra dengan lelaki lain. Lagi-lagi yang bukan keluarga.”

Aku terkedu sekejap. Nada suara dia bukan nada cemburu buta. Nada jujur. Ikhlas. Dan... risau.

Aku peluk lengan sendiri. “Awak tahu saya tak ada apa-apa dengan Faizal, kan?”

“Saya tahu,” dia angguk perlahan. “Tapi bila saya tengok dia hulur ubat, senyum dekat awak... saya rasa saya patut buat semua tu. Bukan dia.”

Aku tak tahu nak jawab apa. Jantung aku mula laju.

Dia tarik kerusi plastik, duduk depan aku. “Bagi saya. Saya nak sapu ubat tu,” katanya perlahan.

Aku pandang dia. “Awak pandai ke?”

“Awak pun degil. Jadi kita sama-sama belajar.”

Dia buka kotak ubat perlahan, keluarkan kapas, antiseptik, dan luka kecil di lutut aku mula terasa sedikit pedih sebelum disentuh.

Sentuhan dia lembut. Mata dia tak lari dari luka aku. Tapi tangan dia sedikit menggigil. Entah sebab takut buat silap, atau sebab... dia terlalu rapat dengan aku waktu ni.

“Terima kasih,” aku bisik perlahan.

Dia tak jawab. Dia letak semula kapas ke dalam plastik, tutup botol ubat, dan buang tisu.

Kemudian, dia pandang aku.

“Min...”

“Hm?”

“Kalau saya beritahu perasaan sebenar saya dekat awak, awak sedia nak dengar?”

Aku terdiam.

“Awak tahu saya bukan jenis lelaki yang suka cakap banyak. Tapi saya... saya tak boleh tengok awak dengan orang lain dan buat-buat tak rasa apa.”

Dia telan air liur.

“Saya suka awak. Saya betul-betul suka awak. Dan saya tak nak simpan benda ni lagi.”

Aku pandang dia lama. Nafas aku tak teratur.

“Rayqal...”

“Kalau awak tak rasa benda yang sama, saya tak paksa. Tapi saya cuma nak awak tahu, cemburu saya bukan sebab saya tak percayakan awak. Tapi sebab saya sayang.”

Aku ketap bibir. Air mata aku tiba-tiba bergenang.

“Saya tak tahu nak jawab apa. Tapi... awak buat saya rasa selamat. Dan saya tak pernah rasa macam ni dengan sesiapa sebelum ni.”

Rayqal senyum perlahan. “Saya tunggu.”

Dan untuk pertama kali, aku percaya…
Mungkin cemburu dia bukan untuk miliki. Tapi untuk lindungi.

Aku bangun perlahan dari bangku panjang di belakang stall. Angin pagi masih bertiup perlahan, bawa sekali bau kuah lontong yang mula pekat atas dapur. Lutut aku masih rasa pedih, terutama bila bergerak terlalu cepat. Tapi yang lebih sakit sebenarnya bukan lutut…
Hati aku.

Letih. Tapi aku simpan semua tu dalam diam.

Bukan sebab aku kuat. Tapi sebab aku tak mahu nampak lemah. Terutama depan Deya. Kalau Deya tahu aku tengah serabut kepala otak, alamatnya dia akan buat aku bahan ketawa sampai minggu depan.

Aku duduk semula, tarik nafas dalam-dalam, dan cuba tenangkan fikiran. Tapi peliknya, makin aku cuba kosongkan kepala, makin penuh dia datang bayangan wajah Rayqal.

“Min…” suara Deya buat aku tersentak kecil.

Dia tiba-tiba muncul sebelah aku. Siap dengan pisau dan mangkuk bawang putih dalam tangan. Rambut dia diikat sanggul tinggi, apron comot dengan kesan kunyit dan sambal.

“Kau fikir apa dari tadi?” Dia kerut dahi, mata tak lepas dari aku.

Aku cepat-cepat geleng. “Tak apalah… aku kenyang.”

Kenyang.? Bohong paling murah aku pernah jual harini. Dan seperti biasa, Deya tak beli pun.

Dia jengil mata. “Kenyang kepala hotak kau.”

Aku terdiam. Nak balas pun lidah berat. Aku capai bawang putih dari dalam mangkuk, dan mula kupas. Kupas. Kupas. Kupas. Biar tangan sibuk. Bila tangan sibuk, otak kurang menjawab. Hati pun tak sempat nak rasa.

Tapi Deya... dia memang bukan jenis yang akan biar aku diam lama.

“Kau rasa... isteri Rayqal tu dah mengandung ke belum, eh? Mereka kan dah lama kahwin,” tanya dia selamba, sambil mata tetap pada pisau, tangan ligat memotong bawang macam soalan tu tak berat langsung.

CEKUP!

Jantung aku rasa macam kena cucuk dengan lidi sate. Mata aku tiba-tiba jadi kabur. Tangan menggigil sikit, tapi aku cepat-cepat tunduk, kononnya fokus pada bawang.

Kupas. Kupas laju-laju. Sampai isi bawang pun rasa aku dera dia.

Kenapa kau tanya sekarang, Deya?
Kenapa bila aku tengah nak tenangkan hati, kau tanya benda yang buat dada aku sesak semula?

Dan sebagai menambah garam di luka, Faizal tiba-tiba muncul, duduk mencangkung depan meja. Wajah dia relaks, tapi entah kenapa, aku rasa dunia aku makin sempit.

“Betul juga tu,” Faizal sambung. “Takkan dalam kereta dua-dua hari lepas tak sempat borak langsung?”

Aku telan air liur. Yang tak ada pun aku telan. Nak sembunyi rasa, tapi aku tahu muka aku ni dah tak reti berlakon.

Nak jawab apa?

Nak cakap Rayqal dah ceraikan isteri dia? Nak cerita masa dia demam, dia sebut nama aku sambil tangan dia genggam lengan aku macam nak lepas rasa yang terlalu lama dipendam?
Atau nak bagitahu yang dia sendiri pernah bisik, dia tak pernah anggap perempuan tu sebagai isteri pun?

Tak. Tak perlu.

Sebab aku siapa?

Aku bukan siapa-siapa.
Dalam kertas, dalam dunia luar, aku hanya kenalan. Kawan kerja. Penjual lontong. Dalam hidup Rayqal pun, aku masih samar-samar walaupun hatinya pernah beri tanda lain.

“Aku tak tahu… tanya pun malas.”
Itu je yang keluar dari mulut aku.

Faizal dan Deya saling berpandangan. Muka mereka jelas tunjuk, mereka tahu aku bohong. Tapi tak ada siapa yang berani gali lebih dalam. Mereka cuma biarkan aku kupas bawang dan perasaan aku sampai lumat.

Masa Rayqal hantar aku hari tu, dia tunggu sampai aku masuk pintu. Tapi aku sengaja tak tengok belakang. Tak mahu hati aku lembik lagi.

Mak dan abah tak sempat keluar rumah masa tu. Mujur. Kalau tidak, habis satu taman tahu kisah sebenar.
Aku memang licik. Licik sorok cerita.

Licik sorok rasa.

“Woi!” Tamparan kecil singgah di lengan aku. Aku tersentak.

Deya dah letak pisau, bersandar malas. “Termenung pulak!” suara dia kuat, sampai pelanggan meja hujung yang tengah makan lontong sempat jeling dua tiga saat.

Aku cepat-cepat jawab, “Aku tengah fikir, berapa banyak lagi bawang putih kau nak aku kupas ni. Nak buat stok peti sejuk ke sampai tiga tahun?”

Deya ketawa kecil. “Kau ni… kalau kerja dengan FBI, gerenti semua rahsia tak bocor. Power kau simpan rasa.”

Aku senyum nipis. Tapi senyum tu... tak sampai ke mata.

Aku tahu. Bukan semua rahsia boleh kekal dalam diam.Ada rahsia yang terlalu berat sampai akhirnya meletup sendiri.

Lepas waktu tengah hari, suasana stall mula reda. Pelanggan pun makin kurang. Aku duduk di tangga belakang, cuba ambil angin. Tangan aku masih bau bawang, tapi hati aku bau kenangan.

Langit mendung. Macam nak hujan.

Aku teringat balik apa Rayqal cakap dua hari lepas.

“Saya tak minta apa-apa dari awak, Min. Tapi saya tak boleh buat tak rasa bila saya tengok awak dengan orang lain.”

Itu ayat dia. Lembut. Tapi menikam.

Dan aku... diam. Tak balas. Tak janji apa-apa. Sebab aku takut. Takut kalau aku harap, aku kecewa lagi.

Aku tunduk. Pegang lutut yang masih berbalut. Luka tu lambat sembuh. Sama macam luka dalam hati.

Tiba-tiba ada bayang-bayang panjang muncul depan aku.

Aku angkat kepala.

Rayqal.

Dia berdiri diam. Pandang aku. Mata dia penuh sesuatu tapi aku tak pasti itu simpati, rindu... atau kecewa.

“Awak okey?” dia tanya perlahan.

Aku angguk. “Okey.”

Dia tarik nafas. “Saya tahu awak menyorok banyak benda.”

Aku diam.

“Saya tak paksa awak cerita. Tapi awak kena tahu, saya masih di sini... walaupun awak diam seribu bahasa.”

Aku pegang lengan baju sendiri. Angin mula bertiup. Dedaun gugur perlahan dari pokok jambu belakang stall.

“Awak tak perlu tunggu saya, Rayqal. Saya pun tak pasti hati saya sendiri,” suara aku hampir tenggelam dalam desiran angin.

Rayqal duduk perlahan di tangga sebelah aku. Dia tak pandang aku, tapi dia genggam lutut sendiri.

“Awak pernah rasa... sayang yang datang lambat, tapi kuat?”

Aku angkat kening.

“Sebab tu saya tak pernah rasa tenang bila jauh dari awak. Tapi saya diam. Saya pun takut.”

Dan waktu tu aku tahu. Diam kami dua-dua simpan cerita. Cerita yang bukan sekadar suka, tapi juga takut.
Takut terluka. Takut kecewa. Takut harapan tinggal angan.

Tapi kalau semua terus diam…
Bila cerita sebenar nak keluar?

Aku toleh ke arah dia.

“Kalau satu hari nanti saya berani cerita semuanya... awak akan dengar?”

Rayqal pandang aku. Pandangan yang buat jantung aku hampir lupa cara nak berdegup.

“Saya dah tunggu lama, Min. Satu hari lagi... saya sanggup tunggu.”

Dan waktu tu, langit mula menitis hujan. Tapi dalam hati aku… Cerita baru sedang mula ditulis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience