Bab 1: Kahwin? Tak Nak!

Short Story Series 383

Aku masih terbaring atas katil, memeluk bantal peluk biru kesayangan aku yang dah makin leper. Sejak tadi aku tak henti-henti memikirkan ayat abah:

“Kamu kahwin sajalah dengan kawan abah tu.”

Sumpah, aku rasa dunia aku gelap sekejap.

Bukannya aku tak nak kahwin. Aku pun ada hati dan perasaan. Aku pun nak rasa dicintai, dipeluk, dimanja, diberi bunga hari jadi... tapi bukan dengan kawan-kawan abah yang lebih sesuai jadi pengapit jenazah!

Telefon aku berbunyi.

Deya: "Min, jom lari dari rumah. Kita bukak kedai makan kat tepi pantai. Kau masak, aku jaga akaun. Kita tinggal dunia ni!"

Aku senyum kecil. Deya, kawan baik aku sejak sekolah rendah. Dialah tempat aku curah segala perasaan.

Dia tahu aku struggle dengan berat badan, tapi dia tak pernah body shaming aku macam orang lain. Malah dia pernah tumbuk mulut seorang lelaki sebab panggil aku ‘lemak bersepah’.

Aku balas ringkas.

Aku: “Tolong aku Deya… abah nak jual aku dekat warga emas!”

Tak sampai dua minit, Deya call. Aku jawab dalam esak tangis separuh drama separuh realiti.

“Min! Apa cerita ni? Siapa nak jual siapa? Aku datang sekarang!” jerit Deya di hujung talian.

“Abah aku… dia nak jodohkan aku dengan kawan dia! Ya Allah Deya, tua Deya… tua sangat! Aku tak nak kahwin, aku nak kurus dulu, aku nak bina hidup aku dulu. Kenapa semua orang macam tak bagi peluang aku berubah dulu?” Aku menangis perlahan.

Bukan sebab aku sedih sangat tentang kahwin tu, tapi sebab aku penat. Penat jadi ‘yang tak cukup’ dalam mata orang.

“Kau tak salah, Min. Dunia ni yang salah sebab ukur nilai manusia guna saiz pinggang. Jangan risau, aku ada plan. Esok kita keluar minum, aku nak tolong kau fikir jalan keluar,” Deya bersuara yakin.

Aku senyum. Dia tak pernah gagal buat aku rasa berani.

Keesokan paginya, aku turun dari bilik dengan muka kusut masai. Mak tengah masak di dapur, dan abah… sedang berbual dengan seseorang di ruang tamu. Suara lelaki. Suara asing. Suara yang dalam dan tenang.

“Min, turun sekejap. Kenalkan bakal suami kamu,” abah jerit dari ruang tamu.

Apa?!

Aku membatu di tangga.

Mata aku terbeliak. Jantung aku rasa macam nak tercabut. Serius ke ni? Abah buat prank ke? Ni mesti rancangan prank haram jadah yang masuk YouTube tu, kan?

Dengan kaki yang menggigil, aku turun juga. Langkah demi langkah, macam nak pergi ke tali gantung.

Dan di sofa kayu ruang tamu, duduk seorang lelaki. Tapi dia… dia tak tua. Malah dia nampak jauh dari ‘kerepot’. Kulit sawo matang, rambut hitam tersisir rapi, dan wajah… ya Allah… kenapa dia macam model katalog baju Melayu eksklusif?

Dia berdiri bila nampak aku. Senyum dia tenang, tapi tak angkuh.

“Assalamualaikum. Saya Rayqal,” katanya ringkas.

Rayqal? Bukan nama orang tua.

Aku terus pandang abah dengan mata membulat. “Abah?! Ni kawan abah ke?!”

Abah senyum sinis. “Kawan kerja abah. Dia anak kepada Dato’ Karim… majikan abah.”

Oh. Patutlah. Tapi tunggu, ni bermaksud…

“Dia muda. Kenapa dia setuju?!” aku bisik kepada abah, tapi suara aku agak kuat sampai Rayqal pandang semula dengan kening terangkat.

Abah angkat bahu. “Kamu tanya lah sendiri.”

“Maaf kalau saya buat awak tak selesa,” Rayqal bersuara tenang. “Tapi saya serius. Saya bukan dipaksa. Cuma… saya mahu kenal awak, Min. Kalau awak sudi bagi peluang.”

Aku rasa macam nak pitam. Kenapa lelaki kacak macam ni nak kahwin dengan aku? Aku ni siapa? Aku si gendut yang kena ejek seumur hidup.

Aku yang selalu sorok makan coklat waktu malam sebab malu kalau orang nampak aku makan manis.

Aku yang pakai baju saiz XXXL dan sentiasa bertudung labuh untuk sembunyikan lemak pipi dan lengan.

Tapi lelaki ni… dia cakap dia serius?

“Kenapa saya?” tanya aku perlahan. Suara aku tersekat.

Dia senyum. “Saya pernah nampak awak satu hari di taman, jogging. Waktu tu saya tengah lari juga. Awak berhenti, ambil nafas panjang, tapi tetap teruskan walau peluh membasahi tudung awak. Saya… kagum. Sebab saya tahu, itu bukan senang.”

Aku terkedu. Dia nampak aku? Masa tu aku pakai seluar sukan longgar, baju besar, dan muka aku macam pau berpeluh. Itu… waktu paling tak menarik dalam hidup aku.

“Dan saya cari awak sejak tu. Sampai saya tahu awak anak kepada pemandu ayah saya. Saya tak rancang untuk jatuh hati… tapi saya juga tak boleh tipu hati saya.”

Mak berdiri di sisi dapur sambil lap tangan. Abah hanya tersenyum macam orang yang tahu semua jawapan.

“Min, kahwin ni bukan soal fizikal semata. Dia nampak usaha kamu, bukan bentuk kamu,” mak bersuara lembut.

Aku terdiam. Untuk kali pertama dalam hidup aku, ada lelaki yang tak tengok aku macam aku ni bahan jenaka. Dan aku… aku tak tahu nak rasa apa. Gembira? Takut? Bingung?

Aku cuma tahu satu hal.

Aku si gendut itu… mungkin layak dicintai juga.

Pau berpeluh???? Eh

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience