Bab 17: Peluang Kedua dan Makanan yang Membawa Luka Pulih

Mature Content Series 3457

Aku tak ingat bila kali terakhir aku makan nasi. Mungkin tiga hari lepas. Atau seminggu? Aku pun tak pasti.

Sejak malam aku ditampar Abah, sejak malam itu Rayqal muncul seperti petir di malam buta hidup aku seperti dihidupkan pada mod bertahan. Bukan hidup. Bukan juga mati. Tapi terapung di antara marah, kecewa, dan kehampaan.

Air kosong tanpa gula. Itu saja yang aku telan. Setiap pagi aku berjoging. Setiap malam aku baring tanpa selera. Kepala aku ringan, mata aku kabur, tapi aku teruskan. Kerana aku fikir… jika hati dah hancur, takkan tubuh ini tak boleh kuat sikit?

Tapi pagi itu lain.

Langkah aku ke taman berdekatan tetapi aku terasa berat. Terlalu berat. Padahal aku dah biasa berjalan, taman tu dekat saja. Tapi hari ni aku rasa seolah-olah aku seret diri aku sendiri.

Panas pagi menusuk kepala.

Langit nampak goyang.

Tekak aku mula loya. Mulut aku pahit. Perut kosong mula memberontak. Aku gapai tiang lampu jalan, cuba seimbangkan diri. Dunia terasa seolah-olah mahu berputar. Nafas aku tercungap.

Dan tanpa sempat aku tahan…

Uwekkk.

Air pahit terhambur keluar. Menjolok tengkuk. Terasa seperti asid membakar dada. Tanganku menggeletar. Aku tekup mulut. Mata aku pedih. Dahi aku terasa panas, sangat panas.

Aku berbisik perlahan, cuba pujuk diri.

“Tak apa, Min… kau mesti kuat. Abah kau dah tak sayang kau lagi, jadi kau jangan fikir apa-apa… kau kena teruskan. Kau sendiri. Kau kan kuat…” Tapi suara itu makin perlahan dalam kepala. Hanya gema kosong. Tak ubah seperti bisikan untuk orang nazak.

Perut aku kembali berombak. Aku muntah sekali lagi kali ini cuma air kosong dan hempedu.

Aku terduduk. Lutut aku longlai. Langit seperti terbelah. Bunyi bas, motor, dan burung semua bercampur baur. Asing. Jauh.

Dan perlahan-lahan…

Dunia aku gelap.

Beberapa jam kemudian…

Bunyi mesin di hospital tak pernah mesra. Bip… bip… bip… seperti suara tak jemu mengingatkan bahawa aku masih hidup. Walau tubuh aku tak mahu bergerak.

Kelopak mata aku terangkat sedikit. Cahaya putih menusuk. Bau antiseptik menyapa hidung.

Dan wajah pertama yang aku lihat bukan Abah. Bukan Mak. Tapi… Deya dan Azie. Mata dia merah, dan tangan dia genggam erat jemariku.

“Min… Ya Allah Min. Kau buat aku takut sangat.”

Aku cuba senyum. Tapi bibir aku tak mampu angkat. Pipiku kaku. Hanya kelopak mata yang bergerak perlahan.

“Jangan cakap apa-apa dulu. Kau pengsan kat tepi jalan. Orang awam tolong call ambulans. Bila aku sampai tadi, muka kau pucat gila, Min.”

Aku kelipkan mata perlahan. Air mata aku jatuh sendiri. Bukan sebab sakit. Tapi sebab aku letih sangat.

Tak lama kemudian, Mak masuk. Matanya sembap. Rambutnya berserabai. Dia terus peluk aku, kepala dia jatuh ke dada aku.

“Min… Allahu Min. Anak mak…”

Aku pegang pipi Mak dengan tangan lemah aku.

“Mak… Min minta maaf…”

“Jangan minta maaf, sayang. Mak yang minta maaf. Mak patut pertahankan Min dari awal. Kami semua… abaikan Min. Kami salah.”

Aku teresak perlahan. Deya menarik langsir. Memberi kami ruang. Dan ketika itu, aku lihat satu susuk tubuh di pintu.

Abah.

Dia berdiri, tangan menggenggam topi kain. Wajahnya gelap. Pucat. Tapi mata dia mata tu penuh penyesalan.

Aku tak tahu kenapa, tapi bila aku lihat Abah, aku berpaling. Tak mampu nak tatap dia.. Dia masuk perlahan, langkah berat.

“Min…”

Aku tutup mata.

Abah duduk di tepi katil. Dia letakkan topi di atas meja kecil. Tangannya mencari-cari jemariku yang lemah.

Tapi aku tarik perlahan.

“Min… Abah minta maaf.”

Suara itu, akhirnya datang. Tapi hati aku dah tak tahu nak percaya atau tidak.

“Abah… tampar Min…”

“Abah… salah. Abah ego. Abah terlalu terkejut… terlalu ikut marah. Abah tak fikir… Min, kau darah daging Abah…”

Air mata aku mengalir. Perlahan. Tapi panas.

Aku buka mata dan pandang wajah lelaki tua itu — lelaki yang pernah aku banggakan, yang pernah aku jadikan idola… dan kini jadi luka yang paling dalam.

“Abah tahu tak… Min tak makan, tak tidur… Min cuma hidup atas harapan yang Abah akan minta maaf. Tapi Min tak nampak tu…”

“Abah salah, Min. Dan Abah… tak nak hilang anak Abah. Maafkan Abah, ya…”

Tangan dia akhirnya genggam tangan aku.

Aku pejam mata.

Dan dalam hati aku… satu suara kecil berkata. Kalau luka ini adalah takdir yang Tuhan beri, aku tak akan jadikan ia kubur… tapi pelindung. Aku akan sembuh. Walaupun perlahan.

Malam itu di bilik hospital terasa sedikit hangat. Lampu kuning di penjuru siling memancar samar. Mesin-mesin kecil mengeluarkan bunyi stabil.

Bip… bip… bip… penanda jantung aku masih berdetak, walau tak sekuat dulu.

Mak tertidur dalam duduk, bersandar di sisi katil sambil tangan dia masih dalam genggamanku. Abah… masih tak berganjak dari kerusi plastik hijau di tepi tingkap. Lelaki tua itu menggenggam jemariku erat seolah tak mahu hilang aku lagi.

Deya? Dia dah tertidur dengan kepala bersandar di sofa. Nafasnya tenang.. Dan ketika aku mahu lelapkan mata...

“Assalamualaikum…”

Satu suara perlahan menyapa dari balik pintu bilik wad. Aku buka mata perlahan. Dan di situ berdiri seorang wanita bertudung senyum manis sambil menjinjing dua plastik besar.

“Azie…” bibir aku berbisik perlahan.

Dia melangkah masuk dengan langkah tenang dan tertib. Dalam dakapan plastiknya, aku nampak ada tupperware, botol air, roti, dan beberapa bekal kecil. Wangi aroma nasi lemak dan sup ayam perlahan menusuk hidung.

“Min… Kak Azie datang bukan nak menyibuk,” katanya sambil meletakkan bungkusan di atas meja.

Aku senyum lemah. “Tak apa Kak Azie. Saya… saya gembira akak datang.”

Azie duduk di kerusi di hujung katil, matanya lembut memerhati aku. Dia menarik nafas sebelum bersuara.

“Min… akak dengar semuanya dari Deya. Dari mula awak pengsan… sampai sekarang. Dan hati akak hancur. Sebab akak ingat siapa awak dulu…”

Aku diam. Mendengar.

“Min… awak masih ingat tak masa sekolah dulu, masa akak jadi pengawas budak-budak lelaki nakal tu suka sakat akak?”

Aku ketawa kecil. Sikit.

“Yang time tu saya baling buku nota dekat kepala si Azrol tu sebab tarik tudung akak masa perhimpunan?”

Azie ketawa perlahan. Matanya berkaca.

“Ya, awak Min… awak yang tolong akak masa tu. Orang lain takut, tapi awak… awak berdiri depan akak, tarik tangan akak dan ajak pergi bilik guru. Akak takkan lupa sampai bila-bila.”

Aku hanya angguk perlahan.

“Dan sebab tu… akak datang hari ni. Sebab akak tahu awak kuat. Tapi walaupun kuat, kita tetap perlukan orang untuk teman.”

Aku tunduk. Genggam hujung selimut.

“Saya tak kuat, Kak Azie. Saya cuma… tak ada pilihan. Saya hidup, sebab saya belum mati. Tu je.”

Azie ambil tangan aku. Dipegang lembut.

“Min… bila kita rasa semua orang tinggalkan kita, Tuhan hantar satu dua yang masih ada. Biar sedikit, tapi ikhlas. Deya, mak, abah, dan hari ni… akak.”

Mataku berkaca.

“Kak Azie tahu… Rayqal buat awak luka. Tapi… mungkin luka ni nanti jadi jalan yang bawa awak jumpa cinta yang lebih baik, lebih sabar. Kalau bukan dengan orang lain… mungkin dengan diri awak sendiri.”

Aku pejam mata. Sebak yang lama terbendung kini tumpah perlahan.

“Akak tahu dia masih di hospital, bukan?” soalku perlahan.

Azie tunduk.

“Dia kat wad bawah. Dia masih belum sihat sepenuhnya. Dan… ya, dia tanya pasal awak.”

Aku tak jawab.

Azie tarik nafas panjang.

“Tapi Min… akak tak jawab soalan dia.”

Aku angkat kepala perlahan.

“Sebab bagi akak… apa yang awak perlu sekarang bukan dia. Tapi tenang. Dan sayang pada diri sendiri dulu. Kalau dia betul-betul nak awak… dia tahu di mana nak cari. Tapi buat masa ni… biar awak sembuh dulu.”

Aku senyum nipis.

“Akak… awak tahu tak awak bunyi macam ibu.”

Azie ketawa kecil.

“Yalah, kita kan dah tua sikit dari awak…”

“Dan kahwin. Dan ada anak. Dan ada suami sweet…” aku mencubit hujung lengan dia perlahan.

“Hoi! Jangan ingat hidup akak pun tak pernah ada luka ya. Tapi sebab tu lah kita belajar hargai hari-hari yang aman.”

Aku pandang mata Azie. Dan aku tahu, dalam matanya ada kasih. Bukan simpati.

Tapi kasih yang tak berubah sejak zaman sekolah.

Beberapa jam kemudian…

Azie duduk di tepi katil, bagi mak dan abah berehat di sofa. Deya pula dah dibenarkan balik kerana perlu uruskan kedai. Kami hanya berdua sekarang.

“Min…”

“Ya?”

“Kalau awak lapar, makan sikit. Sup ayam ni panas lagi.”

Aku geleng.

“Tak ada selera…”

“Tak apa. Simpan dulu. Tapi janji… esok, walaupun sikit. Awak kena makan.”

Aku angguk. Perlahan.

“Dan satu lagi…” Azie keluarkan sampul surat kecil berwarna krim dari beg tangannya. Dipegang erat sebelum dihulurkan kepadaku.

“Apa ni?”

“Surat dari dia.”

Aku tak sambut.

“Awak baca bila awak bersedia. Jangan sekarang pun tak apa.”

Azie bangun. Ambil beg.

“Saya balik dulu ya Min. Esok saya datang lagi. Kalau awak perlukan bahu untuk nangis, panggil je.”

Aku senyum sambil memandang dia keluar dari pintu. Dan saat itu, buat pertama kali sejak berminggu, aku rasa… aku masih ada ruang untuk sembuh.

Walaupun perlahan.

Walaupun aku belum bersedia buka surat itu. Tapi aku tahu… Dalam dunia yang buat aku rasa sendirian, masih ada seorang Azie. Dan itu… cukup untuk hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience