Seawal jam tujuh pagi, bunyi hon kereta kecil bergema perlahan di depan pagar rumah. Aku menjenguk dari sebalik langsir. Mata aku terbeliak bila nampak sosok lelaki berkemeja lengan pendek dan berseluar sukan berdiri di tepi pagar sambil melambai-lambai.
“Saya teman awak joging hari ni!” laung Rayqal penuh semangat sebaik nampak aku di dalam pagar.
Aku yang masih berbaju t-shirt dan berseluar track lusuh hanya mampu mengetap bibir. Apa hal mamat ni pagi-pagi dah muncul macam dalam drama pukul 7 malam?
“Awak... saya boleh pergi sorang-sorang lah,” balasku sambil membuka pintu pagar.
Dia hanya tersenyum penuh yakin, dan tanpa tunggu apa-apa lagi, kami mula berjalan beriringan menuju ke taman permainan yang agak jauh dari rumah. Taman tu sunyi, tapi cukup luas untuk lepaskan penat, dan juga — untuk lari dari masalah hati yang tak pernah selesai.
“Awak tu perempuan, Min... bahaya. Darah manis,” ujar Rayqal tiba-tiba, dengan nada prihatin tapi penuh makna.
Aku berhenti langkah, merenung dia.
“Hah? Mana awak tahu darah manis? Saya takde kencing manis lah.”
Rayqal tergelak besar. Sampai terhenti langkah dia sekejap.
“Hahaha... maksud saya, awak ni masih muda dan manis, Min. Bukan kena kencing manis. Aduh awak ni memang lain macam.” Dia ketawa kuat sambil geleng kepala.
Aku mengeluh panjang. “Suka benar awak sakat saya dengan benda yang saya takut dan buat saya terkejut.”
Dia pandang aku dengan pandangan yang lain daripada biasa. Tenang. Jujur. Tapi masih ada nakal terselit di hujung senyuman.
“Saya tak nak awak benci saya, Min. Jadi biarlah saya sakat awak macam ni... biar awak nampak saya saja. Selain orang lain.”
Perlahan-lahan, Rayqal menggenggam tangan aku. Genggaman yang tak terlalu kuat, tapi cukup buat jantung aku berdegup lebih laju. Kami terus berjalan bergandingan. Walaupun tangan aku sedikit berpeluh sebab gementar, aku tak tarik pun.
“Ray...” aku panggil perlahan.
“Ya?” Dia pandang aku sambil senyum.
“Siapa suruh awak dekat sangat dengan saya selama ni? Saya bukan macam perempuan lain tau... tengoklah ni, badan saya macam... macam botol kaca.”
Dia terhenti melangkah secara tiba-tiba. Aku pula yang terkejut dan hampir terlanggar dia dari belakang. Mujur aku sempat brek dengan kaki sendiri — kalau tak memang peluk dia habis-habisan depan rumah orang.
“Sengaja eh?” Aku mencebik sambil genggam tangan kuat-kuat. Geram betul.
Rayqal toleh dan senyum nakal. “Alaaaa... saya baru nak awak peluk saya tanpa sengaja. Tapi awak dah tahu trik saya. Ceh, spoil lah plan saya.”
Aku ketawa kecil sambil menolak lengan dia perlahan. “Awak ni memang... ihhhh!”
“Hahaha... awak gelak macam mak lampir versi 2025 lah Min!” ejeknya.
“Eh!” Aku ketawa makin kuat. “Jarang sangat saya gelak macam ni tau... Tapi awak berjaya buat saya rasa ringan pagi ni.”
“Tu yang saya nak. Kalau boleh, tiap pagi saya nak dengar awak gelak macam tu. Tak payah tunggu Halloween.”
Aku ketawa makin kuat sampai terpaksa tahan perut sendiri. Serius. Rayqal ni memang tak masuk buku. Tapi... entah kenapa, hati aku rasa lebih hidup. Lebih ringan. Dan... lebih berani untuk bahagia.
Kami terus berjalan ke taman. Pagi tu, angin lembut bertiup. Burung-burung mula berkicau dan matahari naik perlahan. Tapi yang paling bermakna — hati aku yang sebelum ni mendung... mula nampak cahaya.
Dan semua tu... bermula dari satu langkah kecil.
Dan satu genggaman tangan.
Sudah hampir sejam aku berada di depan pintu wad itu. Aku tak bercakap. Tak bergerak. Tak mendengar. Hanya duduk di kerusi biru itu, memeluk tubuh sendiri sambil menanti satu perkara pengesahan daripada doktor. Hanya itu. Dan waktu terasa amat perlahan.
Dada aku berdebar lebih kencang daripada tadi. Nafas aku pun tak teratur. Setiap kali kakitangan hospital lalu, aku mendongak dengan harapan... tapi hampa.
Akhirnya, pintu dibuka dari dalam. Aku segera bangun, meluru ke arah barisan doktor yang keluar beriringan.
“Doktor… Rayqal? Dia tak apa-apa kan?”
Beberapa doktor saling berpandangan. Seorang daripadanya angguk perlahan, tapi masih tiada kata.
“Maaf... kami perlukan ahli keluarganya datang dahulu sebelum kami beritahu sebarang maklumat lanjut.”
Aku tergamam. Terundur setapak. Kenapa perlu tunggu keluarga? Apa yang sebenarnya berlaku?
Dengan langkah berat, aku merapati pintu yang belum tertutup rapat. Aku tolak perlahan dan masuk. Mata aku terus terarah kepada lelaki yang sedang berbaring di atas katil tubuhnya tenang, tapi wajahnya pucat. Sangat pucat.
Wayar bersambung di sana sini. Mesin jantung berkelip perlahan dengan bunyi bip yang menggetarkan jiwa aku.
Aku hampir terduduk di hadapan katil itu. Tapi tangan aku sempat berpaut pada dinding besi. Mata aku tak beralih dari wajahnya. Wajah tenang itu buat aku makin resah. Buat aku makin rasa bersalah.
Sepatutnya aku bawa dia lebih awal. Tapi aku degil. Aku ego. Aku takut cinta. Aku takut harapan.
“Min…”
Suara itu lemah, tapi cukup untuk buat aku bangkit.
Aku seka air mata dengan cepat dan berdiri perlahan-lahan dari posisi terjelepuk.
“Awak… saya tanya doktor tentang keadaan awak tapi mereka tak beritahu apa-apa… saya takut, Ray… saya takut sangat…” tangisan aku pecah lagi.
Malu? Hilang. Harga diri? Terbang. Bila melihat dia terbaring begitu, semua perasaan yang aku pendam selama ini hancur berkecai.
“Aku takut kehilangan awak untuk kali kedua…”
Dia senyum nipis senipis helaian kertas.
“Saya tak apa-apa, Min…”
“Tak. Awak sakit. Saya tahu awak sakit.”
Dia ketawa kecil, walau jelas itu perit baginya.
“Nakal awak ni Min… tadi masa saya pejam mata pun saya nampak awak menangis… macam budak hilang coklat.”
Aku menangis dalam tawa. Suara dia masih cuba menceriakan suasana. Masih cuba buat aku rasa tenang. Tapi aku tahu dia sedang menahan sakit yang tak terucap.
“Ray…” aku berbisik perlahan.
Aku genggam tangannya erat. Dan dari dalam hati aku, aku tahu masa tak boleh terus menunggu.
“Kita kahwin ya…”
Rayqal senyum.
“Ya… kita kahwin… kahwin lagi…” tangan dia terangkat, perlahan menyeka airmata yang membasahi pipi aku.
Seminggu kemudian.
Di atas katil itu juga, Rayqal menyebut nama aku di hadapan abah aku.
Dengan dada yang masih sesak dan suara yang tersekat di kerongkong, dia tetap gagahkan diri.
Tok imam membuka majlis ringkas dengan lafaz dan niat. Beberapa saksi hadir. Emak menangis di sisi. Deya berdiri di belakang aku sambil mengelap air matanya yang laju turun.
“Aku nikahkan dikau dengan anak aku, Yasmin Dahlia, dengan mas kahwin seribu ringgit tunai.”
“Aku terima nikahnya Yasmin Dahlia dengan mas kahwin seribu ringgit tunai.”
Nafasnya pendek-pendek. Seperti setiap patah kata ditolak dari dadanya yang berat itu.
Tok imam pandang para saksi.
“Sah, saksi…?”
Sah.
Sah.
Sah.
Tangan mereka diangkat dan doa dibacakan perlahan. Aku tunduk. Tapi dalam hati aku tak putus berdoa agar Allah panjangkan usia suamiku. Agar cinta kami bukan hanya disatukan di atas katil pesakit.
Aku menangis lagi. Tapi kali ini sebagai isteri.
Rayqal menarik aku perlahan ke arahnya. Jari-jemarinya menggigil ketika menyarungkan cincin ke jari manis aku. Aku lakukan perkara yang sama padanya.
“Selamat datang, Min…” suaranya serak, tapi jelas.
Nafasnya naik sedikit.
Aku tekup dada dia perlahan.
“Isk… awak… awak mesti sembuh ya. Saya tunggu awak di luar… janji?”
Aku kaitkan jari kelingkingku dengan jari kelingkingnya. Simbolik janji kami.
Dia genggam kemas.
“Baik sayang…” jawabnya perlahan.
Beberapa saat kemudian, jururawat dan doktor masuk semula. Aku dipanggil keluar oleh abah dan emak.
Pintu bilik ditutup rapat.
Dan aku berdiri di luar bilik itu, menyeka air mata yang tak mahu berhenti. Tapi hati aku tetap kuat.
“Saya tunggu suami saya sembuh ya…”
Dan itulah harapan yang aku bawa satu cinta, satu janji... dalam nafas yang belum terputus.
Share this novel