Hampir sebulan berlalu. Tanpa sebarang khabar dari Reyqal. Tiada mesej. Tiada panggilan. Tiada suara. Seolah-olah dia ghaib dari dunia aku. Tapi aku tahu, bukan dia yang pergi. Bukan dia yang lari.
Aku tahu… keluarganya perlahan-lahan menarik dia keluar dari hidup aku. Seperti orang tarik langsir dari tingkap perlahan, diam-diam, sehingga satu hari aku sedar… cahaya dia dah tak ada.
Dan aku?
Aku tetap berdiri. Tetap masak di stall. Tetap hiris bawang sampai mata pedih. Tetap gelak-gelak kecil dengan pelanggan walau hati aku hancur. Aku tetap aku wanita yang menunggu.
Setiap hari aku simpan satu doa. Ringkas tapi berat maknanya.
“Ya Allah, kalau benar dia untukku, kembalikan dia padaku dengan sihat.
Tapi kalau bukan… tenangkan hatiku.”
Pagi itu, ketika kami sedang bersihkan meja dan susun semula bekas plastik untuk sambung jualan tengah hari, suara Deya menyapa perlahan.
“Min, kau mesti kuat tau, biarkan apapun berlaku kau mesti ingat kau ada keluarga, ya.”
Aku hanya tersenyum nipis. Senduk di tangan aku tetap ligat mengacau kuah kari yang hampir mendidih.
“Aku kuatlah…” jawabku perlahan, separuh yakin, separuh cuba pujuk diri.
“Ye lah kuat… kuat sangat sampai pelanggan cakap kuah kari masin,” sampuk Faizal sambil buat muka selamba.
Aku diam. Terkedu. Kemudian aku ketawa kecil, pahit.
“Maaf… aku tak sengaja.”
Deya dan Faizal saling berpandangan. Deya menghampiri aku dan genggam lengan aku perlahan.
“Min… kalau dia jodoh kau, dia akan kembali. Tapi kalau bukan, kau kena redha ya…”
Aku angguk. Perlahan. Mata aku berkaca. Tapi aku tahu… mereka betul.
Mereka nampak aku masih berdiri. Tapi mereka tak tahu, dalam aku berdiri… aku sebenarnya terhempas setiap malam.
Malam itu… hidup aku berubah sekelip mata. Telefon aku berbunyi. Nombor tak dikenali.
Aku pegang telefon kemas-kemas, hati berdebar tak menentu. Jari aku teragak-agak menekan ‘jawab’.
“Helo?” suara aku lemah.
“Awak ni Yasmin kan… bekas tunang Reyqal?”
Aku terduduk.
Bekas tunang?
“Maaf… siapa ni?” suara aku mula menggigil.
“Sorry awak… saya Nadra. Saya isteri Rayqal yang di paksa kahwin oleh keluarga.”
Dunia aku berhenti. Jantung aku seolah-olah terhenti seketika. Senduk dalam tangan aku terjatuh ke lantai. Dapur kecil aku jadi sunyi. Terlalu sunyi.
“Saya… saya tak faham.”
“Papa dia batalkan majlis awak. Reyqal pun… dia tak ada pilihan. Dia sakit, lemah. Papa dia paksa dia bernikah dengan saya. Saya pun tak nak… tapi semuanya dah berlaku.” Suara wanita itu kedengaran lembut. Tapi setiap katanya bagaikan pisau yang menikam perlahan-lahan.
“Saya cuma nak awak tahu… dia selalu sebut nama awak masa demam. Masa sesak nafas. Tapi dia tak mampu lawan ayah dia. Saya minta maaf sangat.”
Aku tak sedar bila air mata mula jatuh. Bahu aku terhinjut-hinjut perlahan. Sakit. Perit.
Terlalu.
“Terima kasih… sebab beritahu saya.” Itu saja yang aku mampu balas sebelum aku tamatkan panggilan.
Aku terduduk di lantai dapur. Senduk masih di bawah meja. Baju aku masih bau kari. Tangan aku masih bau bawang.
Tapi hati aku?
Dah tak bau harapan lagi. Aku menekan dada. Cuba tahan rasa yang datang bertubi-tubi.
Sakit.
Lelaki yang aku tunggu. Yang aku doakan siang malam. Yang aku percaya walau semua orang sangsi.
Sudah jadi suami orang. Tanpa aku tahu. Tanpa aku dijemput untuk tahu. Tanpa… aku diberi peluang untuk faham.
Malam itu, aku tak tidur.
Aku duduk di tepi katil, pandang keluar tingkap bilik kecil aku. Bintang berselerakan di langit tapi dalam hati aku, semuanya gelap.
Terlalu gelap.
Aku capai telefon. Jari aku menggigil menaip mesej terakhir.
“Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya. Saya doakan awak bahagia dan sihat bersama isteri awak. Saya bukan siapa-siapa lagi. Tapi saya tak akan benci awak. Sebab saya tahu… awak pernah sayang saya juga. Selamat tinggal, Reyqal. Ini Yasmin. Yang pernah tunggu awak.”
Aku tekan send.
Dan selepas itu, aku padam nombor dia. Malam itu… aku bukan lagi Yasmin yang menunggu. Aku bukan lagi wanita yang menggantung harapan.
Aku adalah Yasmin, wanita yang akhirnya memilih untuk melepaskan. Dan dalam kehilangan, aku akan cari semula diriku.
Pagi esoknya…
Aku berdiri di stall seperti biasa. Baju kurung pudar, apron kelabu. Rambut diikat tinggi. Aku masak, aku senyum, aku layan pelanggan. Macam biasa. Tapi kali ini, ada sesuatu yang lain.
Beberapa rakan sekolah lama aku datang dan memesan makanan. Muka mereka berseri-seri.
“Min! Lama tak jumpa… masakan kau masih sedap gila!” sorak Syira sambil makan nasi lemak berlauk sambal paru.
“Serius, Min. Aku rasa kau patut buka restoran!” celah Khairil.
Aku senyum.
“Tengoklah nanti… doakan aku ya.” Tapi dari sudut mata aku, aku perasan seorang lelaki sedang curi-curi pandang aku.
Kamal.
Rakan kelas depan masa sekolah dulu. Kini lelaki itu tampak lebih matang, lebih tenang. Duduk di meja belakang, sambil sesekali menguis nasi lemaknya. Tapi mata dia tak berhenti pandang ke arah aku.
Aku bercekak pinggang dan berjalan ke arah Deya di sebelah stall.
“Min… kau tahu tak Kamal suka kau,” jerit Sufina dari meja belakang tiba-tiba.
Aku terkedu.
“Eh! Eh! Kau ni, Sufina! Dia tu boyfriend si Tina kan? Jangan pandai-pandai sangat!” aku jawab, sengaja kuatkan suara.
“Diorang dah break lah, sebab Tina curang,” balas Arif sambil selamba kunyah cucur udang.
“Serius lah?” Deya menekup mulutnya.
“Ya… Kalaulah Min takda boyfriend lagi, bolehlah kita menolong sikit kan,” Sufina sambung sambil ketawa kecil.
Aku cuma geleng kepala. Tapi aku nampak Kamal senyum sendiri.
Dia tunduk.
Tapi tangannya berhenti menguis nasi. Matanya masih pada aku. Pandangan dia… bukan seperti lelaki yang baru singgah makan.
Tapi seperti seseorang yang nampak aku bukan sekadar tukang masak di gerai kecil. Seperti seseorang yang nampak hati aku yang sedang cuba sembuh.
Sudah. Aku tahu rasa itu.
Rasa yang datang perlahan, seperti angin pagi yang sejuk tapi menggigilkan tulang. Bukan cinta, bukan rindu. Tapi rasa… dilihat. Difahami. Dan mungkin, sedikit… dihargai.
Aku berkalih memandang Kamal semula. Lelaki itu masih diam, tapi senyumannya tak sama macam dulu masa kami di tingkatan lima.
Dulu dia budak nakal yang suka main bola sepak dan ejek nama aku. Tapi sekarang… dia nampak seperti seseorang yang tahu apa itu kehilangan. Dan mungkin, sebab itu… dia nampak aku.
“Min… kau okay?” bisik Deya perlahan, sambil mengelap bekas plastik yang baru dicuci.
Aku angguk. Tak jawab panjang. Sekadar lempar senyuman.
Tapi senyuman aku tak lagi palsu seperti semalam. Hari ini, walaupun hati aku masih dalam proses memungut serpihan-serpihan harapan yang patah, aku tahu satu perkara aku masih hidup.
Masih boleh masak. Masih boleh gelak. Masih boleh merasa. Dan yang paling penting, aku masih boleh memilih untuk terus bangkit.
Kamal bangun dari tempat duduknya, bawa pinggan ke sinki cuci sendiri macam dulu, lepas habis sukaneka sekolah. Aku tengok dari jauh. Hati aku tak berdebar, tapi tenang. Pelik, tapi selesa.
Sebelum dia beredar, dia sempat hulur senyuman, dan angkat tangan kecil. Macam lambai selamat tinggal.
Tapi mata dia berkata lain.
Mata dia macam berbisik, "Aku faham."
Dan mungkin… itu cukup buat hari aku lebih ringan sedikit.
Aku kembali ke dapur, senduk kari dalam tangan. Hirisan daun limau purut aku tabur sedikit. Deya di sebelah sibuk susun lauk dalam bekas. Faizal datang bawa sebakul nasi panas.
Hidup aku tetap berjalan.
Dan walau luka aku masih merah dan belum kering sepenuhnya, aku tahu… ada tangan-tangan yang sudi bantu tampal semula bahagian diri aku yang hilang.
Aku bukan lagi Yasmin yang menggantung harapan.
Tapi Yasmin yang belajar melepaskan… dan bersedia membuka sedikit ruang untuk apa saja takdir Tuhan yang sedang perlahan-lahan mengetuk semula pintu hatinya.
Tak perlu tergesa-gesa.
Tak perlu cinta hari ini.
Cukup… kalau ada seseorang yang sudi duduk di sisi tanpa mendesak aku sembuh dengan cepat. Cukup kalau ada yang sudi pandang aku bukan sebab kisah silam aku… tapi kerana siapa aku hari ini.
Dan kalau satu hari nanti, hati aku bersedia…
Mungkin aku akan jemput rasa itu masuk semula.
Tapi buat masa sekarang, aku cuma nak jadi Yasminyang tetap masak di stall, tetap hiris bawang, tetap senyum pada pelanggan, dan tetap berdiri… dengan tenang.
tak perlu tergesa-gesa
Share this novel