Dan kali ini, bukan dengan senyuman lembut atau gaya lembut lidah manis. Dia datang bawa rombongan merisik. Betul-betul, dengan dulang hantaran, buah tangan, mak ayah dia minus Puan Badriah.
Katanya tak sihat, tapi aku tahu… bukan fizikal yang sakit. Hati dia yang masih belum sembuh. Belum redha dengan pilihan anak lelaki dia.
Aku?
Aku diam sepanjang majlis. Bibir senyum paksa, tangan dingin macam mayat. Tapi dalam hati, bergelora macam ombak pantai waktu musim tengkujuh. Sebab aku dah cakap aku belum bersedia.
Tapi siapa peduli?
Yang mak aku nampak cuma lelaki yang datang dengan niat baik. Yang abah nampak, masa depan aku yang ‘selamat’. Yang jiran nampak, betapa ‘beruntungnya’ Yasmin dapat lelaki kaya macam Rayqal.
Tapi tak siapa tahu, betapa aku masih terkial-kial berdiri di atas luka yang belum sembuh. Betapa aku masih cuba percaya, cinta yang datang kali ini bukan untuk memperguna, tapi untuk menyembuh.
Lepas semua orang beransur. Lepas dulang-dulang dah berkemas, pinggan mangkuk dicuci, dan suara tawa bertukar senyap aku tarik tangan Rayqal keluar rumah. Laju.
Tak peduli orang nampak atau tak. Sampai ke tangga depan rumah mak, aku berhenti.
“Min…” suara dia rendah, tercungap ikut langkah aku. Nafas dia laju, tapi mata dia tetap pandang aku.
Aku pusing dan berdiri tegak di depannya. Mata aku pandang tinggi tubuh dia. Nafas aku masih belum reda. Tapi nada aku tetap keras.
"Saya tak bersedia lagi, awak tak faham ke?"
Rayqal terdiam. Seketika. Angin petang tiup anak rambut aku ke pipi. Tapi mata aku tak berganjak dari dia. Teguh, walau jiwa aku dah mula bergetar.
“Sampai bila Min? Awak masih tak percaya dengan penyakit saya ke?”
Aku larikan pandangan ke tepi, ke arah pohon jambu yang mak tanam sejak aku kecil. Pokok yang selalu aku panjat dulu waktu hati terluka. Daunnya menari perlahan ditiup angin. Tapi hati aku… masih serabut.
“Sebab awak sakit awak pilih saya, kan? Kalau awak sihat… saya bukan pilihan awak, Encik Rayqal.”
Kata-kata aku tajam. Sengaja. Penuh racun yang aku cipta sendiri untuk lindungi hati aku yang rapuh.
Tapi Rayqal tak lari. Dia berdiri teguh, pandang aku dengan mata yang penuh sabar. Mata yang tak pernah aku lihat pada mana-mana lelaki sebelum ni.
“Saya sakit baru tahap satu, Min… kita masih boleh ada anak. Masih boleh bina hidup. Dan Papa saya… dia dah serah separuh harta dia pada saya. Dan saya nak kongsi semuanya dengan awak.”
Dia genggam tangan aku perlahan. Tak paksa, tapi cukup kuat buat hati aku rasa sesuatu.
“Saya tak nak tunggu esok, sebab saya tak tahu saya ada atau tidak esok. Tapi kalau saya ada… saya nak hidup saya bersama awak.”
Air mata aku bergenang. Tapi aku ketap bibir kuat-kuat. Aku tak nak kalah dengan air mata. Bukan lagi.
Aku tarik tangan aku kasar. “Awak memang lelaki selenger tau!”
Rayqal senyum. Senyuman yang selama ini aku rindu, tapi aku benci pada masa yang sama. Rindu sebab ia buat aku rasa selamat. Benci sebab ia buat tembok aku roboh.
"Selenger ni juga cintakan awak, Min."
Dia tarik tangan aku perlahan, lembut… dan kali ini, dia bawa aku dekat. Sampai mata kami bertentang. Nafas aku tersekat. Jarak terlalu dekat, terlalu membahayakan benteng hati aku.
Aku cuba tolak dada dia. Tapi dia tak berganjak. Tak melawan. Dia cuma pandang aku, dalam dan jujur.
“Awak tahu tak,” suara dia semakin perlahan,
“Saya cari awak bukan sebab simpati. Saya pilih awak sebab awak yang paling kuat saya kenal. Awak jatuh, tapi awak bangun sendiri. Awak tak perlukan saya… tapi saya perlukan awak, Min.”
Aku diam. Nafas makin sesak. Tapi bukan sebab takut. Sebab aku tak pasti… layakkah aku?
“Min, awak bukan lagi gadis yang saya jumpa kat jogging park tu. Awak bukan lagi budak yang takut dengan pandangan orang. Awak… wanita yang saya hormat. Yang saya cinta. Dan yang saya nak habiskan hidup saya dengan.”
Aku berpaling. Aku takut mata aku tumpah. Tapi suara aku tetap kuat. Aku tak nak tunjuk lemah depan dia.
“Saya bukan heroin cerita petang yang boleh setuju lepas tiga episod.”
“Sebab tu saya tunggu sampai episod tujuh, Min.”
Aku terdiam.
“Dan kalau awak perlukan episod dua puluh pun, saya tunggu,” sambungnya. “Tapi janji saya… cinta ni bukan atas simpati. Tapi atas nama yang awak sendiri cipta dalam hidup saya Yasmin. Nama yang saya bawa setiap malam dalam doa saya.”
Aku berpaling perlahan. Mata kami bertemu lagi. Dan kali ini, aku tak halang air mata aku dari jatuh.
“Saya perlukan masa, Rayqal. Saya masih luka. Tapi… mungkin saya dah mula percaya awak.”
Rayqal angguk. Dia tak paksa. Tak tekan. Dia genggam tangan aku dan cium belakangnya. Lama. Penuh rasa.
“Saya akan tunggu, Min. Sampai bila-bila.”
Dan waktu tu… aku tahu. Walau aku masih takut, aku dah tak sendiri.
Malam tu, aku duduk atas katil sambil pandang cermin.
Baju kurung aku masih berbau perfume Rayqal. Wangi. Tapi yang lebih kuat… adalah kesan sentuhan dia pada hati aku. Kata-kata dia ulang-ulang dalam kepala aku macam lagu lama yang tak nak berhenti.
Aku sentuh pipi sendiri. Basah. Air mata yang aku tahan akhirnya tumpah jua. Tapi bukan sebab lemah. Bukan juga sebab kalah. Tapi sebab lega. Lega kerana untuk pertama kali, aku tak rasa sendiri.
Mak ketuk pintu. “Min… kamu okay sayang?”
Aku senyum. Untuk pertama kali hari ni, senyuman tu ikhlas.
“Okay mak. Min okay sangat.”
Dan bila mak dah beredar, aku buka cermin almari. Tengok wajah sendiri. Mata sembap. Tapi senyuman aku masih ada.
“Yasmin… kau bukan aku yang dulu. Kau lebih dari cukup.”
Aku tutup cermin perlahan. Tapi dalam hati, satu pintu baru terbuka. Mungkin belum sepenuhnya. Tapi cukup untuk cahaya masuk.
Dan malam itu, aku tidur dengan harapan. Untuk diri aku. Untuk Rayqal. Untuk cinta yang tak datang mudah… tapi datang sebagai ujian, dan peluang kedua.
Share this novel