Langit pagi itu sedikit mendung, seolah-olah tahu hati aku pun masih kelabu. Klinik Kesihatan Taman Saujana makin lengang. Suasana perlahan-lahan tenang selepas drama aku bergolek macam roti canai, kena balut, kena sindir, dan kini… sedang dipapah keluar oleh dua manusia yang paling aku tak pasti aku nak sepak dulu Deya atau Rayqal.
Lutut aku berbalut kemas, dengan kapas tebal dan pita pelekat putih yang digulung penuh kasih sayang oleh doktor klinik. Tapi sayangnya, hati aku tak ada doktor.
Tak ada ubat antiseptik yang boleh sembuhkan rasa perit duduk sebelah lelaki yang pernah patahkan aku dari dalam.
Aku berat bukan aku tak tahu. Tapi bila dua-dua orang ni tarik kiri kanan macam tengah bawa gajah cedera, aku mula rasa macam watak utama dalam filem animasi yang cacat kaki dan tak ada jalan cerita bahagia.
Setiap kali aku jejak kaki ke lantai simen klinik tu, aku tarik nafas perlahan. Rasa nak menangis, tapi aku tahan. Sumpah, kalau air mata aku gugur hari ni, mungkin banjir satu klinik.
“Perghh Min… kau berat gak eh,” bisik Deya dekat telinga aku, sambil gelak kecil yang langsung tak sensitif.
Aku jeling dia dengan ekor mata. Kalau tangan kanan aku tak pegang lengan Rayqal, dan tangan kiri tak berpaut pada bahu Deya, sumpah aku hempuk kepala dia dengan botol air milo kotak yang masih berbaki seteguk.
“Kau balik dengan ex tunang kau eh. Aku balik dengan boyfriend aku, Faizal yang comel tu. Hihihik,” kata Deya sambil buat muka nak kena lempang lima jari.
“Deya! Aku tengah sakit tau. Kau ni kawan tak kenang budi!” Aku jerit dengan suara yang hampir parau, antara sakit dan malu.
Hati aku masih koyak, tapi aku tahu… aku tak mampu sembunyikan semuanya dalam gurau. Dalam tawa yang dibuat-buat, ada luka yang masih perit.
Rayqal masih diam. Tapi aku tahu dia dengar semua. Aku tahu dia tengok. Dan aku tahu… dia simpan ketawa tu dalam dada sebab nak jaga hati aku atau mungkin jaga perasaan dia sendiri.
Tiba-tiba dia bersuara.
“Tak apa awak balik je dulu Deya. Kan nak buka stall nanti. Biar saya hantar Min balik rumah.”
Aku terus pusing dan pandang dia tajam. “Saya tak nak lah!” Nada aku tinggi, terus keluar dari mulut. Tapi dalam hati, aku sendiri keliru aku tak nak sebab marah, atau aku tak nak sebab takut aku lemah semula?
Rayqal tak layan pun bantahan aku. Dengan tenang, dia tolak badan aku perlahan ke arah keretanya, macam aku budak degil yang baru lepas kena vaksin.
Pintu kereta dibuka, dan aku rasa macam nak lompat masuk tong sampah sebab malu tak sudah. Rayqal bukan saja bukakan pintu macam seorang gentleman, dia siap letakkan beg kecil aku dalam seat depan. Tapi gentleman yang ini... dia pernah pergi tanpa beri peluang aku tanya kenapa.
“Diam, jangan buat hal yang bukan-bukan, Min.” Lembut suara dia. Tapi dalam lembut tu, ada maksud yang tegas.
Aku… terdiam. Mungkin sebab aku tahu aku tak mampu balas kata-kata tu sekarang. Kaki aku sakit. Hati aku lebih sakit. Dan mulut aku terlalu penuh ego untuk mengaku, yang sebenarnya aku lemah setiap kali Rayqal ada dekat.
Deya senyum manja sambil jalan pergi ke kereta Faizal. “Bye bye, sayang! Jangan ngorat ex kau dalam kereta tau!”
Aku jerit perlahan.
“Ihhhh…!!! Bongok punya kawan!” Tapi dalam hati… aku doa dia cepat-cepat hilang dari pandangan.
Sebab sekarang ni, aku tinggal berdua dengan orang yang paling aku cuba lupa tapi tak pernah berjaya.
Rayqal masuk tempat pemandu, duduk senyap seketika. Dia start enjin, dan aku cuma duduk diam sambil tengok luar tingkap. Langit kelabu, macam jiwa aku. Tapi ada juga bias cahaya yang cuba menembusi awan seperti harapan kecil yang masih menyorok di sebalik ketegaran aku.
“Awak… memang tak berubah ya,” suara dia kedengaran lagi, perlahan.
Aku terus pusing. “Ha? Maksud awak?”
Dia senyum. Senyuman yang aku kenal. Senyuman yang pernah buat aku rasa rumah, dan pernah juga buat aku rasa ditinggalkan.
“Mulut awak masih tajam. Tapi hati tu, saya tahu… masih Min yang dulu.”
Aku terkedu.
Aku telan air liur. Lidah aku kelu. Tapi hati aku berdentum kuat. Dalam diam, aku alihkan pandangan semula ke luar tingkap.
Aku tak tahu nak balas apa. Sebab separuh dari aku masih nak tampar dia, dan separuh lagi… cuma nak minta dia duduk dekat-dekat dan cakap perkara yang tak sempat dikatakan tiga bulan lepas.
Kereta bergerak perlahan keluar dari parkir. Jalan raya masih basah dengan sisa hujan semalam, dan hati aku… masih basah dengan kenangan.
Rayqal pandu senyap. Tapi senyap dia bukan kosong. Senyap dia ada bunyi. Ada rasa. Ada ingatan.
“Min…”
Aku diam.
“Saya tak harap awak maafkan saya cepat. Tapi boleh tak… awak jangan benci saya macam dulu?”
Aku masih diam.
Tangan aku di atas riba menggeletar sedikit. Aku genggam jari sendiri kuat-kuat, macam nak kawal air mata dari mengalir.
“Saya tak benci,” akhirnya aku jawab, perlahan. “Tapi saya belum mampu sayang semula.”
Dia tak cakap apa. Tapi aku tahu dia faham. Sebab dalam kereta itu, suasana jadi lebih berat… tapi lebih jujur.
Dan dalam hati aku, ada satu suara yang berbisik kuat.
Kalau awak nak masuk semula dalam hidup aku, awak kena masuk dengan kaki yang bersih. Jangan bawa debu luka lama. Jangan bawa janji yang awak tak pernah tepati dulu.
Dalam kereta yang sunyi, hanya bunyi penghawa dingin dan deruman perlahan enjin jadi muzik latar kepada satu pertemuan yang aku sendiri tak pasti aku mahukan.
Aku duduk diam, badan bersandar pada kerusi penumpang, tapi jiwa masih belum tahu di mana sepatutnya dia bersandar.
Tangan aku diletakkan di atas riba, diam, tak bergerak. Tapi mata aku… tak berhenti mencuri pandang ke arah Rayqal.
Bukan wajah dia. Bukan senyuman yang pernah buat aku jatuh cinta dulu.
Tapi… tangan kirinya.
Kosong.
Tiada cincin.
Bukan aku nak kisah sangat. Tapi hati aku, walaupun aku larang berkali-kali, tetap mahu tahu. Dan kali ini, mulut aku pula yang bertindak lebih cepat dari fikiran.
“Mana cincin kahwin awak, Ray?”
Aku terkedu sendiri. Ya Allah! Weh celuparnya mulut aku ni! Aku terus tunduk, pura-pura tengok kain baju sendiri, walaupun dalam hati aku dah meraung sebab malu tak sudah.
Apa kejadah aku tanya benda macam tu?
Rayqal tak terus jawab. Tapi aku dengar dia tarik nafas, dan… senyum. Bukan senyum bahagia. Tapi senyum tipis yang penuh cerita tak terungkap.
“Tak ada cincin… sebab tak ada perasaan pun.”
Suara dia tenang. Tapi kata-kata tu macam peluru yang tersasar ke dada aku sendiri.
“Dia bukan siapa-siapa dalam hidup saya, Min.”
Aku angkat kepala perlahan. Mata aku terpanah ke arah wajahnya. Dia pandang jalan depan, tapi nada dia tak berdalih. Jujur. Tegas.
“Kenapa?” Soalan aku pendek. Tapi penuh persoalan yang aku sendiri tak mampu urai.
Rayqal hela nafas lagi. Lama.
“Sebab dia kahwin dengan saya sebab harta bapak dia. Bukan sebab cinta. Bukan sebab nak jadi isteri. Dia cuma nak kedudukan. Nama. Kontrak antara dua keluarga.” Suara dia datar, tapi dalam. Macam luka yang dah parut tapi masih pedih kalau dipegang.
“Saya buka cincin tu depan dia sendiri… lepas kami selesai akad nikah hari tu.”
Aku telan air liur. Tengkuk aku terasa tegang. Sakit kepala aku datang perlahan-lahan. Aku tak tahu nak rasa apa. Marah? Sedih? Atau… simpati?
Dia sambung lagi, kali ni suaranya sedikit tenggelam dalam dingin pendingin hawa.
“Lepas hari tu, saya tak pernah balik rumah. Saya keluar. Saya tinggalkan semuanya Papa, Mama, rumah, kereta, nama… semua.”
Aku masih senyap.
Tak tahu kenapa, tapi dada aku rasa sempit. Angin sejuk dari air-cond rasa macam pisau yang menyelinap perlahan ke tulang rusuk aku.
“Isteri awak…?” Soalan itu meluncur keluar sendiri. Antara takut nak tahu… dan takut kalau jawapan dia akan buat hati aku hancur sekali lagi.
Rayqal angkat sedikit kening, kemudian dia angguk perlahan.
“Dia masih tinggal dengan keluarga saya. Saya tak pernah bagi nafkah, tak pernah jenguk. Dan... saya dah ceraikan dia di mahkamah. Sekarang dia bebas. Selesai edah, dia bukan siapa-siapa.”
BOOM.
Otak aku loading. Mulut aku buka… tapi tiada suara keluar. Badan aku panas tiba-tiba walaupun pendingin hawa dalam kereta ni kuat semacam.
Aku terbatuk. Kuat. Macam dicekik bayangan kisah lampau.
“U-UHUUK UHUUK!!” Aku batuk tak berhenti. Dada aku rasa sesak. Tekak perit. Jantung berdegup kencang.
Rayqal panik. “Min! Eh, kenapa ni?” Dia cepat-cepat alih badan ke arah aku.
Tangan dia tepuk belakang aku perlahan, cuba bantu aku tarik nafas. Tapi entah kenapa… tangan dia usap perut aku??
“Eh cukup! Saya belum mati lah!” aku jerit, dan PLAKK! aku tampar tangan dia tanpa fikir panjang.
Rayqal terkedu. Mulut terbuka, mata membulat.
“Eh… saya ingat awak batuk sampai nak pitam tadi…”
Aku jeling dia. Tajam.
“Usap belakang lain, ni perut! Awak ni gila ke? Ghaib terus rasional bila panik?”
Rayqal tergelak. “Maaf… refleks,” katanya sambil senyum malu.
Aku betulkan duduk. Cuba tenang. Tapi pipi aku dah panas. Sama ada sebab marah, atau malu, atau kedua-duanya sekali.
“Awak ni suka buat saya mati dalam diam ke hah?” Aku perli dengan suara serak-serak basah.
Rayqal tak balas segera. Dia pandang aku lama. Wajah dia serius kali ni.
“Saya cuma nak awak tahu… saya dah letak titik pada kisah silap saya dulu.”
Dia tarik nafas.
“Dan kalau boleh… saya nak mula balik. Tapi dengan awak. Bukan dia. Bukan siapa-siapa yang lain.”
Aku tergamam.
Tangan aku yang tadi tenang atas riba kini mula menggenggam kain baju aku sendiri. Kuat. Macam nak pegang sesuatu yang sedang runtuh dalam diri aku.
Mata aku pandang luar tingkap. Tapi hati aku… pandang terus ke dalam. Dan untuk pertama kali dalam tempoh berbulan… hati aku tak menolak.
Tapi…
Juga belum sepenuhnya membuka pintu. Sunyi kembali memenuhi ruang kereta. Tapi sunyi itu tak menyakitkan.
Ia… mendamaikan. Walaupun aneh.
Dalam hati aku, ada suara yang berbisik lembut, perlahan:
“Mungkin luka ini belum sembuh. Tapi mungkin… luka ini tak perlu sembuh sepenuhnya untuk rasa bahagia sekali lagi. Mungkin… yang penting ialah siapa yang sanggup tunggu dan bantu aku rawatnya, setiap hari.”
Rayqal tak bersuara. Tapi tangan dia yang memegang stereng perlahan-lahan mengendur. Aku tahu dia sedang bagi ruang. Dan aku… sedang belajar membuka ruang itu juga.
Share this novel