Bab 9: Bukan Untuk Puaskan Mata Mereka

Mature Content Series 3457

Sejak malam itu, hidup aku berubah. Sepenuhnya.

Pagi-pagi aku masih ke gerai “Dapur Menantu” untuk bantu Deya.

Kami dah macam adik-beradik. Deya tahu tentang Rayqal, tapi dia tak banyak tanya. Dia cuma peluk aku kuat pagi selepas aku pulang dari hospital dan kata.

“Kalau kau perlukan aku, aku ada.”

Aku masak seperti biasa, sediakan nasi lemak sambal pedas manja, chicken pop kegemaran budak-budak sekolah rendah, bihun goreng mamak style, dan air sirap laici yang tak pernah cukup stok.

Pelanggan tetap kami masih datang, masih senyum, masih puji, “Min, sambal awak memang lain macam.”

Tapi bila jam menginjak tengah hari, aku akan bergegas. Tukar baju, tukar bau, dan naik Grab ke hospital. Kadang aku sempat balik rumah mandi dulu, kadang terus pakai baju gerai asal aku sampai.

Setiap hari.

Setiap hari aku mahu lihat wajah Rayqal. Walaupun dia hanya tidur kadang-kadang, atau separuh sedar, atau kadang-kadang merungut sebab tak suka bubur hospital.

“Saya tak nak makan bubur,” katanya waktu aku datang tengah hari itu, sambil muncung mulut macam budak umur lima tahun.

“Awak sakit, makan je,” aku suapkan perlahan, sambil letak tangan aku di bawah dagu dia supaya tak tumpah.

Dia buat-buat merengek. “Saya nak nasi ayam Dapur Menantu.”

Aku sengih. “Kalau awak baik esok, saya bawak.”

Akhirnya, dia buka mulut. Suapan demi suapan dia telan. Perlahan, tapi habis juga semangkuk. Di luar, bunyi mesin dan langkah jururawat tak pernah sunyi. Tapi bila aku duduk di sisi Rayqal, semuanya senyap. Kami hanya saling memandang, saling tenang.

Kadang-kadang, kami tak perlu cakap banyak. Cukup duduk sama-sama, dengar bunyi mesin dan degupan jantungnya di monitor. Tapi aku tahu, kehadiran aku sentiasa buat dia senyum.

Dari dalam hati, aku tahu…

Cinta ini milik kami. Tapi waktu… bukan.

Tiga hari selepas itu, kedua-dua keluarga kami bertemu. Bukan di rumah, bukan di restoran mewah, tapi di wad Rayqal yang sempit dan masih berbau ubat.

Mak aku bawa buah tangan buah limau, biskut, dan air kotak. Abah pakai kemeja biru tua walaupun berpeluh-peluh. Dia lap dahi dengan tisu berkali-kali. Aku tahu, dia cuba nampak tenang. Tapi aku nampak tangan dia menggigil halus.

Mak Reyqal datang dengan pembantu peribadi keluarga seorang wanita muda berkaca mata, sentiasa catat sesuatu dalam iPad. Dan… Dato Karim. Duduk tegak di kerusi hujung katil. Pandangan dia tajam. Dingin. Beku macam ais dalam peti tak pernah dibuka.

Tak banyak senyum.

Aku hanya tunduk. Dari tadi aku rasa baju kurung aku tak cukup cantik, tudung aku senget sikit, bau ubat masih lekat di lengan. Aku rasa... aku ni terlalu biasa. Terlalu jauh dari dunia mereka.

“Rayqal dah bincang dengan Yasmin. Mereka setuju jika tempoh pertunangan dipendekkan kepada dua bulan,” ujar mak aku tenang, nada sopan tapi tetap teguh.

Puan Badriah mengangguk. Kali ini suaranya tak selembut dulu, tapi sekurang-kurangnya tak menyindir. “Kita tak nak tunda lagi. Keadaan Rayqal tak menentu… kita mahu lihat dia bahagia dengan wanita pilihannya.”

Aku tahu itu berat untuk dia sebut. Tapi dia sebut juga. Mungkin kerana kasihkan anak. Mungkin kerana akhirnya dia tahu, masa tak menunggu.

Semua mata berpaling pada Dato' Karim.

Dia diam. Tarik nafas panjang. Mata dia jatuh pada aku. Lama. Satu-satu dia ukur aku dengan pandangan. Dari tudung ke kaki. Dan kemudian, dia angkat wajah semula.

“Baik.”

Hanya sepatah.

Tiada senyuman.

Tapi aku nampak jelas cara dia renung aku dari atas ke bawah. Cara dia pegang kerusi seolah-olah cuba tahan diri dari bercakap lebih. Cara dia tak sebut langsung nama aku, seolah aku ni tak wujud.

Hati aku jadi panas. Tapi aku telan. Demi Rayqal.

Dia senyum kecil dari katil. Genggam tangan aku. “Saya bahagia bila awak di sini, Min.”

Aku angguk, senyum paksa. Tapi dalam hati... aku luka. Luka yang tak nampak darah. Tapi dalamnya, Tuhan saja tahu.

Aku tahu, walau aku dah jadi tunang Rayqal secara rasmi, walau majlis akan dibuat sederhana di rumah keluarga aku dua bulan lagi… aku tetap tak cukup di mata keluarga dia.

Tak cukup cantik. Tak cukup kurus. Tak cukup kaya. Tak cukup ‘layak’.

Lewat petang, selepas semua orang balik dan wad kembali sunyi, aku duduk di sisi Rayqal. Bunyi mesin kembali jadi lagu latar hidup kami.

“Saya tahu ayah saya tak suka awak,” dia buka mulut perlahan. Suara dia parau sedikit. Penat.

Aku pandang dia, senyum tawar. “Saya bukan pilihan paling cantik, paling ramping, atau paling sesuai ikut mata mereka.”

Rayqal tarik tangan aku. Letak di dadanya. Di atas jantungnya yang masih berdetak, perlahan tapi nyata.

“Tapi awak pilihan paling tepat untuk jantung saya. Dan itu, tak ada sesiapa boleh ubah.”

Air mata aku bergenang. Aku tahu, dia ikhlas. Rayqal bukan lelaki yang banyak janji manis. Tapi bila dia cakap, dia maksudkan.

“Bila awak sembuh… kita kahwin ya?” aku bisik perlahan. Tak tahu kenapa suara aku turut bergetar.

Dia angguk. Mata dia bersinar.

“Dan kita bina dunia kita sendiri. Dunia di mana tak ada sesiapa boleh panggil awak anak gajah lagi.”

Aku tergelak kecil, walau mata masih kabur. “Saya tak kisah pun… saya ni anak gajah, anak panda, asalkan awak jaga saya.”

Rayqal senyum. “Anak panda comel. Tapi kalau awak jadi panda, saya panda jantan yang akan duduk sebelah awak selamanya.”

Aku tepuk lengan dia perlahan. “Awak pandai sangat cakap sekarang ya…”

Dia gelak kecil. Tapi kemudian mata dia kembali tenang. Pandang aku lama.

“Min… terima kasih sebab tak pernah tinggal saya, walau dunia saya makin gelap.”

Aku genggam jari dia. Letak di pipi aku.

“Saya akan ada, Rayqal. Setiap hari. Sampai kita menang.”

Dan dalam hati… aku berjanji sekali lagi.

Aku akan kuat. Bukan untuk puaskan mata manusia. Tapi untuk pertahankan cinta yang aku tak mahu kehilangan lagi.

Saya akan jadi pandai jantan dan duduk di sisi awak Min..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience