Aku turun dari bilik malam itu dengan tekak yang haus. Pelik. Udara terasa panas dan resah merayap ke kulit. Bilik yang selalunya sejuk pun terasa sempit.
“Minum air, tidur balik…” itu niat aku.
Tapi langkah aku terhenti di tengah tangga. Telinga aku menangkap suara rendah dari ruang tamu.
Suara Abah.
Dan… satu lagi suara lelaki. Suara yang sudah lama aku buang jauh dari hati, tapi tak pernah betul-betul lenyap dari ingatan.
Aku menapak perlahan-lahan. Lampu ruang tamu masih terpasang. Abah duduk di sofa, bercakap dengan seseorang lelaki muda yang duduk membelakangi aku.
Aku tenung belakang tubuh itu. Cara dia duduk. Gerak tangan dia. Bahu yang sedikit membongkok bila berbual.
Mustahil.
Jantung aku berdegup pantas.
“Abah cakap dengan siapa tu?” soalku.
Abah tersentak sedikit. Wajahnya berkerut. “Min… kamu tak tidur lagi?”
“Min turun sebab haus, Abah. Siapa tu?” Langkah aku mendekat.
Lelaki itu bangun. Perlahan dia berpaling.
Dan saat itu seluruh tubuh aku membeku.
Rayqal.
Mataku terbuka luas. Nafasku tercungap. Jantung aku seperti ditampar dari dalam. Tubuhku mula hilang keseimbangan. Aku hampir melayang ke belakang.
Tapi dia tangkap aku. Tangan kanan di pergelangan aku. Tangan kiri menahan pinggang aku.
“Hati-hati, Min. Lantai tu bukan tilam.”
Aku terdiam. Seluruh tubuh aku kelu. Fikiran aku bercelaru. Kenapa dia ada di sini? Kenapa Abah benarkan? Cepat-cepat aku tolak dia. “Eh apa ni main pegang-pegang orang!”
Aku mundur tiga tapak. Nafas aku berderau. Dada aku naik turun.
“Maaf,” ucap Rayqal perlahan.
Matanya tunduk, suaranya masih sama tapi bukan lagi suara yang aku rindukan. Ia kini seperti mimpi ngeri yang datang semula.
“Maaf?” Aku meninggi suara. “Datang rumah orang malam-malam nak apa? Tak reti nak tidur ke?!”
Aku berpaling ke arah Abah.
“Abah pun satu… lain kali jangan buka pintu malam-malam. Kita tak terima orang penipu dalam rumah ni!”
“Min!” suara Abah tinggi, marah. “Jaga mulut kamu!”
“Betullah! Dia tipu saya, Abah! Dia kahwin dengan orang lain, tinggal saya macam tu je. Sekarang datang balik macam tak ada apa-apa? Nak buat drama apa lagi?!”
Plak!
Suara itu bergema dalam rumah kecil kami. Sebelah pipi kiri aku terasa panas. Terasa kebas. Terasa sakit bukan hanya fizikal, tapi jauh lebih pedih dari itu.
Aku terkebil-kebil. Bibirku mula terasa perit. Bila aku sapu dengan belakang tangan… ada darah.
Rayqal segera menarik aku ke belakang tubuhnya.
“Pakcik… janganlah…” Suara dia perlahan, tergoncang.
Tapi aku berdiri juga. Aku tarik diri aku dari belakang Rayqal. Dan aku pandang Abah dengan mata yang berlinang air mata.
“Abah tampar Min… sebab dia?”
“Min tak hormat tetamu!” bentak Abah.
Aku ketawa. Ketawa pendek.
“Tetamu? Orang yang buat anak Abah menangis berbulan-bulan. Yang hancurkan hidup Min… itu Abah panggil tetamu?”
Abah mengalihkan pandang. Mulutnya terkunci.
Aku hela nafas dalam. Aku cuba untuk tidak menangis, tapi suara aku mula pecah.
“Abah tahu tak, dia nikah dengan orang lain tanpa beritahu saya. Hari nikah saya… dia akad dengan perempuan lain. Saya dapat tahu dari isteri dia sendiri. Malam tu… saya menangis sampai tertidur dekat lantai dapur!”
Abah masih diam.
“Dan sekarang dia datang balik. Bawak 'maaf' macam ubat mujarab, dan Abah layan dia macam tetamu VVIP? Saya ni apa, Abah?”
“Min…” suara Rayqal hampir berbisik.
Aku toleh tajam. “Kau diam!”
Dia menunduk. Tapi kali ini, dia bersuara juga.
“Saya tak pernah lupakan awak, Min. Saya tak pernah redha dengan semua yang berlaku. Papa saya paksa saya. Saya sakit waktu tu. Lemah. Mereka kawal hidup saya sepenuhnya. Tapi sekarang saya kembali… sebab saya tak boleh terus hidup pura-pura.”
Aku ketap bibir. “Kembali? Untuk apa? Nak saya tunggu kau cerai baru kahwin dengan aku? Macam tu!”
“Bukan begitu…”
Aku melangkah ke arah dia.
“Dengar sini, Rayqal. Saya bukan Yasmin yang dulu. Saya bukan perempuan yang akan senyum walau hati hancur. Saya bukan orang yang kau boleh buat macam patung. Kau hilang bila aku perlukan, dan sekarang bila aku dah hampir okay… kau datang semula? Tak. Terlambat.”
Dia pejam mata. “Saya tahu saya salah…”
Aku geleng.
“Kau bukan salah. Kau penghancur.” Aku berpaling dan naik tangga tanpa menoleh lagi.
Dalam bilik, aku duduk di tepi katil. Air mata jatuh juga akhirnya. Bukan sebab rindu. Tapi sebab kecewa kecewa pada Abah, kecewa pada harapan yang pernah aku simpan.
Pipi aku masih pedih. Bibir masih berdarah sedikit. Tapi yang paling luka… hati aku.
Aku pandang cermin.
Wajah aku… bukan lagi wanita yang menunggu.
Tapi malam itu, aku sedar kadangkala, keluarga sendiri boleh jadi orang yang membuka pintu kepada kesedihan yang kita cuba kunci selama ini.
Hari berganti hari, matahari terbit dan tenggelam, tapi antara aku dan Abah, tak ada sepatah kata pun yang diucap.
Bisu. Seperti rumah ini sudah tak lagi mengenal suara kasih.
Padahal… dialah raja di hati aku. Lelaki pertama yang aku sanjung. Lelaki yang aku belajar dari dia cara ikat tali kasut, dan juga cara berdiri bila jatuh dari basikal. Tapi sekarang…
Sekarang, dia lelaki pertama yang menampar aku kerana mempertahankan orang yang mengkhianati aku.
Hati aku jadi kecut. Keras. Macam tangkal mati yang tak lagi menyimpan doa.
Aku teruskan rutin aku.
Pagi-pagi, aku keluar berjoging. Tapi aku tak lagi bawa motosikal Honda Wave kesayangan tu. Aku biar saja motor tu berhabuk di tepi stor, kunci tergantung pada paku dinding, tak disentuh.
Sebaliknya, aku naik bas. Menapak ke perhentian dengan beg galas kecil dan botol air kosong. Tak kisah kalau perlu berjalan jauh. Tak kisah kalau berpeluh, berpanas.
Yang aku tahu, aku nak jauh dari apa saja yang ada kaitan dengan dia. Termasuk motosikal yang dulu Abah hadiahkan — waktu aku lulus SPM.
Suatu pagi, selepas aku pulang dari taman, Mak berdiri di depan pintu rumah sambil lap tangan dengan kain dapur.
“Min… kenapa kamu tak bawa motor tu pergi jogging? Taman tu jauh, Min.”
Aku tak jawab. Aku tunduk, buka kasut dan stokin perlahan. Kepala aku mula berdetik dengan seribu suara dalam kepala.
“Min, mak tanya ni…” nada Mak lembut, tapi jelas mengharap respon.
Aku berhenti sebentar, dan suaraku dingin.
“Min tak perlukan motosikal Abah tu. Kalau Abah nak jual, silakan. Min tak kesah.” Terus aku naik ke bilik. Pintu bilik ditutup perlahan, tapi dalam hati aku… segalanya dah tertutup ketat-ketat.
Di bawah, Saleha berdiri diam. Kepalanya berpaling ke dapur, tempat suaminya Abdul duduk bersandar di dinding, termenung.
“Semua ni salah abang…” suara Saleha lirih tapi tegas.
Abdul tak balas. Dia hanya mengangguk perlahan, kelihatan jauh termenung.
“Abang tak sengaja…” katanya akhirnya.
“Tapi Min tu… dia tak hormat tetamu kita, Sal.”
Saleha menoleh tajam.
“Tak sengaja?” Nada suara itu berubah. Ada luka, ada kecewa, ada marah yang selama ini ditahan.
“Abang, dia anak kita. Anak perempuan kita. Sejak bila Min tinggi suara dengan abang selama ni? Sejak bila dia balas cakap abang?”
Abdul hanya tunduk. Tak mampu membalas. Wajahnya sayu, penuh kesalan.
“Rayqal tu… dia dah buat anak kita kecewa, abang! Dia tinggalkan Min macam tu je, hilang tanpa penjelasan. Malu kita dengan orang-orang taman ni! Majlis batal. Jiran-jiran mengata. Min menangis siang malam! Dan abang… abang tampar dia sebab lelaki tu?”
“Rayqal cakap dia terpaksa,” suara Abdul perlahan.
“Dato’ Karim yang paksa… dia tak mahu…”
Saleha tergelak kecil, sinis.
“Sal tak rasa ini semua salah Dato’ Karim saja. Kalau betul Rayqal tak setuju, dia patut lawan. Kalau dia betul-betul sayangkan Min, dia tak akan biar semua tu jadi. Jangan salahkan orang tua saja, bang. Yang tunduk tu tetap anak jantan tu sendiri.” Dia mendekat sedikit. Wajahnya lembut, tapi suara masih marah.
“Dan sekarang, abang tengok anak kita tu… dia bukan kecewa sebab Rayqal je. Dia kecewa sebab abang. Abang yang selama ni dia agung-agungkan. Yang dia bangga cerita kat Deya, kat Faizal, kat sesiapa pun. Abang… abang patahkan hati anak kita.”
Abdul tak jawab. Hanya mengucap panjang, tangan menutup muka. Terlalu berat untuk dia hadam semuanya. Tapi dia tahu Saleha betul.
“Dato’ Karim yang paksa… dia tak mahu…”
Share this novel